Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

09 September 2010

Amalan sunnah sambut Aidil Fitri dan Syawal

Selamat membaca..........

Amalan sunnah sambut Aidil Fitri dan Syawal

Kata pujangga



ليس العيد لمن لبس الجديد، إنما العيد لمن طاعته تزيد.ليس العيد لمن تجمّل باللباس والمركوب، إنما العيد لمن غفرت له الذنوب.ليس العيد لمن حاز الدرهم والدينار إنما العيد لمن أطاع العزيز الغفار



Bukanlah sebenar-benar raya itu bagi yang memakai pakaian baru..tetapi sebenar-benar raya itu adalah bagi orang yang ketaatannya terus bertambah

Bukanlah sebenar-benar raya itu bagi yang berhias-hias dengan pakaian dan kenderaan..tetapi sebenar-benar raya itu adalah bagi yang diampunkan dosa-dosanya

bukanlah sebenar-benar raya itu bagi yang memperolehi dinar juga dirham..tetapi sebenar-benar raya itu bagi yang mentaati Allah Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun...
 
Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna. Firman Allah S.W.T:
"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu." - Surah al-Maaidah: 3.
Kesempurnaan Islam itu terserlah apabila ia mampu menangani segala permasalahan manusia secara menyeluruh. Islam telah membicarakan isu-isu bersifat global seperti sistem ekonomi, sistem pemerintahan malah ia juga membicarakan sekecil-kecil perkaraseperti adab masuk ke tandas dan beristinjak.
Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Islam juga telah memberikan garis panduan berkaitan tatacara menyambut hari-hari kebesarannya seperti hari raya Aidilfitri ini.
Adalah penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui bulan Ramadan kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin(orang yang bertakwa).
Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambutketibaan hari lebaran Aidilfitri ini.

• Bertakbir.

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:

"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur." – Surah al-Baqarah:185.

Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri.
"Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini."

Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.

• Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri.
Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:

"Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerimaamalan kami dan amalanmu)." – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.
• Meneruskan qiamullail.

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnyasesudah bulan Ramadan.

• Mandi pada pagi hari raya.

Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:

"Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri." - Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.

• Makan sebelum solat Aidilfitri.

Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:

"Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini." - Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.

Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:

Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.

• Memakai pakaian yang indah.

Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata:
"Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian." – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah:

"Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas atau apa sahaja perhiasan." – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.

Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina." - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.

Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.

• Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.

Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:
"Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat." - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.
Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.

. Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.

Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:

"Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.
 
"Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya."

• Tempat perlaksanaan solat hari raya.

Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata:

"Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat)." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:
"Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dariseluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka." – Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.

• Mengerjakan Solat Aidilfitri

Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:

"Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.

Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:

"Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah)." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:

"Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar." - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.

• Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri

Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat.
Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluargabersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak.
"Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati."

Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:

"Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri." - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.

• Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.

Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h.
Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah.
Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.

PENUTUP

Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w.
Last Updated (Wednesday, 08 September 2010 11:51

28 August 2010

Syor gubal undang-undang syarak berkaitan mercun

Selamat membaca..........


Syor gubal undang-undang syarak berkaitan mercun
Oleh Mohd Shukri Hanapi2010/08/28

MERCUN sudah sinonim dengan musim perayaan kerana setiap kali tiba Ramadan atau musim perayaan, akan ada laporan mengenai kesalahan penyeludupan serta kes kecederaan disebabkan mercun.Cuma, kesalahan berkaitan mercun tidak dikaitkan dengan hukum agama sebaliknya dilihat sebagai jenayah yang perlu dihukum mengikut undang-undang sedia ada. Salah faham ini perlu diperbetulkan kerana apa juga berkaitan dengan kehidupan, ada tanggungjawabnya di sisi agama.Tangkapan dan denda saja bukan penyelesai kepada penjualan mercun yang akibatnya apabila mendatangkan bahaya kepada masyarakat adalah menyalahi hukum agama. Apatah lagi jika mercun menjadi penyebab kepada kematian.Kepentingan atau keperluan umum menjadi keutamaan dalam aspek penggubalan undang-undang sama ada sivil atau syariah kerana matlamat diwujudkan hukuman adalah sebagai garis panduan untuk mengelak daripada terjebak perkara membawa kemudaratan.Walaupun hukum jelas berkaitan bahaya mercun tidak diperuntukkan secara langsung dalam nas, tetapi kepentingan dan keperluan undang-undang perlu selari dengan kehendak ajaran Islam supaya manusia sentiasa terselamat daripada segala bentuk kecederaan atau penderitaan. Jadi, undang-undang mengenai mercun adalah kewajipan syarak yang wajib dipatuhi oleh semua umat Islam. Kewajipan syarak ini membawa maksud sesuatu perintah yang apabila dibuat mendapat pahala dan jika ditinggalkan mendapat dosa.Menjadi satu prinsip penting dalam Islam bahawa sebarang perkara yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan orang lain adalah satu dosa. Firman Allah yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (harta benda kamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” – (Surah al-Baqarah, ayat 195)Allah melarang kita melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kecederaan, kemusnahan dan penderitaan. Maka, begitu juga dengan bermain mercun boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan orang lain. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kerajaan di sisi syarak untuk menggubal dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan mercun difikirkan mampu menolak kemudaratan yang timbul akibat bermain mercun. Apabila kerajaan menunaikan tanggungjawabnya dalam perkara ini maka kerajaan mempunyai hak untuk ditaati (khususnya dalam perkara ini) dan menjadi tanggungjawab rakyat pula dari segi syarak mentaatinya. Diriwayatkan daripada Ibn Umar yang bermaksud: “Wajib ke atas orang Muslim mendengar serta taat kepada perintah sama ada dalam perkara yang disukai atau dibenci selama mana tidak diperintahkan untuk melakukan maksiat. Sekiranya dia diperintahkan supaya melakukan maksiat maka janganlah dengar dan mentaatinya.” (Hadis riwayat al-Bukhari) Bagi mengatasi masalah ini, usaha perlu dilakukan untuk memperbetulkan pandangan masyarakat mengenai kehidupan menurut pandangan Islam iaitu mercun bukan saja salah di sisi undang-undang negara tetapi juga melanggar hukum syarak.Pendekatan keagamaan wajar digunakan bagi menyedarkan umat Islam kesan mercun yang hanya menjurus kepada keburukan seperti boleh mendatangkan kecederaan selain menyebabkan pembaziran.Seseorang yang melakukan kesalahan dengan menjual dan memiliki mercun mungkin berjaya melepaskan diri daripada tindakan pihak berkuasa dan pembalasan dunia, tetapi ia sentiasa berada alam pengetahuan Allah.Penerapan nilai baik termasuk mengelak daripada bermain mercun boleh dilakukan oleh ibu bapa dengan tidak membeli mercun untuk anak mereka sementara guru juga berperanan memberi peringatan serta nasihat kepada pelajar.Dalam banyak hal membabitkan kepentingan umum, pendekatan agama yang memberi panduan untuk menjalani kehidupan lebih baik berpandukan nilai murni diambil daripada nas al-Quran dan sunnah perlu diberi penekanan.Mercun bukan permasalahan dunia semata-mata kerana umat Islam akan dipertanggungjawabkan terhadap setiap apa dilakukan termasuk jika melakukan pembaziran dengan membeli mercun dan lebih teruk jika mendatangkan akibat buruk kepada diri atau orang lain.Semoga insiden letupan mercun yang meragut nyawa kanak-kanak berusia enam tahun menjadi pengajaran kepada penyeludup, penjual dan pembeli mercun. Kata pepatah, jangan sudah terhantu baru nak terngadah.Tambahan pada Ramadan digalakkan memperbanyakkan amalan untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah, jangan dicemari ibadat puasa dengan perkara yang boleh mengurangkan ganjaran pahala.
Hak Cipta Terpelihara 2010 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas. Kembali ke atas
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024x768.


Resolusi anda sekarang adalah 800x600. Sila tukar resolusi anda untuk dapatkan paparan laman web terbaik!

22 August 2010

Tuntutan keterlaluan Cina undang padah

Selamat membaca..........



Tuntutan keterlaluan Cina undang padah

2010/08/22
BARU-baru ini, berlangsung satu persidangan yang dinamakan Kongres Ekonomi Cina. Seperti program lain, tiada apa yang berbeza atau lebih menarik pada kongres anjuran MCA itu berbanding seminar atau kongres dianjurkan pihak lain.Namun, apa yang terhasil daripada persidangan itu menarik perhatian banyak pihak, terutama orang Melayu. Semuanya, 13 deklarasi diluluskan kongres, tetapi yang paling menonjol ialah mendesak ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus dalam semua sektor ekonomi dikurangkan secara berperingkat.Sebagai badan memperjuangkan kepentingan Melayu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) memandang serius tuntutan dibuat kongres itu. Pertama, kerana ia sangat tidak sesuai dengan masanya, tambahan pula ketika orang Melayu masih lagi terkebelakang dalam pelbagai bidang di negara ini.Jika kita masih ingat tuntutan Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina (Suqui) dalam dokumen rayuan 17 perkara dikemukakannya 11 tahun lalu, maka apa dibangkitkan pada kongres 14 Ogos lalu adalah berkaitan atau ulangan perkara sama.Ketika itu, GPMS adalah pertubuhan paling terkehadapan, ‘berperang’ secara bersemuka dengan tuntutan yang sangat kurang ajar dan jelas menginjak Perlembagaan Persekutuan. Segala tuntutan mereka perlu ditolak kerana sangat tidak relevan, cauvinis serta menunjukkan sikap sebenar golongan yang sangat pentingkan diri serta haloba. Mana mungkin dalam keadaan negara bertungkus lumus menjayakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pun, ekonomi orang Melayu hanya mampu mencecah 19 peratus berbanding 30 peratus yang disasarkan, puak itu sewenang-wenangnya pula menuntut supaya ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus dikurangkan secara berperingkat-peringkat. Niat mereka jelas hanya mementingkan kekayaan bangsa satu puak tanpa ada sekelumit pun hasrat untuk membantu menjayakan ekonomi pribumi. Mereka tidak pernah puas dan bersyukur dengan penguasaan 81 peratus ekonomi negara. Mungkin kepuasan itu hanya akan tercapai apabila menguasai 100 peratus ekonomi.Bagi GPMS, kami melihat tuntutan yang dibuat kongres terbabit sebagai berbahaya dan pasti akan menjejaskan perpaduan kaum dan keamanan negara. Bumiputera masih jauh ketinggalan, lalu permintaan itu seolah menidakkan hak Bumiputera dalam sistem keadilan sosial negara ini. Jika itu desakan mereka, GPMS pasti mendesak agar pembahagian ekonomi dibuat secara sama rata mengikut peratusan penduduk kita. Natijahnya, sudah pasti api kemarahan terlindung seperti bara di bawah sekam akan semakin marak dan menjejaskan perpaduan serta keamanan negara.Selalunya apabila timbul desakan yang menyentuh hak keistimewaan Bumiputera, pasti akan kedengaran ayat amaran ‘jangan bermain dengan api’, namun kali ini GPMS percaya keadaan akan menjadi bertambah serius kerana tuntutan yang dibuat puak itu diketuai sendiri pemimpin dalam parti politik kerajaan pemerintah. Desakan demi desakan pasti akan mengundang keadaan tidak tenteram dalam negara. GPMS suka mengingatkan peserta kongres terbabit untuk belajar daripada sejarah. Masihkah mereka ingat peristiwa 13 Mei 1969? Punca kekalutan ketika itu adalah kerana sikap sombong pihak yang membuat tuntutan tidak munasabah seperti ini.Tidak salah mendesak kepada keterbukaan dan persaingan di atas padang sama rata atau mengikut merit, sama ada dalam perniagaan atau pendidikan. Namun, itu semua hanya boleh dilaksanakan jika keupayaan dan kekayaan sudah pun dikongsi sama rata dan sama rasa. Hakikatnya, ia tidak berlaku lagi di Malaysia. Jika pihak yang membuat tuntutan itu enggan berubah dan berterusan mendesak, GPMS menyarankan semua orang Melayu supaya mengadakan kempen secara terang-terangan – Melayu membeli daripada Melayu saja – bagi mengajar pihak berkenaan erti persaudaraan senegara.Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memberi gambaran seolah-olah kaum Cina di negara ini mahu memonopoli semuanya. Mungkin sebelum ini mereka memendamkannya, tetapi apabila DAP mendapat sokongan segelintir pemimpin Melayu liberal bagi menindas Melayu, MCA mengambil kesempatan menabur garam di atas luka yang semakin serius itu.Soi Lek juga secara terang-terangan mengumumkan kesediaan parti diketuainya berjuang bersama DAP bagi mendapatkan segala-galanya kepada orang Cina di negara ini. Lalu, apa yang akan berlaku kepada nasib orang Melayu. Apakah jurang di antara UMNO dan PAS akan terus melebar, biar Melayu merempat di bumi sendiri.MCA sudah menyatakan kesediaan berkongsi pentas dengan DAP demi memperjuangkan kepentingan Cina. Bagaimana pula PAS dan UMNO? Tidak adakah sesiapa pun dalam dua parti terbesar orang Melayu itu berfikiran jauh untuk melihat apa yang mampu berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.Janganlah kita membiarkan kampung tergadai. Ingatlah pesanan Allahyarham Aminuddin Baki ketika hayatnya dan sentiasa terngiang di telinga semua pemimpin muda GPMS hari ini: “Jangan biarkan orang Melayu menjadi seperti itik di air yang mati kehausan, ayam di kepuk mati kelaparan.”Bersatulah di atas panji bangsa dan agama, ketepikan segala kepentingan peribadi. Resolusi yang terhasil dari kongres ekonomi Cina itu jelas menjadi bukti kegagalan orang Melayu bersatu sehingga memberi ruang kepada ‘kaduk naik junjung’. Janganlah ada yang memanipulasi gagasan 1Malaysia diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak demi kepentingan puak mereka saja tanpa mahu memahaminya secara keseluruhan, terutama membabitkan fasal Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Tidak keterlaluan jika ada pihak yang mengandaikan Soi Lek mengambil kesempatan di atas gagasan Perdana Menteri ini demi meningkatkan imej MCA yang semakin mengecil di mata masyarakat negara ini. GPMS percaya jika itulah niatnya, maka MCA akan lenyap dari negara ini selepas PRU ke-13 nanti. Apa yang diluluskan kongres ekonomi Cina itu seperti ‘amaran’ kepada orang Melayu. Keberanian kaum kedua terbesar itu adalah kerana pemimpin Melayu semakin berlembut dengan mereka akibat keputusan dicatatkan dalam PRU ke-12. Kononnya, parti Melayu perlukan undi mereka untuk menang dalam PRU ke-13 nanti. GPMS berharap kepemimpinan negara dapat menasihat pemimpin yang bersuara lantang itu supaya insaf dan memahami kehendak kerajaan sebenarnya. Ajar bagaimana untuk membersihkan diri sendiri dulu dan memperkukuhkan semula partinya yang hampir ‘padam’.Bagi orang Melayu pula, kita perlu terus memperjuangkan kuota 30 peratus dan terus berjuang untuk menguasai ekonomi lebih daripada 60 peratus selaras dengan nisbah orang Melayu di negara ini. Jadikan perjuangan itu sebagai perkara wajib. Tiada siapa dapat mempertikaikan bahawa orang Melayu masih perlu dibantu untuk menguasai sektor ekonomi. Banyak bukti nyata terhidang menunjukkan ada gerakan cuba menyusahkan orang Melayu menjalankan perniagaan dengan menyekat pembelian pukal dan mengenakan harga lebih tinggi, sekali gus menyukarkan orang Melayu bersaing dengan adil. Konsep ‘ali baba’ pula hanya menguntungkan baba, meninggalkan ali sekadar broker bagi mengejar projek.GPMS berharap orang Melayu bangun. Kita perlu segera bangkit dan bersaing dengan lebih hebat tanpa memandang lagi ke belakang. Usahawan Melayu yang berjaya perlu memainkan peranan penting membantu melahirkan lebih ramai peniaga yang mempunyai minda kuat seperti mereka. Penulis ialah Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)
Hak Cipta Terpelihara 2010 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas.

Bahaya rasisme

Selamat membaca..........



Bahaya rasisme dijadikan modal perjuangan politik2010/08/22
JIKA dilihat di internet nampaknya hubungan kaum seakan semakin buruk. Caci- mencaci serta kata-kata kesat menjadi kebiasaan. Di alam maya, seolah-olah tiada apa yang baik yang boleh dianggap sebagai modal harapan negara ini. Kita seakan menuju kehancuran dan perpecahan, berbalah di antara kaum dan antara satu sama lain.Mungkin keadaan sekarang tidaklah sebaik yang kita mahu, namun hubungan antara kaum bukanlah seteruk yang pernah dihadapi negara pada masa-masa dulu.Namun, kita tidaklah boleh menganggap keadaan kini tidak perlu dibaiki dan masalah antara kaum perlu diatasi. Demi masa depan negara, isu perkauman mestilah diatasi.Memanglah leceh hendak mengatasi masalah perkauman, ia kompleks dan sensitif. Tetapi apa boleh buat, ia mesti juga ditangani.Keadaan sekarang amat berbeza berbanding ketika negara kita muda dulu. Ketika itu ada juga masalah perkauman, malah lebih dahsyat lagi. Namun, kepemimpinan dulu berjaya menyatukan pelbagai parti yang mulanya berhaluan berbeza untuk bersatu dan melegakan keadaan yang hampir menjahanamkan negara.Kini apa yang dulunya sudah diterima, dipersoal. Apa yang dulu dibincang di bilik mesyuarat, kini dilaung-laungkan di luar. Kita kini juga terpaksa berubah dan tidak boleh lagi menggunakan cara dulu untuk menerangkan apa yang sudah termaktub.Contohnya, orang muda sekarang berbeza dari orang muda dulu. Mereka hidup di zaman serba boleh, mereka berfikiran global dan mempunyai pendapat yang berbeza mengenai negara dan dunia.Mereka tidak boleh menghayati sejarah negara yang hanya fakta dalam buku teks. Malaysia mereka menuju ke hadapan dan bukannya menoleh ke belakang.Dan mereka adalah jumlah terbesar, kini dianggarkan lebih dua pertiga daripada jumlah penduduk.Dari apa yang diketahui, orang muda kini kurang semangat perkauman. Mereka selesa dengan semua. 1Malaysia memang sesuai dengan mereka berbanding orang yang lebih tua.Oleh kerana mereka ramai – dikatakan beberapa juta daripada pengundi – maka kumpulan ini menjadi tarikan ahli politik kerana mereka kumpulan mampu mengubah rupa bentuk politik negara.Jika orang lama berasakan masalah perkauman lumrah hidup di Malaysia, golongan muda pula bertanya kenapa ia perlu wujud sama sekali.Oleh itu, ada ahli politik mencari peluang melamar golongan muda dengan menjanjikan mereka berupaya mewakili generasi muda ini – segala cita, cita rasa dan kebimbangan mereka akan diambil kira.Ada ahli politik yang bertumpu kepada perkara yang negatif. Yang negatif itulah biji benih rasisme.Di Malaysia, hidup kita semuanya ditentukan oleh bangsa. Dari politik ke polisi dan ke ekonomi, semuanya mempunyai asas perkauman. Semuanya berpunca dari negara kita yang berbilang bangsa, yang dibentuk hasil kompromi dan muafakat.Tetapi apabila kita biarkan perkauman mendominasi hidup kita, maka ia akan menjadi musuh besar. Jika kita biarkan segala kata dan bisikan kita berbaur perkauman, maka sudah tentulah masalah perkauman akan menjadi kenyataan.Label rasis selalunya digunakan untuk merendahkan maruah seseorang di khalayak ramai serta untuk melenyapkan suara seseorang. Siapa yang mahu mendengar kata-kata seorang rasis, jauh sekali berkawan dengannya?Adakah kemungkinan orang yang menggelar orang lain rasis, sebenarnya dia sendiri mengamalkan sikap perkauman?Adakah seorang yang memperjuangkan sekolah jenis kebangsaan seorang rasis? Adakah seorang yang mahukan lebih hak Bumiputera di bidang ekonomi seorang yang rasis? Adakah orang yang mempersoalkan bilangan orang Cina di dalam angkatan tentera, atau kelebihan orang Melayu dalam perkhidmatan awam, rasis?Adakah Dasar Ekonomi Baru ataupun Model Baru Ekonomi, rasis?Adakah perkataan seperti meritokrasi, sama rata, keadilan, peluang, dominasi, rasuah, semua adalah kod untuk rasisme?Kini apa yang tersirat, ditempik dan dilaungkan. Internet membolehkan orang menggunakan hina dan nista, kata kesat dan durjana, tanpa perlu menunjukkan muka.Kita boleh salahkan ahli politik, bukan semua, tetapi ramai juga, yang mengambil peluang menjaja rasisme sebagai modal menarik sokongan.Ada yang menceritakan kehancuran yang akan dihadapi negara ataupun betapa rosaknya keadaan sekarang oleh kerana perkauman, namun di sebalik semua kenyataan ini ada agenda politik.Rasisme mudah diuja. Kata-kata seorang guru, lagu penyanyi rap, tulisan penulis pojok atau ucapan ahli politik boleh menjana rasisme. Kita seolah-olah mencari yang negatif untuk membuktikan orang lain tidak baik.Bolehkah kita katakan rasisme sebenarnya membawa untung di dalam politik?Rasisme selalunya menunjukkan keburukan kita. Jika kita katakan kita kesal dengan masalah perkauman, tetapi ada juga di antara kita yang cuba melebarkan lagi jurang perkauman sedia ada.Memanglah kita patut bimbang, tetapi adakah keadaan sekarang akan membawa kepada sengketa kaum? Rasanya tidak, namun kita perlu berwaspada dan memperbaiki apa yang ada sekarang.Rasanya kita boleh jangkakan rasisme akan bertambah dengan proses politik kita terutama bila kita menuju Pilihan Raya Umum Ke-13.Apa boleh buat. Kita mengamalkan demokrasi dan orang boleh menjanjikan apa saja ketika berpolitik. Namun, ia menjadi bahaya jika rasisme dijadikan modal politik yang tidak dibendung dan berupaya menyelubungi hidup kita.Rasisme adalah senjata politik yang amat berkesan, namun ia juga boleh memakan tuan.
Hak Cipta Terpelihara 2010 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas. laman web terbaik!

19 August 2010

Zionis tidak jemu rancang misi lenyapkan Al-Aqsa

Selamat membaca..........


Zionis tidak jemu rancang misi lenyapkan Al-Aqsa
Oleh Dr Zainur Rashid Zainuddin2010/08/19

TARIKH 21 Ogos adalah detik hitam bagi umat Islam di seluruh dunia. Genap 41 tahun lalu (21 Ogos 1969), maruah umat Islam tercalar dengan penghinaan apabila Masjid Al-Aqsa dibakar pelampau Yahudi yang disokong kuat Kristian Zionis. Usaha terkutuk ini dilakukan penjenayah dari Australia, Michael Dennis Rohan. Rohan menyalakan api di dalam Masjid Al-Aqsa untuk membakar dan sekali gus memusnahkannya. Api marak hampir saja memusnahkan keseluruhan Masjid al-Aqsa. Namun tindakan tangkas umat Islam di Baitulmaqdis selama sehari suntuk mengizinkan mereka memadamkan api berkenaan.Rohan sebenarnya tidak bersendirian dalam melakukan jenayah keji ini. Dia mendapat sokongan rejim Zionis Israel yang mahu melihat Masjid Al-Aqsa lenyap daripada muka bumi bagi meneruskan projek membina Yahudi, Solomon Temple atau Haikal Sulaiman di dataran Baitulmaqdis.Penjenayah yang bertanggungjawab terhadap pembakaran itu ditangkap, namun dibebaskan tanpa hukuman. Mahkamah Israel sentiasa bersandiwara apabila memutuskan Rohan, seorang doktor perubatan sebagai tidak siuman dan hanya dihantar pulang ke Australia. Rohan pula dengan bongkaknya berkata, apa yang dilakukannya adalah tanggungjawab agama seperti dalam ajaran Talmud. Dia turut mendakwa berjaya melaksanakan misi diperintahkan tuhan. Pihak Zionis memulakan perancangan dengan menutup saluran paip ke Masjid Al-Aqsa agar agenda jahat itu berjaya membuahkan hasil maksimum. Tentera Israel juga menghalang pasukan bomba dan warga Arab memasuki kawasan masjid pada hari berkenaan.Tindakan biadab ini menyebabkan sebahagian besar Masjid Al-Aqsa rosak dan menjadi arang. Kemusnahan itu melebihi sepertiga kawasan iaitu kira-kira 1,500 meter persegi daripada 4,400 meter persegi keluasan masjid. Mimbar Salahuddin al-Ayyubi yang bersejarah, Mihrab Zakaria, Masjid Umar al-Khattab dan sebahagian besar serambi masjid juga hangus. Turut musnah atap masjid serta tiang indah dihiasi ayat al-Quran. Pembakaran Al-Aqsa mengundang protes seluruh dunia Islam bermula dari Maghribi di Barat hingga ke Indonesia di Timur. Banyak pertemuan dan perundingan peringkat serantau dan antarabangsa diadakan bagi menghentikan kemarahan umat Islam. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga terpaksa mengadakan sidang tergempar dan mengeluarkan Resolusi 271 yang mengutuk Israel dan menyeru agar menghentikan segala usaha yang bertujuan merubah status Baitulmaqdis dan pengyahudian Masjid Al-Aqsa.Pemimpin negara Islam pula bergabung dan bersetuju menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) berikutan pembakaran Masjid Al-Aqsa. Mereka mengadakan pertemuan tergempar di Rabat, ibu negara Maghribi serta menghasilkan resolusi mencegah apa jua usaha penodaan Masjid Al-Aqsa. Namun sedihnya resolusi itu hanya tinggal resolusi yang tidak berjaya dilaksanakan. OIC sebenarnya terbukti gagal dalam mewakili umat Islam bagi menangani keselamatan dan kesucian Masjid Al-Aqsa.Kesan pahit daripada pembakaran Masjid Al-Aqsa pada 1969 terus dirasai dunia Islam hingga ke saat ini. Banyak lagi jenayah yang dilakukan terhadap Al-Aqsa.Kini, selepas 41 tahun pembakaran Masjid Al-Aqsa, masih ada ribuan lagi pengganas Zionis dan Yahudi radikal yang terus menanti kelalaian umat Islam untuk memusnahkannya. Zionis sebenarnya bertungkus-lumus untuk mengyahudikan Masjid Al-Aqsa sejak peristiwa An Naksah (malapetaka yang berulang) iaitu peristiwa penjajahan Baitulmaqdis Timur dan Masjid Al-Aqsa pada 1967. Banyak lagi jenayah projek pengyahudian Al-Aqsa dilakukan, termasuk menghalang umat Islam menziarahi masjid ini dan memakmurkannya, menghalang usaha membaik pulih Masjid Al-Aqsa yang rosak, merampas Tembok Buraq yang menjadi sebahagian Al-Aqsa, mengadakan upacara agama Yahudi di dalam Masjid Al-Aqsa, siri pengeboman secara terancang ke atas masjid, siri pembunuhan umat Islam di Masjid Al-Aqsa, penggalian terowong besar dan panjang di bawah masjid ini, mengubah identiti Islam dan Arab kepada Yahudi di Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa serta pembinaan Sinagog Hover bersebelahan Al-Aqsa.Terlalu banyak jenayah dilakukan Zionis terhadap Masjid Al-Aqsa yang menjadi jantung hati umat Islam. Al-Aqsa adalah kiblat pertama, masjid ketiga suci serta bumi Israk dan Mikraj. Masjid Al-Aqsa mesti diselamatkan daripada kemusnahan Zionis. Apa yang sudah dan sedang berlaku terhadap Al-Aqsa patut menyedarkan umat Islam daripada terus lena di buaian mimpi. Penulis ialah Perunding Aman Palestin
Hak Cipta Terpelihara 2010 - Berita Harian Sdn. Bhd.

18 August 2010

Tukar nama Sibu tak hirau sensitiviti kaum

Selamat membaca..........

Tukar nama Sibu tak hirau sensitiviti kaum
Oleh Dr Jeniri Amir2010/08/18

Usaha UCA mahu bandar dalam bahasa Cina tidak hormati hak penduduk BumiputeraADA apa pada nama, kata Shakespeare? Bunga ros tetap bunga ros, walau apa pun namanya. Namun, tidak demikian bagi masyarakat Bumiputera di Sibu. Mereka tidak bersetuju nama Sibu ditukar kepada nama lain. Baru-baru ini Gabungan Persatuan Cina (UCA) Bahagian Sibu berusaha mencari nama dalam bahasa Cina dan akan menganjurkan pertandingan bagi tujuan itu. Presiden persatuan itu, Datuk Lau Nai Hoh, dilaporkan berkata hadiah menarik ditawarkan kepada individu yang dapat memberikan nama yang sesuai dalam bahasa Cina.Mengikut beliau, Sibu kini dikenali dengan nama Shi Wu dalam bahasa Cina dan tidak begitu sesuai kerana membawa konotasi negatif. Wu bermaksud ahli sihir. Katanya, persatuan bersetuju menganjurkan pertandingan selepas membincangkan perkara itu dengan Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam negeri, Datuk Sri Wong Soon Koh, dan beberapa pemimpin lain.Persatuan itu mahu orang ramai turut serta memberikan nama yang sesuai dan mempunyai makna baik. Persoalannya, perlukah nama Sibu yang sudah begitu mapan dan tersohor di seluruh negara dan dunia diubah hanya kerana alasan berkenaan? Kalaupun hendak ditukar, kenapa menggunakan bahasa Cina dan tidak bahasa kebangsaan? Jika alasan persatuan itu menjadi sandaran, banyak lagi nama bandar lain di Sarawak mungkin perlu diubah, termasuk Mukah.Tidak dinafikan sebelum ini kerajaan negeri pernah menukarkan nama beberapa bandar dan pekan di Sarawak termasuk Nonok, Sri Aman dan Bintangor. Tetapi, perubahan nama berkenaan memang berasas kerana mempunyai justifikasi kukuh termasuk dari segi kepentingan sejarah. Nonok yang bermaksud alat sulit perempuan dalam bahasa Melayu Sarawak diubah menjadi Asajaya, sebuah daerah kecil yang diwujudkan pada 1970. Simanggang ditukar menjadi Sri Aman pada 1974 sempena penyerahan anggota komunis pimpinan Bong Kee Chok ketika Tun Abdul Rahman Yakub menjadi Ketua Menteri, manakala Binatang, pekan kecil tidak jauh dari Sarikei yang terkenal dengan limau manis dan limau bali menjadi Bintangor. Namun, adakah justifikasi untuk menukar nama Sibu itu sudah begitu kuat? Sudahkah pemimpin persatuan merujuk dan berunding dengan pemimpin masyarakat lain atau keputusan itu dibuat sepihak? Dalam masyarakat pelbagai kaum, sensitiviti masyarakat lain perlu diambil kira dan bukan sewenang-wenangnya menukar nama bandar dengan melihatnya dari sudut pandang kaum sendiri saja. Sibu yang mempunyai 270,000 jiwa dengan majoriti Cina Foochow mulai bertapak di Sungai Merah, tidak jauh dari bandar itu. Wong Nai Siong memeterai perjanjian dengan pemerintahan Brooke yang menyaksikan penghijrahan 1,000 orang Foochow termasuk 300 kanak-kanak. Mereka dibawa dari Fuzhou, China oleh Wong Nai Siong dengan rombongan pertama 72 orang menjejakkan kaki di situ pada 28 Januari 1901. Dari 1909 hingga 1919, 4,000 lagi imigran Foochow mendarat. Kini, kaum Cina, terutama Foochow menguasai segalanya di Sibu, terutama ekonomi. Siapakah yang memiliki banyak bangunan kedai dan bangunan komersial di Sibu kalau bukan Cina? Bandar yang terkenal dengan buah dabai ini terletak sekitar 104 kilometer dari muara Sungai Rajang. Ia mendapat nama daripada sejenis buah rambutan, buah sibau dalam bahasa Iban. Sebelum 1872, Sibu dikenali sebagai Maling yang merujuk Tanjung Maling di lengkuk Sungai Rajang. Tindakan pemimpin persatuan Cina itu menggambarkan sikap tidak menghormati masyarakat Bumiputera di Sarawak. Pemimpin berkenaan perlu sedar kaum Bumiputera, khususnya Iban, Melanau dan Melayu sudah lama bertapak di Sibu – jauh lebih lama sebelum Cina menerokai kawasan itu pada awal abad lalu. Sibu bukan dibangunkan oleh satu kaum saja. Justeru, tidak hairanlah apabila pemimpin masyarakat Bumiputera tersinggung dengan langkah UCA Sibu itu. Tindakan berkenaan dianggap tidak menghormati dan mengiktiraf kaum peribumi. Menukar nama bandar bukan soal kecil, walau apa pun motif dan agenda pihak berkenaan. Sepatutnya, pihak terbabit tidak sekadar mengutamakan pandangan satu kaum. Pandangan kaum Bumiputera perlu diambil kira dan diajak berunding sebelum membuat sebarang perubahan, apatah lagi Sibu ialah milik semua.Nama Sibu tidak harus diubah hanya untuk memenuhi kepentingan dan agenda pihak tertentu, tetapi mengguriskan perasaan kaum lain. Nama Sibu sudah diterima semua etnik dan dengan nama itu pun kaum Cina makmur dan maju, sedangkan kaum Bumiputera masih di belakang. Apa rasionalnya perubahan nama itu kecuali hendak menebalkan lagi unsur kecinaan di bandar Foochow itu.Hakikatnya, Sibu melahirkan banyak pejuang yang rela mengorbankan jiwa raga mereka demi kemerdekaan, termasuk Rentap, Saweng, Tun Jugah Barieng, dan Kendawang. Di bandar inilah Rosli Dhoby yang berusia 17 tahun menghunus kerisnya ke arah Gabenor penjajah, Sir Duncan George Stewart pada 1949. Rosli dan rakannya didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung di Penjara Pusat Kuching pada 1950. Jenazah beliau bersama Awang Ramli Amit, Bujang Suntong dan Morshidi Sidek dipindahkan ke Sibu pada 2 Mac 1996. Jika Rosli bangkit semula tentu beliau terkilan dengan nasib yang menimpa kaum Bumiputera. Beliau tentu kesal kerana pengorbanannya bagai tidak dihargai oleh kaum lain. Penulis ialah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak

17 August 2010

Demi Keadilan

Selamat membaca..........

“Bagi membolehkan bumiputera bersaing dengan wajar dan pantas, maka kami mencadangkan pengurangan 30 peratus ekuiti bumiputera secara berperingkat dan memperkenalkan harga preferensi,” kata Chua So Lek.

Kata Chua lagi......
“Bahagian ekonomi yang berkembang adalah umpama air pasang yang akan menaikkan semua bot, jadi semua rakyat Malaysia akan mendapat agihan kekayaan yang adil,”

Komen
Kalau hendak semua kaum mendapat agihan kekayaan yang adil sewajarnya ekuiti kaum Cina harus dikurangkan. Bukannya cadangkan dikurangkan ekuiti Melayu. Ekuiti Cina memang lebih dari Melayu. Oleh itu UMNO mesti tuntut supaya ekuiti Cina dikurangkan demi keadilan kaum di Malaysia.

Resolusi mansuh ekuiti Melayu tidak 'bermoral

Selamat membaca..........

Resolusi mansuh ekuiti Melayu tidak 'bermoral'

Oleh Shamrahayu A Aziz
2010/08/17

KEISTIMEWAAN dan hak Melayu dipersoalkan lagi! Resolusi Kongres Ekonomi Cina yang berlangsung di Kuala Lumpur mencadangkan supaya 30 peratus ekuiti yang diberikan kepada Bumiputera dikurangkan secara berperingkat.

Walaupun dalam ucapan perasmiannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan sebagai membuat rayuan kepada masyarakat Cina untuk berasa yakin bahawa pemerintahan beliau yang akan menjaga kepentingan semua kaum, termasuk kaum Cina, ucapan itu tidak singgah pada minda peserta kongres berkenaan.

Ia seolah-olah masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Begitu juga keadaan yang menimpa ucapan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mengajak kaum Cina untuk berkongsi kek ekonomi secara adil. Beliau menyatakan bahawa setiap pihak harus mendapat manfaat sewajarnya daripada pembangunan dan kekukuhan ekonomi negara ini.

Sebelum saya panjangkan pandangan dalam isu ini, perlu disebut bahawa istilah Bumiputera tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ekuiti ‘Bumiputera’ dalam konteks resolusi berkaitan ekuiti ini merujuk kepada ‘ekuiti Melayu’.

Pada saya, persoalan mengenai pengurangan ekuiti yang disediakan kepada kaum Melayu sebanyak 30 peratus ini bukanlah perkara baru yang menjadi tuntutan komuniti Cina. Namun pada saya, ia tidak perlu dan tidak sepatutnya diketengahkan dalam agenda mengukuhkan kedudukan ekonomi kaum Cina di negara ini.

Dua perkara ingin saya ketengahkan. Pertama, apakah kesan ekuiti Bumiputera ke atas kedudukan ekonomi komuniti Cina di negara ini selama ini? Dalam kata lain, adakah masyarakat Cina sudah diketepikan kedudukan mereka dalam menerajui ekonomi negara dengan wujudnya polisi berkaitan ekuiti atau, adakah Melayu betul-betul mendapat manfaat daripada peruntukan ekuiti ini dan seterusnya Melayu menjadi peneraju ekonomi negara ini. Keduanya, adakah salah, dari segi perundangan untuk kaum Bumiputera diberikan ekuiti berkenaan.

Pada saya, jawapan kepada kedua-dua soalan di atas sudah pasti begitu jelas. Hakikatnya sudah nyata. Walaupun dengan wujudnya 30 peratus ekuiti ini ekonomi masyarakat Cina masih lagi makmur dan ekonomi masyarakat Melayu masih lagi tidak setanding dengan kedudukan ekonomi komuniti Cina, apatah lagi untuk bersaing.

Kesan negatif daripada pemberian ekuiti kepada Bumiputera itu tidak menyerlah ke atas kekukuhan ekonomi komuniti Cina ini. Sejak dulu hingga kini, kehebatan dan ketinggian masyarakat Cina dalam bidang ekonomi tidak dapat dipersoalkan, walaupun diselubungi ekuiti Bumiputera berkenaan. Jika kesannya amat negatif kepada masyarakat Cina, negara tidak akan dapat menyaksikan begitu makmur sekali ekonomi masyarakat Cina di negara ini.

Adakah resolusi untuk mengurangkan peratusan ekuiti ini satu keadilan kepada Bumiputera? Atau ini menunjukkan komuniti Cina tidak mahu berkongsi kek ekonomi secara bijaksana dengan Bumiputera seperti yang disebut Presiden MCA?

Dari sudut undang-undang, masyarakat Melayu diberikan sedikit kelebihan menerusi Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga kedudukan Melayu untuk diberikan suatu kuota, antara lain bagi tujuan perniagaan.

Walaupun sekiranya dipandang sekali imbas Perkara 153 adalah satu bentuk diskriminasi, ia diskriminasi yang dibenarkan (positive discrimination) atau dalam istilah lain yang lebih popular ketika ini, affirmative action.

Bagi saya, Perkara 153 ini bukan ‘tongkat’ kepada Melayu, walaupun ramai yang menganggap Perkara 153 hanya bersifat ‘membantu’ Melayu yang mungkin akan rebah sekiranya tidak ada Perkara 153. Pada saya, Perkara 153 ini menunjukkan pengiktirafan undang-undang tertinggi negara kepada orang Melayu dan bukannya tongkat.

Perkara 153 ini juga pada saya adalah asas untuk sebarang pendekatan yang diambil oleh kerajaan untuk menjaga kelangsungan keadilan ekonomi Melayu.
Lebih-lebih lagi apabila sebarang dasar yang disandarkan kepada Perkara 153 ini, sekiranya perlu diubah, harus dirujuk kepada Majlis Raja-Raja, seperti yang termaktub di bawah Perkara 38(5) Perlembagaan Persekutuan. Keadaan ini menambahkan lagi kepentingan kedudukan keistimewaan Melayu di dalam Perlembagaan.

Pada saya pertanyaan atau persoalan berkaitan hak Melayu ini amat tidak ‘bermoral’ dalam amalan sistem Perlembagaan. Namun, sekiranya dilihat dari sudut peruntukan undang-undang jenayah, perbuatan seperti ini adalah satu hasutan yang membolehkan pendakwaan dilakukan.

Walauapapun pada pendapat saya, masyarakat Melayu, terutama pemimpin Melayu harus sedar bahawa tuntutan seperti ini adalah bertentangan dengan prinsip dan semangat Perlembagaan berkaitan kedudukan Melayu. Oleh itu, pemimpin Melayu tidak perlu menjadi terlalu berdiplomasi atau apologetik dalam menangani isu berkaitan kedudukan Melayu.

Semangat peruntukan Perlembagaan ini ialah untuk mengiktiraf kedudukan Melayu di negara ini. Ia juga amat jelas di dalam sejarah Tanah Melayu. Tugas dan tanggungjawab ini harus dipikul oleh kepemimpinan supaya pemimpin Melayu tidak lagi dituduh menjadi penyebab kepada kemunduran atau ‘kelayuan’ Melayu di tanah air sendiri.

Perkara 153 juga pada saya, adalah sebagai simbol keadilan kepada semua bangsa di negara ini. Apa yang penting di negara ini ialah keadilan, bukannya kesamarataan. Ini harus dihayati sepenuhnya oleh kepemimpinan negara.

Penyediaan sejumlah tertentu ekuiti kepada Melayu bukanlah bermakna menolak hak kaum lain dan ini jelas terbukti dengan kejayaan dan kemakmuran ekonomi masyarakat Cina di negara ini. Selain itu, keistimewaan Melayu mendapat pengiktirafan Perlembagaan Persekutuan, bukan semata-mata dasar pemerintahan negara.

Penulis ialah Penolong Profesor, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

15 August 2010

Isu hak Melayu bagai jolok sarang tebuan

Selamat membaca..........

Isu hak Melayu bagai jolok sarang tebuan

Oleh Mohd Zaini Abd Karim
2010/08/08

Dasar hartanah komersial, kediaman mewah perlu dilihat dari sudut sosioekonomi

AHLI Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, dari DAP mencadangkan supaya diskaun Bumiputera untuk hartanah komersial dan kediaman mewah di Selangor dihapuskan. Alasannya, ia mampu memberi persaingan dan menarik pelabur terhadap sektor hartanah di negeri itu.

Cadangan itu menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat. Artikel ringkas ini cuba untuk mengulas isu cadangan ini dari sudut implikasi ekonomi dan sosial. Pandangan di sini merujuk kesannya ke atas ekonomi dan sosial kerana kedua-duanya tidak boleh dipisahkan.

Dalam menilai sesuatu dasar seperti cadangan menghapuskan diskaun Bumiputera, kita harus melihat dari segi kos dan faedah pelbagai pilihan yang ada supaya warga dalam masyarakat demokrasi dapat membuat pilihan lebih baik sebelum sesuatu polisi itu dilaksana atau digantikan.

Seperti diketahui, Dasar Ekonomi Baru (DEB) bermatlamat secara umumnya menghapuskan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat bagi mengelak pengenalan sesuatu kaum berasaskan fungsi ekonomi.

Dalam mencapai matlamat menyusun semula masyarakat ini, antara strateginya ialah menambah pemilikan Bumiputera dalam bentuk hartanah melalui potongan harga khas atau diskaun yang diberikan kepada mereka.

Memang tidak dinafikan, berdasarkan teori ekonomi, sebarang herotan (distortion) pasaran menyebabkan ketidakcekapan dalam pasaran kerana menyebabkan agihan sumber tidak cekap.

Dalam konteks ini, wujudnya dualisme dalam harga pasaran hartanah yang menyebabkan wujud ketidakcekapan dan halangan kepada daya saing ekonomi negara. Ia dikatakan sebegitu disebabkan herotan ini, pasaran perumahan kurang penawaran daripada tahap optimumnya. Inilah dimaksudkan Pua agaknya apabila dia mengatakan dapat menarik pelabur memanfaatkan sektor hartanah di Selangor jika diskaun untuk Bumiputera dihapuskan.

Bagaimanapun, untuk menyatakan tanpa diskaun Bumiputera ini, pasaran secara automatik menjadi kompetitif dan berdaya saing adalah satu kenyataan yang simplistik. Ekonomi bukan semudah itu.

Banyak faktor bertindak balas dalam pasaran. Antaranya, kestabilan politik dan sosial mempengaruhi prestasi sesebuah ekonomi (dalam konteks negara kita, faktor keharmonian kaum sangat penting).

Kalau kita lihat pencapaian Bumiputera dalam pemilikan harta jauh daripada apa yang disasarkan dan ia amat jauh ketinggalan berbanding pemilikan kaum Cina.

Berdasarkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), 2006-2010, yang diterbitkan oleh Unit Perancang Ekonomi, pada 2007, pemilikan oleh Bumiputera hanya 15.7 peratus bagi bangunan dan 29.2 peratus bagi kategori kompleks perniagaan berbanding masing-masing 72.6 dan 69.4 peratus dimiliki kaum Cina.

Jika dilihat dari segi pemilikan premis perindustrian ia lebih mendukacitakan. Pemilikan Bumiputera hanyalah 3.5 peratus berbanding 87.2 peratus oleh kaum Cina.

Oleh itu, jika diskaun Bumiputera hartanah komersial dihapuskan, matlamat memperbetulkan ketidakseimbangan dalam pemilikan hartanah pasti tidak tercapai malah akan melebarkan lagi jurang ekonomi antara kaum.

Keadaan ini pasti merapuhkan keharmonian kaum dan sosial seterusnya kestabilan negara. Apabila ini berlaku, bagaimana kita boleh menumpukan kepada kesejahteraan ekonomi? Perlu diingatkan satu daripada objektif Wawasan 2020 ialah melahirkan masyarakat adil dengan keseimbangan ekonomi antara kaum.
Ahli ekonomi Britain, Dudley Seers, pernah berkata pembangunan bukan hanya pertumbuhan ekonomi semata-mata. Ia membabitkan kedua-dua aspek ekonomi dan sosial.

Beliau menilai pembangunan sebagai mengambil kira isu kemiskinan, pengangguran dan ketidaksamaan. Pandangan ini menunjukkan pembangunan perlu menguta-makan peningkatan dalam kesejahteraan sosial, bukannya sebagai hasil sampingan pertumbuhan ekonomi.

Bekas Canselor Jerman, Willy Brandt, atas kapasiti Pengerusi Isu Pembangunan Antarabangsa, pernah menulis bahawa pembangunan membawa bersamanya bukan saja idea peningkatan ekonomi malah peningkatan dalam maruah manusia, keselamatan, keadilan dan ekuiti.

Dalam hal ini, mesej yang ingin disampaikan ialah apa maknanya andai wujud pertumbuhan ekonomi yang pesat tanpa keseimbangan ekuiti. Lebih relevan lagi soalannya, apakah boleh wujud pertumbuhan ekonomi tanpa keseimbangan ekuiti?

Oleh itu, apa yang lebih penting akhirnya ialah bagaimana kita dapat meningkatkan kecekapan dan daya saing ekonomi negara tanpa menjejaskan kestabilan politik dan sosial.

Bagaimanapun, dalam jangka masa panjang, kita tidak boleh menjadikan ia sebagai alasan untuk menidakkan matlamat menjadikan ekonomi negara cekap dan kompetitif seperti yang digariskan dalam Model Baru Ekonomi (MBE).

Dalam konteks dasar penggalakkan pemilikan harta Bumiputera, mungkin dasar ini boleh disemak untuk kategori hartanah yang bernilai tinggi yang mana sudah dipastikan kategori ini hanya mampu dimiliki oleh golongan yang benar-benar tidak memerlukan diskaun.

Mungkin juga, kadar diskaun untuk Bumiputera ini diberikan secara lebih regresif untuk nilai hartanah yang melebihi sesuatu tahap. Mungkin juga, insentif lain perlu dicari yang mana insentif ini tidak akan memberi kesan herotan kepada pasaran.

Mungkin juga, kita boleh memberi tempoh bertenang sebelum apa-apa perubahan dasar ini dilaksanakan. Apa yang harus kita fahami ialah sukar untuk mempertahankan dasar seperti ini selama-lamanya jika kita ingin menjadi negara yang cekap dan kompetitif seperti digariskan MBE.

Tidak dapat tidak, tiba masanya nanti, dasar seperti ini dihapuskan. Oleh itu, pada masa depan, Bumiputera perlu bersedia dengan keadaan tiada lagi campur tangan oleh kerajaan sebagai jaringan keselamatan.

Penulis ialah pensyarah ekonomi Universiti Utara Malaysia

20 June 2010

Ilmuan Islam: Al-Mawardi tokoh ulama terkenal

Selamat membaca..........


Ilmuan Islam: Al-Mawardi tokoh ulama terkenal, kuasai banyak ilmu2010/06/20
SALAH seorang pemikir asas keilmuan politik Islam dan dianugerahi kebijaksanaan dalam bidang kehakiman adalah al-Mawardi. Nama sebenar ulama mazhab Syafie ini adalah Abu al Hasan Ali bin Habib al Mawardi dan lahir di kota pusat peradaban Islam klasik, Basrah (Baghdad) pada 386 H/975 M. Menyelami tiga kitab yang ditulis al-Mawardi iaitu al-Ahkam al-Sultaniah, Qanun al-Wizarah dan Nasihah al-Muluk, kita sudah pasti akan tahu siapa sebenarnya ilmuwan Islam ini. Dalam kitab pertama dibahaskan asas pentadbiran negara Islam, kitab kedua menyentuh aturan peraturan kementerian dan kitab ketiga pula dihimpunkan beberapa panduan nasihat, kata hikmah dan ucapan untuk kalangan raja.Apabila kita melihat kitab keempatnya iaitu al-Hawi al-Kabir, kita juga akan lebih mengetahui siapa sebenarnya susuk yang disebut orang Barat sebagai Alboacen.Ketokohannya ini terserlah hasil pendedahannya kepada bidang undang-undang ini. Sejak remaja lagi, al-Mawardi sudah terbabit dalam bidang undang-undang Islam yang mana beliau berguru kepada tokoh mazhab Syafie di Basrah, Abu al-Qasim Abdul Wahid al-Saimari. Selepas menguasai ilmu fekah, al-Mawardi melanjutkan pelajaran ke Baghdad dan mendalami ilmu sastera dan tata bahasa Arab, hadis, politik, falsafah, dan etika.Dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir, al-Mawardi termasuk salah seorang ulama yang memulakan penulisan fekah perbandingan mazhab. Ini berikutan usahanya mengetengahkan pandangan mazhab Syafie yang kemudian dilanjutkan dengan perbandingan mazhab-mazhab lain.Kemampuan al-Mawardi dalam menguasai pelbagai ilmu menghantarkannya kepada sebuah perjalanan karier yang cemerlang, termasuk hakim di jabatan pertama yang ditawarkan khalifah kepadanya. Ketokohannya sebagai hakim di beberapa wilayah kekuasaan Abbasiyah menyaksikannya bertugas di jabatan yang lebih kanan. Malah kemuncak kariernya adalah apabila diangkat sebagai ketua hakim di Baghdad.Kecemerlangan al-Mawardi itu menjadikan al-Qa’im bi Amrillah, seorang khalifah di penghujung kerajaan Abbasiyah untuk melantiknya sebagai duta besar kekhalifahan. Dia bertugas dari satu negeri ke negeri lainnya sebagai ketua misi khusus Khalifah Abbasiyah.Sebagai seorang penasihat politik, Al Mawardi memainkan peranan penting dan diakui sebagai salah seorang ahli hukum terbesar pada zamannya. Al Mawardi mengemukakan fiqh madzhab Syafi’i dalam karya besarnya Al Hawi, yang dipakai sebagai buku rujukan tentang hukum mazhab Syafi’i oleh ahli-ahli hukum di kemudian hari, termasuk Al Isnavi yang sangat memuji buku ini. Dua bukunya yang bertajuk, al-Ahkam al-Sultaniah dan Qanun al-Wizarah, turut diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa sehingga membat nama al-Mawardi dikenali di seluruh dunia. Dia diyakini sebagai seorang penulis Doctrine of Necessity dalam ilmu politik.Malah, dalam al-Ahkam al-Sultaniah dibahas cara pelantikan pemimpin termasuk ketua negara, para menteri, gabenor, panglima tentera, jihad, jawatan hakim, imam masjid dan pentadbirannya, pengumpulan zakat dan pengagihannya dan lain-lain secara terperinci.Satu lagi kitab yang ditulis ulama era Abbasiyah yang meninggal dunia pada 30 Rabiulawal tahun 450H bersamaan 27 Mei 1058M pada usia 86 tahun, adalah kitab Adab al-Dunya wa al-Din yang membincangkan kajian etika. Kitab ini masih dikaji oleh para cendekiawan masa kini dan telah memberikan banyak manfaat dalam bidang etika Islam.Menurut Imam al-Subki dalam kitab Tabaqat al-Syafi’iyah al-Kubra yang menghimpun semua ulama mazhab Syafie menyatakan bahawa al-Mawardi adalah seorang ulama yang sudah mencapai tahap keilmuan yang tinggi, tokoh mazhab terkenal serta pakar dalam segala bidang ilmu.
Hak Cipta Terpelihara 2010 - Berita Harian Sdn. Bhd.

16 May 2010

Kezaliman manusia punca masalah ekonomi

Selamat membaca..........

Ulul Albab: Kezaliman manusia punca masalah ekonomi

2010/05/16

Ekonomi Islam memerangi penganiayaan segelintir masyarakat dalam pengurusan harta

SELASA ini Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah untuk kali kedua Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) yang mana forum kali ini adalah yang keenam selepas yang kelima tahun lalu di Jakarta. Forum yang akan berlangsung selama tiga hari ini dijangka dihadiri 2,000 peserta dari dalam dan luar negara termasuk beberapa ketua negara Islam.

Forum ini bertujuan untuk dijadikan satu platform tunggal bagi pengumpulan bersama ekonomi Islam dan bukan Islam global menerusi perniagaan. Beberapa isu yang akan disentuh pada forum kali ini, antaranya mengenai penyediaan air bersih, perubahan iklim dan pendidikan orang ramai.

Sudah banyak perbincangan mengenai ekonomi Islam dan sudah banyak pula teori yang dihasilkan ahli ekonomi Islam moden. Permasalahan yang dihadapi sekarang ialah bagaimana mengaplikasikan teori yang berlandaskan wahyu ini dalam kehidupan umat.

Kita mengimani jika teori ekonomi Islam yang diambil dari ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi dilaksanakan dengan saksama dan bersungguh-sungguh sudah pasti umat Islam tidak akan diketepikan oleh masyarakat antarabangsa. Justeru, yang membezakan perekonomian mereka ialah ekonomi Islam di bawah panduan wahyu Ilahi, manakala ekonomi bukan Islam di bawah panduan hawa nafsu insani.

Konsep asas ekonomi Islam adalah memerangi kezaliman atau sikap aniaya sekelompok manusia ke atas kelompok yang lain dalam mengelola dan mengurus harta, bukan pada kemiskinan, kekurangan material dan pertentangan antara kuasa pengeluaran dengan sistem pengagihan.

Konsep ini berlandaskan firman Allah yang bermaksud: “(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di kalangan orang kaya.” (Surah al-Hasyr: 7)

Kita perhatikan sangat jelas dalam ayat di atas disebut ‘supaya harta itu tidak hanya beredar di kalangan orang kaya’ kerana ekonomi dunia hari ini tidak menerima konsep ekonomi rabbani ini makin kita menghadapi masalah serius ketidakadilan ekonomi yang mana yang kaya bertambah kaya, yang miskin hampir mendekati kekufuruan, seterusnya mendekati kekafiran.

Prof Muhammad Abdul Mun’im al-Jammal (1980) dalam Mausu’at al-Iqtisad al-Islami atau Ensiklopedia Ekonomi Islam menulis: “Menurut pandangan Islam masalah ekonomi bukanlah berpunca daripada kekurangan sumber alam yang kadang-kadang tidak mampu diterokai. Pandangan kapitalisme pula ialah tidak timbul hasil daripada berkurangnya kemampuan untuk mencapai matlamatnya yang mungkin juga menyebabkan berlaku keadaan sosial yang tidak adil di sepanjang rentetan sejarah (Marxisme).

Menurut pandangan Islam, masalah itu berpunca daripada kezaliman umat manusia sendiri bersikap tidak adil dalam pengagihan kekayaan (harta), serta tidak menghargai nikmat Allah dan cuai dalam menerokai alam serta sikap negatifnya terhadap nikmat itu ataupun tidak mampu menggunakan semua sumber yang dikurniakan oleh Allah kepadanya dengan cekap.

Islam sudah pun menyelesaikan masalah sikap tidak menghargai nikmat Allah melalui peraturan yang telah ditetapkannya dalam bidang pengeluaran dan pertukaran barangan. Islam juga dapat membasmi kezaliman melalui peraturan digariskan dalam bidang pengagihan dan penggunaan.

Islam tidak mengenal apa yang disebut dalam ekonomi moden kekurangan sumber untuk memenuhi keperluan seluruh manusia, bukan hanya satu golongan. Anggapan yang menyatakan demikian akan dipatahkan hujahnya oleh firman Allah yang mencipta langit dan bumi di mana manusia adalah sebahagian daripadanya.

Bagaimana kita mengatakan kita kekurangan sumber kemudian kita ditakutkan dengan kemiskinan yang disebabkan olehnya, sedangkan Allah Pencipta seluruh alam berfirman bermaksud: “Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Dia memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga memudahkan sungai untuk kamu (mengambil manfaat daripadanya). Dan Dia juga menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu. Dan Dia telah memberi kepada kamu tiap-tiap apa yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya, dan tidak menghargai nikmat Tuhannya.” (Surah Ibrahim: 32-34)

Sumber tidak akan habis seperti dalam ayat di atas ‘Dan Dia telah memberi kepada kamu tiap-tiap apa yang kamu hajati’. Begitu pula nikmat Allah tidak akan boleh dikira ‘dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya’. Bukankah ini ketetapan Ilahi untuk keperluan hidup makhluk-Nya?

Malangnya, propaganda segelintir manusia menakutkan sebahagian besar manusia yang lain kerana mereka sangat suka menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya dan yang lebih malang lagi, sebahagian besar manusia ini tidak menyedari propaganda segelintir manusia berkenaan adalah satu kebohongan kerana mereka tidak mengimani ajaran Allah SWT.

Seandainya umat Islam benar-benar melaksanakan ekonomi rabbani, mereka dengan sendirinya membuktikan agama mereka meraikan rahmatan lil’alamin, rahmat untuk seluruh alam. Tetapi sebaliknya, kerana mereka menjauhi ekonomi rabbani akhirnya mereka dianggap beban bagi manusia selain mereka. Wallahualam.

Kita tidak takut kepada kemiskinan tetapi yang kita khuatiri adalah kezaliman segelintir manusia yang memaksa kita menjadi miskin kerana mereka disifatkan al-Quran sebagai ‘zalumun kaffar’. Wallahualam.

Hak Cipta Terpelihara 2010 - Berita Harian Sdn. Bhd.

Kajian Ibnu Khaldun tak bersandar kepada andaian

Selamat membaca..........

Ilmuan Islam: Kajian Ibnu Khaldun tak bersandar kepada andaian

2010/05/16

KETIKA seorang budak lelaki yang diberi nama Abdul Rahman ibn Muhammad ibn Khaldun dilahirkan pada 732 Hijrah/1332 Masihi di Tunisia, orang tidak perasan bahawa dia pada kemudian hari akan mempunyai nama terbilang dalam sejarah tamadun manusia. Bahkan ketika beliau yang mempunyai keturunan asal dari Yaman menulis buku agungnya al-Muqaddimah yang di Barat dikenali dengan tajuk Prolegomena dalam usia 36 tahun, beliau sendiri pun tidak pernah menjangka beliau menjadi antara gergasi pelbagai pemikiran dan disiplin ilmu diperakui dunia.

Itulah yang berlaku pada hari ini, budak lelaki yang kemudian meninggal dunia pada 808 Hijrah/ 1406 Masihi di Mesir itu, sumbangan keilmuwannya dalam pelbagai bidang diperakui dunia. Sehingga sesetengah penulis mengatakan bahawa Ibnu Khaldun dianggap sebagai pelopor aliran ilmiah dalam ekonomi moden dan juga tokoh yang mula-mula menyeru kepada sistem ekonomi bebas.

Dalam bukunya di atas yang menjadi pendahuluan kepada kitab besarnya, al-‘Ibar yang mengandungi 6 jilid, dibahas kajian ekonomi yang berkaitan dengan demografi, kegiatan ekonomi, hasil kekayaan, pengeluaran, harga, penawaran, permintaan, pertumbuhan penduduk, pembentukan modal, pembiayaan awal dan kitaran perniagaan. Maka tidak hairanlah ada yang berani menyatakan bahawa buku ini disamakan dengan The Wealth of Nations karangan Adam Smith yang datang 300 tahun kemudian.

Sedangkan dalam al’Ibar, Ibnu Khaldun membincangkan persoalan ekonomi yang berkaitan dengan masalah pemakanan, perkembangan masyarakat desa dan kota, pengertian rezeki, nafkah dan soal ekonomi umumnya. Dengan usia yang panjang sampai 87 tahun, Ibnu Khaldun banyak merantau di Afrika Utara dan Andalus. Beliau berpindah ke Algeria, Fez (Maghrib), Granada dan Mesir. Antara jawatan yang pernah dipegangnya selama meniti kerjaya adalah Setiausaha Negara, Anggota Majlis Ilmiah, Anggota Jabatan Setiausaha Sulit, Duta Granada, Perdana Menteri Bougie, Ketua Hakim Mesir.

Ibnu Khaldun sangat tekun belajar untuk mencari ilmu, berjiwa pemimpin dan memiliki daya kreatif yang tinggi. Ini semua dibuktikan dalam hasil tulisannya. Beliau membangunkan idea bahawa tugas kerajaan hanya terhad kepada mempertahankan rakyatnya daripada keganasan, melindungi harta persendirian, menghalang penipuan dalam perdagangan dan menguruskan penghasilan wang.

Pemerintah juga melaksanakan kepemimpinan politik bijaksana dengan perpaduan sosial dan kuasa tanpa paksaan.

Ibn Khaldun memajukan teori nilai dan hubung kaitnya dengan tenaga buruh, memperkenalkan pembahagian tenaga kerja, menyokong pasaran terbuka, menyedari kesan dinamik permintaan dan bekalan ke atas harga dan keuntungan.

Beliau turut menyokong perdagangan bebas dengan orang asing, dan percaya kepada kebebasan memilih bagi membenarkan rakyat bekerja keras untuk diri sendiri.

Kajian dan tulisan Ibnu Khaldun tidak bersandarkan kepada andaian semata. Malah ia berdasarkan kepada kajian empirikal sehingga membuat kajian dan tulisannnya itu lebih diterima oleh ilmuwan lain dari dunia bukan Islam.

Muhammad Hilmi Murad (1962) secara khas telah menulis sebuah karya ilmiah bertajuk Abul Iqtishad: Ibnu Khaldun (Bapa Ekonomi: Ibnu Khaldun). Dalam kajian ini dibuktikan secara ilmiah oleh penulisnya bahawa Ibnu Khaldun sebagai pengasas pertama ilmu ekonomi secara empirikal. Karya berkenaan disampaikannya pada simposium mengenai Ibnu Khaldun pada 1978 di Mesir.

Sebelum Ibnu Khaldun, kajian ekonomi di dunia Barat masih bersifat normatif, ada kalanya dikaji dari perspektif undang-undang, moral dan ada pula dari perspektif falsafah. Karya mengenai ekonomi oleh ilmuwan Barat, seperti ilmuwan Yunani dan zaman Scholastic bercorak tidak ilmiah, kerana pemikir zaman pertengahan memasukkan kajian ekonomi dalam kajian moral dan undang-undang.

Sedangkan Ibnu Khaldun mengkaji masalah ekonomi masyarakat dan negara secara empirikal. Dia menjelaskan fenomena ekonomi secara aktual. Sebagai contoh, Ibnu Khaldun menyatakan bahawa apabila barang (yang dibawa dari luar) sedikit dan berkurangan, harganya akan naik. Sebaliknya, apabila negeri berdekatan dan perjalanannya selamat, akan terdapat ramai (peniaga yang) akan mengangkut barang, oleh itu barang akan berlebihan dan harga akan jatuh.

Usaha kerjasama tidak bermaksud untuk tujuan monopoli. Islam tidak memandang monopoli itu sesuatu yang baik, kerana monopoli lebih bertujuan memeras dan menyekat kebebasan pasaran. Oleh itu, Ibnu Khaldun menganggap bahawa monopoli perdagangan dan pertanian hanya akan menghancurkan ekonomi, bukannya membangunkannya.

Ibn Khaldun, menurut Boulokia (1971) dalam tulisannya “Ibn Khaldun: A Fourteenth Century Economist” menemukan sejumlah besar idea dan pemikiran ekonomi fundamental, beberapa abad sebelum kelahiran rasminya (di Eropah). Dia menemukan keutamaan dan pentingnya suatu pembahagian kerja sebelum ditemukan Smith dan prinsip mengenai nilai kerja sebelum Ricardo.

Hak Cipta Terpelihara 2010 - Berita Harian Sdn. Bhd

17 April 2010

Kisah syahid si cilik Palestin

Selamat membaca..........


Kisah syahid si cilik Palestin jadikan iktibar
Oleh Al Amin Mohamed Sultan2010/04/17

Remaja di negara berkonflik dahaga ilmu tetapi generasi muda kita hanyut dengan kemewahanBUKAN setahun dua tetapi pencerobohan haram Yahudi ke atas tanah orang Islam Palestin berlaku sejak 1948 lagi. Kejadian itu mengubah keseluruhan landskap negara berdaulat yang disemai dengan kasih sayang serta menyimpan pelbagai nostalgia silam sehingga terdedah kezaliman dan penindasan berterusan.Sudah sekian lama tidak kelihatan ketenangan dan kedamaian tetapi dipenuhi tangisan dan darah.

Malaysia, antara negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam, semakin peka dengan isu kemanusiaan di Palestin kerana dasar akidah dan tanggungjawab sebagai saudara seagama.Tiada yang dapat menafikan tunjang kebangkitan dan kekuatan kedua-dua negara ini adalah remaja serta belia yang akan menjadi pelapis, pelindung dan penerus amanah dakwah dan kepemimpinan. Mereka inilah yang akan meneruskan ‘baton’ kepemimpinan mahupun perjuangan menentang kezaliman yang menjadi lubuk serangan pihak musuh.

Berbicara mengenai remaja dan belia, umum mengetahui lebih separuh rakyat Malaysia adalah belia sekali gus meletakkan negara cukup hebat dari segi simpanan aset remaja dan pemuda yang diidam-idamkan kerana potensi yang ada pada diri mereka ini.Mari kita renungkan cerita yang membuka mata seluruh dunia dengan tindakan cekal seorang remaja dalam membuktikan semangat orang muda iaitu kisah syahidnya Fares Audah, 12, si cilik dari kem pelarian Jabalia di Palestin.Kisah bagaimana keberanian seorang remaja menyahut panggilan intifada dengan hanya menggunakan batu sebagai senjata untuk mempertahankan bumi anbia dan tempat kiblat pertama umat Islam.

Serangan ditujukan bukan kepada burung atau kucing tetapi kereta kebal Yahudi yang menyerang dan menghancurkan tanah lahirnya. Itulah rutin harian Fares Audah selepas balik sekolah bersama rakan sebaya. Walaupun ibunya sering kali risau tindakannya, tetapi dia menjawab: “Kenapa kita tidak boleh menyerang mereka, sedangkan mereka menyerang kita.”Malah tindakan itu menyebabkan Yahudi takut dan berundur akibat balingan batu ini. Selepas 40 hari bertempur dengan kereta kebal Yahudi menjadikan Fares Audah sebagai ancaman kepada Yahudi. Ketika tangan kanan kuat menggenggam batu berdepan muncung kereta kebal Yahudi Laknatullah, tentera Yahudi menggunakan ‘penembak curi’ yang menembaknya tepat di kepala.Kematian Fares Audah disambut dengan parti memabukkan oleh tentera Yahudi bagi meraikan kemenangan ke atas si cilik bertuah yang bergelar as-Syahid.

Itulah kisah pengorbanan agung seorang remaja hasil didikan dan pemahaman yang betul.Itu kisah terpuji di negara perang yang sudah lama tidak kenal erti kedamaian, kesejahteraan serta kasih sayang keluarga yang kurang akibat kematian orang tersayang. Di sana tiada sistem persekolahan teratur dan seribu macam masalah lagi. Jadi, bagaimana pula remaja kita yang sepatutnya lebih hebat daripada yang diceritakan kerana kita sentiasa dalam keamanan, kesenangan dan kesejahteraan serta penuh teknologi dan seribu macam lagi keselesaan.

Bagaimana dengan isu remaja tonggak pelapis di Malaysia? Jika hanya satu kisah Fares Audah yang dipersembahkan, apakah ada yang setandingnya dalam mempertahankan Islam dan perjuangan di bumi Malaysia tercinta ini?Semua pihak perlu jelas dengan realiti remaja kita ketika ini yang terlalu dimanjakan. Kita juga kurang fokus terhadap mereka berhubung sistem atau acuan yang benar-benar mantap untuk membentuk pemahaman, jati diri dan rasa tanggungjawab. Kita lihat pengaruh hedonisme atau menjadikan falsafah keseronokan dan hiburan sebagai matlamat hidup. Ini menjadikan hilangnya nilai ketimuran dalam tindak-tanduk remaja. Ini belum lagi kisah remaja semuda 12 tahun menubuhkan kumpulan black metal dianggotai rakan sebaya seperti pernah dilaporkan berlaku di Sungai Petani, Kedah.

Bagaimana perbandingan antara semangat, wawasan dan ketaatan Fares Audah dengan remaja di Malaysia pada usia mereka yang sebaya? Satu persatu boleh dirungkai. Jika di Palestin, menuntut ilmu sangat dititikberatkan sehingga batu dijadikan pensil manakala tanah dijadikan kertas dalam kesungguhan anak kecil di sana menuntut ilmu walaupun dalam keadaan perang. Yang menjadi dinding bukan binaan indah tetapi khemah pelarian tidak beratap. Kawasannya penuh habuk dan kesan kimia daripada penggunaan senjata Yahudi, bukannya selesa dengan keadaan berhawa dingin. Mereka mendesak pengganas, ti dak dihiraukan perkara lain sehingga belajar di bawah muncung senapang yang sentiasa diacukan kepada mereka.

Lain kisahnya di negara kita. Walaupun disediakan sistem yang tersusun, guru yang ramai dan berkelayakan, sumber dan bahan rujukan lebih daripada mencukupi, kemudahan internet, kawasan pembelajaran yang efektif dan kondusif serta pelbagai kemudahan terus meletakkan remaja di zon selesa tetapi apa yang terjadi pada mereka?Gejala lepak berterusan tanpa sebarang rasa tanggungjawab terhadap ilmu dan masa depan. Ini ditambah pembabitan dalam gangsterisme, berjudi, melawan guru, penyalahgunaan dadah, mencabul kehormatan dan pelbagai lagi. Jika ditunjukkan statistik, pasti semua pihak akan terus menuding jari dan menggeleng kepala melihat teruknya tahap pemikiran, pemahaman dan perlakuan sebahagian besar remaja kita. Adakah kita tidak mengambil iktibar bagaimana dalam keadaan perang yang sangat dahsyat, Palestin bersungguh-sunguh menerapkan ilmu agama dan berjaya melahirkan 15,000 anak Palestin yang hafiz al-Quran. “Pemimpin kami mendapat tarbiyah daripada Masjid Al-Aqsa dan kami pula mengajar anak-anak Palestin. Musim luruh lalu, kami berjaya lahirkan 15,000 anak-anak Palestin yang hafiz al-Quran.” Demikian antara petikan kata pemimpin Hamas, Sami Abu Zuhri, yang menceritakan antara kejayaan perjuangan pertubuhan Islam itu selain membebaskan bumi Anbia daripada rejim Zionis Israel.Di mana kita dan di mana mereka? Banyak lagi perkara memalukan yang tidak mampu kita tempuh dan remaja terus dilalaikan dengan pelbagai perkara lagi.

Penulis ialah Presiden Persatuan Alumni Universiti Teknikal Malaysia Melaka (AUTeM), kini tutor di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, UTeM.
Hak Cipta Terpelihara 2010 - Berita Harian Sdn. Bhd.

27 February 2010

Sentiasa bersyukur digandakan nikmat

Selamat membaca..........

Sentiasa bersyukur digandakan nikmat
Oleh Amran Zakaria
Umat Islam perlu menghargai, beri balasan ikut kemampuan bagi setiap sumbangan diterimaBERSYUKUR dan berterima kasih adalah manifestasi perasaan diluahkan manusia sebagai kemuncak menghargai sesuatu diterima. Disebut juga sebagai tasyukur yang membawa maksud berterima kasih yakni berterima kasih kepada Allah atas segala nikmat yang dikurniakan. Kedua-duanya adalah sifat yang bergerak dari dalam perasaan secara semula jadi. Biasanya anjakan perasaan itu mengiringi rasa nikmat diperoleh seseorang berkaitan dengan kepuasan hati dan perasaan diterjemahkan dengan ungkapan puji-pujian tanda penghargaan.

Ingatlah, Allah mengurniakan nikmat kepada seluruh makhluk-Nya semata-mata untuk disyukuri, bukan untuk dikhianati. Sesungguhnya Allah pemberi nikmat sebenar yang menjanjikan tambahan nikmat kepada mereka yang bersyukur dan azab seksa amat pedih bagi mereka yang kufur. Allah berfirman bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: 'Demi sesungguhnya. Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Surah Ibrahim, ayat 7). Luahan rasa syukur seseorang itu sebenarnya dapat dirungkai melalui tiga dimensi, iaitu mengetahui akan nikmat, menerima nikmat dan memuji akan pemberi nikmat. Pertama, mengetahui nikmat bererti seseorang itu tahu akan kehadiran nikmat itu dalam dirinya bersaksikan fikiran yang memperakui.
Kedua, menerima dan merasai akan nikmat itu dengan perasaan yang terlalu sukacita bila mana hati dan perasaannya dalam suasana mekar. Ketiga, memuji kepada pemberi nikmat melalui rangsangan hati yang diluahkan sebagai tanda kesyukuran melalui ungkapan puji-pujian. Orang yang bersyukur kepada Allah akan memperbanyakkan ucapan syukur dan terima kasih kepada-Nya. Mereka akan mengerjakan ketaatan kepada Allah dan akan membesarkan nikmat yang diterima dengan penuh kesyukuran dan puji-pujian. Sesungguhnya bersyukur kepada Allah adalah wajib dan amat dituntut. Adapun bersyukur kepada Allah menjadi pengakuan insan mengesahkan semua nikmat yang dikecapi adalah pemberian Allah kepada makhluknya atas sifat Allah yang Maha Kaya, Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Penyantun. Lawan perkataan syukur nikmat adalah kufur nikmat iaitu mengingkari secara nyata atau tersembunyi segala kenikmatan diterima bukannya pemberian Allah. Oleh itu, ternyata kufur nikmat berpotensi ke arah merosak dan mencederakan keimanan seseorang. Berterima kasih kepada sesama manusia lebih cenderung menunjukkan perasaan senang untuk menghargai atas pertolongan dan sumbangan yang diberikan, sama ada melalui pemikiran, tenaga dan wang ringgit yang dijelmakan dalam pelbagai nama.
Lafaz kesyukuran dan ungkapan terima kasih sebenarnya tidak perlu dipaksa kepada penutur untuk menuturkannya. Ia bersifat semula jadi dengan jiwa dan fitrah murni manusia. Selama mana fitrah ini tidak dirosakkan anasir riak, bongkak, angkuh dan sombong pastinya lafaz berterima kasih akan menguntum kepada setiap manusia kepada insan lain yang menabur jasa dan budi kepadanya. Dalam menjalani kehidupan harian, Allah menjadikan manusia untuk sentiasa saling berhubung, bekerjasama, bantu membantu dan berjasa sesama mereka. Justeru, sifat berterima kasih kepada orang yang berjasa perlu ada kepada diri seorang insan sebagai memenuhi tuntutan syarak. Daripada sifat berterima kasih ini akan menjalar subur kepada perasaan kasih sayang dan kemesraan sesama masyarakat. Namun apabila perasaan ini hilang atau tiada langsung kepada diri manusia akibat rasa kebencian yang membuak, pastinya mengundang pelbagai tohmahan dan cacian memanjang hingga berakhir dengan perpecahan. Kurniaan dan nikmat Allah tidak terbatas banyaknya termasuklah nikmat Islam, kehidupan, kesihatan, kecerdasan, pancaindera, keharmonian dan keamanan, segar dan nyaman, ilmu, akal, iman, pangkat, jawatan, kawan, tidur dan lain-lain yang tidak terhitung banyaknya. Mereka yang tidak menghayati semua nikmat yang mereka terima, nescaya orang seperti ini termasuk dalam golongan yang ingkar. Mereka dengan sombong dan angkuhnya mengingkari nikmat dikurniakan Allah yang memberi petanda kerugian kepadanya. Kurnia itulah yang disampaikan Allah sebagai berita gembira kepada hamba-Nya yang beriman dan mengerjakan kebaikan. Firman Allah yang bermaksud: "Aku tidak meminta upah kepadamu atas seruanku ini, kecuali hanya kasih sayang dalam kekeluargaan. Siapa yang mengerjakan kebaikan, kami lipat gandakan kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Penilai." (Ash-Syura : 23) Rasulullah SAW menjadikan sikap berterima kasih sesama manusia ini sebagai tanda seorang itu bersyukur kepada Allah. Soalnya sekarang bagaimana cara dan kaedahnya untuk menyalurkan perasaan terima kasih kita kepada manusia. Dalam hal ini Rasulullah menunjuk ajar cara terbaik untuk diikuti seperti mana sabda Baginda yang bermaksud: "Barang siapa yang melakukan kebaikan kepadamu, maka balaslah dia, jika kamu tidak dapati apa-apa untuk membalas, maka berdoalah untuknya hingga kamu dapati bahawa kamu membalasnya." (Riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i) Sebenarnya, membalas jasa orang yang pernah membantu kita adalah tanda sikap terima kasih, demikian juga mendoakan dengan ikhlas kebaikan untuknya. Di samping itu turut disaran supaya kita menyatakan penghargaan atas sumbangan diberikan. Kita juga dengan penuh ikhlas dan sedaya upaya perlu mengiktiraf bantuan yang diterima walaupun cuma sedikit, apatah lagi bantuan yang diberi itu terlalu besar maknanya kepada kita dan keluarga.

26 January 2010

Sekolah Berprestasi Tinggi

Selamat membaca..........

20 sekolah hebat

Oleh Johari Ibrahim


Kumpulan pertama Sekolah Berprestasi Tinggi diberi autonomi

PUTRAJAYA: Misi mengangkat sekolah negara ini ke taraf dunia bermula semalam dengan pemilihan kumpulan pertama 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang menyaksikan pengetua dan guru besar diberi autonomi tambahan dalam pengurusan kurikulum, kewangan dan kakitangan.

Autonomi itu antara lain memberi kelonggaran memanjangkan waktu persekolahan, menamatkan tempoh persekolahan pelajar cemerlang setahun lebih awal, mengagihkan kewangan mengikut keperluan serta mengambil kakitangan berdasarkan pencapaian dan bukan kekananan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata SBT dibimbing dan dipantau secara khusus menjamin berlaku lonjakan prestasi secara berterusan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata penilaian SBT akan dibuat berdasarkan laporan tahunan petunjuk keberhasilan dan pemeriksaan sekolah mengikut Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang diubah suai.

Beliau bagaimanapun menjelaskan SBT bukan sekolah elit untuk sebilangan kecil pelajar, sebaliknya semua sekolah mempunyai peluang sama dan boleh bersaing ‘di padang sama rata’ bagi mendapat pengiktirafan itu.

“Tahun ini kita sasarkan 20 sekolah mengikut sub Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) kementerian, manakala 30 pada tahun depan dan 50 lagi pada 2012,” katanya pada sidang media mengumumkan senarai kumpulan pertama SBT yang meliputi 14 sekolah menengah (SM) dan enam sekolah rendah.

SM yang terpilih termasuk empat sekolah harian, iaitu SM Kebangsaan (P) Sri Aman, Petaling Jaya; SMK Sultanah Asma, Alor Setar; SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan SMK (P) St George, Pulau Pinang.

Muhyiddin berkata, 20 sekolah berkenaan dipilih daripada 10,000 sekolah di seluruh negara berdasarkan kriteria tertentu termasuk menunjukkan pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.

Mengenai nasib sekolah pedalaman, Muhyiddin berkata, mungkin mereka akan menghadapi cabaran kerana kemudahan yang belum setara dengan sekolah bandar, tetapi tetap boleh diiktiraf sebagai SBT jika memenuhi kriteria.

"Ini bukan usaha jangka pendek dan tak mungkin semua 10,000 sekolah naik ke tahap begitu, di mana dunia pun tidak begitu, tetapi tak kira bandar, luar bandar atau pedalaman, kalau prestasi bagus dia akan diiktiraf SBT manakala kemudahan di pedalaman kita akan terus perbaiki," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kementerian belum ada mekanisme khusus mengenai langkah autonomi SBT yang membenarkan tempoh persekolahan ditamatkan setahun lebih awal bagi murid cemerlang.

"Panduan kasarnya ialah kerajaan berasakan pelajar cemerlang dibenarkan menamatkan persekolahan setahun lebih awal, tetapi ia akan bergantung kepada cadangan pengetua dan guru besar,” katanya.

SEKOLAH TERPILIH SBT

Sekolah Berasrama Penuh:
  • Sekolah Tun Fatimah (Johor Bahru)
  • Sekolah Dato’ Abdul Razak (Seremban)
  • Kolej Melayu Kuala Kangsar
  • Sekolah Seri Puteri (Cyberjaya)
  • Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (Jitra)
  • Kolej Tunku Kurshiah (Seremban)
  • Kolej Islam Sultan Alam Shah (Klang)
  • Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra (Perlis)
  • Sekolah Sultan Alam Shah (Putrajaya)
  • SMS Muzaffar Syah (Melaka)


Sekolah Menengah Harian:
  • Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman (Petaling Jaya)
  • SMK Aminuddin Baki (Kuala Lumpur)
  • SMK Sultanah Asma (Alor Setar)
  • SMK (P) St George (Pulau Pinang)


Sekolah Rendah:
  • Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara (KL)
  • SK Taman Tun Dr Ismail 1 (Kuala Lumpur)
  • SK Bukit Damansara (KL)
  • SK Zainab (2) (Kota Bharu)
  • SK Convent Kota (Taiping)
  • SK Bandar Baru Uda 2 (Johor Bahru)


Sekolah diberi autonomi:
  • Fleksibel dalam pengajaran dan pembelajaran serta silibus bagi subjek wajib dan elektif
  • Boleh menggunakan bahasa pengantar bahasa kebangsaan atau pelbagai bahasa lain.
  • Kelonggaran menetapkan waktu pengajaran minimum sesuatu mata pelajaran.
  • Memanjangkan waktu persekolahan.
  • Membenarkan tempoh persekolahan bagi pelajar cemerlang ditamatkan setahun lebih awal (seperti kelas lompat).
  • Fleksibiliti untuk mengagihkan kewangan mengikut keperluan.
  • Pengecualian daripada perolehan secara berpusat.
  • Bajet tambahan antara RM500,000 hingga RM1 juta setahun.
  • Mengambil staf berdasarkan prestasi pencapaian dan bukan kekananan.
  • Boleh menyediakan bayaran kerja lebih masa dan ganjaran berdasarkan prestasi kepada semua staf.
  • Boleh memindahkan staf jika prestasi kurang memuaskan.
  • Pengagihan fungsi berdasarkan akademik dan bukan akademik.


Kriteria pemilihan SBT :
  • Pencapaian akademik yang cemerlang.
  • Melahirkan personaliti unggul.
  • Merangkul anugerah kebangsaan dan antarabangsa.
  • Mewujudkan jalinan dengan institusi pengajian tinggi.
  • Mempunyai permuafakatan jitu dengan masyarakat serta jaringan kukuh dengan sekolah tempatan dan antarabangsa.
  • Menjadi penanda aras kepada sekolah dalam dan luar negara.

Hak Cipta Terpelihara 2010 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas.