Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

25 May 2007

Fahami pemberian orang Melayu

Selamat membaca..........

Fahami pemberian orang Melayu

Oleh: NORDIN KARDI

Semenjak meninggalkan Biro Tatanegara (BTN) untuk mengetuai Universiti Utara Malaysia (UUM), sudah hampir dua tahun saya tidak lagi bercakap mengenai politik. Namun, melihat kebelakangan ini pelbagai pihak semakin kerap membangkitkan isu kaum di Malaysia, kali ini saya memilih untuk turut serta. Tambahan pula saya banyak juga menerima sms dan e-mel yang sinis menyebut kata-kata ‘inilah demokrasi acuan Malaysia’. Kata-kata yang merujuk bahawa demokrasi Malaysia ialah demokrasi mengikut tafsiran nafsu Melayu.

Dalam konteks universiti, buku teks yang penulisannya diterajui oleh rakan saya Jayum Jawan, dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapat perhatian mesyuarat Kabinet sehingga Shamsul Amri dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditarik untuk ‘memperbetulkannya’.

Meskipun tidak pernah di mana-mana di dunia Kabinet mencampuri urusan buku teks di universiti, di Malaysia nampaknya tradisi akademik ini telah pun dipecahkan. Saya tidak bermaksud Kabinet tidak mempunyai kuasa berbuat demikian. Memang Kabinet ada kuasa terhadap universiti awam, sebaliknya saya hanya mengatakan bahawa hal demikian tidak ‘biasa’ dalam tradisi pengajian tinggi. Demikian sensitifnya soal kepentingan kaum atau etnik sehingga hal yang bukan biasa pun telah dijadikan biasa.

Pemimpin-pemimpin Melayu terutamanya sangat defensif dalam menguruskan masalah kepentingan kaum ini. Kadangkala di Parlimen, ahli-ahli Yang Berhormat Melayu di pihak kerajaan seperti begitu ofensif dalam serangan balas mereka atas tuduhan perkauman. Namun, nyata tindakan ofensif itu pun hanya merupakan sebahagian daripada strategi defensif.

Seperti ada rasa bersalah di kalangan pemimpin Melayu setiap kali bercakap mengenai kepentingan etnik sehingga ruang rundingan kepentingan Melayu terutamanya tidak begitu terbuka, sebaliknya perlu ‘diseludup’ dengan cara lain. Pemberian terhadap orang Melayu secara terbuka ditakuti akan dilihat sebagai tindakan diskriminatif.

Frasa popular yang dilemparkan kepada kerajaan semasa ialah bahawa kerajaan perkauman kerana dibentuk oleh gabungan parti utama yang berasaskan kaum – UMNO, MCA dan MIC. MCA dan MIC selalu dimomok sebagai parti bukan Melayu yang yang tunduk dan menjadi alat kepada UMNO untuk menegakkan kepentingan Melayu.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diasaskan selepas Peristiwa 13 Mei, yang menekankan sasaran penyertaan Melayu sebanyak 30 peratus dalam semua sektor untuk tempoh 20 tahun (1970-1990) adalah ibu kepada segala dasar ‘jahat’ perkauman UMNO.

Orang bukan Melayu dilihat sebagai telah berkorban selama 20 tahun untuk membiarkan orang Melayu merebut segala peluang ekonomi, pelajaran, sosial dan sebagainya. Oleh yang demikian sebarang usaha melanjutkan sasaran itu selepas 1990 adalah suatu usaha diskriminasi yang menzalimi kepentingan kaum lain.

Pemimpin UMNO selalu mempertahankan keputusan-keputusan berkaitan kaum dengan mengulang-ulang cerita kontrak sosial yang telah lama. Ini berterusan sehingga mata masyarakat Malaysia, lebih-lebih lagi mata asing (mungkin dengan minat tertentu), melihat seolah-olah benar kaum Melayu terus menerus mendapat laba selepas kontrak itu, sementara kaum lain sentiasa memberi.

Orang Melayu sudah tidak memberi lagi selepas 1957! Orang Melayu menerima subsidi, orang Melayu membolot kuasa, orang Melayu kaum penerima!

Bilakah orang Melayu memberi? Besar sangatkah pemberian orang Melayu itu kepada kaum lain sehingga kaum lain terpaksa membayarnya kembali tanpa kesudahan? Tambahan pula kontrak itu bukan dibuat oleh generasi pelbagai kaum sekarang. Dia buatan orang dahulu, mengapa orang sekarang harus terus membayarnya? Benarkah?

Memang pada tahun 1955, dua tahun sebelum merdeka, orang Melayu telah menghadiahkan sesuatu yang sangat berharga kepada kaum lain. Biasanya, orang akan cepat menyebut bahawa hadiah besar kepada kaum lain itu ialah kerakyatan.

Itu pun kata mereka kerana pembesar Melayu dipaksa oleh Inggeris. Tidak ada pilihan. Namun demikian, saya lebih cenderung mengatakan hadiah besar itu bukan kerakyatan sebaliknya hadiah selepas kerakyatan itu diperoleh. Jangan lupa, hal ini tidak semestinya terjadi jika keputusan sedemikian tidak dibuat orang Melayu.

Apakah perkaranya? Perkaranya ialah kerusi pilihan raya. Pada tahun 1955 itu diadakan pilihan raya dan orang bukan Melayu hanya mempunyai majoriti di dua konstituen. Namun demikian Almarhum Tunku Abdul Rahman telah memutuskan supaya orang bukan Melayu diberikan 17 kerusi. Lima belas untuk MCA dan dua untuk MIC. Segolongan pemimpin UMNO meninggalkan UMNO kerana hadiah yang terlalu mewah ini. Namun, rupanya orang Melayu.

Kebanyakan pun bersedia merestui pemberian hadiah ini. Keputusan pilihan raya itu menunjukkan orang Melayu memangkah untuk berwakilkan bukan Melayu di kesemua tujuh belas konstituen itu. Maksudnya, keputusan itu bukan lagi keputusan Tunku berseorangan. Orang Melayu berani meletakkan kepercayaan dengan berwakilkan bukan Melayu untuk memperjuangkan kepentingan mereka.

Apakah ada bukti lain yang lebih besar untuk menyatakan bahawa asas pemikiran politik UMNO tidak perkauman.

Itu dahulu. Sekarang bagaimana? Demikian lanjutan perbualan ahli politik generasi muda. Jawapannya tetap serupa. Semenjak pilihan raya 1955 itu UMNO secara berterusan memberikan konstituen majoriti Melayu kepada bukan Melayu. Jika tidak demikian semangatnya, MIC boleh dikatakan tidak akan diberikan satu kerusi pun.

Cuba perhatikan hadiah UMNO kepada orang calon bukan Melayu dalam pilihan raya terbaru iaitu tahun 2004. Ong Ka Ting, Presiden MCA menang di P165 Parlimen Tanjung Piai, Johor yang pengundi Cina hanyalah 40.14 peratus berbanding dengan pengundi Melayu 53.02 peratus. Kawasan itu boleh diyakini sebagai kawasan selamat menang kepada Ong.

Naib Presiden MCA, Ong Tee Kiat menang di P100 yang pengundi Cina hanyalah 42.56 peratus berbanding pengundi Melayu 51.42 peratus. Demikian juga dengan pemimpin MCA yang lain bergantung kepada undi Melayu seperti Chor Chee Heung di Alor Star (58.43 peratus), Lim Bee Kau, di Padang Serai (52.51), Tan Kian Hoe di Bukit Gantang (62.95), Yew Teong Lock di Wangsa Maju (52.67), Wee Ka Siong (55.26), Kerk Choo Ting di Simpang Renggam (54.29) dan Ling Ban Sang di Tebrau (51.09).

MIC pula mendapat konstituen yang majoriti pengundinya adalah Melayu di Hulu Selangor untuk Palanivel (50.50 peratus Melayu berbanding pengundi India hanya 19.04 peratus) dan Vigneswaran (50.05 peratus Melayu berbanding pengundi India hanya 27.30 peratus.

Dalam konteks ekonomi pula adakah benar orang Melayu sahaja yang menerima sedangkan kaum lain sentiasa memberi? Orang berniaga atau orang yang mempelajari pengajian perniagaan akan faham bahawa dalam sesebuah ekonomi setiap ahli masyarakat menyumbang kepada pertumbuhan.

Tentulah tidak munasabah mengatakan Melayu hanya sebagai penerima sedangkan mereka setiap hari berurus niaga dan berperanan sebagai pengguna yang berbelanja.

Baik DEB mahupun Dasar Pembangunan Negara (DPN) memang ada memperuntukkan bajet negara atas nama Melayu. Contohnya Felda. Majoriti penerokanya ialah Melayu. Namun demikian, jika katakan kawasan Felda itu adalah getah, peneroka akan menunggu tujuh tahun baharu getahnya boleh ditoreh untuk mengeluarkan hasil.

Sedangkan, kontraktor pembina jalan, kontraktor pembuat rumah peneroka, kontraktor memasang paip, kontraktor elektrik, kontraktor membina kompleks dewan, sekolah dan sebagainya yang menelan jutaan ringgit (berbanding beberapa ringgit yang bakal diperoleh oleh peneroka tujuh tahun kemudian!) yang umumnya melibatkan golongan bukan Melayu serta-merta menyejat peruntukan jutaan ringgit itu.

Inilah yang dikatakan oleh Tun Razak dahulu bahawa DEB yang memperuntukkan 30 peratus kepentingan Melayu dalam semua sektor dalam tempoh 20 tahun untuk dicapai bukan bererti merampas daripada bukan Melayu kepada Melayu, sebaliknya ia dilaksanakan dengan memperbesarkan kek ekonomi.

Walaupun sesuatu projek itu diluluskan atas tajuk Melayu namun nikmatnya tidak semestinya dirasai oleh Melayu sahaja.

Saya teringat kata Profesor Bazerman, pakar strategi perundingan Harvard yang menyebut jika ada dua pihak sedang berunding yang kesudahan rundingan itu satu pihak mendapat lapan dan satu pihak lagi mendapat 10 tetap lebih baik meneruskan rundingan berbanding jika setiap pihak mendapat masing-masing tujuh jika menamatkan rundingan.

Dari sudut politik, sehingga semenjak 1955 sehingga pilihan raya 2004 orang Melayu masih setia memberi apa yang mereka biasa beri. Ini akademik. Mungkinkah Profesor Bazerman pernah secara diam-diam belajar dari Malaysia?

No comments: