Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

19 September 2007

Kurangkan makan ayam

Selamat membaca..........
Kurangkan makan ayam

DALAM kemeriahan menyambut Ramadan al-mubarak dan Syawal yang tidak berapa lama lagi muncul, kebimbangan pengguna terutamanya umat Islam mengenai kenaikan harga ayam dan bekalan ayam cukup menakutkan.

Kenaikan harga yang mendadak sehingga lebih tujuh ringgit sekilogram serta laporan kekurangan bekalan di media massa menimbulkan panik kepada pengguna.

Terbaru, spekulasi mengenai kenaikan harga ikan pula telah dibayangkan berikutan kegagalan nelayan di sebelah utara Semenanjung turun ke laut kerana keadaan cuaca yang tidak menentu. Ia menampakkan pengguna bakal menghadapi masalah baru.

Sekiranya lagu Bangau Oh Bangau dinyanyikan dalam versi Ayam Oh Ayam pastinya ia berbunyi begini:-

Ayam oh ayam mengapa harga naik?

Macam mana harga tak naik, pemborong jual mahal,

Pemborong oh pemborong, mengapa jual mahal?

Macam mana tak jual mahal, penternak letak harga,

Penternak oh penternak mengapa letak harga tinggi?

Macam mana harga tak tinggi, jagung ayam mahal,

Jagung oh jagung mengapa engkau mahal ?

Macam mana aku tak mahal, aku naik kapal.

Begitulah senario kemelut harga ayam. Jika disorot sejak setahun lalu, beberapa barang keperluan bermula dengan gula pasir, minyak masak dan kini ayam pula.

Persoalan yang timbul dari benak pengguna, di mana silapnya? Apakah ini kesan dari kenaikan harga minyak dunia atau kesan yang lain tanpa kita sedari?

Hasil kejutan kenaikan harga barangan ini, maka timbullah pelbagai cadangan antaranya boikot ayam, saman peniaga yang menjual harga melepasi harga siling dan bermacam lagi.

Tabiat rakyat Malaysia yang lebih suka makan daging ayam daripada daging-daging lain juga dikatakan faktor penyumbang.

Persoalannya mengapa bila terhantuk baru tengadah? Mengapa pengguna kita tidak memikirnya dari awal lagi mengambil bahan alternatif bagi menggantikan sesuatu barang sekiranya harga tinggi dan bekalan kurang?

Harapan kerajaan meminta pengguna menggunakan kuasa yang ada untuk menurunkan harga ayam di pasaran adalah satu cadangan yang baik, akan tetapi masalah asas ekonomi yang diselesaikan dengan mekanisme harga di pasaran juga perlu diteliti.

Ini kerana ayam merupakan salah satu menu penting dalam makanan masyarakat Malaysia. Apakah kita boleh menukar menu ayam kepada menu yang lain dalam sajian makanan rakyat Malaysia. Mungkin boleh tetapi tidak dalam masa terdekat.

Seperkara yang perlu diingat, apakah ini isyarat awal bahawa negara mengalami kekurangan bekalan makanan atau sesuatu perlu dilakukan dalam industri ternakan negara?

Agak melucukan, apabila kerajaan menyatakan bekalan cukup akan tetapi sehari selepas itu, beberapa pasar utama di negara ini dilaporkan tidak dapat bekalan ayam yang cukup.

Apakah ini mainan pembekal ayam bagi memastikan harga naik mengikut kehendak mereka sebelum lambakan ayam di pasaran berlaku menjelang Aidilfitri.

Oleh yang demikian, Jawatankuasa Penaja Persatuan Pengguna-Pengguna Prihatin Selangor dan Wilayah Persekutuan mengajak semua pengguna memikirkan satu langkah alternatif mengurangkan pengambilan ayam dalam menu makanan harian.

Selain itu, pada kesempatan Ramadan al-Mubarak ini, marilah kita mengambil langkah berjimat cermat dalam berbelanja.

Sekiranya ayam boleh ditukar kepada menu lain, setidak-tidaknya kita mampu membuatkan peniaga ayam tersentak. Ini kerana wang kita punya dan barang mereka punya.

– BUANG RABAN,

Presiden Penaja,

Persatuan Pengguna-Pengguna Prihatin Selangor.

No comments: