Selamat membaca..........
Thin client selenggara IT cara mudah
Oleh WAN NAJIB WAN DAUD
Pengkomputeran thin clients sememangnya diakui umum sebagai penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan beban penyelenggaraan komputer, menjimatkan kos serta meningkatkan mudah guna selain dari mesra pengguna.
Secara asasnya pendekatan di sebalik pengkomputeran thin clients sebenarnya amat mudah kerana kebiasaannya aplikasi dijalankan pada komputer peribadi berfungsi lengkap sebagai sebuah komputer (dikenali fat client).
Penyimpanan
Melalui pengkomputeran thin clients, kesemua pemprosesan dan penyimpanan maklumat di pusatkan ke komputer pelayan dengan itu pengguna-pengguna cuma perlu mempunyai terminal ringkas (dikenali sebagai thin client) untuk tujuan input-output yang dihubungkan ke komputer pelayan.
Konsep ini sebenarnya telah lama digunakan semasa teknologi mainframe dahulu dengan menggunakan video terminal atau dumb terminal.
Kenapa pengkomputeran thin client? Jawapannya cukup mudah kerana penggunaan cara itu berupaya meningkatkan kualiti perkhidmatan teknologi komunikasi maklumat (ICT) di samping menjimatkan kos operasi jangka panjang.
Antara kelebihan-kelebihan penggunaan thin client ialah:
1) Ketahanan kepada perubahan - dengan permintaan yang mencabar dari aplikasi menyebabkan komputer peribadi mengalami pertukaran teknologi yang begitu cepat.
Ia boleh diatasi oleh thin client oleh kerana semua aktiviti aplikasi melibatkan pemprosesan dan data cuma berlaku di komputer pelayan.
Jelas di sini bahawa terminal thin client boleh bertahan jauh lebih lama tanpa penambahbaikan berbanding komputer peribadi.
2) Ketinggian reliabiliti - thin client amat ringkas tanpa sebarang komponen mekanikal (seperti cakera keras) di samping keperluan tenaga yang lebih rendah. Ini menjadikannya begitu lasak dan boleh digunakan dalam jangka masa jauh lebih lama tanpa sebarang kerosakan.
Ia secara langsung boleh meningkatkan kadar penggunaan komputer.
3) Mudah diselenggara - thin client hampir tidak memerlukan sebarang penyelenggaran kerana ia lebih merupakan peranti input-output yang ringkas. Ia sama sekali tidak memerlukan sebarang tertentu untuk dijalankan atau diselenggara.
4) Mesra pengguna - thin client - amat mesra pengguna kerana ia boleh diaktifkan dan dimatikan dengan begitu cepat tanpa menganggu perjalanan keseluruhan sistem.
Aplikasi juga boleh dijalankan secara serentak oleh semua terminal thin client.
Pengguna tidak perlu memuatkan perisian pada terminal pengguna kerana kesemuanya tersedia melalui pelayan.
5) Menjimatkan kos - penjimatan kos merupakan tarikan utama terhadap penggunaan thin client. Daya tahan thin client amat tinggi terhadap perubahan teknologi dan memberikan perlindungan pelaburan tinggi kepada pengguna.
Kos penyelenggaraan pula jauh lebih rendah disebabkan komponennya yang lasak serta jarang sekali mengalami kerosakan.
Di samping itu thin client cuma memerlukan tenaga kurang dari 20 peratus berbanding komputer peribadi dan jelas ia menjimatkan bil tenaga elektrik.
Kesimpulannya, pengkomputeran thin client merupakan satu pilihan yang penting untuk dipertimbangkan di dalam perancangan strategik mana-mana organisasi.
Jika dilakukan secara betul, ia boleh memberikan penjimatan kos operasi amat ketara, meningkatkan kualiti perkhidmatan di samping mengurangkan risiko-risiko berkaitan ICT.
No comments:
Post a Comment