Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

16 September 2007

Pegang amanah, elak pembaziran

Selamat membaca..........

Pegang amanah, elak pembaziran

TAN SRI AMBRIN BUANG.

MUKADIMAH
KETIKA menjadi Ketua Audit Negara pada tahun 1993, Tan Sri Ishak Tadin pernah menegur sikap sesetengah kementerian, jabatan dan badan berkanun yang enggan melayan atau memberi sebarang ulasan kepada pertanyaan Jabatan Audit Negara (JAN). Menurut beliau, walaupun ada yang menjawab, jawapan itu hanya layak dianggap sebagai melepaskan batuk di tangga. Sebenarnya tidak banyak yang mengambil endah terhadap laporan audit yang dikeluarkan oleh JAN. Malah lebih mengecewakan lagi apabila laporan audit itu seolah-olah latihan akademik yang tidak dipraktis untuk membuat pembetulan dalam membelanjakan wang rakyat.

Kini 14 tahun selepas teguran Ishak, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mendedahkan dan menegur apabila berlakunya lebihan perbelanjaan dana negara oleh pihak-pihak tertentu hingga ke peringkat tidak masuk akal. Pendedahan itu dimuatkan dalam Laporan Audit Negara 2006. Ini seolah-olah kelemahan pengurusan kewangan terus berlaku dan tidak diambil tindakan yang sewajarnya. Adakah laporan audit ini juga akan dipandang remeh dan tidak diambil perhatian oleh pihak-pihak tertentu? Laporan audit kali ini memperlihatkan ketidakcekapan pengurusan kewangan yang sangat serius hingga pembelian satu set pemutar skru boleh mencapai RM224.94 berbanding RM40 harga di pasaran.

“Hakikatnya lebihan perbelanjaan seumpama ini berlaku setiap tahun tetapi pihak media tidak melaporkannya,” tegas Ambrin semasa diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia SITI MARIAM MD. ZAIN dan jurugambar ABD. NAZIR MOHAMED di pejabatnya di Putrajaya, Jumaat lalu.

Walaupun masalah lebihan perbelanjaan ini telah berlarutan sekian lama, namun sebagai pihak yang diberi tanggungjawab melakukan pengauditan, kata Ambrin, tugasnya hanya terbatas di situ saja.

“Kita hanya boleh meminta penjelasan daripada pihak kena audit. Dan menjadi tanggungjawab pihak-pihak lain untuk mengambil tindakan susulan,” ujar Ambrin.

MINGGUAN: Di peringkat manakah selalu timbul masalah kelemahan mentadbir dana ini?

AMBRIN: Dalam sistem pentadbiran negara kita ada pelbagai peringkat iaitu Persekutuan, negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Masing-masing mengurus dana kerajaan untuk menjalankan program, projek atau aktiviti. Dari segi pengurusan kewangan, ia merangkumi banyak aspek seperti pengurusan penerimaan wang, pengurusan perbelanjaan wang, pengurusan kewangan itu sendiri dari segi perakaunan, wang amanah, aset, pelaburan dan sebagainya. Bidang pengurusan kewangan ini luas. Masalah kelemahan boleh dikatakan berlaku di semua peringkat. Bezanya ialah sama ada kelemahan itu serius atau kurang serius sahaja.

Di peringkat mana dianggap sebagai serius?

AMBRIN: Seperti yang dikatakan tadi, pengurusan wang merangkumi bidang yang luas. Jadi susah untuk mengatakan secara khusus di mana lebih serius atau kurang serius. Misalannya, pemerhatian kita dari segi pengurusan aset kerajaan, ini selalu merupakan kelemahan nyata di semua peringkat.

Adakah sebelum ini tidak timbul isu belanja meragukan seperti didedahkan baru-baru ini?

AMBRIN: Dari semasa ke semasa kita memang mendapati ini berlaku. Pengauditan kita sebenarnya dibuat secara rawak. Banyak kes masalah perbelanjaan ini ditimbulkan. Dan ini jugalah yang selalu kita bangkitkan dalam laporan-laporan audit kita.

Dalam sejarah negara, pernahkah mereka yang melakukan kesalahan ini diambil tindakan?

AMBRIN: Diambil tindakan kalau bermaksud mereka membuat kesalahan, memang ada peruntukan dalam prosedur kewangan disebut surcaj. Sebab itu apa-apa juga yang berkaitan dengan perbelanjaan, kena ikut prosedur. Misalnya kalau perlu mendapatkan kelulusan Kementerian Kewangan, kita mestilah mendapatkannya. Jika tidak, pegawai yang cuai boleh dikenakan surcaj. Hakikatnya, setiap kementerian atau jabatan ada bajet masing-masing. Sepatutnya mereka harus tahu menguruskan perbelanjaan mengikut perancangan. Tetapi kadang-kadang berlaku keadaan di mana memerlukan perbelanjaan ad hoc atas sebab-sebab tertentu, maka ini memerlukan kebijaksanaan dari segi pengurusan. Dan kalau berbelanja lebih, kita kena mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kewangan. Dan kalau justifikasinya ada, lebihan ini dibenarkan.

Berapa ramai pegawai awam yang telah dikenakan tindakan disebabkan kesalahan ini?

AMBRIN: Soal berapa ramai telah dikenakan surcaj perlu dirujuk kepada Kementerian Kewangan. Kita tidak terlibat dalam mengambil tindakan. Tugas kita setakat membuat audit selepas itu membentangkan laporan. Terpulanglah kepada agensi kerajaan terbabit untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Setakat ini berapa kes telah direkodkan?

AMBRIN: Perkara ini tiada dalam pengetahuan saya kerana Kementerian Kewangan bertanggungjawab membuat susulan tentang apa yang dilaporkan.

Isu berbelanja lebih ini bukanlah suatu perkara baru, ia berlaku sejak dulu lagi. Tetapi mengapa sekarang ini baru mendapat perhatian?

AMBRIN: Kalau kita baca dalam laporan ada satu bab tentang kedudukan masa kini, perkara yang dilaporkan tahun lalu. Saya fikir untuk berlaku adil, lawatlah laman web kami supaya dapat memahaminya secara menyeluruh. Media hanya mengambil beberapa isu mungkin kerana mereka mempunyai ruangan terhad. Contohnya, salah satu kriteria yang kita akan lihat ialah sama ada kementerian terbabit mengambil tindakan dengan teguran yang dibuat. Sebelum ini pun berlaku perkara yang sama tetapi media tidak mendedahkannya. Laporan kami yang melibatkan negeri-negeri juga berlaku kes begini.

Antara dibangkitkan, harga barang dibeli oleh beberapa kementerian terlalu tinggi berbanding harga di pasaran. Mengapa ini boleh berlaku?

AMBRIN: Ini berkaitan dengan pengurusan perolehan. Pengurusan perolehan mempunyai prosedur yang jelas. Pertama, kalau hendak buat perundingan langsung, perlu mendapatkan kelulusan Perbendaharaan dan perlu mematuhi syarat-syaratnya – perundingan itu mesti ke paras harga yang terendah. Untuk memastikan ini berlaku, harus ada kajian pemasaran. Kemudian, harga yang dirundingkan harus dilaporkan semula kepada Perbendaharaan supaya mereka dapat membuat semakan sama ada harga tersebut munasabah atau tidak. Tetapi kalau ada di kalangan mereka terlepas pandang atau sengaja terlepas pandang, itu yang menyebabkan berlaku (pembelian dengan harga melampau-lampau).

Berdasarkan pemerhatian Tan Sri adakah kes ini disebabkan faktor kecuaian atau disengajakan?

AMBRIN: Saya melihat ia berkisar kepada sikap. Sikap bukan sahaja bermaksud attitude tetapi ada elemen-elemen lain seperti pemantauan. Kalau orang atas tidak menyelia kerja-kerja orang bawah secara rapi, mungkin akan berlaku kecuaian. Begitu juga dengan minat. Seseorang itu mesti mempunyai minat untuk menguruskan dana awam ini dengan baik. Kalau tidak, kerja dibuat sambil lewa maka akan menimbulkan masalah. Selain itu, pengetahuan juga penting. Kadang-kadang yang menguruskan kewangan ini terdiri daripada orang baru; latihan tidak mencukupi. Atau mereka lupa kerana telah lama meninggalkan kerja ini – pengetahuan mungkin tidak dikemaskinikan. Ini juga salah satu aspek kecuaian.

Kebiasaannya apabila mendedahkan pihak yang terbabit dalam isu ini, ‘kesalahan’ mereka seolaholah selesai dengan hanya memberikan jawapan secara bertulis. Yang kelihatan sekarang ialah tiada tindakan diambil. Pada Tan Sri sendiri, sehingga bila keadaan begini akan berterusan?

AMBRIN: Kerana itulah kita berharap sebarang kes kecuaian yang menimbulkan masalah serius seperti penyelewengan haruslah disiasat. Dan kalau benarlah ada kes begini, maka tindakan di bawah undangundang sedia ada hendaklah diambil.

Apa yang boleh pihak Tan Sri lakukan?

AMBRIN: Kita hanya boleh meminta penjelasan daripada pihak yang kena audit. Itu sahaja. Sebab itulah menjadi tanggungjawab kepada pihak-pihak lain untuk turut mengambil tindakan susulan.

Apa sebenarnya peranan JAN?

AMBRIN: Tugas kami menyemak bagaimana tadbir urus dijalankan di pelbagai peringkat. Mana-mana kelemahan yang wujud, menjadi kewajipan kami untuk mendapatkan penjelasan. Sekiranya penjelasan yang diberi didapati mempunyai merit, sebagai juruaudit, itu tidak menjadi masalah. Sebaliknya jika penjelasan kabur atau samar-samar tanpa bukti kukuh, kita akan membuat pemerhatian sewajarnya. Kami juga diminta memberi pandangan tentang penambahbaikan. Ini memandangkan kami menjadi ahli beberapa jawatankuasa peringkat tertinggi. Kerja kami bukan hanya membuat auditing tetapi memberikan buah fikiran ke arah memastikan pengurusan kewangan kerajaan ditingkatkan. Saya menekankan penambahbaikan ini kerana saya berpendapat perkhidmatan awam kita adalah sebuah organisasi yang besar dan kompleks. Maknanya, banyak tangan terlibat dengan hal pengurusan wang, ada yang berpengalaman, ada yang tidak. Peranan kami memberi maklum balas tentang apa yang berlaku di bawah.

Apa yang pihak Tan Sri sendiri boleh membantu dalam menangani masalah ini?

AMBRIN: Kami bersedia memberikan pelbagai bantuan. Kita ada skim anak angkat di mana mereka yang lemah dari segi pengurusan kewangan akan diberikan khidmat nasihat. Kita juga menjalankan pelbagai kursus untuk jabatan-jabatan kerajaan dan juga juruaudit kita untuk sama-sama melihat dari segi pengurusan kewangan ini. Selain itu, kita juga telah memutuskan untuk mewujudkan satu sistem baru dipanggil indeks akauntabiliti. Ia akan mengukur sejauh mana pengurusan kewangan sesuatu jabatan itu dibuat mengikut prosedur ditetapkan. Sistem ini saya anggap sebagai penanda aras. Menerusinya kita akan dapat menilai (pengurusan wang) bukan sahaja antara agensi tetapi dari tahun ke tahun. Ini bagi menangani masalah yang dihadapi iaitu memastikan kelemahan-kelemahan yang telah pun diambil tindakan tidak berulang.

Bagaimanakah sistem ini akan berfungsi?

AMBRIN: Sekarang ini kita membuat laporan dan dalam laporan itu, kita menyebut aspek mana yang bagus, yang lemah dan sebagainya. Sistem indeks akauntabiliti ini akan lebih menyeluruh. Kita akan memberi markah. Misalannya dari segi pematuhan sesebuah jabatan atau agensi yang mencapai 90 peratus, kita akan anggap ini cemerlang. Kalau 50 peratus ke bawah, maknanya sangat lemah. Dalam indeks itu akan ada komponen atau kita panggil indikator. Markah akan diberi kepada semua lapan elemen pengurusan kewangan iaitu kawalan pengurusan, kawalan bajet, kawalan terimaan, kawalan perbelanjaan, pengurusan Kumpulan Wang Amanah dan deposit, pengurusan aset dan inventori, pengurusan pinjaman dan pelaburan. Kita akan mencampurkan semua dan memberi markah keseluruhan. Indeks akauntabiliti adalah usaha penambahbaikan untuk membantu kerajaan menilai sejauh mana pengurusan kewangan berjalan dengan baik.

Adakah kurang tumpuan menyeluruh yang menjadi punca mendorong pihak-pihak tertentu berbelanja sewenang-wenangnya tanpa kawalan?

AMBRIN: Sebab itu sekarang kita akan ke setiap kementerian dan mereka akan diberi indeks akauntabiliti. Kita akan membuat audit terhadap pengurusan kewangan mereka. Kita akan semak rekod dan dokumen-dokumen mereka. Maknanya jika sekarang, kita membuat audit, Kementerian Kewangan akan meminta mereka yang diaudit itu memberikan penjelasan. Dalam penjelasan itu mereka akan beritahu apa langkah-langkah yang diambil untuk tindakan-tindakan susulan terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh laporan audit. Itu sahaja. Tetapi pengauditan tahun depan, kita akan susul untuk memastikan penambahbaikan-penambahbaikan yang dijanjikan itu diambil tindakan atau tidak. Secara mudah, indeks ini merupakan alat untuk menilai prestasi pengurusan kewangan secara objektif menerusi sistem pemarkahan dan rating.

Apa kelemahan ketara sistem sedia ada?

AMBRIN: Saya beri contoh, misalnya apabila mereka diminta memberi penjelasan, penjelasan itu mengandungi macam-macam janji. Soalnya sama ada mereka benar-benar mengambil tindakan atau tidak. Dalam sistem sekarang, kebanyakan kementerian dan agensi mempunyai unit audit dalaman. Ketua Setiausaha sebagai pegawai pengawal, boleh meminta unit audit dalaman ini membuat pemeriksaan; betulkah tindakan pembaikan itu telah diambil atau tidak. Kami pun boleh menyemak dari semasa ke semasa. Maknanya mekanisme itu sudah ada. Cuma sekarang kita hendak memastikan yang ia berfungsi dengan baik. Indeks akauntabiliti ini adalah alat bagi kami untuk mengukur secara objektif prestasi kementerian atau agensi-agensi terlibat.

Kalau dulu disebabkan banyak perkara perlu diperhatikan, mungkin dua atau tiga jabatan sahaja terlibat dalam sistem pengauditan ini setahun. Tetapi sekarang bila diadakan rating, liputan kita akan diperluaskan. Kita akan melaksanakan di kesemua kementerian selain 70 jabatan yang ada. Setahun, kita menjalankan lebih 100 pengauditan. Ini di peringkat Persekutuan. Begitu juga di semua negeri. Dulu sistem pengauditan ini ikut konsep penggiliran. Sistem indeks akauntabiliti ini lebih kepada sistem kad laporan. Menerusi kaedah rating, kita akan memberi penilaian yang lebih adil sebab kita ada garis panduan. Maknanya kalau dulu penilaian hanya berdasarkan persepsi auditor terlibat, sekarang penilaian kita berdasarkan lapan elemen itu tadi.

Sebagai rakyat yang juga pembayar cukai, apa kebimbangan Tan Sri tentang kesan yang akan ditanggung oleh negara jika penyelewengan pengurusan wang kerajaan ini berterusan?

AMBRIN: Pengurusan kewangan merupakan nadi pembangunan ekonomi negara. Jika ada masalah seperti pemborosan, pembaziran dan penyelewengan, tentu ia menjejaskan pembangunan negara. Kerajaan akan kekurangan dana untuk menjalankan aktiviti-aktiviti, program dan projek berkepentingan rakyat. Malah kekurangan wang menyebabkan sesuatu projek itu mungkin terpaksa ditunda.

Dalam hal ini, lambat bertindak juga tentunya akan membantutkan usaha-usaha kerajaan?

AMBRIN: Ada tindakan boleh diambil dengan cepat dan ada memerlukan masa. Sebagai contoh, beban kerja yang ditanggung mungkin besar dan pada masa sama kakitangannya kurang disebabkan pertukaran, bercuti dan sebagainya. Pada ketika itu, dia tidak mampu untuk menanggung semua tugas. Untuk mengatasinya, dia kena lihat dari awal semula dan proses-proses ini semua mengambil masa.

Persepsi sesetengah pegawai awam ialah duit kerajaan boleh digunakan sesuka hati. Hakikatnya ini duit rakyat yang harus diurus dengan baik oleh kerajaan. Komen Tan Sri?

AMBRIN: Wang mungkin boleh mengelabukan mata orang. Ini semua berkaitan dengan sikap. Sikap yang paling penting ialah memegang amanah. Apabila kita diberi tugas, kewajipan kita ialah menjalankannya sebaik mungkin, dengan ikhlas, tanpa agenda kepentingan diri dan sebagainya. Dengan adanya sikap baik itu, kita akan bekerja dan memberi komitmen yang lebih kerana kita tahu tanggungjawab kita. Dan lebih penting ialah ketua-ketua jabatan sendiri perlu memikul tanggungjawab yang lebih berat untuk memastikan mereka sentiasa memantau. Kerana sekiranya tiada pemantauan sebaliknya menyerahkan bulat-bulat kepada orang bawahan, dan di peringkat itu pula berlaku perkara-perkara yang negatif tadi, tindakan yang hendak diambil sudah terlambat. Itu yang saya maksudkan proaktif.

Maksud Tan Sri, kes-kes seumpama ini sebenarnya berpunca di peringkat bawahan?

AMBRIN: Kita tidak boleh hendak cakap di peringkat bawah sahaja. Bagi saya, kalau benar kes penyelewengan itu berlaku dan ada laporan, BPR akan menyiasat. Jika tidak, tidak berlaku jabatan-jabatan tertentu diseret ke mahkamah.

Berapa banyak kes dibawa ke mahkamah?

AMBRIN: Jumlahnya tiada dengan saya.

Tetapi setakat ini kita tidak pernah lagi mendengar mana-mana kementerian atau jabatan yang telah diambil tindakan, komen Tan Sri?

AMBRIN: Macam apa yang telah saya katakan tadi, masing-masing ada tugas. Tugas kami pengauditan. Pihak lain tugasnya lain. Yang penting ialah kita menjalankan tugas kita. Dan dalam perkara ini, saya percaya mereka semua menjalankan tugas mereka.

Tan Sri kecewa dengan apa yang berlaku?

AMBRIN: Soal saya kecewa atau tidak, tak penting. Yang penting ialah kredibiliti para pegawai awam menyempurnakan ikrar mereka untuk memberikan perkhidmatan cemerlang demi agama, bangsa dan negara. Sebab mereka telah berikrar akan memberikan perkhidmatan terbaik. Dengan kecuaian ini, adakah mereka boleh mempertahankan kredibiliti ikrar yang dibuat atau ia hanya satu ikrar kosong?

Kepada mereka ini apa nasihat Tan Sri?

AMBRIN: Saya berharap mereka dapat membuktikan keazaman untuk bekerja dengan lebih teliti. Yang kedua, ketua-ketua jabatan harus memikul tanggungjawab lebih berat untuk memastikan mereka memantau pekerja di bawah yang terlibat dengan pengurusan kewangan. Ketiga, semua warga perkhidmatan awam yang diberi amanah untuk menguruskan dana awam hendaklah mempunyai komitmen, ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap mengawal perbelanjaan. Kita dapati kadang-kadang mereka yang mengendalikan dana awam ini sama ada tidak sedar adanya circular, terlupa ataupun terlepas pandang. Jika ada pemantauan yang sistematik, perkara ini akan mudah dapat dielakkan.

No comments: