Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

16 March 2007

Dua pelajar Melayu catat keputusan PNGK 4.0

Selamat membaca..........

Dua pelajar Melayu catat keputusan PNGK 4.0

MELAKA: Kehidupan yang jauh berbeza tidak menghalang dua sahabat karib, Suriani Abd Kadir, 19, dan Raihanath KV Zainuddin, 20, untuk disenarai di kalangan 36 pelajar terbaik yang mencatat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dalam Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2006 bagi negeri Melaka.


Suriani dari Simpang Bukit Lintang dekat sini, berasal dari keluarga kurang berkemampuan dengan ayahnya cuma buruh kampung sementara ibunya mencari nafkah dengan mengambil upah membuat kuih muih.

Raihanath pula adalah anak sulung daripada empat beradik kepada seorang pemilik restoran di Lorong Bukit Cina, Banda Kaba, dekat sini.

Kedua-dua mereka yang menuntut di Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Seri Kota dekat sini, disenarai sebagai dua pelajar Melayu yang mencatat PNGK 4.0 untuk STPM 2006 di Melaka.

Suriani mencatat prinsipal A bagi subjek Pengajian Am, Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu dan Sejarah, manakala Raihanath mencatat A bagi subjek Pengajian Am, Sejarah, Ekonomi dan Pengajian Perniagaan.

Suriani bercita-cita melanjutkan pengajian dalam jurusan pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), manakala Raihanath pula akan memohon memasuki jurusan undang-undang di Universiti Malaya (UM).

Sementara itu, Suriani, anak ketiga dan perempuan tunggal daripada empat beradik, bersyukur kerana berjaya mencatat keputusan cemerlang selepas berusaha sendiri tanpa menghadiri sebarang kelas tuisyen.

"Alhamdulillah, berkat tumpuan sepenuhnya ketika guru mengajar di dalam kelas, kesungguhan mengulang kaji pelajaran lima jam setiap malam, banyak berdoa dan tidak meninggalkan solat, akhirnya saya berjaya mencapai cita-cita yang dihajatkan,” katanya yang terharu dengan keputusan diterima.

Ayahnya, Abd Kadir Kassim, 60, dan ibunya, Fatimah Ahmad, 57, turut berkongsi kegembiraan itu dan bersyukur kerana Suriani mengikut jejak dua abangnya yang sudah bekerja selepas menamatkan pengajian di Politeknik dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bagi Raihanath pula, beliau membuat persiapan untuk peperiksaan STPM sejak awal tahun lagi dan akan bangun jam 3 pagi setiap hari untuk mengulang kaji pelajaran sehinggalah masuk waktu Subuh.

Selain itu, tumpuan penuh ketika guru mengajar di dalam kelas dan nota kecil menjadi teman setia Penolong Ketua Pengawas SMK Seri Kota ini.

"Saya memang suka membaca. Nota kecil saya bawa ke mana-mana untuk rujukan,” katanya.

No comments: