Selamat membaca..........
Sentiasa bersyukur digandakan nikmat
Oleh Amran Zakaria
Umat Islam perlu menghargai, beri balasan ikut kemampuan bagi setiap sumbangan diterimaBERSYUKUR dan berterima kasih adalah manifestasi perasaan diluahkan manusia sebagai kemuncak menghargai sesuatu diterima. Disebut juga sebagai tasyukur yang membawa maksud berterima kasih yakni berterima kasih kepada Allah atas segala nikmat yang dikurniakan. Kedua-duanya adalah sifat yang bergerak dari dalam perasaan secara semula jadi. Biasanya anjakan perasaan itu mengiringi rasa nikmat diperoleh seseorang berkaitan dengan kepuasan hati dan perasaan diterjemahkan dengan ungkapan puji-pujian tanda penghargaan.
Ingatlah, Allah mengurniakan nikmat kepada seluruh makhluk-Nya semata-mata untuk disyukuri, bukan untuk dikhianati. Sesungguhnya Allah pemberi nikmat sebenar yang menjanjikan tambahan nikmat kepada mereka yang bersyukur dan azab seksa amat pedih bagi mereka yang kufur. Allah berfirman bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: 'Demi sesungguhnya. Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Surah Ibrahim, ayat 7). Luahan rasa syukur seseorang itu sebenarnya dapat dirungkai melalui tiga dimensi, iaitu mengetahui akan nikmat, menerima nikmat dan memuji akan pemberi nikmat. Pertama, mengetahui nikmat bererti seseorang itu tahu akan kehadiran nikmat itu dalam dirinya bersaksikan fikiran yang memperakui.
Kedua, menerima dan merasai akan nikmat itu dengan perasaan yang terlalu sukacita bila mana hati dan perasaannya dalam suasana mekar. Ketiga, memuji kepada pemberi nikmat melalui rangsangan hati yang diluahkan sebagai tanda kesyukuran melalui ungkapan puji-pujian. Orang yang bersyukur kepada Allah akan memperbanyakkan ucapan syukur dan terima kasih kepada-Nya. Mereka akan mengerjakan ketaatan kepada Allah dan akan membesarkan nikmat yang diterima dengan penuh kesyukuran dan puji-pujian. Sesungguhnya bersyukur kepada Allah adalah wajib dan amat dituntut. Adapun bersyukur kepada Allah menjadi pengakuan insan mengesahkan semua nikmat yang dikecapi adalah pemberian Allah kepada makhluknya atas sifat Allah yang Maha Kaya, Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Penyantun. Lawan perkataan syukur nikmat adalah kufur nikmat iaitu mengingkari secara nyata atau tersembunyi segala kenikmatan diterima bukannya pemberian Allah. Oleh itu, ternyata kufur nikmat berpotensi ke arah merosak dan mencederakan keimanan seseorang. Berterima kasih kepada sesama manusia lebih cenderung menunjukkan perasaan senang untuk menghargai atas pertolongan dan sumbangan yang diberikan, sama ada melalui pemikiran, tenaga dan wang ringgit yang dijelmakan dalam pelbagai nama.
Lafaz kesyukuran dan ungkapan terima kasih sebenarnya tidak perlu dipaksa kepada penutur untuk menuturkannya. Ia bersifat semula jadi dengan jiwa dan fitrah murni manusia. Selama mana fitrah ini tidak dirosakkan anasir riak, bongkak, angkuh dan sombong pastinya lafaz berterima kasih akan menguntum kepada setiap manusia kepada insan lain yang menabur jasa dan budi kepadanya. Dalam menjalani kehidupan harian, Allah menjadikan manusia untuk sentiasa saling berhubung, bekerjasama, bantu membantu dan berjasa sesama mereka. Justeru, sifat berterima kasih kepada orang yang berjasa perlu ada kepada diri seorang insan sebagai memenuhi tuntutan syarak. Daripada sifat berterima kasih ini akan menjalar subur kepada perasaan kasih sayang dan kemesraan sesama masyarakat. Namun apabila perasaan ini hilang atau tiada langsung kepada diri manusia akibat rasa kebencian yang membuak, pastinya mengundang pelbagai tohmahan dan cacian memanjang hingga berakhir dengan perpecahan. Kurniaan dan nikmat Allah tidak terbatas banyaknya termasuklah nikmat Islam, kehidupan, kesihatan, kecerdasan, pancaindera, keharmonian dan keamanan, segar dan nyaman, ilmu, akal, iman, pangkat, jawatan, kawan, tidur dan lain-lain yang tidak terhitung banyaknya. Mereka yang tidak menghayati semua nikmat yang mereka terima, nescaya orang seperti ini termasuk dalam golongan yang ingkar. Mereka dengan sombong dan angkuhnya mengingkari nikmat dikurniakan Allah yang memberi petanda kerugian kepadanya. Kurnia itulah yang disampaikan Allah sebagai berita gembira kepada hamba-Nya yang beriman dan mengerjakan kebaikan. Firman Allah yang bermaksud: "Aku tidak meminta upah kepadamu atas seruanku ini, kecuali hanya kasih sayang dalam kekeluargaan. Siapa yang mengerjakan kebaikan, kami lipat gandakan kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Penilai." (Ash-Syura : 23) Rasulullah SAW menjadikan sikap berterima kasih sesama manusia ini sebagai tanda seorang itu bersyukur kepada Allah. Soalnya sekarang bagaimana cara dan kaedahnya untuk menyalurkan perasaan terima kasih kita kepada manusia. Dalam hal ini Rasulullah menunjuk ajar cara terbaik untuk diikuti seperti mana sabda Baginda yang bermaksud: "Barang siapa yang melakukan kebaikan kepadamu, maka balaslah dia, jika kamu tidak dapati apa-apa untuk membalas, maka berdoalah untuknya hingga kamu dapati bahawa kamu membalasnya." (Riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i) Sebenarnya, membalas jasa orang yang pernah membantu kita adalah tanda sikap terima kasih, demikian juga mendoakan dengan ikhlas kebaikan untuknya. Di samping itu turut disaran supaya kita menyatakan penghargaan atas sumbangan diberikan. Kita juga dengan penuh ikhlas dan sedaya upaya perlu mengiktiraf bantuan yang diterima walaupun cuma sedikit, apatah lagi bantuan yang diberi itu terlalu besar maknanya kepada kita dan keluarga.
No comments:
Post a Comment