Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

14 August 2008

AS ada agenda tersembunyi

Selamat membaca..........

AS ada agenda tersembunyi

APABILA Amerika Syarikat (AS) memberi amaran berhubung urusan dalaman Malaysia, ia tidak seharusnya dilihat sebagai sekadar peringatan biasa sahaja.

Sebaliknya, tindakan AS itu harus dilihat dalam skop yang lebih luas terutamanya dalam agenda tersembunyinya untuk melemahkan negara-negara Islam yang tidak tunduk kepada kehendak mereka.

Sejarah telah membuktikan bahawa dunia Barat terutama AS sememangnya tidak senang dengan kebangkitan mana-mana negara Islam dan mereka pasti akan mencari helah untuk melemahkan negara itu dengan apa juga cara.

Apa yang berlaku di Afghanistan dan Iraq sudah menjadi bukti. Afghanistan diserang selepas peristiwa 11 September 2001 dengan alasan ia adalah sebuah negara pengganas dan bagi menegakkan demokrasi.

Tetapi hakikatnya, serangan berkenaan adalah langkah awal AS dalam era tahun 2000 bagi melumpuhkan mana-mana negara Islam yang mengamalkan syariat Islam dalam pentadbirannya.

Justeru Afghanistan yang ketika itu diperintah oleh Taliban telah diserang habis-habisan dan kesudahannya sehingga ke hari ini, negara berkenaan terus berada dalam keadaan kucar-kacir.

Agenda tersembunyi AS untuk melumpuhkan negara Islam tidak berakhir di situ sahaja, negara kuasa besar berkenaan kemudiannya menjadikan Iraq sebagai sasaran.

Dengan pelbagai tuduhan palsu termasuk memiliki senjata pemusnah besar-besaran, Iraq telah diserang dan ditakluk pada tahun 2003.

Sekali lagi alasan untuk menegakkan demokrasi dijadikan 'senjata' bagi menghalalkan pencerobohan yang dilakukan.

AS juga amat memahami bahawa Iraq adalah negara yang kaya dengan minyak. Oleh itu negara tersebut perlu ditakluki dan kesilapan yang dilakukan oleh Saddam Hussein ketika memerintah memudahkan AS melaksanakan agendanya.

Iraq akhirnya diduduki sehingga kini dan negara berkenaan tidak pernah menikmati keamanan biarpun sehari sejak tahun 2003. Peperangan masih berterusan akibat penentangan oleh pejuang-pejuang Iraq.

Pada masa yang sama umat Islam di Iraq saling berbunuhan sesama sendiri terbit daripada tindak-tanduk AS.

Realitinya, Iraq diserang bukan kerana memiliki senjata pemusnah seperti mana digembar-gemburkan, sebaliknya AS ingin menakluki kekayaan minyak di negara itu dan sekali gus menjadikan Iraq sebagai pangkalan hadapan di rantau Teluk bagi melaksanakan agendanya.

SeranganSelain itu, serangan ke atas Iraq juga bermakna sebuah lagi negara Islam yang kaya dengan ketamadunan Islam dimusnahkan oleh AS.

Kejayaan menakluki Iraq seolah-olah memberi semangat kepada AS yang kini mula menjadikan Iran sebagai sasaran.

Negara Barat itu memberi alasan bahawa Iran harus memberhentikan program senjata nuklearnya kerana ia dianggap boleh mengancam keselamatan negara-negara jiran.

Tetapi hakikatnya, selain apa yang dinyatakan itu hanyalah alasan, AS ingin melindungi sahabat baiknya Israel. Lebih daripada itu, AS ingin menjadikan Iran negara kedua pengeluar minyak berada dalam jajahan takluknya.

Demikianlah sikap AS, mereka mencipta satu alasan, membentuk satu agenda dan kemudian melancarkan serangan ke atas mana-mana negara Islam yang mereka tidak sukai.

AS tidak pernah mempedulikan sama ada tindakan mereka itu betul atau tidak. Kecaman demi kecaman yang dikeluarkan oleh mana-mana negara berikutan tindakannya tidak pernah menggugat AS.

Ini kerana sebagai sebuah negara yang mempunyai kuasa ketenteraan yang cukup hebat, AS merasakan mereka mempunyai kuasa mutlak untuk menyerang mana-mana negara.

Bagi AS, soal kebenaran dan keikhlasan adalah persoalan kedua dalam tindakan mereka. Ini kerana jika mereka ikhlas, sudah pasti konflik di Palestin tidak akan berpanjangan sehingga ke hari ini.

Dalam konflik tersebut, AS ternyata menyebelahi Israel biarpun hakikatnya negara zionis itu menceroboh bumi Palestin.

Namun itulah AS. Mereka akan bermusuh dengan mana-mana juga negara Islam yang dilihat tidak sehaluan dengan mereka. Matlamat mereka ialah menghancurkan ketamadunan Islam yang berkembang di mana juga.

Kini AS sedang berusaha memperluaskan sayapnya di Asia Tenggara. Mereka telah pun sedia mempunyai hubungan ketenteraan yang kukuh dengan Filipina, Thailand dan Singapura. Kini negara yang cuba menjadi polis dunia itu sedang berusaha mengganggu kestabilan Malaysia.

Bagi mereka, Malaysia amat penting dari segi geopolitik untuk mengembangkan agendanya. Tetapi dalam masa yang sama mereka sedar bahawa faktor penghalang terletak kepada pengaruh agama Islam yang kukuh di kalangan majoriti penduduk Melayu.

Justeru mereka akan cuba mencari apa juga helah bagi membolehkan mereka 'bertapak' di negara ini.

ReformasiGerakan reformasi yang tercetus pada tahun 1998 dianggap detik terbaik bagi AS untuk mencampuri urusan dalaman negara ini.

Tetapi ketika itu usaha mereka gagal, apabila Malaysia terus teguh mempertahankan pendiriannya dan sekali gus menolak sebarang campur tangan asing dalam soal dalamannya.

Kini AS dilihat kembali berusaha untuk memenuhi agenda mereka. Seperti sebelumnya, isu demokrasi, kebebasan dan keadilan sekali lagi cuba dijadikan alasan oleh AS untuk mencampuri urusan dalaman negara ini.

Bagi AS, soal perlembagaan bukanlah perhitungan utama, apa yang penting bagi mereka ialah menyekat sebarang usaha yang boleh menyaksikan kebangkitan umat Islam hatta di Malaysia sekalipun.

Mereka juga pasti akan menyokong mana-mana pemimpin yang sehaluan dan dapat memenuhi agenda mereka.

Persoalannya, adakah orang Melayu dan umat Islam di Malaysia menyedari agenda tersembunyi AS tersebut?

Seandainya AS berjaya dalam agendanya di Malaysia sudah pasti golongan yang paling teruk akan terjejas ialah orang Melayu dan umat Islam.

Ini kerana sudah menjadi dasar AS bahawa mereka tidak mahu mana-mana kaum mendapat keistimewaan biarpun ia sudah termaktub dalam perlembagaan dan mereka pasti akan menyokong pemimpin yang sehaluan dengan hasrat mereka itu.

Segala-galanya terserah kepada kita untuk menentukannya. Apa yang penting, jangan biarkan negara ini 'dijajah' buat kali kedua dalam apa bentuk sekali pun

No comments: