MangkukTingkat.com
Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my
KEBERSIHAN menjadi keutamaan dalam proses penyediaan makanan. |
Program perniagaan bantu ibu tunggal - Nur Hikmah akan perluaskan program MangkukTingkat.com ke seluruh negara mulai bulan depan
MANGKUK tingkat dalam budaya penduduk Malaysia pada suatu masa dulu digunakan pekerja sektor pembinaan dan petani di kebun untuk menikmati makanan yang lazat, panas dan bersih seperti di rumah.
Bukan luar biasa melihat 'pekerja kontrak' membawa mangkuk tingkat sambil berbasikal dan tiada siapa pun peduli.
Di seluruh dunia, `kotak makan tengah hari’ seperti mangkuk tingkat adalah sebahagian budaya popular.
Di India yang turut menggunakan mangkuk tingkat, dabbawala (orang yang menghantar kotak makan tengah hari) di Mumbai amat popular hingga Putera Charles ketika lawatan ke negara itu bergambar bersama mereka.
FATAHIYAH antara pelanggan MangkukTingkat.com sejak dilancarkan Jun lalu. |
Jepun berbangga dengan bento, makanan dan lauk yang diisi dalam kotak kayu pelbagai bentuk yang cantik.
Apa pun istilah atau di mana juga, matlamat akhir adalah untuk membolehkan pelanggan menikmati makanan yang murah, bersih dan enak.
Berbanding dabbawala dan bento yang mempunyai sejarah dan tradisi yang panjang, Program MangkukTingkat.com yang diperkenalkan Yayasan Pembangunan Nur Hikmah (Nur Hikmah) masih terlalu muda, tetapi berpotensi mencipta revolusi dalam budaya makan orang kita.
Presiden dan Pengasas Nur Hikmah, Ameer Soekre Ishak, mengakui program itu berdasarkan kejayaan dabbawala di Mumbai, tetapi disesuaikan dengan keadaan di negara ini.
PENGHANTARAN cepat menghantar mangkuk tingkat kepada Fatahiyah di Cheras. |
Perbezaan utama, katanya mangkuk tingkat di Malaysia adalah versi teknologi alam maya hingga ada yang memberi gelaran kepada program itu sebagai `nasi internet’ apabila semua proses adalah melalui internet.
“Pelanggan membuat tempahan melalui internet. Bayaran adalah secara dalam talian. Kami tidak mengenali mereka dan jika ada sebarang aduan atau cadangan, semuanya disalurkan melalui internet,” katanya.
Beliau berkata, program itu tidak bermotif keuntungan, tetapi menyediakan pancing kepada ibu tunggal serta penjaga anak yatim, sejajar kedudukan Yayasan Pembangunan Nur Hikmah sebagai penaung kepada lebih 200 anak yatim, miskin dan terbiar di enam pusat jagaan seluruh Malaysia.
“Kita boleh memberi bantuan wang tunai atau kebendaan, tetapi lebih baik memberi pancing yang boleh menjana pendapatan kepada mereka, berbanding memberi ikan yang akhirnya tidak ke mana,” katanya.
Selain ibu tunggal, katanya waris yang menjaga anak yatim mempunyai tanggungan masing-masing dan menyertai program ini sebagai pembekal makanan meringankan beban kewangan mereka.
Mengapa mangkuk tingkat? Ameer Soekre berkata, makanan tingkat kedap udara membolehkan makanan kekal panas hingga kira-kira lima jam, selain menjimatkan, berbanding bekas polisterin yang berharga 12 sen sebungkus dan tidak mesra alam.
Katanya, Program MangkukTingkat.com. mendapat bantuan RM15,000 dari Tekun Nasional untuk membeli mangkuk tingkat.
Beliau berkata, setiap mangkuk tingkat mempunyai empat mangkuk, tetapi hanya tiga digunakan, iaitu setiap satu diisi nasi, lauk berkuah dan sayur.
“Satu mangkuk lagi dibiarkan kosong sebagai lambang kasih sayang kami dan tukang masak. Setiap Jumaat, mangkuk kosong diisi buah seperti pisang. Pada hari ulang tahun kelahiran pelanggan, kami hantar kek.
“Kadang-kadang usahawan yang mahu mempromosi produk masing-masing meletakkan sampel makanan dan kad perniagaan dalam mangkuk kosong itu.
“Menjelang Ramadan dan kemudian menyambut Aidilfitri, sudah ada mahu mempromosi kuih raya menggunakan mangkuk tingkat,” katanya.
Memperjelaskan Program MangkukTingkat.com, Pengurus Nur Hikmah, Syaidiatul Syahirah Roslan, berkata program bermula Jun lalu dengan seorang pembekal yang menyediakan makanan ke kawasan sekitar Cheras.
“Sasaran awal ialah pelanggan mengambil sendiri makanan, tetapi mereka lebih suka makanan dihantar terus kepada mereka. Dari sini bermula program mangkuk tingkat,” katanya.
Ketika ini, katanya 60 peratus daripada pelanggan adalah pekerja pejabat dan baki penghuni kediaman.
Pada peringkat permulaan, katanya pelanggan adalah sekitar Lembah Klang, meliputi dari Bukit Beruntung hingga Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya, pelanggan mendapat makanan dari pembekal makanan paling hampir seperti makanan untuk pelanggan di KLIA adalah dari Dengkil.
Untuk masa depan, katanya Nurhikmah dengan bantuan Tekun Nasional melantik vendor untuk membekalkan bahan mentah seperti ayam, daging, rempah dan sayur-sayuran.
“Sebagai contoh, seorang vendor mendapat bantuan menanam sayur-sayuran yang dijual kepada kami dengan harga lebih rendah berbanding pasaran. Ada juga vendor yang dipilih memang sudah berniaga,” katanya.
Melalui program vendor, katanya harga bahan mentah dapat dikawal, sekali gus memastikan harga makanan yang dijual berpatutan.
Katanya, Program MangkukTingkat.com akan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat dan mulai Ogos ini akan dimulakan di Pulau Pinang, selain beberapa lokasi di Johor Bahru, Melaka dan Negeri Sembilan.
FAKTA
Mangkuk tingkat
No comments:
Post a Comment