Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

16 September 2007

Za'ba persoal kekecilan minda Melayu

Selamat membaca..........

Di Luar Lingkaran: Za'ba persoal kekecilan minda Melayu
Oleh Johan Jaaffar


Buku 'Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri' penuh kritik, idea bernas


BUKU ini terbit sembilan tahun selepas penulisnya, Allahyarham Pendeta Za�ba meninggal dunia pada 1973. Malah, penerbitan buku ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Sebenarnya buku ini tidak pernah dirancang untuk diterbitkan memandangkan buku yang pertama, Falsafah Takdir yang pertama kali terbit dalam tulisan jawi pada 1952 mengundang terlalu banyak kontroversi. (Edisi rumi buku berkenaan dicetak oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1980).


Di dalam buku itu ada dicatatkan bahawa akan diterbitkan �penggal kedua� atau �risalah kedua� buku berkenaan. Namun, bahagian kedua itu tidak terbit sehingga 30 tahun kemudian.


Apabila buku Falsafah Takdir terbit, banyaklah tentangan dan kritikan terhadapnya. Malah, seorang sultan mengarahkan buku itu diharamkan.


Tentulah menarik untuk mengetahui apakah kandungan buku pertama itu hingga menarik terlalu banyak perhatian.


Sebagai pemikir yang mendahului zamannya, reaksi terhadap karya beliau tidaklah memeranjatkan.


Mungkin orang Melayu belum bersedia menerima pandangan beliau yang begitu radikal. Atau budaya Melayu yang tidak bersedia menerima kritikan masih berleluasa ketika itu.


Za�ba atau nama penuhnya Zainal Abdin bin Ahmad lebih dikenal sebagai tokoh bahasa Melayu.


Beliau banyak menulis mengenai pedoman nahu dan ejaan bahasa Melayu. Malah, beliaulah sebenarnya Bapa Linguistik Melayu Moden.


Sehingga hari ini buku mengenai bahasa karangan beliau seperti Ilmu Mengarang Melayu, Pelita Bahasa Melayu 1 hingga III dan Rahsia Ejaan Jawi dianggap klasik.


Beliau juga seorang yang tegas, keras dan tanpa kompromi dalam mengkritik pelbagai kelemahan dalam masyarakat Melayu dan Islam. Tetapi Za�ba tidak sekadar mengkritik, beliau memberikan cadangan yang bernas.


Za�ba mempunyai banyak pengalaman dalam bidang pendidikan. Beliau pernah menjadi pensyarah di School of Oriental and African Studies (SOAS) di London, selain mengajar di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Di MPSI, beliau menjadi inspirasi pada golongan nasionalis dan penulis Melayu ketika itu.


Gerakan nasionalisme dan kesedaran orang Melayu mula bercambah. Tulisan Za�ba menjadi salah satu pemangkinnya. Beliau banyak menyumbang buah fikiran dalam penerbitan berkala waktu itu seperti Majalah Guru dan Al-Ikhwan. Malah, dalam bidang politik beliau pernah menjadi Setiausaha parti Umno yang baru ditubuhkan pada tahun 1946 di bawah pimpinan Dato� Onn Jaafar.


Sebenarnya bukan sekali itu buku beliau diharamkan. Buku Pendapatan Perbahasan Ulama Berkenaan Dengan Qada dan Qadar juga telah diharamkan oleh beberapa buah negeri.


Dalam isu yang membabitkan orang Melayu, beliau lantang mempersoalkan kekecilan minda dan kelemahan dalam pelbagai bidang. Beliau juga amat kritikal terhadap ajaran agama yang sempit yang menyebabkan umat Islam ketinggalan dan mundur.


Tahun ini genap 25 tahun usia penerbitan buku Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri.


DBP mengekalkan gaya bahasa asal penulisnya apabila buku ini diterbitkan. Biarlah Za�ba bercakap kepada bangsanya dalam gaya bahasa beliau sendiri. Itulah sebenarnya Za�ba.


Kebetulan pula Malaysia merayakan ulang tahun yang ke-50 tahun ini. Buku ini dipercayai ditulis lima tahun sebelum kemerdekaan tanah air kita. Sejak pertama kali diterbitkan DBP, buku berkenaan telah diulang cetak tiga kali.


Buku ini dengan jelas memancarkan sikap dan pandangan Za�ba mengenai bangsa dan agamanya. Buku ini terbahagi kepada dua bahagian atau �risalah.� Risalah kedua membawa judul �Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri� sementara risalah ketiga membawa judul �Kebajikan dan Kejahatan.� Harus diingat bahawa risalah pertama terbit pada 1952 dengan judul �Falsafah Takdir.�


Cuba perhatikan topik yang diliputi oleh risalah kedua itu: Bab pertama membawa judul �Wajibnya Bagi Mendapat Kejayaan; kedua, �Kekurangan Kita Dalam Sifat Ini�; ketiga �Fikiran, Kepercayaan dan Pegangan Agama� dan yang keempat �Bersendiri Pada Ilmu dan Amalan.� Risalah ketiga pula mengandungi bab �Fahaman Yang Luas�; �Baik dan Jahat Tetap Ada�; �Fahaman Yang Sempit� dan �Kejatuhan Umat Islam dan Jalan Kepulihannya.� Melihat daripada bab-babnya saja sudah jelas betapa progresifnya pandangan Za�ba pada masa itu.


Dari awal lagi Za�ba menekankan wajibnya umat Islam mendapat kejayaan. Za�ba mengingatkan bangsanya bahawa dalam perlumbaan hidup hanya mereka �yang tetap, tekun, dan sabar menjalankan kerja-kerja� yang diamanahkan padanya akan berjaya.


Beliau juga mengingatkan bahawa sikap menyerah, bertawakal semata-mata atau berharap pada orang lain menjadikan seseorang itu pemalas dan lemah.


Beliau juga menyebutkan bahawa perangai bergantung pada diri sendiri ialah kunci pada kejayaan individu dan bangsa.


Kata beliau lagi, ajaran Islam mewajibkan umatnya �beramal, bekerja, berusaha dan berjuang (berjihad) sendiri dengan segala kebolehan dan tenaganya� untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Penekanan yang sama berat diberikan pada dunia dan bukan akhirat saja.


Dalam bab yang lain Za�ba secara terbuka menyebutkan bahawa bangsa Melayu �pada keseluruhannya masih sangat kekurangan mengenai sifat kuat berusaha, bekerja dan berbuat sendiri sesuatu kewajipan dengan penuh percaya pada kebolehan sendiri.�


Beliau mencadangkan sifat �bergantung pada diri sendiri� atau apa yang kita fahamkan hari ini sebagai berdikari harus ditanamkan di kalangan kanak-kanak lagi.


Dalam bab yang membabitkan fikiran, kepercayaan dan pegangan agama, Za�ba menyebutkan mengenai bahaya umat Islam �bertaklid buta� yakni �mengikut dan menerima saja dengan tiada soal jawab dan tiada mengerti hujung pangkal� apa yang disampaikan pada mereka. Manusia diberikan �pintu akal� untuk berfikir dan membuat pertimbangan.


Beliau juga mengingatkan bahawa tiada siapa di kalangan manusia yang boleh mendakwa ajaran mereka benar melainkan nabi.


Beliau mengajak umat Islam mendalami ilmu agama dari tauhid, fiqh, tasawuf, tafsir Quran dan lain-lain bagi memperkuat pemahaman umat Islam terhadap agama mereka. Ilmu agama tidak boleh diambil mudah.


Dalam bab yang lain, beliau menekankan peri pentingnya ilmu pengetahuan dan latihan berfikir serta kebebasan berfikir untuk menjalankan kerja kebaikan. Dalam bab mengenai �Bersendiri Pada Ilmu dan Amalan� beliau memberikan 10 prinsip yang boleh dijalankan dalam soal yang membabitkan agama. Bab ini ditujukan bukan saja kepada umat Islam tetapi juga bijak pandai dan orang alim Islam.


Bab keempat mengenai �Kejatuhan Umat Islam dan Jalan Kepulihannya� amat penting bagi umat Islam.


Beliau bermula dengan �Sebab Yang Pokok Bagi Kejatuhan.� Beliau membezakan bagaimana umat Islam yang �dahulu kala maju, besar, berkuasa, mulia dan dipandang tinggi di serata alam� kini jatuh dan mundur. Za�ba menekankan wajibnya umat Islam mendapat kejayaan.


Za�ba mengingatkan bangsanya bahawa dalam perlumbaan hidup hanya mereka �yang tetap, tekun, dan sabar menjalankan kerja-kerja� yang diamanahkan padanya akan berjaya.


Beliau mahukan umat Islam �berjihad melawan nafsu dan berperang bermati-matian kerana mempertahankan kebenaran.� Tidak kurang pentingnya ialah �berpenat lelah, berusaha kuat, bekerja keras, mencari rezeki, menuntut ilmu, mencari pengetahuan, mengumpul pengetahuan, mengarang kitab-kitab, menyiasat jalan-jalan kemajuan, berfikir, berijtihad dengan sekeras-kerasnya, memerintah negeri, menjalankan keadilan, memerangi musuh, dan lain-lain lagi.�


Beliau juga mengajak orang Melayu dan umat Islam membetulkan kesalahan dan membaharui pemahaman, selain bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.


Bukankah nasihat itu masih relevan hingga ke hari? Memang sepatutnya buku ini menjadi bacaan wajib bagi setiap orang Melayu, termasuk pimpinan politik, agama, masyarakat dan tokoh korporat. Inilah tinggalan berharga seorang tokoh pemikir Melayu untuk anak bangsanya zaman berzaman.

No comments: