Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

25 July 2008

Agenda perkukuhkan kedudukan agama, bangsa

Selamat membaca..........

Agenda perkukuhkan kedudukan agama, bangsa

PERCATURAN parti-parti politik yang wujud masa kini merupakan situasi yang mencabar dalam sejarah Malaysia. Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan masyarakat hilang keyakinan terhadap kewibawaan parti dan ahli-ahli politik yang diberi amanah untuk memimpin dan mentadbir negara sama ada parti yang memerintah atau pembangkang.

Perselisihan antara ahli-ahli politik Melayu/Islam lebih mirip kepada persoalan berkaitan dengan prinsip keperibadian.

Parti-parti politik Melayu sepatutnya lebih menumpukan perhatian kepada agenda yang boleh memperkukuhkan kedudukan agama dan bangsa bukan menumpukan perhatian kepada kegiatan untuk menjatuhkan kewibawaan dan kedaulatan orang Melayu yang terkenal dengan perasaan yang halus dan belas kasihan sesama bangsa.

Sikap orang Melayu yang terkenal dengan identiti dan maruah diri semakin hari kian luntur akibat terlalu ghairah dalam perebutan kuasa dan kedudukan.

Bangsa Melayu sering dikaitkan dengan budi bahasa yang berunsurkan akhlak Islam. Ciri-ciri begini kian terhakis kerana matlamat utama dalam perjuangan hidup lebih berlandaskan kepada kekuasaan bukan kasih sayang dan ikatan persaudaraan sesama Islam.

Sikap ingin menjatuhkan kuasa antara ahli-ahli politik bukan berdasarkan kepada kebolehan, kepakaran dan pengalaman individu-individu tertentu tetapi lebih cenderung kepada serangan peribadi.

Umat Islam diajar oleh Allah supaya menggunakan hikmah dalam menyelesaikan permasalahan sesama umat Islam terutama berkaitan dengan maruah diri dan kepimpinan. Kegagalan dalam menyelesaikan persengketaan sesama parti politik Melayu boleh menyumbang kepada kemusnahan bangsa dan agama.

Pertimbangan akal yang berdasarkan kepada keimanan dan kefahaman konsep kepimpinan dan politik yang berasaskan kepada seruan Allah dan Rasul merupakan formula paling penting dalam sistem pemerintahan dan kepimpinan Islam.

Prinsip dan kefahaman begini kurang wujud dalam sanubari dan pemikiran ahli-ahli politik Islam masa kini. Ini merupakan satu krisis dalaman bangsa Melayu yang sukar untuk diatasi.

Kuasa dan kedudukan bukan merupakan kekuatan yang hakiki. Ia adalah amanah Allah yang akan dipersoalkan di akhirat.

Umat Islam dididik oleh Allah dan Rasul menjadi orang yang berhemah dan berwibawa dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara. Didikan ini jika dijadikan sebagai landasan dan pedoman maka tidak wujud suasana seperti masa kini.

Sikap terlalu angkuh dengan kehebatan diri jelas dipamirkan kepada masyarakat. Keangkuhan yang dipertontonkan merangkumi pelbagai cara dan tindakan sehingga membangkitkan kebosanan kepada masyarakat.

Sikap terlalu yakin dengan kehebatan diri sehingga tidak menyedari kelemahan diri ('ujub) adalah salah satu bentuk kemusnahan yang sering diperingatkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya. Hakikatnya, sikap begini menjadi tabiat dan sifat ahli-ahli politik Melayu masa kini.

Kebanyakan ahli politik Islam sekarang lebih mirip memperjuangkan kuasa dan kedudukan daripada menegakkan objektif dan prinsip perjuangan parti politik mereka.

Ketakutan kehilangan kuasa dan kedudukan menyebabkan mereka menjadi kurang matang dalam perancangan dan tindakan. Kelemahan begini jelas dipertontonkan kepada masyarakat.

Jika perkara begini menjadi fenomena ahli-ahli politik bangsa Melayu maka kemungkinan besar sistem pemerintahan dan kepimpinan Melayu akan bertukar kepada sistem demokrasi negara-negara Barat yang tidak prihatin terhadap agama dan bangsa.

Masyarakat Barat lebih prihatin terhadap kebolehan, kepakaran dan kebijaksanaan ahli-ali politik tanpa mengira bangsa dan agama. Apabila suasana begini wujud dalam pemikiran masyarakat Melayu maka istilah seperti 'Melayu tidak hilang di dunia', tidak memberi sebarang makna kepada generasi akan datang.

Hancur atau majunya sesebuah negara adalah bergantung kepada kebijaksanaan dan kepakaran para pemimpin dan ahli-ahli politik dalam negara itu. Oleh itu usah terlalu ghairah menunjukkan kehebatan dan kekuatan sehingga terlupa bahawa agama, bangsa dan negara berada dalam ambang kemusnahan.

No comments: