Rahsia qada dan qadar
SOALAN: Baru-baru ini, Kosmo! dalam ruangan anekdotnya mengisahkan tentang seorang wanita yang dipanggil Ratu Ngebor menghadapi dugaan kerana rancangan pertunjukannya dibatalkan di Johor Bahru dan ditolak oleh Stadium Putra Bukit Jalil dengan alasan masalah keselamatan.
Kegagalan yang dialami menyebabkannya berasa letih dan hairan mengapa dirinya diuji semakin hari semakin dahsyat. Sempat dia berasa dirinya tidak disayangi Tuhan. Namun, berbekalkan semangat juang yang ada serta kasih sayang suami, dia tahu setiap hal pasti ada hikmahnya.
Yang dia tahu, dia cuma mahu membawa irama dangdut ke satu tahap yang lebih dihormati. Dan dia mahu muncul untuk kali ketiga di Malaysia.
Hal seperti ini sudah lali di negara kelahirannya, diseret keluar sewaktu menyanyi sudah menjadi perkara biasa. Cuma halangan di Malaysia membuatkan dirinya cukup letih dan terasa luar biasa.
Saya sebenarnya keliru dengan keadaan yang berlaku sekarang, di tanah air saya yang saya amat kasihi.
– Peminat Dangdut, KL
Jawapan: Aurat seorang perempuan dengan lelaki ajnabi ialah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan, tetapi kalau pakaian yang dipakai itu ketat, menonjolkan punggung, paha ataupun membonjol dadanya, maka ia tetap dilarang.
Apabila seseorang wanita itu menutup auratnya seperti yang dijelaskan, tidak ketat atau sendat, tidak longgar tetapi ia melakukan gerak-geri yang mengghairahkan, maka ia juga tetap dilarang. Hukumnya haram.
Termasuk dalam amalan yang dilarang atau diharamkan ialah perbuatan melakukan goyang punggung ataupun `gerudi’. Sebab atau helah dihukum sedemikian rupa ialah kerana ia boleh membangkitkan nafsu orang lain yang melihatnya atau menonton sambil mengkhayalkan.
Berpunca daripada kebangkitan nafsu tersebut, seseorang itu boleh bertindak lebih jauh daripada itu, berzina, liwat dan sebagainya. Bagi mereka yang meminatinya mungkin menyatakan hal demikian adalah hiburan, liburan atau salah satu cabang seni.
Seorang perempuan, sama ada untuk melakukan tarian gelek, menggerudi, apabila telah dilakukan akad Ilahi padanya, dirinya adalah hanya untuk suaminya, bukan untuk umum. Sekiranya tarian seperti ini, apatah lagi goyang punggung itu ditonton di khalayak ramai, ia tetap merupakan salah satu ciri keruntuhan akhlak.
Kalau ia dibiarkan, diberi kelulusan atas alasan untuk berhibur atau untuk mendapatkan peratusan cukai, maka konsep ini adalah merupakan kesilapan besar. Hasil yang tidak diberkati Allah.
Mungkin atas alasan “bakat juang” ia tetap terus dilakukan. Mahu membawa dangdut ke satu tahap yang dihormati”, tanpa mengambil kira natijah daripadanya, menyebabkan keruntuhan akhlak, melanggar perintah Allah ia tetap diteruskan. Dalam masa yang sama kegiatan ini dapat menyara hidup.
Sesungguhnya, apabila sesuatu usaha itu terlarang menurut syarak maka hasil yang diperoleh adalah haram juga. Apabila ia melibatkan perbuatan haram, maka Allah tidak meredainya atau tidak memberkatinya. Hasil yang diperoleh, apabila dibelikan makanan, ia akan menjadi darah daging yang membesar dan mengalir pada sekujur jasad. Habuan ini akan dimamah, dikunyah dan ditelan oleh anak-anak, suami isteri, sekiranya yang melakukan kegiatan ini melibatkan seorang suami, anak, juga mereka yang berkunjung ke rumah dan sebagainya.
Dalam surah al-Isra, ayat 32, terdapat firman Allah yang melarang jangan menghampiri zina. Dalam ayat ini, kalimah “jangan hampiri” bermaksud bahawa sesuatu perbuatan yang menghampirkan diri atau yang akhirnya melibatkan diri seseorang itu dengan perbuatan zina hendaklah dijauhi sama sekali, jangan dihampiri. Jelas dalam keterangan ini memperlihatkan atau membuktikan sekiranya seseorang itu boleh mengelakkan diri daripada menghampiri sesuatu perbuatan yang boleh menghela kepada perbuatan zina, maka zina akan dapat dielakkan.
Cukuplah dengan keadaan atau suasana tidak pasti yang sedang berlaku di Malaysia sekarang, yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kita dikunjungi oleh pelancong dari luar atas tiket “lawatan sosial” yang diberi kebenaran masuk ke negara ini ketika berada di lapangan terbang. Kita berbangga dengan jutaan pelancong yang datang dari seluruh dunia. Kita memperoleh hasil atau pendapatan daripada perbelanjaan yang dibelanjakan. Segala-galanya memberi pulangan lumayan kepada anak negeri.
Dalam masa yang sama, kita tetap sedar sebahagian daripada pelancong ini menjadi pelacur, menjadikan Malaysia ini destinasi persundalan. Sebahagian daripada mereka, berpuluh ribu bilangannya seperti yang dipaparkan dalam akhbar, hilang tidak dapat dikesan.
Keadaan menjadi lebih gawat apabila pusat-pusat rawatan, spa dan sebagainya menawarkan khidmat seks. Berkali-kali diserbu tetapi tetap wujud seumpama cendawan tumbuh selepas hujan. Orang ramai menjadi bingung. Segala-galanya berlaku seumpama tidak dapat dikawal. Serbuan-serbuan dilakukan, tetapi hasilnya mengecewakan.
Lebih masa
Pesundal-pesundal hilang, kerja lebih masa di tempat lain atau mengambil cuti sakit pada waktu itu. Rupa-rupanya, mereka yang diberi kebenaran masuk ke lapangan terbang itu melarikan diri melalui lorong-lorong tikus yang tersedia direka khas, lari di loteng-loteng ataupun akibat kakitangan yang menjadi barua atau informer, memberitahu segala gerakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan.
Saya masih ingat semasa belajar di Scotland, seorang teman mengambil PhD, dari Chitaggong. Seorang teman berjanggut jarang, tetapi dibela panjang. Beliau bangga dengan janggut, mengikut sunnah nabi katanya berulang kali, sambil menggosok-gosok dagu saya yang tidak menyimpan janggut.
Setelah tamat dan lulus Phd, beliau yang mendapat biasiswa Commonwealth, berusaha untuk menunaikan umrah dan ke London untuk mendapatkan visa. Kedutaan di London menyatakan yang dia boleh mendapatkan visa ketika berada di Jeddah nanti. Setelah menceritakan apa yang berlaku, saya menasihatinya supaya mendapatkan visa terlebih dahulu, jangan harapkan visa ketika berada di lapangan terbang.
Akhirnya saudara Abdul Rahman inipun terus ke Jeddah. Beberapa hari selepas itu, beliau balik semula ke Aberdeen, meluahkan penyesalannya kerana tidak mendapat visa atau kebenaran masuk ke Mekah, biarpun ia datang dari jauh, Aberdeen Scotland untuk menjadi tetamu Allah, iaitu mengerjakan umrah.
Teman saya ini menjelaskan, orang sepertinya, berkelulusan PhD, menjadi pegawai atasan apabila balik ke tanah air nanti akan hanya berupaya untuk ke Mekah mungkin selepas 15 tahun bekerja. Mungkin dia juga perlu bekerja untuk tempoh yang lebih kurang sama, untuk menunaikan haji atau umrah, tetapi segala-galanya gagal kerana tidak dibenarkan masuk ke Mekah.
Walaupun begitu, dia tetap reda dan dia yakin biarpun tidak berjaya menunaikan umrah dan tetap mendapat pahala umrah, kerana dia seratus peratus telah bertekad tetapi malangnya diarahkan untuk terus mendapatkan kebenaran masuk apabila tiba di lapangan terbang.
Saya tidak berapa pasti apakah cerita yang diberitahu itu benar-benar terjadi, namun apa yang jelas teman saya dari Chitaggong ini memang gagal untuk menunaikan umrah. Mengenai pahala umrah yang diperoleh biarpun dia gagal menunaikannya, itu urusan Allah.
Andainya Allah memberi pahala kepadanya biarpun teman ini tidak menunaikannya atau menggandakan ganjarannya itu bukan mustahil. Allah Maha Kaya dan Maha Berkuasa, Tidak menjadi kurang bagi-Nya sekiranya Allah memberi pahala berlipat ganda.
Kalau benarlah pengalaman yang berlaku ini, saya terfikir kenapa fenomena ini berbeza dengan Malaysia. Memang benar, pelancongan merupakan salah satu sumber untuk memperoleh hasil negara. Mereka yang dari luar negara itu datang ke Malaysia begitu mudah, diberi kebenaran masuk ketika berada di lapangan terbang dan sebahagian daripada mereka menjadikan Malaysia sebagai pusat pelbagai kegiatan.
Sebahagian daripada mereka terlibat dengan kegiatan sundal, jenayah, penyeludupan dadah, menjadikan gadis-gadis tempatan teman, lalu dijadikan alat menyeludup dadah ke luar negara, terlibat dengan pemalsuan kad kredit, pasport dan sebagainya. Kos yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia untuk mengatasi masalah sosial yang dilakukan oleh mereka yang datang dari luar diberi kebenaran masuk ketika berada di lapangan terbang ini mungkin lebih besar berbanding dengan hasil yang diperoleh daripada wang yang dibelanjakan oleh pelancong tadi.
Cukuplah dengan masalah sosial yang sedang berlaku di Malaysia, kita sendiri mungkin tidak terfikir bahawa fenomena ini boleh terjadi di negara kita.
Mungkin pada diri mereka yang tidak dibenarkan melakukan pertunjukan gerudi berasa bahawa pihak yang bertanggungjawab di Johor Bahru atau pihak berkuasa Stadium Putra Bukit Jalil melakukan kesilapan dan tidak bertimbangrasa. Rugi beratus ribu kepada penganjur juga kepada penggerudi sendiri.
Setiap orang Islam wajib percaya tentang adanya balasan di akhirat kelak, iaitu pada hari balasan atau “yauma ‘l’hisab” semua tindak-tanduk dan perbuatan kita di akhirat akan ditanya oleh Allah.
Kenapa seseorang itu melakukan zina, kenapa melakukan khalwat. Lalu dijawab oleh orang yang melakukan zina tadi, ia berlaku kerana kami berahi atau syahwat tarian gelek. Lalu Allah bertanya siapa yang melakukan perbuatan gelek, lantas si penggelek atau penglibur itu berkata dia yang melakukannya.
Berkata-kata
Kalau lidahnya tidak berkata-kata Allah akan menjadikan kakinya berkata-kata, punggungnya yang meliang liuk, menggegarkan dewan dan pinggang yang berputar belit ligat akan menjawab apa yang telah dilakukan ketika hidup di dunia. Segala-galanya berlaku dengan kuasa Allah. Di hadapan manusia, pada penghibur seni pelbagai alasan boleh diberi, diperkatakan bahawa, “ia mahu bawa dangdut ke satu tahap yang dihormati dan sebagainya. Apabila gagal, Tuhan dipersalahkan, lalu dikatakan bahawa “dirinya tidak disayangi Tuhan,”
Ungkapan ini lahir daripada insan yang tidak memahami tentang hikmah atau rahsia qada dan qadar Allah, menyebabkan Tuhan itu dipersalahkan. Sesungguhnya kegagalan melakukan pertunjukkan itu adalah kerana Allah menyayangi setiap mereka yang terlibat, menggagalkan pertunjukan ini dilarang oleh syarak, akhirnya boleh menjurus kepada pelbagai perbuatan maksiat yang melibatkan ramai orang. Apabila ia disekat dengan cara tidak memberi kebenaran oleh pihak berkuasa, bermakna kegiatan maksiat itu terhenti di situ buat sementara. Terhenti daripada terus menerus menular. Hakikatnya apa yang berlaku adalah rahmat Allah. Rahmat bagi rakyat Malaysia.
Cukuplah dengan tsunami yang menelan korban ratusan ribu nyawa. Sesungguhnya apabila Allah menurunkan bala ke atas hamba-Nya kerana maksiat yang bertebaran yang dilakukan di muka bumi ini, ia akan melibatkan seluruh yang bernyawa, mereka yang tidak berdosa, kanak-kana,k orang yang lemah, lelaki, perempuan, binatang ternakan dan setiap makhluk yang melata di muka bumi. Allah menyuruh setiap orang Islam dan mereka yang berakal mengambil iktibar untuk hakikat kebahagiaan di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment