Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

29 February 2008

Kita perlu berusaha mendapat syurga Allah

Selamat membaca..........

Kita perlu berusaha mendapat syurga Allah
SOALAN:
Baru-baru ini seorang penceramah menyatakan bahawa kedudukan setiap orang di akhirat, iaitu syurga atau neraka telah ditentukan dalam Loh Mahfuz.

Jika seseorang telah ditetapkan akan masuk neraka, dia tetap akan masuk neraka walaupun semasa hayatnya dia kuat beramal ibadat dan begitulah sebaliknya seorang yang banyak buat maksiat akan masuk syurga jika telah dicatatkan dalam Loh Mahfuz.

Saya jadi keliru. Kalau macam itu tak gunalah kita bersusah payah beramal ibadat?

JAWAPAN:
Sifat ilmu bagi Allah adalah sifat azaliah, ilmu Allah mendahului zaman. Lingkungan ilmu Allah s.w.t tiada had dan batasnya. Ini termasuklah kesudahan seseorang hamba di atas permukaan bumi ini. Kehidupan manusia adalah ujian baginya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud, Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat). (al-Mulk: 2).

Allah s.w.t mencatatkan yang baik bagi manusia tetapi manusia dengan kehendaknya sendiri menjadi kufur serta memilih neraka sebagai tempat tinggalnya melalui amalannya. Sementara ada di antara hamba-habanya yang berusaha untuk mendapatkan keredaannya dengan beramal soleh dengan harapan balasan akhir mereka ialah syurga.

Allah menjadikan syurga untuk menempatkan hambanya yang beriman dan beramal soleh. Justeru peluang untuk mengecapinya terbentang luas. Neraka dijadikan untuk membalas keingkaran dan kekufuran manusia. Allah s.w.t mencatat dalam suhuf balasan kesudahan hamba-hambanya berdasarkan kepada ilmunya yang mendahului perbuatan manusia. Namun manusia wajib berusaha untuk mendapatkan syurga dan bukan pula membiarkan takdirnya dengan neraka.

Semoga dengan usaha ingin mendapatkan syurga itu kita tergolong dalam golongan ahli syurga. Ini juga kerana tiada siapa yang mengetahui sama ada dia itu ahli syurga atau ahli neraka. Mana lebih baik membiarkan diri dihumban ke dalam lembah neraka atau berusaha dengan amalan ahli syurga sehingga berjaya memilikinya.

Kejayaan sebenarnya ialah apabila seseorang itu diputuskan di mahsyar sebagai ahli syurga. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud, Dan Katakanlah (Wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah Dia mengingkarinya”. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang Yang berlaku zalim itu api neraka, Yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan Dengan air Yang seperti tembaga cair Yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang. (al-Kahfi: 29)

Siapa yang bakal menjadi ahli syurga? Dan untuk siapa Allah jadikan syurga itu?

Ajaran

Dr. Qahtan Abdul Rahman al-Aduriy menjelaskan bahawa, “Sesungguhnya Allah s.w.t telah menjanjikan syurga kepada mereka yang beriman kepadanya, Rasul-rasulnya serta mereka yang melaksanakan ajaran agama Islam”.

Syurga itu akan dihuni oleh orang yang bertakwa. Firman Allah yang bermaksud, Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertakwa, “Apakah Yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?” Mereka menjawab: “Kebaikan.”

Orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan Yang baik, dan Sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang Yang bertakwa. (Untuk mereka) syurga-syurga ‘Adn’, Yang mereka akan memasukinya, Yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka beroleh di dalam syurga itu apa Yang mereka kehendaki; Demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertakwa. (al-Nahl: 30-31).

Apa makna takwa? Takwa terhimpun dalam ungkapan yang diungkapkan oleh Saidina Ali r.a yang bermaksud, “kandungan takwa itu ada empat perkara iaitu; takut kepada Allah yang Maha Mulia, bersyukur kepada nikmat pemberian-Nya biarpun sedikit, beramal dengan al-Quran, sentiasa bersiap sedia untuk bertemu Allah s.w.t”.

Jika diteliti akan ungkapan yang penuh hikmah ini dapat disimpulkan bahawa takwa itu maknanya beramal. Takut kepada Allah, ertinya menurut perintah Allah, tidak melakukan dan tidak menghampiri perkara atau perbuatan yang ditegah-Nya.

Bersyukur maknanya membentuk sifat qanaah iaitu rasa cukup dengan pemberian Allah biarpun pemberiannya itu sedikit. Sentiasa melihat kekurangan yang ada pada orang lain bukan mengukur keadaan kita dengan si kaya.

Beramal dengan al-Quran. Al-Quran diturunkan untuk dibaca ayat-ayatnya memahami makna dan tuntutannya kemudian direalisasikan dalam perbuatan yang merangkumi kehidupan seharian.

Yang terakhir bersiap sedia untuk bertemu dengan Allah. Ini kerana ajal manusia tiada siapa yang tahu melainkan Allah s.w.t. Apabila diteliti kepada kalimah hikmah Saidina Ali r.a., akan kita fahami bahawa tidak ada orang yang akan masuk syurga dengan percuma. Walaupun tidak dinafikan bahawa Allah mampu memasukkan sesiapa yang dikehendakinya ke dalam syurga dan sesiapa yang dikehendakinya ke dalam neraka, itu hak Allah.

Namun kena ingat bahawa Allah s.w.t sama sekali tidak akan mungkir janji. Janji Allah, orang yang beramal soleh ini jelas dalam beberapa firman-Nya.

Antaranya yang bermaksud, (Ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan), itulah hari masing-masing nampak kerugiannya. Dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh, nescaya Allah mengampunkan dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; Yang demikian itulah kemenangan yang besar. (al-Thagabun: 9).

* Maksudnya: Dan sesiapa Yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun. (al-Nisa’: 124)

* Maksudnya: Segala hukum Yang tersebut adalah batas-batas (syariat) Allah. dan sesiapa Yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar. (al-Nisa’: 13).

Akhirnya banyakkanlah doa dengan meminta supaya Allah memberi husnul khatimah (kesudahan yang baik)dan jauhkan diri kita daripada suul khatimah (kesudahan yang buruk).


* SEBARANG pertanyaan boleh dihantar ke alamat Kemusykilan Agama di Utusan Melayu (M) Bhd., 46M Jalan Lima of Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur atau faks ke 03-92224967 atau e-mel ke agama@utusan.com.my

Sudirman atasi kekurangan diri dengan ilmu

Selamat membaca..........

Sudirman atasi kekurangan diri dengan ilmu

Oleh ABD. AZIZ ITAR



HABSAH HASSAN (kiri) berkongsi pengalamannya mengenai Sudirman sambil disaksikan Mohd. Kamarulzaman Taib selaku moderator pada sesi syarahan bertajuk Sudirman: Penghibur Kecil Berjiwa Besar di Aswara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------



ALLAHYARHAM Sudirman membuktikan bahawa rupa paras dan penampilan diri yang menarik bukanlah aset utama untuk seseorang itu mencipta nama sebagai seorang penyanyi yang berkaliber.

Sebaliknya, bakat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh penyanyi berasal dari Pahang itu dalam bidang nyanyian menjadi kunci utama hingga beliau dikenali sebagai anak seni yang disegani tersohor sehingga ke saat ini.

Bukan itu sahaja, malah kenalan rapat Allahyarham, Habsah Hassan turut menyifatkan Allahyarham berjaya dalam kariernya sebagai penghibur yang versatil kerana beliau terlebih dahulu telah melengkapkan dirinya dengan pelbagai ilmu pengetahuan.

“Bagi saya, Allahyarham (Sudirman) tidaklah memiliki mutu suara yang terlalu bagus. Rupa parasnya pun sederhana sahaja. Malah, dia juga tidak tinggi dan saiz badannya pun kecil.

“Bagaimanapun, beliau cukup bijak apabila menampung segala kekurangan yang ada pada dirinya itu dengan ilmu pengetahuan,” katanya pada sesi syarahan Pesona Seni di Dewan Orkestra, Akademi Seni Budaya dan Warisan

Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur,

baru-baru ini.

Sesi syarahan anjuran Aswara bertajuk Sudirman - Penghibur Kecil Berjiwa Besar itu disampaikannya sempena memperingati ulang tahun ke-16 pemergian penghibur tersebut ke rahmatullah pada 22 Februari 1992.

Seperti yang semua orang tahu, sebelum bergelar penyanyi dan muncul juara pertandingan Bintang RTM tahun 1976, Allahyarham merupakan seorang peguam lulusan dari Universiti Malaya.

Jelasnya, latar belakang pendidikan cemerlang yang dimiliki oleh Allahyarham banyak membantu mengembangkan lagi bakat serta kreativitinya dalam bidang nyanyian dan lakonan.

Namun, minatnya yang mendalam terhadap bidang nyanyian menyebabkan Allahyarham nekad meninggalkan bidang guaman dan menumpukan sepenuh perhatiannya sebagai anak seni.

Bakat dan kreativiti Sudirman dalam bidang seni dapat dilihat apabila beliau mencurahkan segala idea, ilmu pengetahuan yang dimilikinya untuk muncul sebagai seorang penghibur yang diminati oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini.

“Arwah amat bersungguh-sungguh kalau mahu mengadakan sesuatu persembahan pentas. Beliau contohnya, memberi idea dan mereka sendiri pakaian dan set hiasan pentas yang akan digunakan pada persembahannya.

“Saya juga difahamkan Allahyarham telah memohon sendiri permit polis ketika mahu mengadakan konsert percuma di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada tahun 1986.

“Konsert itu mencipta sejarah kerana ia berjaya menarik jumlah penonton paling ramai iaitu lebih 100,000 orang,” ujar Habsah yang mula mengenali Sudirman sejak 1976.

Selain mempunyai daya kreativiti yang tinggi dalam mempamerkan pelbagai fesyen pakaian, set latar pentas dan gimik persembahan, Allahyarham juga memperlihatkan bakatnya dalam bidang penulisan lagu dan lirik.

Perkara itu dapat dilihat apabila anak seni yang dilahirkan pada 25 Mei 1954 itu banyak mencipta lirik lagu antaranya berjudul Ku Pandu Laju dan Kul It yang menampilkan mesej-mesej tertentu.

Kritikan sosial

Lagu Kul It misalnya, sarat dengan kritikan sosial beliau tentang konsep perpaduan yang perlu ada di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Sudirman juga boleh dikategorikan penyanyi lagu-lagu kisah hidup masyarakat di negara ini apabila beliau misalnya, menyanyikan lagu-lagu seperti Punch Card yang mengisahkan tentang kerja makan gaji, Jamilah (kisah seorang jururawat), Mat Disko (tentang pengunjung disko), Toyol dan banyak lagi.

Malah kata Habsah, Sudirman juga mempelbagaikan tema pada lagu-lagu nyanyiannya termasuklah yang berada dari luar ruang lingkup unsur komersial.

“Beliau misalnya, banyak menampilkan lagu-lagu berunsur patriotik dalam album-albumnya. Sedangkan ketika itu, malah sehingga kini pun tidak ramai penyanyi yang mahu mengambil inisiatif seperti itu.

“Lagu-lagu patriotik yang dinyanyikannya tetap diminati ramai seperti lagu Tanggal 31 terus dimainkan setiap kali tibanya Hari Kebangsaan pada 31 Ogos setiap tahun,” katanya.

Selain bidang nyanyian, Allahyarham juga pernah menonjolkan bakatnya dalam bidang lakonan menerusi filem pertama lakonannya berjudul Kami di mana beliau melakonkan watak Tuku.

Sebagai salah seorang teman rapat, Allahyarham pernah memberitahu Habsah bahawa beliau semasa hayatnya bercita-cita mahu menjadi pengarah filem.

“Allahyarham merancang mahu mengarahkan filem berjudul Cikguku Sayang di mana beliau mahu Noorkumalasari melakonkan watak cikgu itu. Sayangnya, impian itu tidak sempat dilaksanakan,” ujarnya.

Selain bidang nyanyian dan lakonan, Allahyarham juga banyak mencurahkan bakatnya menerusi bidang penulisan dan melukis kartun di akhbar-akhbar dan majalah pada tahun 1980-an.

Dari Dalam Diri Sudirman merupakan antara siri tulisan Allahyarham yang pernah disiarkan menerusi sebuah akhbar tabloid tempatan yang mendapat sambutan para pembaca ketika itu.

Tulisan-tulisan Allahyarham itu bukan setakat menunjukkan bakat terpendamnya dalam bidang penulisan tetapi ia secara tidak langsung menggambarkan tentang perjalanan suka-duka dalam hidup beliau.

“Arwah antaranya menceritakan tentang pengalamannya bercinta dengan seorang gadis hinggakan beliau pernah menolak tawaran biasiswa melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana gadis tersebut,” katanya.

Pada sesi syarahan yang disaksikan kira-kira 300 pelajar Aswara itu, Habsah menafikan sekeras-kerasnya khabar angin mengatakan Penghibur Terbaik Asia 1989 itu meninggal dunia kerana menghidap penyakit AIDS.

Habsah yang banyak menulis lirik lagu nyanyian Allahyarham amat mengenali peribadi dan latar belakang penyanyi terbabit berasa terkilan dengan gosip liar seperti itu.

“Saya antara orang yang hadir memberi penghormatan terakhir sebelum Allahyarham dikebumikan. Saya lihat raut wajah beliau tenang dan bersih ketika dikafankan.

“Cuma saya terkilan apabila tidak diberitahu lebih awal ketika Allahyarham menghidap penyakit misteri. Apa pun saya hormati kerana itu semua adalah atas permintaan keluarga Allahyarham sendiri,” ujarnya lagi.

24 February 2008

Pulau seribu pura

Selamat membaca..........

Pulau seribu pura gamit warga dunia
Oleh Saring Sirad (Yang berada di Bali baru-baru ini)


Bali jadi pilihan pelancong kerana keindahan pantai dan mitos silam

BALI di Indonesia menjadi pilihan pelancong bukan saja kerana keindahan pantainya tetapi juga mitos silam yang tersimpan, selain monumen khas yang dibina di Jalan Ligian, Denpasar sebagai mengingati peristiwa pengeboman yang menyebabkan 202 nyawa terkorban pada 12 Oktober 2002.

Beberapa tempat menarik seperti Kintamani dengan suasana yang sejuk serta pemandangan indah, Gunung dan Tasik Batur juga menggamit pelancong datang. Malah, seseorang dianggap tidak ke Bali kalau tidak sampai ke Kintamani dan Tanah Lot, dua destinasi pelancongan yang begitu intim kepada pelancong dengan kedudukan satu di puncak gunung berhawa sejuk dan satu lagi di tepi samudera luas terbentang.

Selain itu, terdapat beberapa daya tarikan di Ubud sebuah kawasan desa yang terkenal dengan kraftangan ukiran dan lukisan. Di pekan, ia menjadi tumpuan pelancong untuk mendapatkan cendera mata yang cantik dan murah sebagai oleh-oleh.

Begitu juga di Pasar Kumbasari, pelancong akan dilayan dengan mesra pada harga borong walaupun hanya membeli satu unit saja. Kebanyakan barangan kraftangan dan batik di pulau itu dibekalkan dari Kumbasari.

Tempat bersejarah seperti di Goa Gajah dan Begudul masing-masing kaya dengan kisah lagendanya. Kalau di Goa Gajah pelancong boleh bermeditasi dan berdoa untuk mendapat restu dari dalam Goa Gajah (mengikut kepercayaan penganut Buddha) hajat konon termakbul maka di Bedugul pula pelancong dapat menyaksikan keindahan beberapa pura iaitu berhala.

Selain menyaksikan keindahan matahari terbenam, Tanah Lot juga mempunyai daya tarikan lain iaitu sebuah telaga di bawah perut sebuah pulau kecil yang ditenggelami air laut ketika air pasang.

Bagaimanapun, anehnya, air dalam telaga berkenaan tetap tawar selepas air surut. Pelancong boleh merasa atau minum air atau membasuh muka dengan membuat nazar yang mengikut kepercayaan akan dikabulkan. Namun umat Islam tidak digalak melakukannya.

Nusa Dua dan Nusa Penida tidak kurang menariknya tetapi ia tidak termasuk dalam senarai lawatan oleh kebanyakan pengusaha pelancongan kecuali atas permintaan.

Destinasi pelancongan menarik lain ialah Pantai Sanur, Uluwatu, Sukowati, Celuk, Batubulan, Mengwi dan Tampaksiring.

Ramai pelancong Malaysia terutama yang pertama kali berkunjung ke pulau itu bimbang sukar mendapat makanan halal tetapi kebimbangan itu wajar diketepikan kerana banyak restoran yang diusahakan orang Minang menyediakan makanan untuk pengunjung Islam.

Penulis sendiri membawa makanan segera sebagai bekal tetapi akhirnya menghadiahkannya kepada pekerja di sebuah hotel di situ selepas mendapati makanan halal mudah diperoleh.

Jika ingin mendapatkan ketenangan melancong di Indonesia, Bali adalah tempatnya bagi pelancong bersantai sambil membeli-belah dengan harga murah kecuali di pusat beli-belah milik pelabur asing yang hanya berurus niaga dalam dolar Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, untuk membeli barangan pada harga rendah, petuanya mudah, pelancong perlu menawarkan separuh daripada harga yang ditawarkan dan jika pandai menarik hati penjual, mereka boleh mendapatkan barangan serendah 60 peratus berbanding harga asal.

Mereka yang menggemari makanan laut pula boleh berkunjung ke Pantai Jimbaran sambil menyaksikan pesawat turun naik di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai.

Bagi rakyat Malaysia, berbelanja di Bali agak `menakutkan' kerana harganya disebut puluh, ribu malah jutaan Rupiah sedangkan jika mata wang itu dinilai dengan Ringgit Malaysia, harganya tidaklah seberapa.

Oleh itu ada gurauan `jika ke Bali semua jadi jutawan, tetapi apabila pulang kampung boleh sakit gigi'.

FAKTA: Pulau Bali

# Pulau Bali yang dikenali sebagai pulau seribu pura dan dewa

# Mempunyai 3.1 juta penduduk dengan 85 peratus beragama Hindu

# Menjadi pilihan pelancong terutama dari Eropah dan Australia

# Kini jadi tumpuan pelancong China, Jepun, Korea, Taiwan, Singapura dan Malaysia

# Purata 9,000 pelancong dari Malaysia mengunjungi Bali setiap bulan.

22 February 2008

Joannes Lukas sebak selepas meneliti ayat al-Maidah

Selamat membaca..........

Joannes Lukas sebak selepas meneliti ayat al-Maidah

Oleh ZUARIDA MOHYIN


JOANNES Lukas menunjukkan dua buah kitab yang dibuat perbandingan pada peringkat awal pencarian kebenaran. Kitab Tafsir al-Quran (kanan), manakala di sebelah kiri ialah kitab terjemahan Injil .

PERTEMUAN kali pertama penulis dengan anak muda kelahiran Tawau, Sabah ini, langsung tidak menampakkan dirinya seorang mualaf. Ini kerana raut wajah Joannes Lukas, 29, persis jejaka Melayu ditambah pula kelancaran tutur kata tanpa dipengaruhi loghat negeri asalnya.

Malah menurut lulusan Ijazah Sarjana Muda kejuruteraan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini lagi, kalau melihat penampilan dirinya sebelum bergelar Muslim, beliau sendiri tidak menyangka akan memeluk agama Islam.

“Jadi Muslim... memang tidak pernah terlintas dan terbayang. Ini kerana saya boleh dikatakan seorang penganut Kristian yang setia serta terlibat secara aktif dengan pelbagai aktiviti gereja.

“Tetapi semuanya bermula selepas saya berhijrah ke Semenanjung Malaysia untuk menyambung pengajian di UPM kira-kira 10 tahun lalu. Pada masa itu, saya sedang mengikuti matrikulasi.

“Hakikatnya, pengislaman saya lebih kepada pengkajian dan perbandingan agama. Itupun selepas berhadapan dengan beberapa persoalan berkaitan agama anutan saya ketika itu,” cerita anak muda ini yang yang lebih mesra dengan panggilan Johan ketika ditemui di pejabat Jemaah Islah Malaysia (JIM) di Taman Melawati, Selangor baru-baru ini.

Tambah Johan yang juga merupakan sukarelawan di Hidayah Centre, minat membaca dan menganalisis adalah proses awal sebelum akur akan ketauhidan Allah s.w.t., sekali gus menerima Islam secara ikhlas tanpa paksaan.

“Satu persoalan yang terpacul daripada mulut seorang teman Muslim tentang keyakinan saya dengan agama anutan saya, membuatkan saya sentiasa memikirkannya berulangkali. Malah ini adalah satu pendorong untuk saya mencari apa di sebalik maksud soalannya itu tadi.

“Pada masa sama, saya ada membaca satu buku perbandingan agama yang saya temui di rumah sewaktu pulang bercuti semester. Dalam pembacaan saya itulah pelbagai aspek berkaitan agama anutan saya mula dipersoalkan. Antaranya peranan Nabi Isa dan konsep Triniti atau tritunggal.

“Peliknya, sewaktu meneliti tafsir al-Quran dari al-Fatihah hinggalah ke surah al-Maidah ayat 72 dan 73, saya tidak dapat menahan sebak dan terus menangis. Ayat tersebut menjelaskan soalan yang saya cari selama ini. Seketika itu juga, terdengar laungan azan di masjid berdekatan asrama. Mungkin di situlah Allah memberikan saya hidayah-Nya,” akui Johan yang turut membeli buku-buku lain untuk dibuat perbandingan.

Pertemuan itu, kata Johan menjadi titik perubahan yang menyedarkannya akan erti keEsaan Allah. Di samping itu, menerusi pergaulannya dengan teman-teman Muslim, mereka bagai dapat menghidu minat Johan tentang Islam, lantas memperkenalkannya dengan beberapa orang ustaz di UPM.

Rapat

“Saya mula rapat dengan ustaz Haji Azhari Ahmad dan hubungan kami semakin rapat kerana dia banyak memberi penerangan yang jelas tentang banyak persoalan.

“Alhamdulillah, dengan sokongan ustaz Azhari yang juga merupakan abang angkat, akhirnya saya memeluk Islam iaitu pada 21 Jun 2000 di Jabatan Agama Islam Selangor di Subang Jaya, Selangor,” katanya.

Kata Johan, hanya Allah memahami kegembiraannya kala mengucap dua kalimah syahadah. Ia seolah-olah berjumpa dengan sebutir mutiara. Perasaan seronok, gembira mengatasi segalanya, waima keputusan yang diambil itu membelakangkan keluarga.

“Menyedari pilihan yang dibuat mengundang kemarahan keluarga, saya cuba merahsiakan pengislaman diri daripada pengetahuan keluarga dengan pelbagai helah dan lakonan semata-mata jika pulang ke kampung,” cerita anak ke-10 daripada 12 adik-beradik ini yang mahu kekal dengan nama sebelum Islamnya kerana ia masih membawa maksud yang baik iaitu, Yahya Lokman.

Pun begitu, rahsia yang dipendam selama itu cuba ditamatkan dengan menulis sepucuk surat kepada keluarga. Di dalam warkah itu, Johan cuba menjelaskan kepada keluarganya bahawa pengislamannya bukan kerana paksaan atau pengaruh sesiapa dan bukan kerana wanita tetapi hanya daripada kajian dan berdiskusi untuk mencari kebenaran.

Kata Johan, perbuatannya itu mengundang kejutan besar kepada keluarga dan bermulalah episod penuh mencabar sebaik bergelar Muslim.

“Saya ada pulang ke kampung sebelum majlis perkahwinan kakak. Rupa-rupanya, kepulangan saya tidak diterima mereka sehingga saya dihalau dan dipulau serta disindir. Itu semua tidak saya endahkan kerana saya sentiasa mengatakan bukankah bila saya masuk Islam, saya lebih baik dari dahulu?

“Saya sayangkan keluarga saya. Agama tetap agama dan bangsa tetap bangsa. Islam tidak memisahkan hubungan anak dengan ibu bapa mahupun keluarganya. Di samping itu, saya tidak pernah jemu berdoa dan melakukan yang terbaik sama ada sebagai anak mahupun adik.

“Alhamdulillah, kini ibu yang sudah berusia 64 tahun menerima dan merestui pengislaman saya. Saya bersyukur keperibadian Muslim yang cuba saya tonjolkan kepada keluarga berjaya merubah persepsi negatif mereka terhadap Islam dan menerima saya sebagai Muslim,” ujar Johan yang terus berdoa agar seluruh ahli keluarganya turut menerima hidayah Ilahi.

Mengenai penglibatannya dengan kerja-kerja sukarelawan di Hidayah Centre, kata Johan secara serius ia bermula tahun lalu. Tetapi minatnya bermula selepas perkenalan dengan sukarelawan JIM yang turut sama mengikuti kursus perkaderan mualaf anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 2003.

“Di hati kecil saya terpanggil untuk memberi satu kemanisan Islam kepada bukan Islam apa lagi tugas menyampaikan dakwah Islamiah adalah tanggungjawab setiap umat Islam yang merupakan khalifah Allah di muka bumi ini.

“Amatlah penting untuk kita memberi gambaran jelas tentang agama Islam. Sebab itulah, saya selalu terangkan kepada keluarga dan semua bahawa untuk kenal Islam kena kenal agamanya. Kesilapan sekarang ini, orang bukan Islam melihat dari sudut yang tidak berapa tepat iaitu orangnya,” katanya.

Buat masa ini, Johan berusaha memantapkan kecintaan kepada Allah dan sesama makhluk.

“Di samping itu, saya ada menerima undangan membuat perbandingan agama terutamanya untuk agama Kristian, memandangkan sedikit ilmu yang ada dan saya rasa ia perlu dikongsi dengan ramai agar syiar Islam terus tersebar dan berkembang serta bebas daripada persepsi negatif,” kata Johan mengakhiri perbualan kami lewat petang itu.

21 February 2008

Sekolah di Jepun laksana program diet sihat

Selamat membaca..........

Sekolah di Jepun laksana program diet sihat
Oleh Ziauddin Sharuddin (Yang mengikuti lawatan anjuran Yakult ke Tokyo, Jepun, baru-baru ini)
Zia@bharian.com.my

CADANGAN untuk memperkenalkan sekolah satu sesi di negara ini menimbulkan perdebatan hangat, terutama di kalangan ibu bapa dan warga sekolah yang bakal terbabit secara langsung apabila ia menjadi kenyataan.

Antara persoalan yang dibangkitkan ialah jika waktu sekolah dilanjutkan hingga jam 4 petang, pelajar perlu makan tengah hari dan sudah tentu, ini memerlukan program makan tengah hari diperkenalkan.

Bagaimanapun di sesetengah negara yang melaksanakan sekolah satu sesi seperti Jepun, perkara ini tidak lagi menjadi isu besar.

Program yang sama di Jepun bukan hanya untuk memastikan pelajar mendapat makan tengah hari, tetapi lebih penting ialah makanan seimbang dan berkhasiat.

Jepun seperti kebanyakan negara Asia lain tidak terlepas menghadapi masalah pemakanan tidak seimbang akibat pengaruh diet Barat yang menular dalam amalan pemakanan rakyat negara itu.

Pengarah Urusan Kanan Persatuan Pemakanan Jepun, Futami Daisuke, berkata diet Barat menyebabkan semakin ramai lelaki Jepun menghadapi masalah kegemukan, manakala wanita menghadapi masalah sebaliknya, terlalu kurus.

Katanya, seorang daripada tiga lelaki yang berumur antara 40 hingga 60 tahun pada 2005 menghadapi masalah kegemukan dengan indeks berat badan (BMI) melebihi 25, manakala seorang daripada lima wanita berumur antara 20 hingga 30 tahun menghadapi masalah terlalu kurus dengan BMI kurang daripada 25.

Di kalangan kanak-kanak, masalah lebih berat badan juga berlaku walaupun belum mencapai tahap serius.

Bagaimanakah, fenomena di negara maju ini ditangani? Di Sekolah Rendah Nisikasai, Tokyo, kira-kira lapan peratus daripada kira-kira 696 pelajar atau seorang daripada 10 pelajar menghadapi masalah kegemukan, program makan tengah hari dilaksanakan untuk menerapkan amalan diet sihat di kalangan pelajar.

Guru Besar Sekolah Rendah Nisikasai, Kimiko Yabe, berkata prinsip utama program makan tengah hari bernilai RM70 sebulan itu untuk mendidik pelajar supaya memilih makanan yang baik untuk kesihatan.

Katanya, menu makan tengah hari merangkumi nasi, ikan (mentah atau dimasak), sayur-sayuran, sup dan makanan berasaskan soya serta susu.

“Kami serius melaksanakan program ini dengan melantik seorang pakar pemakanan bertauliah, Yoko Kobayashi, yang membuat perancangan dan menguruskan program ini seperti menyediakan menu yang sesuai setiap hari,” katanya.

Kobayashi berkata, pihak sekolah sedaya upaya cuba menggunakan produk tempatan yang segar, manakala makanan dimasak di dapur khas sekolah yang amat mementingkan kebersihan.

Katanya, menu ditukar setiap hari dan kadangkala, makanan China, Korea dan India seperti tose diperkenalkan kepada pelajar dan jika peruntukan mencukupi, minuman yogurt terkenal seperti Yakult Joie diberikan kepada pelajar.

Berbanding program makanan tambahan di Malaysia, iaitu pelajar makan di kantin, suasana makan tengah hari di Sekolah Rendah Nisikasai lebih menarik kerana mereka menjamu selera di kelas masing-masing.

Bagi merasai sendiri pengalaman itu, penulis ditempatkan dalam satu kelas dan duduk semeja bersama pelajar. Kira-kira jam 12.20 tengah hari, waktu makan bermula, pelajar mengemaskan meja masing-masing dan troli makanan dari dapur tiba.

Perkara menarik ialah pelajar sendiri dipertanggungjawabkan menyediakan makanan kepada rakan sekelas.

Lengkap dengan pakaian khas dan topi, sekumpulan pelajar mencedok makanan ke mangkuk rakan mereka. Setiap pelajar kemudian kembali ke meja masing-masing dan secara serentak menjamu selera.

Kebanyakan pelajar menghabiskan makanan kecuali seorang dua yang agak nakal kerana lebih banyak bermain, terutama dengan kehadiran tetamu.

Selepas makan, setiap pelajar meletakkan dulang di tempat ditetapkan. Walaupun makan dalam kelas, kebersihan kelas diutamakan.

Program makan tengah hari di Sekolah Rendah Nisikasai adalah antara usaha agresif Kerajaan Jepun menggalakkan amalan pemakanan sihat di kalangan rakyat negara itu, terutama pada peringkat pelajar sekolah.

Penolong Kaunselor Jabatan Penggalakan Pendidikan Pemakanan, Pejabat Kabinet Jepun, Miho Kawano, berkata kesungguhan kerajaan untuk melihat rakyat Jepun mengamalkan pemakanan sihat boleh diukur berdasarkan penubuhan Majlis Pendidikan Pemakanan atau Syokuiku.

Katanya, majlis yang diterajui sendiri oleh Perdana Menteri mempunyai struktur organisasi dari peringkat kebangsaan hingga ke peringkat akar umbi seperti kerajaan tempatan dan majlis perbandaran dengan kumpulan sasaran termasuk sekolah dan tadika.

Setakat tahun 2005, katanya 99.2 peratus sekolah rendah dan 85.6 peratus sekolah menengah rendah melaksanakan program makan tengah hari.

Walaupun pelaksanaan sekolah satu sesi di negara ini belum ada kepastian, program makan tengah hari di Sekolah Rendah Nisikasai boleh dijadikan panduan, terutama dari segi menu dan tahap kebersihan yang tidak memungkinkan kejadian keracunan makanan berlaku.

Selain itu, pelajar dididik mencintai makanan berteraskan diet tradisional yang baik untuk kesihatan dan antara rahsia jangka hayat penduduk Jepun sekarang adalah antara yang terpanjang di dunia, iaitu 78 tahun bagi lelaki dan 86 untuk wanita.

18 February 2008

Cabaran anak genius

Selamat membaca..........

Cabaran anak genius



Budak bijak perlu dipantau

Dalam akademik, kepandaian itu turut melangkau pencapaian pelajar lain. Tanpa bersusah payah, mereka mampu memperoleh keputusan cemerlang.

Bagaimanapun, mereka mudah bosan, terkongkong dan tertekan kerana bukan saja terpaksa memenuhi harapan orang lain tapi perlu menyesuaikan diri dengan rakan lain bertahap sederhana jika diletakkan dalam kelas sama.

Ia pasti mengundang cabaran selain persoalan, bolehkah mereka bertahan serta menyesuaikan diri dengan situasi biasa dalam keadaan diri berbeza.

Pakar kanak-kanak terkemuka dunia, Dr Thomas Armstrong, berkata kepandaian bukan sesuatu yang perlu ditakuti tapi mesti sentiasa diasah, dijaga serta memerlukan pemantauan berterusan.

Menurutnya, bukan semua bertuah dikurniakan kebijaksanaan tahap genius atau mempunyai tahap kecerdikan (IQ) tinggi.

“Hanya yang terpilih saja mempunyai keistimewaan ini.

Mereka bertuah namun jika tidak digunakan dengan betul, boleh menyebabkan kehidupan bertukar sengsara.

“Bukan mudah memuaskan hati semua pihak, banyak faktor perlu dikaji seperti harapan ibu bapa dan kehendak diri sendiri.

“Persoalannya, apakah keistimewaan itu benar-benar istimewa ataupun hanya bebanan.

Yang menjadi mangsa, pasti mereka yang memilikinya,” katanya.

Mereka yang dikategorikan bijak dikatakan memiliki IQ pada tahap 175 ke atas, sentiasa kreatif dan mampu berfi kir lebih daripada kemampuan manusia biasa.

Antara mereka yang terkenal kerana mempunyai kebijaksanaan dan kepandaian luar biasa ialah pelukis Picaso, komposer Mozart dan saintis Albert Enstein, dan juara catur dunia, Bobby Fischer.

Bagaimanapun, Dr Armstrong menegaskan secara semula jadinya, kanak-kanak memang dianugerahkan kepandaian dan kebijaksanaan.

Malah dia percaya, setiap mereka mempunyai kemampuan dan daya fi kir tersendiri yang digunakan bagi menjana pembangunan dan penerokaan Budak bijak perlu dipantau diri terhadap persekitaran.

Menurutnya, defi nisi bijak bukan hanya merujuk kepada kemampuan minda untuk berfi kir malah meliputi segala aspek mencakupi kapasiti diri menyerap maklumat sepanjang tempoh tumbuh pembesaran.

“Kejadian manusia memang unik kerana disertakan dengan kemampuan minda untuk menyerap pelbagai maklumat sepanjang tempoh pembesaran.

“Defi nisi bijak luas kerana wujudnya elemen sampingan seperti kreativiti, bakat, kapasiti diri dan sebagainya. Tidak mustahil golongan sederhana boleh mencapai standard bijak walaupun bukan genius.

“Cuma bezanya, ada golongan bijak secara semula jadi manakala yang lain perlu berusaha untuk jadi bijak,” katanya.

Golongan bijak semula jadi terutama pelajar memerlukan tunjuk ajar, sokongan dan bimbingan berterusan bagi mengelakkan kecelaruan diri atau hilang arah hidup.

“Inilah cabaran berat golongan ini terutama jika masih belajar.

“Jika tidak dipantau, natijahnya buruk. Berbeza golongan satu lagi, mereka tidak terlalu tertekan, mempunyai pilihan terhadap diri sendiri selain tidak perlu bersaing membuktikan kepandaian.

“Sudah tentu senario itu memberi kelebihan. Saya berpendapat, meskipun ramai bercita-cita menjadi genius, kemampuan menjana dan menyesuaikan kelebihan diri sendiri adalah lebih baik,” katanya.

Ibu bapa, budaya, sekolah, rakan dan persekitaran sering membuat perbandingan dan masih memandang tinggi kemampuan pelajar ini tanpa mahu mengambil kira keperluan emosi dan fi zikal.

Ini mengurangkan kualiti kerana kerap diasak dengan pertanyaan, ujian dan pujian melambung.

“Senario itu bukan luar biasa.

Saya berpendapat ia bukan saja boleh mencantas tapi membunuh keistimewaan pelajar terbabit.

“Sepatutnya mereka tidak ditekan, dibiarkan membentuk pengembangan kebolehan diri dengan cara sendiri tapi mendapat sokongan padu pelbagai pihak.

“Melalui cara itu mereka bebas mencorakkan masa depan dan dapat menggunakan kapasiti IQ pada tahap maksimum,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa atau masyarakat seharusnya memberi ruang kepada golongan ini untuk berdikari dan menjalani hidup normal.

“Semua manusia mempunyai keistimewaan, kemampuan diri dan bijak cuma dalam konteks berbeza.

“Mereka perlu dilayan seperti manusia normal lain bagi meningkatkan kebijaksanaan pada tahap optimum,” katanya.

Profesor Psikologi di Hope College, Holland, Mochigan Dr David G. Myers, berpendapat, golongan kanak-kanak khususnya boleh menyerlahkan kreativiti mereka dalam pelbagai cara.

Menurutnya, tidak semestinya jika pasif dalam akademik bermakna tidak bijak dalam aspek lain.

Malah, beliau menegaskan, berdasarkan kajian Harvard University, hanya lima peratus kanak-kanak bijak, selebihnya menjadi bijak kerana pandai menyesuaikan diri dan menggunakan kemahiran meneroka persekitaran.

“Kebijaksanaan ini dapat dilihat melalui cara pergaulan, bakat, pertuturan dan emosi.

“Ini memerlukan usaha berterusan.

Justeru, jangan putus asa jika ada mengatakan, ‘anda kurang bijak kerana gagal dalam akademik’,” katanya.

17 February 2008

Pesta Buku Antarabangsa KL 2008

Selamat membaca..........

Pesta Buku Antarabangsa KL 2008 diharap beri suntikan baru industri tempatan


SAYA selalu menyebutkan bahawa berdasarkan nilai, industri buku negara lebih kecil daripada industri ayam pedaging (broiler chicken). Hari ini nilai industri buku negara dikatakan RM1.5 bilion setahun tetapi angka itu banyak dipertikaikan oleh mereka yang terbabit dalam industri sendiri. Apa yang kita tahu industri ayam pedaging melebihi RM2 bilion di negara ini. Tambahan pula industri buku di negara ini banyak tertumpu pada buku yang berkaitan dengan sekolah. Hanya 30 peratus jumlah penerbitan buku di negara ini buku bacaan umum.


Dalam setahun, Malaysia menerbitkan paling banyak 6,500 judul baru oleh lebih 200 penerbit yang dikatakan aktif. China menerbitkan 180,000 judul buku baru setahun, United Kingdom (UK), 160,000 judul, Amerika Syarikat (AS) 60,000 dan Korea Selatan 40,000. Sasaran kita, berdasarkan jumlah penduduk sepatutnya 12,000 judul buku setahun.


Penerbit negara ini yang mensasarkan buku untuk umum biasanya memberikan perhatian pada novel ringan atau buku agama. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selain diberikan amanah menerbitkan buku teks sekolah, mengeluarkan juga lebih 300 judul buku umum pelbagai disiplin. Moral ceritanya, bilangan buku untuk negara ini tidak mencukupi dan sasaran untuk memastikan lebih banyak buku dalam kategori buku umum belum dicapai.


Industri buku adalah industri berbilion ringgit di dunia. Hari ini di dunia, sebuah buku baru terbit setiap 30 saat. Lebih 50 juta judul buku terbit sejak terciptanya mesin Gutenberg yang memungkinkan percetakan meluas pada pertengahan abad ke-15. Buku tidak mati kerana TV. Malah pada 1950-an apabila TV mula membuat impaknya, dalam setahun 250,000 judul buku baru terbit di dunia. Pada 2000, sejuta judul buku baru diterbitkan. Hari ini jumlah itu sudah pasti bertambah.


Ramai orang meramalkan teknologi komunikasi maklumat (ICT) akan membunuh buku. Memang kesan internet cukup luar biasa. Hari ini ada lebih 203 juta pengguna internet di AS dan 100 juta di China. Di seluruh dunia, pengguna internet akan mencecah setengah bilion manusia atau seorang bagi setiap 12 orang. Sasaran untuk menangani jurang digital oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ialah 25 pengguna internet bagi 100 penduduk. Kita hanya mencapai tujuh orang bagi setiap 100 orang masa kini.


Kesan internet tidak boleh dipandang ringan. Generasi muda tidak mengenal medium lain. Mereka menghabiskan banyak waktu melayari internet. Malah oleh kerana internet, sungai maklumat yang mengalir deras dan tanpa dasar, pelbagai bahan boleh diperoleh melaluinya tanpa perlu ke perpustakaan atau membuka buku. Internet menjadi sumber rujukan utama bagi 80 peratus pelajar di negara maju hari ini. Bukan itu saja, internet menjanjikan perpustakaan digital yang luar biasa kandungannya. Internet juga menjadi wahana pendemokrasian ilmu dengan cara yang cukup luar biasa. Bayangkan Wikipedia, iaitu ensiklopedia melalui talian � pantas, percuma dan terbuka.


Apakah buku dalam bentuk tradisionalnya akan pupus? Apakah buku akan hilang pengaruhnya sebagai sumber ilmu? Sekiranya dilihat daripada kejayaan siri buku Harry Potter oleh penulis JK Rowling, buku nampaknya masih ada tempatnya di dunia. Sejak munculnya Harry Potter and the Philosopher's Stone pada 1997, sebanyak 365 juta buku dalam siri itu daripada enam judul terjual di seluruh dunia. Pada hari pertama buku ketujuh yang diberi nama Harry Potter and the Deathly Hallows dijual, pembeli merebut 10 juta naskhah buku itu. Buku itu membantu meningkatkan sehingga 25 peratus jualan buku kanak-kanak di UK dan AS.


Tetapi tidak semua penulis bernasib baik seperti Rowling. Tidak semua penerbit mempunyai penulis seperti itu. Setiap penerbit berharap satu daripada 100 judul yang diterbitkannya menjadi buku laris. Di negara ini, sebuah novel yang serius sekiranya dicetak 2,000 naskhah mengambil masa lima tahun untuk menghabiskan stoknya.


Memang terlalu awal untuk mengisytiharkan �kematian� buku, tetapi ada petanda bahawa pilihan baru dalam talian akan menjadi cabaran hebat bagi buku. Secara jujurnya, ramai penerbit akhbar gelisah dengan saingan TV24, akhbar melalui talian dan pengaruh berita ringkas melalui SMS. Malah, hampir setiap akhbar arus perdana mempunyai versi taliannya. Dalam filem Minority Report, pelakon Tom Cruise hanya perlu menyentuh skrin untuk memilih bahan berita yang diperlukannya. Hari ini iLiad eReader memungkinkan hal itu. Akhbar boleh dibaca bukan saja dalam bentuk PDA tetapi melalui �tablet� atau papan elektronik mudah alih.


Mengambil kira waktu membaca yang semakin kurang dan asakan teknologi yang semakin hebat, nasib buku dalam bentuk tradisionalnya kini tercabar. Malah, minat terhadap buku dalam bentuk asalnya menandakan sikap baru pengguna industri ilmu. Hal ini mungkin dikesan oleh penganjur Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kebelakangan ini. Mereka mendapati lebih 90 peratus pengunjung ke pesta itu adalah orang Melayu. Siapapun yang mengikuti pesta atau pameran ICT akan sedar bahawa lebih 80 peratus pengunjungnya kaum Cina. Apakah ada peringatan tertentu dalam konteks ini? Bahawa orang Cina memula langkah ke hadapan menyesuaikan diri mereka dengan teknologi terbaru sedangkan orang Melayu masih berpegang pada tradisi menimba ilmu cara lama? Atau sememangnya orang Melayu liat menerima perubahan?


Dalam taklimatnya kepada media baru-baru ini, Pengerusi Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Datuk Noh Omar memohon perhatian media berbahasa Mandarin dan Tamil agar turut memberikan perhatian pada PBAKL yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 4 hingga 13 April depan. Harapan itu nampaknya menggambarkan hasrat penganjur agar pesta kali ini mendapat perhatian kaum lain juga.


PBAKL sudah masuk tahun ke-27 tahun ini. Tidak dapat dinafikan ia menjadi sebahagian daripada kalendar kegiatan perbukuan rantau ini. Berdasarkan jumlah pengunjung, Noh memaklumkan bahawa pada 2007, 1.2 juta orang mengunjunginya. Sasaran tahun ini ialah 1.5 juta pengunjung. Seperti biasa PBAKL akan memuatkan acara ilmunya dalam bentuk Persidangan Antarabangsa Industri Buku 2008 (ICOBI) selama dua hari mulai 4 April.


Kita berharap pertembungan minda ilmuwan, pengarang, penerbit dan pencinta buku dalam persidangan itu akan membuahkan banyak hasil untuk menyemarakkan industri buku negara ini dan serantau.


Nampaknya MBKM dan semua yang terbabit dalam industri buku di negara ini harus berfikir di luar kotak. Industri buku berada di persimpangan. Usaha menyemarakkannya tidak harus dilakukan hanya dengan pesta buku, kempen membaca atau insentif kepada penerbit. Apa yang penting ialah memahami perubahan senario industri ilmu semasa serta tabiat baru pembaca. Hari ini orang masih membaca, cuma mediumnya berbeza. Suatu waktu dulu, pembaca akhbar menghabiskan purata 3 jam 14 minit sehari, hari ini jumlah itu tinggal 20 minit saja.


Generasi muda bukan tidak membaca tetapi mereka �membaca� di layar komputer. Teknologi baru mengubah cara manusia berkomunikasi, berinteraksi malah berkerajaan. Dunia ilmu tidak terkecuali. Hari ini ada penerbit yang memanfaatkan teknologi terbaru untuk memberikan alternatif pada dunia buku. Novel SMS misalnya popular di Jepun masa ini.


Dunia bergerak pantas. Industri buku harus bergerak sederap dengan perubahan teknologi. Selalunya kelompok tradisionalis dalam industri buku leka dengan kegemilangan silam, enggan membuat anjakan dan selesa dengan kaedah yang sedia ada. Industri buku memerlukan pemikiran baru dan dilihat dari kanta baru. Moga-moga pesta buku kali ini akan menjadi titik tolak penting mengorak langkah pada era kegemilangan baru industri buku negara.


Jikalau tidak industri itu akan ditinggalkan zaman.

12 February 2008

majikan utamakan pekerja asing

Selamat membaca..........
Tegas terhadap majikan utamakan pekerja asing

Pendapat
BAGI sesiapa yang menjejakkan kaki di Kuala Lumpur sepanjang musim cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini pasti merasakan diri berada seperti di Kathmandu, Hanoi, Dhaka, Yangon dan Jakarta.

Pendek kata, benarlah Malaysia ‘berjaya’ menampilkan wajah sebenar Asia. Namun, adakah perkembangan yang semakin ‘tenat’ ini menjamin keselamatan dan membanggakan kira-kira 26 juta rakyat negara ini?

Pendedahan oleh Kementerian Sumber Manusia baru-baru ini bahawa sebanyak 30 peratus daripada 300,000 majikan di negara ini yang memohon untuk mendapatkan pekerja asing adalah jawapan kepada lambakan orang asing di tanah air kita.

Majikan sebegini langsung tidak mempunyai sensitiviti cintakan negara sendiri lantaran hanya mahu memenuhkan kantung semata-mata. Golongan kapitalis ini juga sama sekali tidak peduli akibat limpahan pekerja asing untuk jangka panjang terhadap masa depan dirinya sendiri, keluarga dan masyarakatnya.

Jika benar mereka masih memiliki sisa-sisa nilai patriotisme tentu anak-anak muda tempatan diutamakan sebagai tenaga kerja bagi menggerakkan sekian banyak projek mereka.

Pemerkasaan modal insan tempatan yang menjadi agenda kerajaan juga sia-sia dan kelihatan sedang digagalkan dengan terancang oleh majikan yang taksub dengan ‘modal insan’ dari luar. Kerana apa hendak meminimumkan kos dan boleh dikerah seperti abdi adalah penyebab utama mereka menatang penuh pekerja asing.

Sebelum ini, pekerja asing dibenarkan masuk bekerja di sektor pembinaan dan pertanian dengan anggapan popular bahawa anak tempatan kurang berminat untuk mengisi tempat. Namun, adakah alasan tersebut masih relevan apabila lapangan perindustrian lebih-lebih lagi perkhidmatan juga diserahkan kepada pekerja asing?

Malah, sudah sampai peringkat melampau apabila sektor-sektor strategik negara seperti perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) turut mengambil mereka bekerja.

Selain itu, tidakkah kita ibarat mempertaruhkan kualiti kesihatan rakyat apabila semakin hari semakin ramai pelayan dan tukang masak terdiri daripada orang asing? Lihatlah di beberapa tempat seperti sekitar Pasar Borong Selayang dan di perhentian bas berhampiran Pasar Seni.

Bekas kotoran seperti ludahan sirih serta sampah-sarap di sekitar pasar raya Mydin, Kotaraya dan di kawasan di mana mereka berkumpul, bukti sejauh mana tahap kebersihan sifar mereka.

Ternyata, pengambilan mereka untuk mengendalikan makanan bukan sekadar di gerai dan kedai makan murah malah telah merebak ke kantin sekolah, universiti dan agensi kerajaan serta resort, kelab golf, hotel dan restoran ‘berbintang’ tidak ubah seperti sengaja mencurah penyakit dan racun ke dalam makanan kita.

Tinggal premis makanan segera sahaja setakat ini yang masih memberi ruang kepada golongan muda tempatan untuk mencari sesuap rezeki.

Tidak kurang pentingnya, tidakkah kita seperti membiarkan keluarga dan masyarakat kita ‘diancam’ oleh pengawal-pengawal keselamatan asing? Kini, anggota keselamatan di institusi perbankan, premis-premis perniagaan malah sebahagian sekolah di seluruh tanah air sudah terdiri daripada orang asing? Apa sudah jadi? Kita sendiri seperti memberi ruang dan peluang yang cukup baik untuk dianiaya oleh orang luar.

Sedangkan kejujuran orang kita sendiri pun kadang kala dipertikai apatah lagi mereka yang datang dari luar yang langsung tidak mempunyai apa-apa ikatan dan tanggungjawab dengan kita. Benar mereka boleh dipercayai tetapi tidakkah kita terfikir dengan kelicikan dan kecanggihan modus operandi sindiket jenayah sekarang orang asing yang diamanahkan menjaga keselamatan diri dan harta kita begitu mudah dieksploitasi dan diperdaya?

Justeru, Kementerian Sumber Manusia mesti sentiasa konsisten tegas sebelum meluluskan sebarang permohonan untuk mendapatkan pekerja oleh para majikan di negara ini. Sesuai dengan nama kementerian sendiri, sumber manusia tempatan yang mesti diutamakan bukannya sumber manusia asing yang didahulukan!

Hanya dengan ketegasan dan integriti pihak kementerian dapat membendung lambakan pekerja asing di negara ini. Setelah begitu ramai rakyat Malaysia mengeluh malah menjadi mangsa kebiadapan moral dan jenayah pendatang asing, adakah wajar permohonan majikan yang masih menagih pekerja asing diluluskan?

Cukuplah ‘memanjakan’ majikan yang individualistik ini. Campakkan sahaja permohonan tebal mereka itu ke dalam bakul sampah sebelum nasib anak-anak tempatan dan kita sendiri kelak menjadi sampah!

– MOHD. ARIF ATAN,

Bukit Beruntung

Murid Sheikh Daud Al-Fathani yang menjadi ulama alam Melayu

Selamat membaca..........

Murid Sheikh Daud Al-Fathani yang menjadi ulama alam Melayu

Bhg.(3) (Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah)
Adapun telah dibicarakan mengenai guru-guru Syeikh Daud al-Fathani yang banyak mencurahkan ilmu kepada beliau, sama ada ilmu duniawi mahupun ukhrawi.

Juga disentuh mengenai nama murid-murid beliau sahaja. Untuk memperincikan lagi mengenai tersebut, maka akan dibincangkan pula secara umum tentang murid-murid dan perhubungan mereka dengan Syeikh Daud al-Fathani.

Maklumat ringkas tentang murid-murid beliau tersebut adalah sebagai berikut. Dimulakan dengan murid beliau bernama Syeikh Abdul Halim, adalah anak angkat Long Yunus (Sultan Kelantan). Beliau berasal daripada anak saudagar Cina yang menyerahkan anaknya itu kepada Long Yunus. Hal ini kerana eratnya hubungan perniagaan antara Kelantan dengan negeri Cina pada masa itu. Long Yunus mengirim Abdul Halim bersama putera baginda ke Mekah.

Di Mekah, Abdul Halim dan putera Long Yunus belajar kepada Syeikh Daud Abdullah al-Fathani. Selepas Abdul Halim memperoleh banyak ilmu daripada Sheikh Daud al-Fathani di Mekah, beliau pulang ke Kelantan. Beliau giat mengajar, dan dilantik sebagai penasihat Sultan Muhammad I (1800-1837 M).

Beliau dianggap sebagai orang pertama mengajar di Kelantan, yang menggunakan kaedah pengajian pondok. Pusat aktivitinya di Kota Kubang Labu, yang kemudian berpindah ke Kota Lama (Kampung Sireh).

Pada masa itu, beliau mengajar dengan hanya menggunakan kaedah hafalan. Hal ini bukan sahaja disebabkan faktor kebolehannya, tetapi juga kerana sulit untuk mendapatkan kitab. Ini kerana pada masa itu kitab hanyalah berupa tulisan tangan sahaja.

Sheikh Abdul Halim ini meninggalkan tokoh-tokoh yang berkesinambungan, iaitu dua orang anaknya yang juga ulama. Kedua anaknya adalah Haji Yusuf dan Haji Ya’qub. Haji Yusuf ialah seorang pahlawan Sultan Muhammad I, tokoh seni bina dan pandai seni suara. Beliaulah yang mereka bentuk Istana Kebun Meseta (Padang Merdeka).

Adapun Haji Ya’qub lebih banyak menumpukan kegiatannya kepada mengajar. Di antara murid-muridnya yang terkenal ialah Haji Ahmad bin Haji Yusuf, iaitu cucu Syeikh Abdul Halim yang menulis kitab bertajuk Dar al-Hasan pada 1282 H di atas permintaan Sultan Kelantan. Manuskrip aslinya yang merupakan tulisan tangan tersimpan di Pusat Islam Malaysia.

Murid Sheikh Daud al-Fathani yang bernama Wan Hasan bin Ishaq al-Fathani dan Sheikh Ali bin Ishaq al-Fathani berkemungkinan dua bersaudara, termasuk keluarga kepada Sheikh Muhammad Saleh bin Abdur Rahman al-Fathani yang berasal dari Kampung Pauh Bok, Patani.

Dalam satu riwayat diceritakan bahawa antara Sheikh Daud al-Fathani dan Sheikh Wan Ali bin Ishaq al-Fathani terjadi saling tukar menukar ilmu. Kadangkala Sheikh Daud al-Fathani sebagai guru dan Sheikh Wan Ali pula sebagai muridnya dan begitu jua sebaliknya.

Namun begitu, Sheikh Daud al-Fathani tetap dianggap sebagai guru kepada Sheikh Ali al-Fathani. Adapun Sheikh Wan Hasan akhirnya memusatkan aktiviti dakwah dan penyampaian pendidikannya di Besut, Terengganu. Beliau meninggalkan dua karya tulis iaitu Hidayat al Mukhtar (1249 H/1833 M) dan Ayyuhal Walad (1266 H/1850 M).

Beliau yang digelar sebagai Tuan Hasan Besut bin Ishaq al-Fathani wafat dalam tahun 1860 M.

Murid Sheikh Daud al-Fathani bernama Sheikh Wan Muhammad Zain, yang mana nama asalnya Zainal Abidin dipendekkan dengan panggilan Wan Din sahaja lahir tahun 1233 H/1818 M di Bendang daya, Patani. Beliau wafat di Mekah pada 18 Zulhijjah 1325 H/1908 M.

Terkenal

Permulaan aktivitinya dengan menyalin kitab-kitab Sheikh Daud al-Fathani. Beliau bersama adiknya Sheikh Wan Abdul Qadir bin Musatafa al-Fathani meneruskan pengkaderan Islam di pondok Bendang Daya, Patani, iaitu pondok yang paling terkenal dan teramai muridnya di Asia Tenggara pada abad ke 19.

Salah satu tulisan tangan beliau tersimpan di Pusat Islam Malaysia yang bertajuk Jawahir al Saniyat, karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang bernombor MI 484. Salah seorang murid beliau juga menyalin semula kitab-kitab jawi ini.

Hal ini disebabkan wasiat beliau supaya menyalin kitab-kitab jawi tersebut, dan murid beliau tersebut ialah Sheikh Muhammad Husein bin Abdul Latif @ Tok Kelaba.

Seterusnya murid Sheikh Daud al-Fathani yang lain ialah Sheikh Abdus Shamad bin Haji Abdullah Imam Bira. Lahir di Kampung Pulai Condong, Kelantan. Beliau adalah saudara dua pupu dengan Sheikh Daud al-Fathani. Beliau dianggap orang pertama membuka pondok di Pulai Condong, Kelantan.

Murid beliau juga sangat ramai di antaranya Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani.

Murid Sheikh Daud al-Fathani yang bernama Sheikh Abdul Malik bin Isa pula adalah cucu Sheikh Abdul Malik @ Tuk Pulau Manis Terengganu, iaitu datuknya tersebut adalah yang pertama menterjemahkan kitab Syarah Hikam ke dalam bahasa Melayu.

Sheikh Abdul Malik tersebut sempat belajar kepada Sheikh Daud al-Fathani. Setelah beliau kembali dari Mekah dengan berbekalkan ilmu yang banyak, beliau meneruskan tugas dengan penyebaran Islamnya di Terengganu.

Mengenai murid beliau bernama Sheikh Zainuddin Aceh belum diketahui secara khusus tentang biodatanya. Namun diketahui bahawa Sheikh Nawawi al-Bantani yang sangat terkenal itu adalah murid Sheikh Zainuddin Aceh. Mengenai beliau telah penulis bicarakan, dan secara lengkapnya dapat dibaca dalam buku Perkembangan Ilmu Fiqhi dan Tokoh-tokohnya di Asia Tenggara jilid 2.

Demikian juga halnya murid beliau bernama Sheikh Zainuddin bin Muhammad al-Badawi s-Sumbawi.

Mengenai murid beliau, Sheikh Ahmad Khatib Sambas juga telah dibicarakan dalam artikel ini dan secara ringkas juga telah penulis muat dalam buku berjudul Perkembangan Ilmu Tasawuf dan Tokoh-tokohnya di Nusantara. Namun disebut semula secara ringkas mengenainya.

Nama lengkap murid beliau ini ialah Sheikh Muhammad Khatib bin Abdil Ghafar bin Abdullah bin Muhammad as-Sambasi al-Jawi. Lahir pada bulan Safar tahun 1217 H. Wafat tahun 1289 H (1875 M) dalam usia lebih kurang 70 tahun.

Selain berguru dengan Syeikh Daud al-Fathani, beliau juga belajar kepada ulama-ulama terkenal iaitu Sheikh Syamsuddin, Sheikh Muhammad Shaleh Rais, Sheikh Umar Abdur Rasul Mufti Mekkah, Sheikh Abdul Hafiz Ajami, Sheikh Basyri al-Jabarti, Sayid Ahmad al-Marzuqi Mufti Malik, Sayid Abdullah al-Mirghani dan Sheikh Usman ad-Dimyati.

Beliau adalah seorang tokoh besar dalam perkembangan Tarekat Qadiriyah dan Naqsyabandiyah di Alam Melayu.

Salah satu daripada kitabnya iaitu Fathu al ‘Arifin. Manuskripnya masih tersimpan di Pusat Islam Malaysia bernombor siri 447 .

Daripada sekian banyak murid Sheikh Daud al-Fathani, seorang di antaranya pernah menjadi Sultan. Beliau adalah sultan Sambas bernama Muhammad Shafiuddin. Syeikh Daud al-Fathani sendiri pernah berkunjung ke Sambas. Di Sambas, beliau sempat menyelesaikan sebuah karangannya berjudul Dhiya’ul Murid fi Kalimatit Tauhid di tempat kediaman Sultan Muhammad Shafiuddin tersebut.

Sejarah Sambas mencatat bahawa pada zaman Sultan Muhammad Shafiuddin itulah kemajuan Islam di kerajaan Sambas sampai ke puncaknya. Sultan Muhammad Shafiuddin mendirikan sebuah masjid Agung sebagai pusat penyebaran Islam di kerajaannya. Masjid tersebut masih wujud kini yang terletak di simpang tiga aliran sungai Sambas.

Adapun tentang murid beliau yang bernama Lebai Din bin Long Nik al-Fathani masih penulis ragui. Adakah Lebai Din tersebut itu murid langsung Sheikh Daud al-Fathani tanpa perantaraan oleh guru yang lain seorang ataupun lebih. Tentang ulama tersebut penulis ketahui melalui seorang penyebar Tarekat Syathariyah di negeri Perak. Beliau ialah Haji Muhammad Saman bin Muhammad Khan iaitu pengakuan beliau adalah bahawa beliau murid Lebai Din bin Long Nik al-Fathani tersebut.

Lebai Din bin Long Nik al-Fathani meninggal dunia dalam tahun 1939 M dalam usia 105 tahun. Haji Muhammad Saman bin Muhammad Khan menulis dalam bukunya at-Thariq ilallah pada halaman 46, “……….demikian keadaan hamba apabila Syeikh hamba Tuan Lebai Din bin Long Nik al-Fathani kembali ke Rahmatullah pada tahun 1939M hamba tatkala bersama-sama dengan beliau itu cuma dapat berzikir jihar dan zikir sir sahaja. Hamba amat dukacita ke mana hamba hendak mencari Sheikh seumpamanya, juga untuk menyambung dan muzakarah hal-hal batin itu”. Pada halaman 73 pula, tertulis dengan jelas bahawa Tuan Lebai Din bin Long Nik al-Fathani menerima Tarekat Syathariyah dari Sheikh Daud al-Fathani.

Murid Sheikh Daud al-Fathani yang sangat terkenal pula ialah Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. Beliau adalah guru sekelian guru Ilmu Tasawuf di Mekah yang sekali gus mengajar berbagai tarekat terutama Thariqat Syathariyah.

Seterusnya murid Sheikh Daud al-Fathani bernama Sheikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani pula lahir dalam pelarian di Pulau Duyung, Terengganu sekitar tahun 1830 - 1831 M. Tentang beliau telah juga dimuatkan dalam artikel ini, dan selengkapnya dapat dibaca dalam buku Perkembangan Ilmu Fiqhi dan Tokoh-tokohnya di Asia Tenggara jilid 2.

Penting

Murid-murid Sheikh Daud al-Fathani yang tersebut iaitu Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Riau, Raja Ali Haji Riau dan Raja Haji Abdullah @ Marhum Mursyid Riau adalah kaum Diraja Riau yang memegang peranan penting dalam pentadbiran pemerintahan mahupun dalam pengembangan ilmu pengetahuan di Kerajaan Riau-Lingga, Johor dan Pahang khasnya dan Alam Melayu amnya.

Raja Haji Ahmad dan puteranya Raja Ali Haji sewaktu di Betawi pernah belajar ilmu Falak kepada Sheikh Abdur Rahman al-Masri, sahabat Sheikh Daud al-Fathani. Raja Haji Ahmad dalam tahun 1243 H membawa serombongan dari Riau pergi ke Mekah termasuk Raja Ali Haji dan dalam masa tersebut, beliau sempat belajar kepada Sheikh Daud al-Fathani.

Adapun Raja Ali Haji sangat terkenal dalam kajian atau perbahasan bahasa dan sastera di alam Melayu. Namun begitu, apabila diteliti bahawa beliau banyak terpengaruh dengan bahasa yang dipergunakan oleh Sheikh Daud al-Fathani. Sebagai contoh dalam buku Raja Ali Haji yang kadang-kadang terselit bahasa Patani dan Kelantan, seperti kata ‘selalu’. Dalam bahasa Melayu yang umum ‘selalu’ bererti sering kali dilakukan, tetapi dalam bahasa Patani dan Kelantan ertinya ‘terus’.

Sebagai contoh di antara tulisan Raja Ali Haji tentang ini, iaitu “Syahdan adapun Raja Haji itu, tiadalah ia singgah lagi selalu ia ke Riau jalan Singapura. Maka berselisihlah perjalanannya itu dengan Raja Dibaroh, sebab tiada ia berjumpa di laut. Maka selalulah ia masuk ke dalam Riau. ‘Selalu’ dalam kalimat tersebut bukanlah bererti ‘sering’ tetapi adalah ‘terus’ menurut bahasa Patani dan Kelantan, sedangkan dalam percakapan di Riau sendiri tidak pernah diertikan sedemikian.

Ini adalah salah satu bukti bahawa Raja Ali Haji terpengaruh dengan bahasa Sheikh Daud al-Fathani, ia juga termasuk ketika mengajar mahupun digunakan dalam kitab-kitabnya.

Mengenai Sheikh Ismail Minangkabau pula, ada yang mengatakan bahawa beliau adalah sahabat Sheikh Daud al-Fathani. Bagaimanapun, dalam penelitian penulis, bahawa beliau adalah murid Sheikh Daud al-Fathani.

Pendapat penulis ini dikuatkan melalui maklumat dari Kanzul Mu’id halaman 14 yang tertulis : “……Syeikh Ismail Khalid yang mempunyai kitab Kifayat al-Ghulam dan murid mereka yang sangat alim lagi mempunyai beberapa karangan yang manfaat akan manusia iaitu asy-Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani …”.

Sheikh Ismail Minangkabau inilah yang datang ke Riau mengajar Tarekat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah yang diceritakan oleh Raja Ali Haji dalam bukunya Tuhfat al-Nafis yang terkenal itu.

Tentang Sheikh Ismail Minangkabau ini telah penulis bicarakan dan selengkapnya dalam buku berjudul Sheikh Ismail al-Minangkabawi Penyiar Tarekat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah.

Sheikh Muhammad Saleh bin Murid al-Rawa adalah seorang ulama besar yang pernah belajar kepada Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan ramai lagi. Salah satu karya beliau adalah Fathu al-Mubin. Kitab Fathu al-Mubin ini adalah merupakan terjemahan dan Syarah Hadis Empat Puluh Imam Nawawi yang pertama dalam bahasa Melayu.

Adapun Muhammad Saleh bin Sunan Maulana Qadi yang lebih terkenal dengan Tengku Tembusai adalah seorang pahlawan. Mengenai beliau juga telah dibicarakan dalam artikel. Selain menjadi murid Sheikh Daud al-Fathani, beliau juga belajar kepada Sheikh ismail Minangkabau sewaktu di Mekah.

Walaupun tidak semua murid beliau dapat dibicarakan, namun dapat diteliti dan terbukti bahawa Sheikh Daud al-Fathani ramai meninggalkan murid-murid yang menjadi tokoh dan ulama yang terkenal.

Selain meninggalkan murid-murid yang terkenal, kitab-kitab karya beliau juga sangat terkenal di seluruh alam Melayu, bahkan masih digunakan dan dijadikan rujukan sehingga kini.

Laba bukan matlamat peniaga Islam

Selamat membaca..........

Laba bukan matlamat peniaga Islam
Oleh Azrina Sobian


SIKAP yang salah selalunya membawa padah. Apabila padah mendatang, ada pula menjadi mangsa. Ini adalah hakikat. Hakikat itu berlaku di sekeliling manusia, namun kadangkala sering dilupakan.

Kegagalan manusia meletakkan sikap yang betul pada tempatnya adalah dinamakan sebagai kurang upaya sikap. Kegagalan itu akan membawa banyak keburukan dan akhirnya manusia akan menjadi mangsa kepada tindakan tersasar itu.

Berita yang disiarkan Berita Minggu pada minggu lalu mengenai pengusaha kosmetik yang boleh dipenjara atas kesalahan menjual barang kecantikan (kosmetik) beracun menunjukkan ada tiga sikap manusia yang boleh dikenal pasti.

Sikap itu membabitkan sikap peniaga (kosmetik), sikap penguat kuasa dan sikap pengguna sendiri.

Bagi peniaga, matlamat perniagaannya adalah untuk mencapai keuntungan. Ini memang wajar kerana perniagaan tanpa keuntungan tidak membawa apa-apa makna kepada sesiapa pun.

Bagaimanapun, pada masa sama, peniaga juga mempunyai tanggungjawab yang mesti dipenuhi, tanggungjawab kepada masyarakat dan tanggungjawab kepada agama.

Konsep ‘tanggungjawab sosial korporat’ (CSR), bukan satu konsep baru. Kini, ia menjadi satu konsep yang diamalkan sebahagian besar peniaga. Konsep itu umumnya menjelaskan bahawa peniaga mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat.

Dalam bahasa ringkas, peniaga mestilah memulangkan semula keuntungan perniagaannya kepada masyarakat. Tindakan itu boleh berbentuk memulihara alam sekitar, membina rumah anak yatim, membantu orang kurang upaya (OKU), membina masjid, sekolah dan taman permainan.

Tanggungjawab sosial peniaga tidak hanya dilakukan selepas keuntungan diperoleh. Lebih penting lagi, tanggungjawab mesti bermula pada peringkat awal lagi seperti peringkat pengeluaran barang. Peniaga bertanggungjawab menyediakan barang dan perkhidmatan bermutu untuk pengguna.

Dalam kes peniaga kosmetik yang menjual barang beracun, tanggungjawab sosial peniaga ternyata sudah diabaikan. Dalam hal ini, keuntungan mengatasi tanggungjawab maka dengan itu berlaku kezaliman.

Menjual barang kecantikan beracun bukan saja membahayakan kesihatan pengguna tetapi menggalakkan pembaziran wang ringgit. Bayangkan pengguna yang membeli barang dengan harapan tinggi mungkin kehilangan ‘kecantikan, atau nyawa terancam dan pasti ini tidak berbaloi dengan wang ringgit yang sudah dilaburkan.

Bukan saja kepada sesama manusia, peniaga juga mempunyai tanggungjawab terhadap agamanya. Dengan merujuk kepada agama Islam, setiap peniaga Muslim mempunyai tanggungjawab besar dalam perniagaan berdasarkan tuntutan Islam.

Bagi pengeluar dan penjual barang kosmetik beracun, mereka melanggar tiga syarat perniagaan dalam Islam iaitu menghasil atau menjual barang diharamkan syarak, menipu pelanggan dan bersumpah dengan perkara palsu apabila menipu mengenai barang yang dijual.

Sikap penguat kuasa juga perlu disentuh kerana kesungguhan dan ketegasan melaksanakan hukum yang diperuntukkan atas sesuatu kesalahan amat diperlukan. Masyarakat umum tidak memerlukan sikap ‘berlembut’ yang tidak kena pada tempatnya.

Kenapa peniaga yang gagal mengikut peraturan perlu diberi peluang lepas daripada tindakan undang-undang sedangkan ramai pengguna tertipu dan mungkin terancam nyawa? Oleh itu, kuasa penguat kuasa perlulah dilaksanakan dengan sempurna.

Tidak perlu ada lagi sikap ‘tarik tali’ yang kelihatannya tegas tetapi sebenarnya tidak. Sikap beginilah yang membuatkan peniaga tidak beretika ‘naik tocang.’ Apatah lagi dalam keadaan hukuman berbentuk denda yang pasti boleh dibayar oleh peniaga ingkar.

Lihat pula kepada sikap pengguna. Dalam banyak keadaan, pengguna selalunya menjadi mangsa kerana lalai. Pengguna jahil, tidak peduli dan takut adalah antara ciri pengguna yang begitu mudah diperdaya. Kesannya, pengguna yang kerugian.

Berkait dengan barang kecantikan beracun, pasti yang selalu menjadi mangsa adalah pengguna wanita. Keinginan untuk cantik dan kekal cantik menjadikan mereka berlumba-lumba mencari barang kecantikan yang boleh memenuhi keinginan itu.

Ingin kelihatan cantik adalah sifat semula jadi wanita dan setiap insan bernama manusia. Namun, kecantikan bukan segala-galanya dalam hidup ini. Bagi wanita Muslim, ada kecantikan yang lebih penting selain kecantikan paras rupa iaitu kecantikan hati.

Ini lebih mulia dan dipandang tinggi. Lagipun, kecantikan setiap manusia adalah berbeza. Cantik pada mata seseorang tidak bermakna cantik pada mata orang lain. Oleh itu, tanggapan wanita terhadap kecantikan perlu diperbetulkan.

Mereka mesti diberitahu bahawa setiap manusia adalah cantik. Kita semua adalah ciptaan Allah dan semua ciptaan-Nya cantik. Oleh itu, siapakah antara kita yang layak untuk menyatakan seseorang itu tidak cantik atau hodoh.

Jika setiap pengguna wanita mempunyai tanggapan betul terhadap dirinya, maka tidak mudahlah dia tertipu dengan pujuk rayu iklan barang kecantikan.

Apa yang dipaparkan dalam iklan tidak semua betul.

Jika ini difahami pengguna wanita, maka dia akan membuat keputusan pembelian yang tepat terhadap sesuatu barang kecantikan atau barang lain. Untuk membuat keputusan tepat, ilmu pengetahuan amat diperlukan. Oleh itu, jadilah pengguna yang berpengetahuan.

Dalam menangani satu-satu masalah, tindakan bersepadu amat diperlukan bermula dengan mengubah sikap manusia atau pengguna sendiri.

Perubahan itu perlu meliputi semua kumpulan manusia.

Sikap pengguna penting bagi mengelak timbul banyak masalah.

Sikap yang betul adalah kuasa yang dimiliki pengguna. Oleh itu, pengguna mesti menggunakan kuasa itu sebijak mungkin. Pengguna bijak dapat melindungi dirinya daripada menjadi mangsa.



Penulis ialah Felo Pusat Sains dan Teknologi, Institut Kefahaman Islam Malaysia

09 February 2008

Kerap guna telefon bimbit jejas sperma

Selamat membaca..........
Kerap guna telefon bimbit jejas sperma



NEW YORK: Lelaki yang menghabiskan masa berjam-jam menggunakan telefon bimbit setiap hari mungkin menjejaskan mutu spermanya, menurut hasil kajian awal tiga penyelidikan.

Dalam kajian ke atas 361 lelaki yang ditemui di klinik masalah kesuburan, penyelidik di Klinik Cleveland menemui kaitan antara penggunaan telefon bimbit pesakit dan kualiti sperma mereka.

Secara umum, lelaki yang lebih banyak menghabiskan masa menggunakan telefon bimbit setiap hari, lebih rendah jumlah sperma mereka dan lebih besar peratusan sperma tidak normal.

Penemuan itu, yang diterbitkan dalam jurnal Kesuburan dan Kemandulan, menambah persoalan mengenai kesan potensi kesihatan terhadap telefon bimbit dan peralatan tanpa wayar lain. Sesetengah kajian, misalnya, mengaitkan penggunaan jangka masa panjang telefon bimbit dengan risiko lebih tinggi ketumbuhan otak, walaupun banyak kajian lain tidak menemui kaitan seperti itu.

Kebimbangan lain ialah, tenaga elektromagnetik yang dikeluarkan dari telefon bimbit mungkin secara teorinya membahayakan tisu badan - dengan memusnahkan DNA.

Namun, penemuan baru tidak membuktikan telefon bimbit boleh memusnahkan sperma, menurut penyelidikan itu.

“Keputusan kami menunjukkan kaitan rapat penggunaan telefon bimbit dengan penurunan kualiti air mani. Namun, ia tidak membuktikan punca dan kesan terhadap sesuatu perhubungan,” kata ketua penyelidik Ashok Agarwal kepada Reuters Health.

Beliau dan rakannya membuktikan penemuan mereka berdasarkan sampel air mani daripada 361 lelaki yang datang ke klinik kesuburan mereka dalam tempoh setahun. Semua lelaki terbabit disoal mengenai tabiat penggunaan telefon bimbit mereka.

Secara umum, penyelidik mendapati, jumlah sperma dan kualitinya semakin berkurangan dengan tambahan jumlah jam penggunaan telefon bimbit harian.

Lelaki yang mengatakan mereka menggunakan telefon bimbit lebih empat jam sehari mempunyai jumlah sperma purata terendah dan paling sedikit sperma sihat. – Reuters

01 February 2008

Sifat positif lebah pedoman terbaik

Selamat membaca..........

Jendela Hikmah: Sifat positif lebah pedoman terbaik
Oleh Endok Sempo M Tahir
wanitajim0@yahoo.com

Semangat setia kawan, saling membantu patut jadi contoh amalan harian


KETIKA kecil saya pernah disengat tebuan, sejenis serangga tergolong dalam keluarga lebah. Bisa sengatan terasa hingga keesokan harinya. Hati saya berdetik, apalah sebabnya lebah ini dicipta kalau kerjanya hanya untuk menyengat dan menggigit orang?


Apabila saya mula mengenal dan membaca al-Quran, saya bertemu perkataan An-Nahl (lebah) yang menjadi nama kepada surah ke 16 Mushaf ini. Apabila dewasa, saya didedahkan dengan pelbagai keistimewaan dan khasiat madu lebah dan air liur (susu lebah) yang dikenali sebagai royal jelly.


Allah menyebut dan memfokuskan kebaikan kejadian penciptaan lebah secara nyata. Mungkin kerana itu Allah menamakan surah lebah sebagai salah satu surah dalam al-Quran. Allah mengajar dan memberi peringatan kepada kita dengan pelbagai cara. Memilih lebah sebagai perumpamaan adalah salah satu cara Allah menyedarkan kita. Allah berfirman yang bermaksud:


�Dan Rabbmu mewahyukan (mengilhamkan) kepada lebah: �Buatlah sarang di bukit, di pohon kayu, dan di tempat yang dibina manusia. Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuh jalan Rabbmu yang dimudahkan (bagimu).


�Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya ada ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Rabb) bagi orang yang memikirkan� � (An-Nahl: 68-69).


Hadis khusus mengenai lebah juga kita perlu renungkan bersama. Rasulullah SAW. bersabda, �Perumpamaan orang beriman itu bagaikan lebah. Ia makan yang bersih, mengeluarkan sesuatu yang bersih, hinggap di tempat yang bersih dan tidak merosak atau mematahkan (tempat yang dihinggap)� � (Ahmad, Al-Hakim, dan Al-Bazzar)


Allah memberikan ilham kepada lebah untuk bekerja dan mengatur kehidupannya. Cara bekerja lebah yang halus dan teliti sungguh mengagumkan kita. Bagaimana lebah membuat sarang yang sangat kompleks, bagaimana mengurus kerja secara berpasukan yang mantap dan akhirnya mengeluarkan hasil madu berkhasiat. Malah madu dan susu lebah diakui oleh saintis dan pakar perubatan boleh menyembuh pelbagai penyakit dan resipi penjagaan kesihatan yang sentiasa relevan sepanjang zaman.


Hadis nabi di atas mengisyaratkan kita meniru sifat positif yang dimiliki oleh lebah. Sifat itu adalah ilham dari Allah. Alangkah cantiknya perumpamaan ini. Inti patinya sama dan saling tidak tumpah antara perlakuan lebah dengan apa seharusnya dilakukan oleh seorang mukmin. Mukmin yang memiliki sifat unggul. Mukmin yang memiliki keistimewaan yang lain dari yang lain. Walau di mana pun dia berada, walau ke mana pun dia pergi, walau apapun yang dia lakukan, peranan dan tugas apa pun yang dipikul dia akan sentiasa memberi manfaat dan membawa maslahah kepada masyarakat di sekelilingnya. Ini jelas digambarkan oleh Rasulullah.


Manusia paling baik adalah yang paling banyak memberikan manfaat bagi manusia lain. Kehidupan ini akan menjadi indah, membahagiakan dan lebih sejahtera, jika insan mulia seperti itu memainkan peranan dalam masyarakat seperti lebah.


Sifat lebah boleh jadikan cermin untuk mencapai martabat mukmin dalam mencapai hasil yang terbaik:





# Hinggap di tempat yang bersih dan menghisap hanya yang bersih


Lebah hanya hinggap di tempat terpilih. Ini sangat jauh berbeza dengan lalat. Serangga membawa kuman ini mudah ditemui di tempat pembuangan sampah dan tempat kotor dan berbau busuk. Sebaliknya lebah hanya hinggap di pohon bunga, buah-buahan dan tempat bersih mengandung bahan madu.


Orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban dan belenggu yang ada pada mereka. Maka orang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang beruntung. � (Al-A�raf: 157)


Oleh kerana itu, jika ia diberi amanah, dia akan menjaganya dengan sebaik-baiknya. Ia tidak akan melakukan rasuah, mencuri, salah guna kuasa, putar belit, menipu, dan berbohong. dusta. Hasil pendapatan dan kekayaan yang diraih dari perbuatan itu adalah khabaiths (kebusukan).


# Mengeluarkan yang bersih


Madu lebah ada khasiat yang tinggi untuk kesihatan manusia. Tapi dari organ manakah keluarnya madu itu? Itulah salah satu keistimewaan lebah yang mempunyai sistem perkumuhan yang tidak sama dengan makhluk lain. Sistem perkumuhan bukan bahan buangan tetapi produktif dengan kebaikan. Sistem perkumuhan binatang lain hanya mengeluarkan sesuatu yang busuk dan menjijikkan. Disamping itu penemuan terbaru abad ini ialah produk lebah selain daripada madu ialah liurnya yang menghasilkan susu lebah diyakini mempunyai khasiat tertentu untuk kesihatan.


# Tidak merosakkan


Dia tidak pernah melakukan kerosakan sama ada material atau sebaliknya. Bahkan dia sentiasa membaik pulih kerosakan yang dilakukan oleh orang lain dengan cara yang tepat. Dia membaikpulih akidah, akhlak, dan ibadah dengan cara berdakwah. Mengubah kezaliman dengan cara berusaha menghentikan kezaliman itu. Jika kerosakan terjadi akibat rasuah ia membanterasnya dengan menjauhi perbuatan buruk itu dan membawa penjenayah yang rasuah itu ke mahkamah untuk diadili.


# Bekerja keras


Lebah adalah pekerja yang komited dan sentiasa bekerja keras. Sebaik saja ia keluar dari bilik menetas, lebah berpangkat pekerja ini mengosongkan dan membersihkan bilik sarangnya untuk di isi dengan telur baru. Selepas berumur tiga hari ia memberi makan larva dengan membawakan serbuk sari madu. Demikianlah hari-hari seterusnya ia bekerja dengan penuh semangat . Bukankah Allah pun memerintahkan mukmin untuk bekerja keras?


# Bekerja secara berpasukan dan tunduk pada satu pimpinan


Lebah selalu hidup dalam koloni besar, tidak pernah menyendiri dan bersendirian. Mereka bekerja secara kolektif, berpasukan dan amat setia kawan. Masing-masing ada tugas sendiri. Ketika mereka mendapatkan sumber sari madu, mereka akan memanggil kawan untuk menghisapnya. Demikian pula ketika ada bahaya, seekor lebah akan mengeluarkan feromon (suatu hormon) yang dikeluarkan oleh binatang tertentu untuk memberi isyarat penggera bahaya). Isyarat ini bertujuan mengundang kawan-kawannya agar membantu dirinya. Itulah seharusnya sikap orang beriman.


# Tidak mencederakan atau melukakan kecuali apabila diganggu


Lebah tidak pernah memulakan serangan. Ia akan hanya menyerang apabila berasa terancam atau terganggu. Untuk mempertahankan kehormatan umat lebah itu, mereka rela mati dengan melepas sengatnya di tubuh pihak yang diserang. Sikap seorang mukmin: musuh tidak dicari. Tapi jika musuh ada, ia tidak akan lari.


Beberapa karakter lebah diatas seharusnya menjadi teladan yang patut kita contohi. Ternyata tidak sia-sia Allah mengabadikan serangga kecil itu dalam Al-Quran sebagai salah satu nama surah An-Nahl.


Penulis AJK Wanita JIM Pusat yang boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com