Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

09 August 2008

Bahagian 1: Lelaki Melayu dulu dan sekarang

Selamat membaca..........

Eksklusif: Bahagian 1: Lelaki Melayu dulu dan sekarang

Oleh Diyanah Anuar
diyanah@bharian.com.my


Abhinav Sharma, Pengarah Perancangan Strategik McCann Erickson.

Personaliti maskulin tradisional

PERNAHKAH anda terfikir perbezaan lelaki Malaysia sekarang dengan jejaka yang hidup lebih 50 tahun lalu? Secara kasar, kelainan itu mungkin tidak ketara kerana dikaburi peranan lelaki yang dikatakan terus dominan berbanding wanita. Namun, jika diamati, cetusan evolusi berlaku dalam kehidupan lelaki dari zaman ke zaman hingga membentuk ciri-ciri lelaki yang dilihat pada hari ini.

Sebelum ini, tidak ramai berminat menyingkap fasa perubahan atau perkembangan lelaki baik dari aspek apa sekalipun. Ini kerana fokus selalu diberi kepada wanita di mana perubahan dan perkembangan mereka mungkin lebih menarik untuk diambil peduli.


Namun, sejak 'kuasa' lelaki makin melebar - tidak lagi terbatas dalam kelompok keluarga dan kerjaya sebaliknya dalam pelbagai aspek gaya hidup dan sosial, agensi pengiklanan terkemuka, McCann Erickson Malaysia 'terpanggil' untuk menyelidik evolusi lelaki Malaysia.


Agensi itu berkongsi hasil kajian menariknya bersama XY - Ikon Lelaki dengan memberi fokus kepada evolusi lelaki Melayu di Malaysia, sejak era sebelum merdeka, pasca merdeka hingga hari ini.

Bermula dengan cerita lelaki sebelum merdeka yang digelar 'Lelaki Tradisional' dalam penyelidikan ini, Pengarah Perancangan Strategik McCann Erickson, Abhinav Sharma menamakan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj; Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein; Allahyarham Tun Hussein Onn hingga Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai individu yang melambangkan ciri lelaki Melayu tradisional.

Tan Sri P Ramlee

Antara ciri lelaki tradisional yang dilihat pada barisan tokoh ini adalah kuasa dimiliki mereka, tanggungjawab selaku pemimpin serta semangat melindungi negara.

Kata Abhinav, keluarga generasi pertama dan kedua di Malaysia yang menempuh kepayahan hidup pada zaman peperangan, lazimnya memiliki anggota keluarga atau anak yang ramai.

Setiap anak lelaki yang lahir dalam keluarga besar pada tempoh sukar seperti ini biasanya sukar menerima perhatian saksama daripada ibu bapa mereka, terutama dari bapa.

"Anak lelaki ini akan membesar secara berdikari dan belajar mengenai sesuatu menerusi pemerhatian dan contoh yang diperoleh dari orang tua.

"Anak lelaki sulung akan mengikut jejak langkah bapa dan kedudukan lelaki sebagai jantina yang hebat dan pendukung kehormatan keluarga terus menjadi tradisi.

"Definisi kelelakian yang dipelajari mereka adalah seseorang yang tanggungjawab memelihara kehormatan keluarga dan tradisi ini perlu terus diperturunkan; mempunyai tekad dan keazaman tinggi; boleh membuatkan orang lain takut; akan dihormati; mampu menyara keluarga; sentiasa setia dan hormat kepada yang lebih tua; jujur dan bertanggungjawab serta mampu memiliki lebih daripada seorang isteri," terang Abhinav.

Abhinav menambah, selain ciri maskulin pada lelaki tradisional yang dijelaskannya, ada juga lelaki tradisional berjiwa lebih lembut. Contoh terbaik, aktor lagenda Melayu, Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Seniman Negara ini dilihat memiliki ciri serupa seperti keazaman yang kuat untuk berjaya dalam industri hiburan; dihormati dan dikenali serta pernah berkahwin dan bercerai lebih daripada sekali.

Generasi kedua iaitu lelaki yang membesar dalam acuan tradisional akan meneruskan tradisi bapa tradisional pada keluarganya pula. Mereka adalah individu yang setia; tindakan mereka tidak boleh dipersoalkan; patuh kepada peraturan; tahu apa yang terbaik; pelindung; chauvinistik; tegas dalam soal disiplin serta dihormati.

Kata Abhinav, masyarakat Asia ketika itu bersifat patriachal (kebapaan). Tiada siapa boleh mempertikai atau membantah sebarang arahan dan keputusan yang sudah diputuskan bapa.

"Namun, selepas taraf hidup menjadi semakin baik, nilai tradisi yang diwarisi dari generasi sebelumnya sedikit terkikis oleh kemodenan.

"Anak lelaki generasi kedua ini menghadapi dilema sama ada hendak mengikut tradisi bapanya atau meneruskan perjalanan kehidupan dengan identiti dan caranya sendiri," katanya.

Pada masa yang sama, golongan anak ini harus melakukan sesuatu yang dapat membanggakan bapa mereka. Mengikut persepsi masyarakat ketika itu, apa yang dapat membuatkan seseorang bapa berbangga dengan anaknya adalah keputusan cemerlang dalam peperiksaan (pangkat A dalam semua subjek) serta menduduki jawatan profesional seperti doktor, peguam dan jurutera.

Anak kepada lelaki tradisional biasanya akan berjaya dalam akademik dan memilih laluan karier konvensional kerana takut serta menghormati bapa mereka.

"Kehidupan anak lelaki yang dibesarkan dalam lingkungan tradisional ini dilihat menghadapi bermacam 'tekanan' dalam hidup mereka. Menurut 'parameter tradisional', mereka perlu menunjukkan prestasi terbaik di sekolah; menuntut di universiti ternama; tamat pengajian dan memperoleh kerjaya berpendapatan stabil; memiliki kereta dan rumah sendiri; harus mampu dari segi kewangan untuk berkahwin dan membina sebuah keluarga.

"Satu-satunya contoh atau role model yang dilihat golongan lelaki generasi kedua ini adalah bapa mereka. Justeru, tidak hairanlah jika ramai di antara mereka yang tetap mengikut jejak langkah bapa mereka biarpun minat dan kecenderungan sebenar mereka adalah berbeza," katanya.

Menyentuh mengenai kajian agensi itu, Abhinav berkata, pihaknya sentiasa membuat penyelidikan seumpama itu bagi mengenalpasti corak dan kehendak pasaran.

"Ini menjadi maklumat berguna kepada pelanggan kami untuk memasarkan produk mereka.

"Seiring dengan kuasa beli golongan lelaki yang dilihat kian menyamai kuasa beli yang sebelum ini didominasi wanita, kami mengambil langkah strategik untuk membuat kajian mengenai lelaki tempatan," katanya.

Kata Abhinav, tinjauan dan kajian ini dilakukan dalam tempoh lima hingga enam bulan berdasarkan soal selidik terhadap 300 responden lelaki pelbagai etnik dan sumber kajian sekunder.

Minggu depan : Transisi lelaki... Dari tradisional ke era moden.

1 comment:

AZIZAN & HAFIZAH said...

Jom Dapatkan Panduan Bina Otot Badan Untuk Lelaki Disini....Agar Anda Kelihatan Lebih Kacak Dan Macho....
Jangan Segan2..Milikilah Badan Impian Anda Sekarang.....