Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

21 August 2009

Puasa sunat selepas 15 Syaaban

Selamat membaca..........

BENARKAH mengerjakan puasa sunat selepas 15 Syaaban adalah diharamkan?


Rasulullah SAW bersabda dari hadis Abu Hurairah bermaksud,: “Apabila sudah berlalu separuh dari bulan Syaaban, maka janganlah kamu berpuasa”. (Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis berkenaan, majoriti ulama berpendapat umat Islam tidak digalakkan melakukan puasa sunat selepas 15 Syaaban kecuali tiga perkara berikut iaitu: berpuasa kerana bernazar; puasa Kaf-farah (denda) dan berpuasa Qada (ganti). Ketiga-tiga sebab yang dimaksudkan itu mempunyai hujah kukuh untuk melakukan ibadat puasa bagi menyempurnakan puasa yang mereka tinggal, niatkan atau akibat kelalaian yang dilakukan.

Namun bagi, mereka yang sudah biasa melakukan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis, disunatkan meneruskannya sehingga penghujung bulan Syaaban. Kesimpulannya, larangan Nabi SAW itu ditujukan kepada mereka yang hanya melakukan ibadat puasa sunat ini semata-mata untuk menyambut ketibaan Ramadan.


Adakah boleh bagi seseorang yang sakit tidak berpuasa Ramadan kerana pada tempoh berkenaan menjalani sesi rawatan dan perubatan?



Bagi mereka yang menjalani rawatan pada Ramadan, diharuskan berbuka puasa dan menggantikannya pada hari lain atau selepas sembuh. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Barang siapa yang sakit atau bermusafir, maka bolehlah dia menggantikan pada hari yang lain (qada). Sesungguhnya Allah menginginkan kemudahan bagi kamu dengan tidak membebankan bagi kamu atas sesuatu perkara”. (Al-Baqarah: 185).

Sesungguhnya, Allah tidak pernah membebankan hambanya khususnya dalam melakukan ibadat. Ini dijelaskan Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 286, bermaksud : “Allah tidak memberatkan hambanya melainkan sekadar kemampuan yang ada pada mereka.”

Perlu diingatkan, walaupun tidak berpuasa kerana sakit dan menerima rawatan, pesakit perlu menghormati Ramadan termasuk tidak memakan di khalayak ramai kerana ia menyalahi adab pada bulan mulia.



Apakah hukum bagi orang yang bermusafir ke sesuatu negara pada awal Ramadan dan mendapati penduduknya masih belum berpuasa kerana anak bulan masih tidak kelihatan di tempat mereka, sedangkan di negara kita, puasa sudah bermula?



Hendaklah dia mengikut peraturan di negeri yang dikunjunginya itu iaitu berbuka puasa dan tidak wajib menggantikannya. Firman Allah SWT bermaksud: ”Barang siapa yang melihat anak bulan, hendaklah ia berpuasa”. (Al-Baqarah: 185). Dalam pada itu sabda Nabi SAW yang bermaksud : “Berpuasalah kamu selepas melihat anak bulan dan berhari rayalah kamu selepas melihat anak bulan (Syawal)”.

Begitu juga jika berlaku pada hari raya bagi negara itu sedangkan dia berpuasa (sebelum kunjungan). Maka hendaklah dia berhari raya bersama mereka dan namun wajib menggantikan puasanya. Jika berlaku sebaliknya di mana mereka berpuasa sedangkan baginya sudah cukup puasa di negaranya sendiri (sebelum kunjungan) maka wajiblah dia berpuasa bersama-sama penduduknya kerana menghormati mereka selain untuk menjauhi fitnah.



Penulis ialah Pegawai Unit Agama, NSTP

No comments: