Tujuan
26 November 2009
Isteri kena dera ada alasan kukuh tuntut...........
Hak Muslim: Isteri kena dera ada alasan kukuh tuntut fasakh, cerai
Wanita teraniaya boleh guna laporan polis, perubatan dan peguam syarie urus permohonanSAYA sudah berkahwin lima tahun lalu. Pada awal perkahwinan, suami saya seorang yang baik, lemah lembut dan penyayang. Setelah saya melahirkan anak kedua kami, suami saya mula berubah menjadi seorang yang bengis dan panas baran. Saya selalu dipukul, disepak dan diterajang di depan anak-anak saya sehingga badan saya lebam-lebam. Saya juga pernah dikurung dan tidak dibenarkan pergi bekerja kerana cemburu. Tidak cukup dengan memukul saya, suami saya juga sering memaki hamun saya dengan perkataan kesat seperti 'perempuan tak guna', 'perempuan tak tahu malu'. Saya pernah meminta dia ceraikan saya tetapi dia pujuk saya dan berjanji akan berubah serta tidak akan memukul saya lagi.
innity_country = "MY";
innity_client = "17";
innity_zone = "761";
innity_channel = "";
innity_keyword = "";
Namun begitu, tidak sampai pun sebulan dia mula pukul saya balik apabila saya tidak dapat menyediakan makanan kesukaannya. Dengan bantuan jiran, saya berjaya keluar dari rumah bersama anak-anak saya. Saya sekarang ini menerima beberapa ugutan suami, yang dia akan cederakan saya dan anak-anak jika saya tidak kembali semula kepadanya. Saya sudah tidak tahan lagi dengan seksaan dan deraannya dan tidak tahu di mana tempat untuk mengadu. Adakah saya mempunyai hak perlindungan di bawah undang-undang dan bolehkah saya minta fasakh?
Azimah, Rawang, Selangor. SAYA amat bersimpati dengan apa yang menimpa puan dan saya berharap puan tabah dan bersabar menghadapi dugaan ini. Apa yang berlaku ke atas puan adalah suatu tindakan kejam dan biadab yang melanggar batas kemanusiaan. Kes keganasan rumah tangga di dalam masyarakat kita hari ini semakin meningkat dan berada pada tahap amat membimbangkan dan memerlukan pembelaan sewajarnya. Oleh yang demikian, puan sebenarnya mempunyai hak di bawah undang-undang, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Saya menasihatkan puan agar segera mendapat rawatan di mana-mana hospital berdekatan dan juga membuat aduan terhadap keganasan dilakukan terhadap puan di mana-mana balai polis berdekatan. Seterusnya puan juga sebenarnya berhak mendapat perintah perlindungan sementara seperti diperuntukkan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga. Melalui perintah ini, puan akan dilindungi daripada sebarang gangguan pihak suami sementara menunggu siasatan polis selesai.
Bagi tujuan perintah perlindungan ini, saya menasihatkan agar puan mendapat bantuan Jabatan Kebajikan masyarakat (JKM) dan puan perlu mengemukakan dokumen seperti kad pengenalan, sijil perkahwinan puan, laporan polis, laporan perubatan serta sebarang dokumen berkaitan kepada JKM untuk siasatan. Jika sekiranya JKM mendapati kes ini tergolong dalam kes keganasan rumah tangga, maka JKM akan membantu puan memfailkan permohonan untuk mendapat hak perlindungan sementara di Mahkamah Majistret. Setelah mahkamah mengeluarkan perintah itu, maka JKM akan menyerahkan satu salinan kepada puan dan suami puan. Jika sekiranya suami puan didapati melanggar perintah itu, maka suami puan boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali serta boleh di kenakan hukuman di bawah undang-undang jenayah seperti diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan. Puan juga boleh mendapat perintah perlindungan secara menghalang suami puan daripada melakukan kekasaran ke atas puan dengan memohon perintah injunksi daripada mahkamah syariah. Beberapa syarat dan permohonan perlu dipenuhi dan sebaiknya dapatkan nasihat peguam syarie. Selain itu, puan juga mempunyai hak untuk bercerai dengan suami puan secara fasakh seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor di mana diperuntukkan jelas bahawa seseorang suami itu disifatkan sebagai melakukan kekejaman dan kezaliman kepada isterinya jika dia lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita berpunca daripada perbuatan aniaya, termasuk suami berkawan dengan wanita jahat atau berperangai keji pada pandangan syarak. Suami yang mencederakan isterinya seperti memukul, menampar serta menendang adalah melakukan kezaliman dan ia adalah alasan kukuh untuk menuntut fasakh. Oleh yang demikian, puan boleh menggunakan laporan polis, laporan perubatan serta perintah perlindungan sementara ini sebagai bukti untuk menyokong permohonan fasakh puan. Saya juga menasihatkan agar puan mendapatkan khidmat nasihat peguam syarie bertauliah dan berpengalaman bagi melicinkan proses permohonan fasakh puan. Jika puan tidak mampu untuk melantik peguam, puan bolehlah mendapatkan bantuan Biro Bantuan Guaman atau Pusat Bantuan Guaman.
Jawapan ini disediakan oleh Yusmawati Ab.llah, Exco Penerbitan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
20 November 2009
Orang Melayu kini takut pertahan hak
Kunta Kinte: Orang Melayu kini takut pertahan hak
Keistimewaan Bumiputera dijamin perlembagaan perlu diperjuang
APABILA pembantu politik DAP, Teoh Beng Hock mati jatuh bangunan, Kunta Kinte tengok satu Malaysia sangat sedih, simpati dan marah.
Bukan main punya simpati dan protes sampai ada pembesar Islam yang pegang colok dan lilin dalam upacara �vigil� (tafakur) mereka.
Apabila tahanan India mati dalam lokap atau lari dari lokap dan terjun sungai, reaksi yang sama terjadi. Satu Malaysia marah lalu dibuat tunjuk perasaan dan dituntut tubuh suruhanjaya penyiasat.
Apabila seorang wanita India mati minum racun pasal dukacita saudara kandungnya mati ditembak polis, ada pembesar pembangkang berbangsa India cuba buat usul di Parlimen.
Tapi bila seorang pemuda Melayu di Perlis, Mohamad Taufik Noorzan, 21, dikatakan mengamuk dan cuba serang polis dengan pisau ditembak mati, Kunta Kinte tengok macam tak ada apa-apa yang berlaku.
Banyak lagi contoh macam tu. Belum kira lagi cerita tanah Melayu kena ambil kemudian dibuat pembangunan untuk semua bangsa. Rumah Melayu kena runtuh dan macam-macam lagi.
Jadi Kunta Kinte kena kata Kunta Kinte hairan. Budak-budak sekarang kata �konfius�.
Adakah orang Melayu tak peduli? Adakah orang Melayu apati? Adakah orang Melayu tak berani? Adakah Melayu bangsa suka membisu dan menyepi? Atau adakah Yang Berhormat Melayu hanya makan gaji dan isi tembolok sendiri?
Kunta Kinte bertanya lagi. Apakah nyawa pemuda Melayu kurang berharga daripada nyawa seorang pembantu politik Cina atau seorang India yang disyaki pencuri kereta?
Kunta Kinte tak berani jawab pasal kalau dulu-dulu bukan macam ini. Dulu orang Melayu berani bersuara. Orang Melayu gigih pertahan hak bangsa dan hak negara.
Jadi apa Kunta Kinte nak kata? Kunta Kinte kata tahniah kepada orang Cina dan India kerana berani dan berjaya guna media massa yang mereka milik dan yang tidak mereka milik untuk mempertahan hak dan kebajikan kaum mereka.
Tahniah kepada orang Cina dan India kerana berjaya dapatkan simpati dan empati semua kaum sampai setiap kecelakaan yang timpa kaum mereka digambarkan macam tragedi negara.
Cuma Kunta Kinte nak ulang tanya, di mana pembesar Melayu, politikus Melayu, pembentuk pendapat umum Melayu, cendekiawan Melayu dan NGO Melayu apabila orang Melayu maut ditembak polis dan tahanan Melayu mati dalam lokap?
Atau apabila harta pusaka Melayu dan tanah rizab Melayu diambil alih atas nama pembangunan, tetapi kemudian dibolot oleh mereka yang berduit?
Adakah mereka berasa nyawa dan harta orang Melayu lebih murah harganya daripada nyawa dan harta orang Cina dan India?
Kunta Kinte tidak mahu pertikai tindak tanduk orang Cina dan India. Itu hak mereka. Kalau mereka pandai dan mereka berani tuntut hak mereka, patut sangatlah mereka berjaya, jadi senang dan terbela.
Yang Kunta Kinte rasa wajib Kunta Kinte pertikai adalah ketakutan orang Melayu hendak pertahan hak mereka. Tak apalah kalau ada orang Melayu rasa nyawa orang mengamuk dan tahanan polis tak penting sangat.
Tapi apa halnya dengan hak orang Melayu dan Bumiputera Sarawak dan Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan. Adakah nak pertahankan apa yang hak dalam perlembagaan pun takut?
Atau pembesar Melayu, politikus Melayu, pembentuk pendapat umum Melayu, cendekiawan Melayu dan penggiat NGO Melayu tak baca pun Perlembagaan Persekutuan.
Jadi kalau tak baca macam mana nak tahu yang Perlembagaan Persekutuan bagi tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong jaga hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak?
Kalau baca Artikel 153 kita tentu tahu yang Perlembagaan Persekutuan bagi tanggungjawab kepada Raja kita jaga hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam macam-macam bidang.
Misalnya mengadakan kuota untuk kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, pemberian biasiswa, pendidikan, latihan dan pemberian lesen.
Tapi kalau tak baca, jadilah kita macam si Luncai yang terjun ke sungai dengan labu-labunya. Atau menang bersorak, kampung tergadai. Anak di rumah mati kelaparan, kera di hutan disusukan. Lembu yang empunya susu, sapi yang dapat nama.
17 November 2009
Perbezaan pendapat
Perbezaan pendapat hasil kajian, penyelidikan boleh pertingkat ilmu pengetahuan ummah
TINDAKAN mengehadkan sumber hukum hanya akan menyempitkan pandangan terhadap syiar Islam dan membantutkan penyuburan ilmu, sedangkan Islam menggalakkan umatnya meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya, berkata sikap membataskan pandangan terhadap sumber hukum juga akan merugikan umat Islam. Katanya, perbezaan pandangan hasil daripada kajian serta penyelidikan kepada sumber hukum yang pelbagai membolehkan umat Islam mempelajari lebih banyak perkara serta menghasilkan ketetapan memberi manfaat untuk kemajuan ummah.
"Islam sendiri membenarkan perbezaan pandangan atas perkara tertentu dan ia hendaklah dilakukan mengikut caranya. Jangan pula apabila berbeza itu kita mendabik dada mengatakan kita lebih baik dan mencemuh orang lain. "Dalam bab hukum ini, jika hendak faham belajarlah usul fiqh," katanya pada seminar dakwah Memperkukuhkan Ahlus Sunnah Wal Jamaah: Isu dan Cabaran Semasa anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Kolej Dar al Hikmah, Sungai Ramal, Kajang, baru-baru ini. Beliau berkata, jika semua boleh berlapang dada dan menerima perbezaan pandangan dalam hal membabitkan amalan agama dengan hati terbuka, maka tidak timbul sikap perselisihan hingga boleh memecahbelahkan umat Islam seperti berlaku hari ini.
Hashim berkata, dalam masalah cabang yang menjadi amalan umat Islam ada yang tidak mempunyai dalil khusus tetapi hujah berpandukan kepada dalil umum yang dikembangkan dan disusun dengan sempurna oleh ulama nusantara. Antaranya, amalan berwirid selepas solat yang dikatakan tidak dibolehkan kerana Rasulullah SAW tidak melakukannya sedangkan Baginda menyuruhnya kerana amalan baik memang digalakkan. Mengenai susunan zikir pula, Hashim berkata, ia adalah ijtihad ulama yang menyusunnya dengan tujuan memudahkan masyarakat umum yang mungkin tidak tahu apa hendak dibaca untuk meningkatkan amalan serta mendekatkan diri kepada Allah. Begitu juga katanya, dengan amalan lain yang dikatakan tidak dilakukan Rasulullah SAW tetapi ulama melihat akan kebaikannya untuk mengembalikan dan mendekatkan umat Islam kepada ajaran Islam.
"Tidak ada dalil khusus tetapi ada dalil umum, jadi jangan terkeliru kerana ini akan merugikan umat Islam. Perlu faham kenapa ada galakan membaca Yasin yang menjadi amalan sejak dulu, kerana ketika Islam mula datang tidak ramai boleh membaca al-Quran. "Jadi ulama kata, mari kita berkumpul dan baca ayat al-Quran iaitu surah Yasin. Jika dihalang, apa yang hendak dibaca jika yang dia tahu hanya surah Yasin. Sekurang-kurangnya ada ayat al-Quran yang dia boleh baca dan janganlah kata amalan itu bidaah," katanya. Beliau berkata, perbezaan pandangan berkaitan perkara cabang dalam amalan agama jika dijadikan bahan untuk diperbahaskan hingga kiamat tidak akan selesai dan sebaiknya tenaga itu sepatutnya ditumpukan ke arah membanteras kemungkaran yang lebih jelas. Sementara itu, Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady, berkata gerakan aliran tidak bermazhab sudah bertapak di negara ini hampir satu abad tetapi tidak nampak sumbangan mereka dari sudut keilmuan dan pembangunan masyarakat. Katanya, disebabkan tiada hasil karya ilmu berwibawa dan muktabar daripada golongan aliran tidak bermazhab menyebabkan ia tidak dapat diterima dalam arus perdana sama ada pada peringkat pemerintah atau masyarakat. "Aliran tidak bermazhab ini sebenarnya tidak mempunyai asas kuasa yang kuat dari sudut keilmuan atau tidak cukup wibawa ulamanya jika dibanding dengan ulama beraliran mazhab serta karya mereka. "Malah, aliran ini juga tidak berlaku dalam pengalaman negara Islam selepas penerimaan mazhab tertentu dalam masyarakat. Arab Saudi masih bermazhab Hambali, Turki dan Pakistan bermazhab Hanafi sementara Libya dan Tunisia bermazhab Maliki," katanya. Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk 'Pengaruh Fiqh Mazhab Syafie Dalam Pemikiran Masyarakat Melayu di Malaysia dan Cabaran Masa Kini' menjelaskan cabaran berlaku terhadap mazhab Syafie melalui tiga gelombang. Gelombang pertama berlaku pada 20-an dan 30-an apabila golongan muda cuba mengemukakan idea baru yang berbeza dengan pegangan sedia ada oleh pelajar yang melanjutkan pengajian di Arab Saudi, Mesir dan India kerana terpengaruh pemikiran gerakan Islam di sana. Usaha itu kemudian disambung gelombang kedua yang berlaku antara 1940-an dan 1960-an yang banyak menumpukan persoalan khilafiyyah lebih khusus hingga menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat awam tetapi ulama akhirnya sepakat bersetuju dengan pendirian ulama aliran mazhab Syafie. Gelombang ketiga berlaku dari 70-an hingga kini dipelopori golongan muda menyambung pemikiran dan pendekatan golongan muda sebelumnya yang mempertikai beberapa amalan dalam masyarakat diambil daripada ulama aliran mazhab Syafie. "Golongan ini tidak mengikat diri mereka dengan mana-mana mazhab muktabar yang diiktiraf dunia Islam dan mazhab Syafie di negara ini. Mereka anggap mereka layak berijtihad mutlak seperti imam muktabar kerana mereka adalah manusia dan tiada bezanya. "Bagi orang yang mengkaji ilmu mengetahui ulama muktabar yang berijtihad lengkap dari segi ilmu asas syariah. Berijtihad tanpa ilmu yang lengkap dari sudut syariah, bahasa Arab dan kaedah usul fiqh boleh membawa kepada penyelewengan. "Hal ini dapat dilihat bibitnya kebelakangan ini dengan kemunculan kelompok liberal yang tidak mahu terikat dengan kaedah epistemologi Islam dan kaedah usulnya memahami al-Quran dan sunnah hingga akhirnya membawa kecelaruan tafsiran sumber ajaran Islam," katanya. Abdul Halim berkata, golongan berkenaan hakikatnya sudah melanggar adab berdakwah kerana tidak menghargai sumbangan ulama aliran mazhab Syafie, malah memperkecil serta memperlekehkan sumbangan mereka dari sudut ilmu dan pembangunan masyarakat. Katanya, golongan itu juga menganggap ulama aliran mazhab Syafie membawa ilmu yang menjadikan umat Islam tidak tepat memahami Islam dan tidak ada usaha ijtihad dalam ilmu mereka tetapi hanya mengikut mazhab membabi buta atau disebut bertaqlid buta.
INFO:
Perbezaan pandangan hasil daripada kajian serta penyelidikan kepada sumber hukum yang pelbagai membolehkan umat Islam mempelajari lebih banyak perkara serta menghasilkan ketetapan memberi manfaat untuk kemajuan ummah.
Amalan berwirid selepas solat yang dikatakan tidak dibolehkan kerana Rasulullah SAW tidak melakukannya sedangkan Baginda menyuruhnya kerana amalan baik memang digalakkan.
Jika semua boleh berlapang dada dan menerima perbezaan pandangan dalam hal membabitkan amalan agama dengan hati terbuka, maka tidak timbul sikap perselisihan hingga boleh memecahbelahkan umat Islam seperti berlaku hari ini.
Gelombang ketiga berlaku dari 1970-an hingga kini dipelopori golongan muda menyambung pemikiran dan pendekatan golongan muda sebelumnya yang mempertikai beberapa amalan dalam masyarakat diambil daripada ulama aliran mazhab Syafie.
15 November 2009
Diabetes ibu segala penyakit
Diabetes ibu segala penyakit
Oleh Hafizah Iszahanidhafiza@bharian.com.my
Dihidapi dua orang setiap 10 saat di seluruh dunia sebabkan komplikasi termasuk jantung, buta, strokDI sebalik kempen meraikan Hari Diabetes Sedunia yang disambut semalam, ada fakta lain yang harus dititikberatkan ramai apabila membicarakan kewajaran pelbagai program dan usaha kesedaran bahaya kencing manis ini.Faktanya - setiap 10 saat, dua orang disahkan menghidap diabetes di seluruh dunia manakala empat juta lain maut akibatnya setiap tahun. Tidak cukup dengan itu, diabetes juga berada di tangga keempat penyakit membawa maut.Menggerunkan bukan? Hakikatnya, di Malaysia sendiri, kira-kira 1.2 juta rakyatnya disahkan penghidap diabetes atau kencing manis. Malangnya, apa yang menyedihkan, separuh daripada jumlah itu tidak menyedari mereka menghidap diabetes sehinggalah dirawat kerana berdepan salah satu komplikasi diabetes.Setiausaha Am Persatuan Diabetes Malaysia, Datuk Rahimah Ahmad berkata, faktor Malaysia yang diketahui kaya pelbagai jenis hidangan yang lazat, sedikit sebanyak menjadikan ramai leka dengan kandungan gula dan kalori makanan yang diambil.“Faktor ini digabung pula dengan gaya kehidupan moden kurang aktif yang menyumbang kepada peningkatan kes diabetes yang ketara di negara ini,” katanya ketika merasmikan acara kempen kesedaran diabetes kepada orang awam anjuran persatuan itu, baru-baru ini.Selain penyakit maut, diabetes juga kerap dirujuk sebagai ibu segala penyakit kerana memungkinkan pesakitnya berdepan pelbagai komplikasi kesihatan seperti masalah jantung termasuk kegagalan fungsi jantung. Malah, risiko serangan angin ahmar sememangnya lebih tinggi di kalangan pesakit diabetes berbanding bukan penghidap penyakit itu. Bukan itu saja, pesakit diabetes juga berisiko hingga empat kali ganda terhadap penyakit jantung atau yang berkaitan kardiovaskular.Pensyarah Perubatan dan Pakar Runding Kanan Endokrinologi, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed, pula menegaskan, diabetes adalah penyakit seumur hidup yang setakat ini tidak boleh disembuhkan.Namun, usaha mengawal pemakanan, melakukan senaman dan mengambil ubat-ubatan mengikut keperluan adalah kaedah pengurusan diabetes yang baik.“Diabetes yang tidak dikawal dengan baik boleh memendekkan hayat seseorang sehingga 10 tahun,” katanya.Biarpun diabetes dikenali sebagai penyakit orang dewasa, namun kebelakangan ini diabetes Jenis Dua terbukti semakin meningkat di kalangan kanak-kanak dan remaja. Ia dikaitkan dengan masalah terlalu gemuk atau obesiti, kurang bersenam dan diet tidak sihat.“Gaya hidup dan pemakanan menjadi punca kegemukan yang membawa kepada diabetes. Malah hari ini, tidak menghairankan jika anda mengenali seorang pesakit diabetes yang hanya berusia 12 atau 10 tahun,” katanya.Jelas Dr Mafauzy, berdasarkan Kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan pada 2006, menyenaraikan Negeri Sembilan dan Melaka sebagai negeri yang mencatatkan kadar peratusan pesakit diabetes tertinggi di Malaysia manakala kadar diabetes terendah adalah di Sabah.“Faktor genetik sememangnya penyumbang besar masalah diabetes. Di Malaysia, majoriti pesakit diabetes berketurunan India diikuti Melayu dan Cina. “Namun perlu diingat, jika seseorang itu lahir dalam keluarga yang ada sejarah penyakit itu maka risiko untuknya menghidap diabetes sangat tinggi. Oleh itu, langkah pencegahan yang boleh diamalkan adalah pemakanan sihat dan lakukan senaman,” katanya.Dr Mafauzy berkata, tidak ramai yang tahu, tetapi hakikatnya hampir 90 peratus pesakit diabetes di seluruh dunia adalah daripada Jenis Dua. Selain faktor genetik, diabetes jenis ini turut dikaitkan dengan obesiti dan tidak aktif secara fizikal.Diabetes Jenis Dua ini juga satu masalah kronik yang menjejaskan kaedah tubuh menangani glukos. Ini disebabkan diabetes jenis ini menyebabkan tubuh menolak kesan insulin atau tubuh tidak menghasilkan kadar insulin mencukupi bagi mengekalkan tahap glukos normal.Diabetes Jenis Dua juga tidak memerlukan insulin sepanjang hayat tetapi anda boleh mengawal glukos dalam darah dengan diet, bersenam atau kombinasi pengambilan ubat-ubatan atau di kalangan sesetengah pesakit mungkin perlu mengambil sedikit insulin.“Ada kala pesakit menunggu simptom datang sebelum mendapat rawatan. Namun, ada kala mereka langsung tidak sedar simptom yang ditunjukkan tubuh mereka. Ia menyebabkan mereka hanya tahu diserang diabetes secara tidak sengaja selepas terjadinya komplikasi kesihatan,” katanya.Kadang kala, jika ada simptom pun, ia sangat minimum. Secara umum simptom diabetes adalah kerap membuang air kecil (polyuria), kerap dahaga (polydipsia), kerap lapar (polyphagia) dan hilang berat badan tanpa sebab yang khusus, rasa kebas yang ekstrim, rasa sakit pada kaki (disesthesias) dan penglihatan kabur.Bagi jangka masa yang lama, diabetes menyebakan komplikasi pada jantung, salur darah, mata, ginjal juga saraf. Retinopati misalnya adalah sebab utama buta dan ia terjadi kerana jangka masa panjang. Retinopati menyebabkan kerosakan pada salur darah kecil di retina.Secara umum tanpa pengurusan diabetes yang baik, selepas 15 tahun menghidap diabetes, dua peratus pesakit menjadi buta manakala 10 peratus berhadapan dengan masalah penglihatan.Secara lebih teknikal pula, komplikasi diabetes terbahagi kepada komplikasi mikrovaskular (membabitkan salur darah kecil) seperti buah pinggang (nephropathy), saraf rosak (neuropathy), penglihatan terjejas (retinopati, katarak atau glaukoma).Manakala komplikasi makrovaskular (membabitkan salur darah besar) menyebabkan masalah seperti jantung, angin ahmar, gangrene dan akhirnya kaki dipotong (amputasi) selain masalah metabolik, mati pucuk dan masalah waktu hamil.INFO: Faktor Risiko Diabetes Jenis Dua
Usia dan bangsa - semakin anda berusia semakin tinggi risiko diserang diabetes. Apatah lagi jika anda dari keturunan kulit hitam, Asia Selatan dan kaukasian. Dalam satu kajian di United Kingdom didapati mereka yang berketurunan kulit hitam dan Asia Selatan (India, Pakistan, Bangladesh) adalah lima kali lebih berisiko diserang diabetes berbanding mereka yang berkulit putih.
Genetik - jika ada lahir dalam keluarga yang memiliki sejarah diabetis. Risiko anda lebih tinggi jika ahli keluarga itu adalah emak atau ayah malah bapa saudara sama ada sebelah ibu atau ayah.
Obesiti - kebanyakan mereka yang menghidap diabetes Jenis Dua adalah obes. Lebih gemuk seseorang itu lebih tinggi risikonya. Apatah lagi jika tidak aktif bersenam.
Diabetes waktu hamil - wanita yang diserang diabetes waktu hamil berisiko untuk menghidap diabetes.
Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas. Kembali ke atas
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024x768.
Resolusi anda sekarang adalah 800x600. Sila tukar resolusi anda untuk dapatkan paparan laman web terbaik!
Vitamin terbaik untuk anak
Vitamin terbaik untuk anak
Oleh Hafizah Iszahanidhafiza@bharian.com.my
Pastikan si kecil nikmati diet seimbang, elak makanan ringan ADAKAH anak anda memerlukan vitamin tambahan dalam diet sehariannya? Apakah beliau cukup khasiat untuk membesar sebagai anak yang sihat dan cerdas? Inilah persoalan yang sering melingkari minda ramai ibu bapa yang ragu-ragu mengenai keupayaan sendiri dalam memantau pembesaran anak-anak.
Justeru, tidak hairan apabila anak-anak zaman ini disogokkan dengan pelbagai pil bagi menambah kecergasan dan kecerdasan. Tetapi, adakah ini perlu? Tidakkah terlalu awal mendedahkan anak-anak dengan pelbagai vitamin tambahan? Pakar Runding Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Pantai Bangsar, Dr Azam Mohd Noor, berkata cara terbaik untuk memastikan anak-anak mendapat vitamin dan mineral adalah dengan memberinya peluang menikmati pelbagai jenis makanan. Selain susu, buah-buahan dan sayur-sayuran, masukkan juga kekacang, ikan dan produk tenusu dalam dietnya.
“Memang mudah menyebut diet yang sihat, tetapi kanak-kanak tidak makan seperti mana kita mahu mereka makan. Anak-anak yang cerewet dalam soal pemakanan tidak akan memperoleh vitamin, mineral dan nutrisi penting yang lain,” jelasnya. Malah ada juga kanak-kanak langsung tidak makan makanan berkhasiat atau sihat. Ada yang lebih cenderung memilih makanan yang diproses dan makanan ringan kurang sihat dan kurang khasiatnya berbanding gula dan kalori. Dr Azam berkata, anak-anak yang memilih makanan juga tidak mendapat khasiat secukupnya bagi membantu pembesaran mereka. Vitamin dan mineral yang amat penting bagi pembesaran kanak-kanak, secara umumnya boleh diperoleh dalam diet pemakanan seimbang. Tetapi ini sudah pasti menimbulkan masalah kepada kanak-kanak yang suka memilih makanan. “Kanak-kanak yang tidak mengambil mengambil vitamin dan mineral secukupnya mungkin berhadapan dengan kadar IQ yang rendah berbanding kanak-kanak yang mendapat mineral dan vitamin mencukupi,” katanya.
Jelas Dr Azam, fakta penting yang perlu diketahui ramai adalah usaha meningkatkan tahap IQ kanak-kanak bukan bergantung pada jenis atau vitamin tertentu tetapi gabungan pelbagai vitamin seperti zink, vitamin A dan C. Bagaimanapun pengambilan makanan tambahan juga harus sesuai dengan keperluan anak-anak kerana pengambilan makanan tambahan yang terlalu banyak sebaliknya boleh menjadi toksik kepada tubuh kanak-kanak. “Apa yang perlu diketahui, vitamin dan mineral tidak merawat penyakit kecuali jika kanak-kanak mengalami masalah kekurangan vitamin atau mineral,” katanya. Jika dilihat, makanan tambahan bukan lagi dalam bentuk pil atau kapsul. Ia juga tidak lagi terhad kepada vitamin dan mineral, sebaliknya asid lemak, Omega 3 dan minyak ikan. Ada juga sebahagian makanan tambahan ini dimasukkan dalam susu tepung. Misalnya, susu formula mengandungi rumusan DHA (asid docasaHexanenoic, sejenis omega 3) yang membantu perkembangan otak kanak-kanak. Bagaimanapun jelas Dr Azam, vitamin dan mineral dalam susu formula tidak setanding dengan kandungan DHA dalam susu ibu. Tetapi, perlu diingat, jika ibu menyusukan anak tidak mengambil diet yang betul, ini pasti menjejaskan kualiti susu. “Ramai ibu yang mahu segera kurus selepas pantang dan tidak makan dengan betul. Mungkin mereka akan cepat mendapat bentuk badan asal selepas bersalin tetapi tindakan itu menjejaskan khasiat susu ibu,” Dr Azam berkata satu lagi makanan tambahan yang mungkin membantu dalam proses pembesaran kanak-kanak adalah probiotik. Anak-anak yang lahir melalui pembedahan kurang terdedah pada bakteria usus yang baik berbanding anak-anak yang dilahirkan nomal. Pendedahan kepada bakteria usus yang baik membantu dalam proses pencernaan dan melindungi usus sekali gus mengurangkan simptom cirit birit.
INFO: Diet sihat si kecil
Selain susu, buah-buahan dan sayur-sayuran, masukkan juga kekacang, ikan dan produk tenusu dalam makanan anak
Makanan tambahan bukan setakat vitamin dan mineral, tetapi asid lemak, Omega 3 dan minyak ikan
Kanak-kanak kurang vitamin dan mineral secukupnya mungkin berdepan kadar IQ yang rendah
Usaha tingkat tahap IQ bergantung kepada gabungan pelbagai vitamin seperti zink, vitamin A dan C
Awasi pengambilan makanan tambahan. Jika berlebihan boleh menjadi toksik kepada tubuhnya.
13 November 2009
Memahami konsep taqlid, Ijtihad, talfiq
Memahami konsep taqlid, Ijtihad, talfiq
Oleh Hasliza Hassanhasliza@bharian.com.my
WUJUD paradoks atau pertentangan pendapat dengan pendapat diterima umum dalam pengamalan Islam di Malaysia. Dari satu aspek, syariah perlu ada keseragaman dan dari sudut lain, undang-undang Islam harus bersifat dinamik serta progresif.
Apakah masyarakat Islam dituntut mengikut ajaran mazhab tanpa soal sedangkan perkembangan semasa memperlihatkan perlu adanya pembaharuan. Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, berkata matlamat penciptaan syariah (maqasid al-syariah) dan hukum hakam dalamnya untuk menghasilkan kebaikan dan menolak keburukan bagi faedah umat manusia. Katanya, penciptaan syariah itu juga satu pendekatan melakukan penyelidikan ilmiah kerana teorinya sama iaitu berasaskan kepada prinsip menghasilkan kebaikan dan menjauhkan keburukan tetapi dengan syarat perlu tahu secara mendalam maksud kebaikan serta keburukan itu.
“Caranya ialah merujuk keseluruhan hukum syarak berpandukan al-Quran, sunnah dan kemudian merumuskan prinsipnya dalam bentuk menyeluruh supaya apabila timbul persoalan, mudah dikelaskan sebagai kebaikan atau keburukan,” katanya pada Seminar Taqlid, Ijtihad dan Talfiq: Skop, Amalan dan Batasan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur, semalam. Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk Ijtihad, Taqlid dan Talfiq dari Perspektif Maqasid al-Syariah membahagikan kebaikan kepada tiga kategori iaitu pertama, menyentuh soal hidup mati ummah, keduanya berkaitan keselesaan dan akhirnya mengenai nilai tambah. Mahmood Zuhdi berkata, berasaskan pemikiran itu ulama semasa seperti Yusuf al-Qaradhawi memperkatakan bahawa memahami keutamaan menjadi asas penting dalam membuat sebarang keputusan. Katanya, keutamaan tidak boleh ditentukan kecuali sesudah nas syarak difahami dengan baik, realiti hidup juga difahami secara mendalam dan memerlukan kemahiran melakukan pertimbangan secara tepat.
“Seseorang mujtahid atau penyelidik perlu tahu membezakan antara yang bersifat substantif dan prosedur semata-mata. Ia penting bagi menentukan fokus sebenar ijtihad supaya tidak berlaku perbuatan mementingkan yang remeh dan meremehkan yang penting. “Apa pun juga, penciptaan syariah mampu membentuk mentaliti objektif berasaskan ini berbanding mentaliti formal yang melihat sesuatu berasaskan bentuk. Ini penting dalam dunia sekarang supaya penilaian melihat kepada sifat sebenar bukan bentuk luarannya saja,” katanya. Seminar anjuran Ikim itu dirasmikan Pengerusi Ikim, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Hadir sama Ketua Pengarah Ikim, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dan Timbalan Ketua Pengarah Ikim, Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin. Seminar dua hari itu bertujuan memberi kefahaman mengenai konsep taqlid, ijtihad dan talfiq serta kedudukan dalam Islam selain mengkaji ruang lingkup talfiq dan faktor yang mendorong kemunculannya. Pada pembentangan itu, Mahmood Zuhdi turut menerangkan peranan ijtihad yang menjadi sebahagian metodologi penyelidikan hukum Islam dan empat langkah perlu diambil dalam usaha melakukan penyelidikan (ijtihad) mengikut pendapat al-Raisuni. Langkah pertama, mengambil kira objektif dalam menentukan hukum iaitu melihat nas bukan pada pengertiannya saja tetapi melihat kepada matlamat ketetapan itu. Langkah seterusnya ialah melakukan kompromi antara prinsip umum dan dalil khusus; menarik kebaikan dan menolak keburukan, akhirnya mengambil kira kesudahan akibat daripada kesimpulan penyelidikan terhadap masyarakat. Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Lukmanul Hakim Hanafi, berkata semua ilmu dalam Islam menerima pembaharuan dan yang dicita-citakan dalam ilmu fiqh ialah menghidupkan semula ijtihad. Beliau berkata, usaha itu perlu selepas wujudnya dakwaan pintu ijtihad sudah ditutup tersebar luas sedangkan ijtihad adalah kaedah penyelidikan dan kajian ilmiah dalam merumuskan hukum bertujuan mengetahui hukum diturunkan Allah dengan lebih jelas. Katanya, semua pihak perlu membersihkan diri daripada sentimen taksub atau fanatik mazhab secara buta tuli kerana mazhab bukan faktor memecah belah sebaliknya ia aliran penafsiran dan pemahaman syariah. “Kita tidak harus berasa sempit dada dengan sebab wujud perbezaan mazhab kerana ia lumrah dan tabii bagi akal manusia memahami hukum. Kita boleh berbangga dengan perbezaan ilmu fiqh yang ditinggalkan sebagai satu perbendaharaan fiqh yang berharga. “Ia juga bukti betapa berkembang subur dan hidupnya fiqh, betapa luasnya pemikiran fuqaha dalam melaksanakan kewajipan memberi khidmat kepada syariat Islam,” katanya yang membentangkan kertas kerja bertajuk Taqlid, Ijtihad dan Talfiq: Penjelasan Epistemologi Sunni. Katanya, pihak tertentu juga tidak boleh memaksa orang menerima pandangan mereka dalam masalah khilafiyyah dan pada masa sama tidak boleh menentang amalan yang tidak sesuai dengan mazhab dianuti. Lukmanul Hakim berkata, masyarakat juga jangan terpengaruh dengan pendekatan sebahagian anak muda yang berlagak alim menghentam ulama silam yang tidak sealiran dengan mereka sambil menyeru menentang amalan sedangkan ia perkara khilaf ulama semata-mata. Begitu juga pendakwah, guru atau imam, perlu bijak menangani masalah khilafiyyah kerana tidak bijak mereka membangkitkan isu remeh dalam ceramah atau pengajaran yang hanya menimbulkan perpecahan dalam masyarakat. “Kita mesti beradab dengan pihak yang berbeza pandangan kerana masing-masing mempunyai hujah serta alasan yang perlu kita hormati. Matlamat kita sepatutnya membangunkan ummah bukan meruntuhkan,” katanya.
08 November 2009
Mukjizat al-Quran boleh dirasai semua
Ulul Albab: Mukjizat al-Quran boleh dirasai semua
Oleh Abdurrahman Haqqi
KANDUNGAN kitab suci al-Quran terpelihara daripada sebarang perubahan. |
Banyak kajian serta cubaan mengelirukan kebenaran kitab suci tetapi temui kegagalan
JIKA kita ingin mengetahui dan rasai kehebatan satu-satu mukjizat seperti yang pernah berlaku ke atas umat sebelum kita, kemudian kita mengisytiharkan keimanan serta-merta dan memeliharanya, sila perhatikan al-Quran al-Karim.
Al-Quran ialah mukjizat kekal sebagai bukti kebenaran bahawa Muhammad adalah Rasulullah SAW. Pengekalan mukjizat al-Quran akan tetap dirasai oleh seluruh manusia hingga ke akhir zaman. Ini berbeza dengan mukjizat seketika yang hanya dirasai oleh umat sebelum kita, bahkan mukjizat yang dirasai oleh sahabat nabi, selain al-Quran.
Sebagai contoh, Nabi Nuh AS dengan mukjizat taufan dan air bah yang hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja. Nabi Saleh AS dengan mukjizat unta hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja. Nabi Musa AS dengan mukjizat membelah air laut dan hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja. Nabi Isa AS dengan mukjizat boleh menghidupkan yang mati atas izin Allah dan hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja.
Tetapi Nabi Muhammad SAW dengan mukjizat al-Quran berlaku untuk dan dirasai seluruh umat manusia ketika dan sesudah Baginda tidak kira masa dan tempat sampai hari kiamat dan ia akan kekal dipelihara seperti ditetapkan al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya" (Surah al-Hijr: 9), Dengan jaminan Allah ini, terpeliharalah kitab suci al-Quran daripada sebarang perubahan, dan bersinarlah cahayanya ke seluruh dunia.
Al-Quran itu sendiri boleh menjadi sebab kepada seseorang untuk memeluk agama Islam sama ada menerusi isi, bahasa, bacaan, lagu, suara, hiasan, nilai ekonomi bahkan tulisan atau kaligrafinya. Begitu pula ia menakutkan dan menggerunkan musuhnya menerusi isi, bahasa, bacaan, lagu, suara, hiasan, nilai ekonomi bahkan tulisan atau kaligrafinya. Ramai orang memeluk al-Quran dengan karakter al-Quran dan tidak sedikit pula yang memusuhinya bahkan menyeru untuk berperang melawannya seperti disebutkan al-Quran sendiri dengan ayatnya yang bermaksud: "Dan orang yang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar al-Quran ini dan tentanglah ia (dengan nyanyian dan jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)" (Surah Fussilat: 26)
Antara orang yang pernah menentang al-Quran ialah seorang profesor Matematik dan logik di Universiti Toronto, Kanada bernama Gary Miller. Pada 1977, beliau membuat keputusan untuk mengkaji al-Quran dengan tujuan mencari kesilapan dan kesalahan ilmiah dan sejarah yang ada di dalamnya.
Dia berharap dengan kajian itu boleh membantu rakannya, pendakwah Kristian untuk mengelirukan umat Islam dan mengajak mereka keluar daripada agama Islam dan memeluk Kristian. Pihak gereja dan yang berkepentingan menyokong tujuan 'mulia' ini dan memberikan apa jua keperluan kewangan dan moral bagi menjayakannya.
Apa yang diinginkan manusia lain dengan apa yang diinginkan oleh Allah dan yang pasti akan berlaku ialah apa yang diinginkan Allah, maka takdir yang baik menyebelahi Prof Miller dan kemudian membawanya untuk memeluk Islam setahun kemudian iaitu pada 1978 selepas menamatkan kajiannya. Kajiannya ini kemudian dibukukan dan diterjemahkan ke dalam bahasa Arab dengan tajuk al-Quran al-Muzhil (al-Quran Yang Mempesona) atau tajuk asalnya The Amazing al-Quran. Beliau menukar namanya menjadi Abdul Ahad Omar kemudian bekerja sebagai pensyarah di University of Petroleum and Mines, Dhahran, Saudi Arabia hingga ke hari ini masih menjadi pendakwah antarabangsa dan banyak menulis mengenai Islam.
Perkara pertama yang menarik perhatian Prof Miller ialah cabaran al-Quran yang mendakwa bahawa di dalamnya tidak ada kesalahan atau kesilapan apa pun juga. Beliau berkata: "Tidak ada seorang penulis pun di dunia ini yang memiliki keberanian kemudian dia menulis buku dan mendakwa bahawa bukunya itu tidak ada sebarang kesalahan mahupun kesilapan kecuali al-Quran, bahkan ia mencabar seandainya anda mencari-cari kesalahan itu anda pasti tidak akan menemukannya."
Beliau juga mengungkapkan kepesonaannya terhadap al-Quran dengan mengambil contoh bahawa dalam al-Quran ada satu surah yang diberi nama Surah Mariam yang mana di dalamnya ada diberitakan mengenai kemuliaan beliau yang tidak dijumpai di mana-mana kitab suci lainnya. Kita tidak menemukan surah yang dijoloki nama orang kesayangan Nabi SAW seperti Aisyah dan Fatimah. Malah nama baginda pun tidak banyak disebut al-Quran iaitu hanya lima kali jika dibandingkan dengan nama Nabi Isa as yang disebut sebanyak 25 kali.
Penentang kebenaran al-Quran mendakwa bahawa syaitanlah yang mengajarkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW tetapi bagaimana di dalam al-Quran ada ayat yang maksudnya: "Oleh itu, apabila engkau membaca al-Quran, maka hendaklah engkau (terlebih dulu) memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang kena rejam." (Surah al-Nahl: 98)
Dr Miller berkata: "Seandainya aku berada dalam keadaan Rasulullah bersama Abu Bakar di gua di mana seandainya seorang daripada pengepungnya melihat ke bawah pasti mereka akan ternampak, maka jawapan ketakutan Abu Bakar akan dijawab secara semula jadi dengan ucapan 'mari kita cari jalan belakang' atau 'diam, jangan berkata-kata'. Akan tetapi Rasulullah SAW menjawab dengan tenang: "Janganlah engkau risau sesungguhnya Allah bersama kita." Adakah jawapan ini boleh dikeluarkan oleh seorang penipu atau jawapan seorang nabi yang percaya seratus peratus kepada pertolongan Allah?
Surah al-Masad (Tali Yang Dipintal) iaitu surah nombor urut 111 dalam al-Quran diturunkan 10 tahun sebelum matinya Abu Lahab. Ini bermakna bahawa di hadapan Abu Lahab ada sebanyak 365 x 10 = 3,650 peluang untuk membuktikan bahawa al-Quran adalah satu khayalan dan pembohongan. Selama itulah ada cabaran tetapi Abu Lahab tetap dalam kekufuran dan kekafirannya dan tidak tergerak hatinya untuk masuk Islam walaupun secara pura-pura. Surah ini sampai hari ini masih dibaca, bagaimana Rasulullah SAW yakin atas kebenaran yang dibawanya selama 10 tahun dan Abu Lahab sememangnya tidak akan memeluk Islam. Keyakinan ini membuktikan bahawa al-Quran memang wahyu Allah yang mengetahui segala sesuatu dan ia diturunkan kepada nabi terakhir yang diutus untuk umat manusia, Muhammad SAW.
Prof Abdul Ahad juga merujuk kepada New Catholic Encyclopaedia dalam topik 'al-Quran' dikatakan bahawa walaupun banyak kajian dan percubaan untuk mengelirukan kebenaran al-Quran tetapi pada akhirnya: "Selama berabad-abad muncul banyak teori mengenai sumber al-Quran tetapi tidak satu pun daripada teori itu boleh diguna pakai oleh seorang yang berakal." Beliau menambah ada gereja yang pada mulanya teruja untuk mengadaptasi teori berkenaan tetapi pada akhirnya mereka semua menolaknya dan malangnya mereka tidak berani untuk mengakui kebenaran teori umat Islam. Apa pendapat anda? Adakah anda masih meragui kebenaran al-Quran yang mempesonakan? Terima kasih Profesor Abdul Ahad.
21 October 2009
19 October 2009
17 October 2009
Lelaki & sperma tak relevan
Lelaki & sperma tak relevan
Oleh Fairuz Zaidan
Benarkah sperma tidak lagi perlu untuk mendapatkan zuriat pada masa depan?TEORINYA - sel stem atau sel induk daripada sumsum tulang wanita diperoleh dan diaktifkan menjadi sel embrio sebelum dimasukkan ke dalam karung telur untuk mengandungkan DNA 100 peratus sel induk. Bayangkan, jika teori yang dikatakan sudah terbukti melalui ujian terhadap tikus di makmal ini dilakukan pula ke atas manusia atau wanita? Apa agaknya reaksi atau perdebatan di semua peringkat - termasuk kemanusiaan dan pihak berkuasa agama apabila proses pembiakan manusia mampu dilakukan dalam bilik makmal dengan mengetepikan sperma lelaki?
Apakah sudah tidak relevan lagi sperma lelaki hingga perlu dicari alternatif lain melalui bagi mendapatkan zuriat? Biarpun penemuan baru itu dikatakan merintis usaha menangani masalah kemandulan, namun jika dilihat, langkah itu meminggirkan lelaki serta membuka prospek kelahiran bayi secara tiruan bukannya semula jadi. Malah, pengkritik antarabangsa turut memberi amaran perkembangan terbaru itu boleh mencetuskan kontroversi seolah-olah mengetepikan fungsi sperma lelaki.
Julai lalu, akhbar tempatan melaporkan saintis di Britain mendakwa berjaya menghasilkan sperma manusia daripada sel tunjang tapi pakar lain mempertikaikannya. Penyelidik di Universiti Newcastle dan Institut Sel Tunjang NorthEast England dilaporkan berkata, mereka menggunakan teknik baru untuk menghasilkan sel sperma daripada sel tunjang janin. Sel tunjang mempunyai potensi untuk menjadi apa juga sel di dalam tubuh. Ketua penyelidik Newcastle, Karim Nayernia, dilaporkan berkata, teknik itu akan membolehkan penyelidik mengkaji bagaimana sperma berkembang dan kemungkinan boleh membantu dalam merawat lelaki mandul. Hasil penyelidikan itu diterbitkan dalam jurnal Stem Cells and Development. Mengulas laporan kontroversi itu, Pakar Embriologi Pusat Kesuburan Konsep, Damai Service Hospital Kuala Lumpur, Dr Yee Siew Yin berkata, kajian perubatan yang menjurus kepada aspek peribadi termasuk pengklonan individu tidak seharusnya dimanipulasi.
Dr Yee berkata, penggunaan teknologi harus ada batasan melainkan benar-benar dimanfaatkan untuk penggunaan lebih berfaedah, meningkatkan taraf kesihatan dan kehidupan serta menyelamatkan nyawa manusia. “Teknologi ini tidak harus dianggap sebagai suatu alternatif kepada wanita kerana ini melanggar etika hidup manusia. Secara amnya, teknologi ini juga dikenali sebagai pengklonan. “Malah, jika kita kaji kesannya, teknologi ini sebenarnya boleh disalahgunakan sesetengah pihak untuk menghasilkan klon diri dengan banyak dan mengakibatkan masalah pada masa depan,” katanya kepada XY - Ikon Lelaki. Mengulas lanjut konsep persenyawaan di mana wanita dikatakan mampu mengandung tanpa sperma seorang lelaki, Dr Yee berkata, teknologi itu bermula dari penyelidikan ke atas haiwan dan hingga hari ini masih mencetuskan kontroversi berhubung penggunaannya ke atas manusia. Dr Yee berkata, melalui proses semula jadi, persenyawaan pembentukan embrio memerlukan telur wanita dan sperma lelaki disenyawakan. “Tetapi teknologi yang mencetuskan perdebatan ini hanya memerlukan sel induk yang diaktifkan untuk menjadi embrio dan dimasukkan ke dalam karung telur wanita tanpa sperma lelaki,” katanya. Ditanya kesan positif dan kebaikan ujian yang didakwa Karim itu, Yee berkata, ia mampu memberi manfaat kepada masyarakat terutama pesakit dan mungkin boleh diaplikasikan untuk menghasilkan organ-organ penting seperti buah pinggang, jantung dan mata. Namun, Dr Yee tidak menolak kesan buruk seperti kaedah rawatan disalahgunakan pihak tertentu kerana didorong sikap tamak. “Teknologi masa depan seharusnya boleh menghasilkan sperma lelaki terutama dalam keadaan di mana seseorang lelaki itu tidak dapat menghasilkan sperma secara semula jadi. Sperma lelaki yang dihasilkan daripada sel induk lelaki ini boleh digunakan untuk perubatan kaedah in vitro fertilisation (IVF),” katanya. Bercanggah dengan konteks Islam PENGKLONAN manusia tanpa proses persenyawaan secara semula jadi adalah di luar sifat semula jadi manusia dan batas agama. Islam sebagai agama suci menolak sama sekali proses yang tidak membabitkan perhubungan halal antara suami dan isteri. Penceramah bebas dan perunding motivasi, Prof Madya Dr Md Izuddin Ali berkata, perlumbaan teknologi perubatan dalam mencipta penemuan baru secara tidak langsung merosakkan institusi kekeluargaan serta melumpuhkan peranan lelaki dan wanita untuk saling melengkapi sebagai pasangan suami isteri. “Konsep yang cuba dibawa ini tentunya mencetuskan pertikaian dan menjadi isu sensitif terutama kepada Majlis Fatwa Kebangsaan. Secara peribadi, saya sendiri tidak bersetuju dengan proses kelahiran tanpa konsep suami dan isteri yang secara tidak langsung, merosakkan institusi perkahwinan itu sendiri,” katanya. Dr Izuddin berkata, sebuah keluarga harus dibina berlandaskan peranan lelaki dan wanita yang mewujudkan ikatan perkahwinan yang sah bagi melahirkan lebih ramai zuriat. Ini dilakukan dengan cara yang normal dan melalui proses semula jadi. Beliau berkata, sebagai umat Islam, perkahwinan adalah sesuatu yang dialu-alukan bagi mereka yang layak dan berkemampuan. “Nabi Muhammad SAW juga berkahwin dan janganlah pula kita mengenepikan institusi perkahwinan untuk mendapatkan zuriat dalam cara berbeza. Perlulah wanita memiliki anak melalui proses yang sah dan berkahwin untuk mengecapi nikmat hidup berumah tangga,” katanya. Ditanya apakah alternatif bagi pasangan berumah tangga yang masih belum mendapat cahaya mata, Md Izuddin berkata, Islam tidak sesekali menyekat pasangan berkahwin mengambil anak angkat sebagai jalan penyelesaian memiliki anak. Namun, katanya, umat Islam tidak harus berputus asa dan berdoa selain melakukan pelbagai alternatif dan rawatan bagi memiliki cahaya mata sendiri. “Ada pendapat mengatakan pasangan yang lewat mendapat cahaya mata digalak mengambil anak angkat. Langkah ini dikatakan membuka laluan memiliki anak sendiri. “Pastikan kita sentiasa menjaga aurat dan memelihara kelakuan tanpa sesekali mengambil mudah soal perhubungan dalam pergaulan sehari-hari,” katanya. Fakta salah mengenai sperma anda perlu tahu...
Memiliki sperma yang cair sering dianggap mandul sedangkan ia tidak tepat. Sebaliknya, penghasilan sperma yang subur dan normal bergantung kepada jumlah sperma, pergerakan dan kandungan sperma normal atau tidak.
Sperma dikatakan tidak mampu menembusi pakaian. Jawapannya, salah! Kemungkinan untuk hamil tetap ada berdasarkan kepada ukuran sel benih bersaiz mikron untuk menembusi pakaian wanita.
Amalan makan putih telur dianggap mampu menambah kandungan sperma - ini hanyalah mitos! Ini kerana jumlah penghasilan sperma bergantung kepada saiz buah zakar. Untuk mendapatkan jumlah sperma yang mencukupi, anda digalak mengambil makanan bergizi dan berprotein. Secara teori, kuning telur sebenarnya lebih banyak zat berbanding putih telur!
Ada pandangan menyebut lelaki tidak akan mengeluarkan sperma selepas proses ejakulasi. Jawapannya tidak benar! Ini kerana sperma masih boleh dikeluarkan biarpun kandungan sperma sudah berubah dan tidak banyak seperti lazim.INFO:
Secara purata kira-kira 100 juta sperma terkandung dalam setiap ejakulasi lelaki.
Saiz buah zakar mempengaruhi bilangan sperma dan saiz melebihi 12 ml dianggarkan isi padu buah zakar yang sihat dan kurang dari itu mungkin menghasilkan kurang atau tiada sperma.
Kandungan sperma dalam air mani ialah antara dua hingga lima peratus. Sebilangan besar isi padu air mani ialah cecair dari pundi prostat (60 hingga 70 peratus) dan yang selebihnya dari pundi seminal, pundi cowpers dan pepundi dalam salur kencing selain cecair dari pundi epididimis.
Perokok tegar lebih berisiko mempunyai masalah bilangan sperma yang kurang dan peratus sperma yang bergerak juga kurang serta perlahan atau lambat.
Air mani keluar secara memancut apabila lelaki mencapai klimaks. Keadaan itu berlaku akibat proses percetusan sistem pancutan atau ejaculatory system.
Jika ejakulasi berlaku berulang kali, ejakulasi seterusnya menyebabkan pengeluaran air mani tidak lagi memancut. Air mani hanya meleleh walaupun lelaki itu muda.
Berhenti merokok dapat mengubah komposisi ini. Ubat yang meningkatkan hormon testosteron mungkin dapat menambah bilangan sperma, tetapi sebaik-baiknya diambil bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan.
Dalam hubungan seks, air mani diejakulasi ke hujung faraj. Sperma perlu berenang dari dalam faraj menembusi serviks (pintu rahim), merentasi ruang dalaman rahim menuju ke tiub falopio kanan dan kiri serta penghujung tiub ini untuk bertemu dengan ovum (jika ada) untuk membolehkan persenyawaan berlaku.
Kemungkinan kehamilan kembar lazimnya berlaku dengan pengambilan ubat kesuburan (jika wanita menghasilkan lebih daripada satu telur).
10 October 2009
Waktu gempa di Padang menyamai 3 nas al-Quran
Waktu gempa di Padang menyamai 3 nas al-Quran
Oleh Ibrahim Abdullah
Kejadian suatu kebetulan yang perlu direnungi, insafkan umat ingkar suruhan IlahiSEGALA kejadian di muka bumi ini adalah ketetapan Allah SWT. Demikian pula dengan musibah gempa yang berlaku di Padang, Sumatera. Kebetulan juga waktu terjadi musibah itu dengan kaitan surah dan ayat yang ada hubungannya dalam kitab suci al-Quran al Karim. Cuba perhatikan gempa di Padang pada jam 17.16 petang, kemudian susulan gempa pada jam 17.58 petang dan esoknya terjadi gempa di Jambi pada jam 08.52 (waktu antarabangsa). Jam 17.16 (iaitu surah ke-17, al-Israk, ayat 16) bermaksud: Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya. Jam 17.58 (surah ke-17, al-Israk, ayat 58) bermaksud: Tidak ada suatu negeri pun (yang derhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu sudah tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz). Jam 08.52 (surah ke-8, al-Anfal, ayat 52) bermaksud: (keadaan mereka) seperti Firaun dan pengikutnya serta orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat Allah, maka Allah menyeksa mereka disebabkan dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras seksaan-Nya. Tiga ayat Allah SWT di atas, yang ditunjukkan tepat dalam waktu kejadian tiga gempa di Sumatera. Mengenai azab Allah kehancuran dan kematian serta kaitannya dengan hidup mewah dan derhaka. Dengan pelbagai kebetulan yang Allah SWT sampaikan ketika musibah itu, Allah jelas hendak mengingatkan kita. Apakah ia sekadar kebetulan di sebalik rahsia kejadian tanpa mengandungi pengajaran? Apakah mesej Allah itu akan mengubah kita agar lebih berhati-hati dan taat perintah dan menjauhi larangan-Nya? Mungkin kita tidak peduli atau mentertawakan seperti kaum Musyrikin Quraisy mempersendakan risalah disampaikan kepada Rasulullah SAW? Semua terpulang kepada kita.Manusia bukan makhluk tunggal di muka bumi ini. Manusia bersama makhluk lain yang juga memiliki hak sama untuk dapat hidup mengikut sunnatullah yang ditetapkan Allah SWT. Walaupun alam dengan isinya mungkin ditundukkan oleh manusia dengan ilmu pengetahuan, tidak bererti alam harus tunduk kepada manusia. Alam tetap patuh dan pasrah (Islam) kepada Allah. Alam dengan segala isinya memiliki kehidupan sendiri. Harus disedari, kita dan alam memiliki hak yang sama untuk mengabdikan kepada Allah, tentu saja dengan cara sendiri. Sebenarnya sesama makhluk Allah, kita harus dapat harmonikan kehidupan dengan alam. Jika tidak, berlaku ketegangan, pertembungan dan saling menghancurkan. Antara yang perlu kita perhatikan disebut al-Quran tasbih bumi iaitu bumi juga makhluk Allah yang sentiasa bertasbih kepada Allah. Orang bertasbih menyucikan Allah daripada segala perbuatan yang tidak sewajarnya. Kata Subhanallah yang selalu kita lafazkan selepas solat bererti Maha Suci Allah dengan segala sifat dan perbuatan-Nya. Ilmuwan Muslim, Zaghlul an-Najjar, dalam bukunya Shuarun min Tasbih al-Kainaat Lillah (Ketika Alam Bertasbih) menyatakan: Al-Quran menegaskan langit dan bumi dapat berbicara, menangis dan berasa sakit serta pedih. Riwayat daripada Nabi SAW yang menjelaskan makna Surah al-Zalzalah, ayat 3, yang mengatakan: Pada hari itu bumi menceritakan. Baginda bertanya: Tahukah kamu beritanya? Mereka menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih tahu.' Baginda berkata: Sesungguhnya berita ia (bumi) bersaksi atas hamba atau umat yang berada di atasnya. Ia (bumi) berkata, melakukan ini pada hari ini, begini dan begitu. (Riwayat at-Tirmizi). Amat mengelirukan jika kita menganggap bumi sebagai benda mati yang tidak memberi reaksi terhadap apa yang dilakukan manusia di muka bumi ini. Jelas bahawa bumi tempat kita berpijak selalu bertasbih dan berdialog kepada Allah SWT. Bumi menyucikan Allah dan memuji-Nya dengan cara yang tidak kita ketahui. Apakah akan terjadi jika manusia yang hidup di muka bumi ini tidak bertasbih kepada Allah. Betapa seksanya bumi menampung manusia kufur, berdosa, bermaksiat dan melupakan Allah. Bumi berasa berat dan menanggung beban yang tidak tertahan kerana dipijak manusia yang derhaka dan berdosa. Gempa adalah reaksi bumi. Kita memerlukan pendekatan teologi dan spritual. Gempa membuat manusia sedar bahawa selain manusia, langit dan bumi berserta apa yang ada di dalamnya juga makhluk Allah yang memiliki hukum dan kehidupannya sendiri. Bumi agak marah kepada manusia yang tidak pernah tersedar, kufur, dan ingkar kepada Allah.Firman Allah bermaksud: Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan (yang dahsyat), dan bumi telah mengeluarkan beban (yang dikandungnya), dan manusia bertanya: Mengapa bumi (menjadi begini?) (Surah al-Zalzalah : 1-3)
Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas.
09 October 2009
Masa diharamkan syarak puasa sunat
Masa diharamkan syarak puasa sunat
Soal Jawab Agama Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh
BAGI yang sering berpuasa akan bertembung dengan hari-hari yang diharamkan berpuasa dan hari yang dimakruhkan. Bolehkah kita teruskan berpuasa atau bagaimana? Ada juga yang mengatakan berpuasa pada hari Jumaat saja adalah haram. Boleh ustaz jelaskan.
Airil, JB.
Puasa yang diharamkan syarak ialah: l Dua hari raya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.
Sebuah hadis daripada Abu Ubaid bahawa beliau pernah berhari raya bersama Saidina Umar di mana Umar berselawat ke atas Nabi SAW sebelum berkhutbah lalu berkata: Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada dua hari raya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha. Adapun Aidilfitri kamu berbuka kerana selesai Ramadan, manakala Aidiladha kamu memakan sembelihan korban yang kamu lakukan. (HR Abu Daud). l Tiga hari selepas Aidiladha atau hari Tashrik (11,12 dan 13 Zulhijjah). Daripada Abi Murrah maula Ummu Hani’ ketika dia bersama Abdullah Bin Amr RA bertemu bapanya Amr Bin Al-As lalu dihidangkan kepada kami makanan dan Abdulah berkata: Sesungguhnya saya berpuasa. Lalu jawab Amr: Makanlah, sesungguhnya Nabi SAW menyuruh kami berbuka pada beberapa hari ini dan melarang kami berpuasa padanya. Imam Malik berkata: Hari-hari itu ialah hari Tashrik. l Berpuasa sehari atau dua hari sebelum Ramadan.
Sabda Rasulullah SAW: Jangan kamu mendahului puasa Ramadan sehari atau dua hari melainkan bagi mereka yang sudah biasa berpuasa sunat. Namun ulama mempunyai pelbagai pendapat dalam hal demikian. Berikut adalah pendapat ulama muktabar sebagai maklumat tambahan pembaca. Menurut Imam Syafie haram berpuasa pada tiga hari selepas Aidiladha termasuk jemaah haji pada tahun berkenaan. Imam Malik tidak mengharamkan berpuasa pada hari ketiga. Beliau juga berpendapat, jemaah haji yang mengerjakan Haji Tamattu’ dan Qiran boleh berpuasa pada hari raya kedua dan ketiga. Imam Hambali mengharamkan kita berpuasa tiga hari selepas Aidiladha kecuali jemaah Haji Tamattu’ dan Qiran. Imam Hanafi berpendapat berpuasa pada dua hari raya dan tiga hari selepas Aidiladha adalah haram kecuali bagi jemaah haji saja. l Puasa sunat seorang wanita tanpa izin suaminya. Dari abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tidak halal bagi wanita bersuami ketika suami di sisinya sehinggalah mendapat keizinan suaminya. Janganlah seorang isteri mengizinkan seseorang masuk ke rumah melainkan dengan izin suaminya. (HR Bukhari dan Muslim). Imam Ahmad dalam musnadnya menambah perkataan: Melainkan pada Ramadan. Di dalam hadis lain Rasul SAW bersabda: Seorang isteri tidak boleh berpuasa ketika suaminya hadir, selain puasa Ramadan kecuali dengan izin suaminya. (HR Tarmizi). Oleh yang demikian ulama Syafie, Maliki dan Hambali mengharamkan puasa seorang wanita yang bersuami, berpuasa tanpa izin suaminya kecuali suami tidak memerlukan hubungan jima’ dengannya atau suaminya bermusafir atau sedang ihram atau beriktikaf atau sakit. Imam Hanafi berpendapat hukumnya makruh. Puasa yang makruh pula antaranya ialah: l Berpuasa pada hari Jumaat saja tanpa disusuli puasa sehari selepas atau sebelumnya. Begitu juga berpuasa pada hari Sabtu atau Ahad saja kecuali bersebab seperti nazar dan sebagainya mengikut Imam Syafie’ RA. Jumaat adalah hari raya kaum Muslimin. Ia adalah hari yang patut diperbanyakkan ibadat. Maka sesetengah daripada ibadat yang afdal ialah puasa tetapi hendaklah didahului satu hari sebelum atau selepasnya iaitu Khamis atau Sabtu.
Layan pekerja asing dengan perikemanusiaan
Layan pekerja asing dengan perikemanusiaan
S M Mohamed Idris Jun 22, 09 5:47pm
Isu perbahasan mengenai bagaimana untuk mengendalikan pekerja pembantu rumah asing kini menjadi semakin hangat. Ini berikutan pengumuman oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk S Subramaniam, majikan dikehendaki supaya memberikan pembantu rumah asing mereka cuti sehari. Apapun keputusan yang dibuat berhubung pembantu asing mestilah adil dan penuh perikemanusiaan. Jika kita tidak dapat melayan pekerja asing dengan sempurna, adalah lebih baik bagi negara ini tidak menggunakan khidmat mereka daripada mendera mereka yang berlaku secara berulang kali. Tanpa sebarang statistik yang tepat, kita tidak boleh mengandaikan bahawa kes penderaan di rumah hanyalah satu pengecualian. Tidak seperti pekerja dalam sektor pembuatan dan peladangan, pembantu rumah asing boleh berada dalam pengasingan - tanpa kawan, dan tiada ruang untuk berinteraksi dengan orang ramai malah apabila mereka mahu mengadu mengenai keadaan pekerjaan mereka. Pergantungan ke atas pembantu rumah asing mestilah diteliti semula. Bagaimana dengan mereka yang tidak mempunyai pembantu rumah asing menguruskannya? Kini tiba masanya negara kita mempertimbangkan dengan serius untuk berubah daripada tanggapan "situasi tiada pilihan" dan mula melihat kepada penyelesaian tempatan. Ibu bapa boleh meneliti kos yang terlibat apabila keduanya keluar bekerja - wang yang dibelanjakan ke atas pengangkutan, makanan, dan kos lain serta beribu ringgit yang dibelanjakan untuk mengambil dan membayar gaji pembantu rumah asing. Dalam jangka panjang, adalah lebih ekonomi bagi salah seorang daripada ibu bapa untuk berada di rumah untuk menjaga anak atau orang tua mereka yang sudah berusia. Terutama sekali, kanak-kanak akan mendapat banyak manfaat daripada ibu bapa yang membesarkan mereka sendiri terutama sekali pada peringkat awal. Ahli keluarga yang besar juga turut boleh membantu. Penduduk tempatan juga boleh dilatih dan digalakkan untuk menjadi pembantu rumah, terutama sekali bagi mereka yang pada masa ini masih lagi mengganggur. Rancangan ini sudahpun dicadangkan beberapa tahun yang lalu. Mereka tidak perlu disediakan dengan kemudahan tempat tinggl memandangkan pekerja ini boleh kembali ke rumah mereka setiap hari. Pada masa yang sama, kakitangan Kementerian Sumber Manusia, yang dipertanggungjawabkan dengan perkara ini, boleh mengunjungi ke rumah dan menjalankan pemeriksaan mengejut terhadap majikan pembantu rumah asing untuk memastikan hak pekerja dipatuhi selaras dengan syarat jam bekerja yang munasabah, rehat yang mencukupi, bayaran gaji asas dan lebih masa serta faedah lain yang sepatutnya diterima oleh pekerja. Jika pekerja didapati benar-benar tidak sesuai, langkah perlu diambil untuk memperbaiki situasi tanpa sebarang penderaan. Bergantung kepada ejen sepenuhnya untuk memeriksa kebajikan pekerja bukanlah satu penyelesaian sepenuhnya. Agensi yang mendedahkan beberapa kes penderaan cenderung dilihat negatif oleh bakal majikan pembantu rumah. Ini menyebabkan kes penderaan tidak didedahkan. Pada umumnya, pengambilan pekerja asing melalui ejen swasta perlu dihapuskan. Sebagai ganti, pengambilan boleh dibuat melalui sistem 'Kerajaan kepada Kerajaan' - di mana proses itu dilakukan secara terus melalui kawalan kerajaan negara berkenaan. Ini akan memastikan kawalan yang lebih ketat dan melindungi pekerja daripada diskriminasi atau dieksploitasi. Langkah ini juga untuk memastikan pengambilan adalah berdasarkan keperluan sebenar.Penulis adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Buah kering dicemari logam beracun
Buah kering dicemari logam beracun
Okt 8, 09 3:18pm
Kerajaan hari ini mengharamkan 16 jenama produk buah kering yang diimport dari China, Taiwan dan beberapa negara Asia kerana mengandungi logam plumbum melebihi paras yang dibenarkan.Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata produk buah kering antaranya plum kering dan prun kering itu mengandungi paras plumbum yang agak tinggi iaitu antara 0.11 dan 30.3 bahagian sejuta (ppm) atau miligram (mg)/kilogram (kg).Beliau berkata paras plumbum yang ditetapkan di negara ini ialah dua bahagian sejuta ppm atau mg/kg di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, dan jika kandungan logam melebihi paras tersebut, tindakan undang-undang akan dikenakan."Mana-mana pihak yang terlibat, jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 13(1), Akta Makanan 1983 boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Kementerian Kesihatan 2009 di Kuala Lumpur.Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan US Food and Drug Administration (USFDA) menerusi laman webnya http://www.fda.gov yang bertajuk "Consumers Warned Not to Eat Certain Imported Dried Plums" pada Khamis lepas. Liow berkata produk berkenaan adalah "The Original Chinese Candy", "Dried Plums with Pickle and Lemon", "Saladitos Con Pepino Y Limon", "Saladitos 6 Count", "Saladitos Salted Prunes", "Saladitos Chinese Candy", "Its Fruit Chinese Style Dried Prune" dan "Salted Plum Suckers".Produk lain adalah "Salados Salted dried plums", "7 Salted Plums", "Preserved Liquariced Prune", "Preserved Plums:Preserved Salted Prunes", "Preserved Plums:Preserved Red Prunes", "Preserved Fruit Pitted Prunes", "Chan Pui Mui Preserved Plum" dan "Ka Po Preserved Plum".Liow berkata kementerian terus memantau untuk memastikan produk berkenaan tidak terdapat dalam pasaran tempatan.Beliau berkata kementerian juga akan meneruskan pemantauan di pintu masuk dengan meletakkan pemeriksaan Tahan Lima (Tahan, Uji dan Lepas) dalam Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) untuk semua produk yang terlibat.Plumbum adalah bahan cemar dalam makanan yang boleh mendatangkan masalah kepada kesihatan manusia dalam jangka masa panjang akibat daripada pengumpulan bahan cemar dalam badan.Beliau berkata kesan yang mungkin berlaku adalah gangguan kepada sistem saraf dan perkembangan otak terutamanya di kalangan kanak-kanak."Sehubungan itu, kementerian ingin menasihatkan pengguna supaya tidak membeli produk-produk yang terlibat, manakala penjual dinasihatkan supaya melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ataupun Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat sekiranya produk berkenaan terdapat di premis mereka," katanya.Liow berkata pengimport atau ejen yang mengimport produk terbabit diminta menghentikan pengedaran dan memaklumkan kepada PKD atau JKN berdekatan untuk tindakan seterusnya. BERNAMA
Salah tentukan kiblat ikut arah matahari terbenam
Salah tentukan kiblat ikut arah matahari terbenam
Okt 8, 09 5:51pm
Umat Islam yang menggunakan kaedah menentukan kiblat berpandukan arah terbenam matahari tidak tepat dan salah di sisi Islam kerana hanya dua hari dalam setahun arah kiblat boleh berpandukan kepada matahari terbenam.Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Paimuzi Yahya berkata persepsi umat Islam dalam menentukan jadual atau takwim solat, waktu berbuka puasa dan hari raya berpandukan kaedah matahari terbenam itu wajar dihapuskan dan perlu mengikuti ilmu falak syarie sebenar sebagaimana disahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).Mengikut kajian ilmu falak, terdapat dua hari iaitu pada 28 Mei dan 16 Julai sahaja dalam setahun, kedudukan matahari terletak di tengah-tengah Kaabah, yang boleh dijadikan panduan untuk menentukan kiblat umat Islam ketika bersembahyang."Untuk tujuan itulah ILIM diberi tanggungjawab melaksanakan aktiviti menjurus kepada usaha menghapuskan persepsi salah masyarakat tentang ilmu falak itu mengikut hukum Islam sebenarnya," katanya kepada Bernama selepas menutup Kursus Falak (Qiblat) di Kota Bharu hari ini.Kursus anjuran Jakim dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK), Jabatan Mufti Kelantan (JMK), Jabatan Agama Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEIAK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) disertai hampir 100 peserta terdiri kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan.Paimuzi berkata kebanyakan masjid dan surau dan premis hotel, dan kediaman peribadi umat Islam di negara ini masih tidak menggunakan kaedah yang betul dalam menentukan arah kiblat."Jika persepsi yang ini tidak dihapuskan, umat Islam akan terus berada dalam kesilapan hingga ke generasi akan datang."Atas dasar inilah kita mahu peserta kursus menjadi perunding atau petunjuk dalam menentukan arah sebenar kiblat, berpandukan ilmu yang diperoleh daripada kursus ini," katanya. BERNAMA
07 October 2009
Bencana alam kafarah bagi orang beriman
Bencana alam kafarah bagi orang beriman
Oleh Hasliza Hassanhasliza@bharian.com.my
Manusia sentiasa diuji pelbagai dugaan untuk beri kesedaran elak kemungkaranAPAKAH gempa bumi melanda Sumatera Barat, Indonesia minggu lalu balasan Allah SWT kepada penduduk Padang atau bumi Minangkabau yang semakin jauh menyimpang daripada jalan dibawa Nabi Muhammad SAW seperti didakwa seorang wanita di pekarangan Masjid Raya Ganting, Padang, baru-baru ini?Wanita bertudung labuh dalam lingkungan 30-an yang ditemui wartawan Berita Harian, Mohd Ifwan Tun Tuah yang membuat liputan di bandar malang berkenaan berpendapat, musibah itu adalah peringatan Allah SWT supaya penduduk di Padang dan bumi Minangkabau insaf dan kembali ke jalan-Nya.Penceramah bebas, Zahazan Mohamed, berkata musibah atau tragedi seperti banjir besar, gempa bumi serta bencana alam lain yang berlaku memang ada sebab musababnya dan semua dapat difahami dengan mengkaji ayat Allah SWT yang menjelaskan kejadian berlaku itu. Katanya, dalam konteks gempa bumi di Sumatera Barat yang mengakibatkan kemusnahan teruk kebanyakan berlaku di Padang, kota pentadbiran wilayah itu dan ia perlu dilihat sebagai ujian didatangkan sebagai azab bagi yang kufur dan musibah kepada golongan beriman.Beliau memetik firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (terhadap musuh), kelaparan, kekurangan harta benda dan jiwa serta buah-buahan (hasil tanaman). Sampaikan berita gembira kepada orang yang sabar. (Surah Al-Baqarah: 155) Allah SWT memberitahu manusia akan diuji dengan pelbagai cara dan ini sedang dilalui masyarakat di Sumatera Barat yang kehilangan keluarga, tempat tinggal dan punca pendapatan. Bagi mereka yang sabar dengan ujian Allah SWT ini, ada ganjaran menanti mereka, katanya.Zahazan berkata, tanggapan bahawa mereka yang ditimpa bencana disebabkan tindakan tidak mengamalkan suruhan Allah SWT atau melakukan kejahatan perlu diperbaiki kerana bukan semua yang menerima nasib malang itu berdosa.Sebaliknya, ia adalah fitrah dijanjikan Allah SWT termasuk dalam bentuk bencana alam yang didatangkan tanpa pengecualian kepada sesiapa pun sama ada yang melakukan kemungkaran atau beriman dengan suruhan Allah SWT.Justeru, katanya, apabila berlaku bencana dan tragedi di sesuatu kawasan atau terhadap sekumpulan masyarakat, tidak wajar timbul tanggapan negatif pihak lain terhadap mereka yang ditimpa musibah itu.Manusia ini ada dua, satu yang kufur dan satu lagi beriman. Apabila satu kawasan dilanda bencana kita tidak boleh katakan semua masyarakatnya melakukan kejahatan dan tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Islam.Bagi yang kufur, memang ia azab Allah SWT di dunia ini dan mereka tidak akan terlepas di akhirat tetapi yang beriman, ini adalah musibah mereka terima di dunia dan terlepas di akhirat. Jadi jangan ada pandangan negatif jika berlaku azab di satu-satu tempat, katanya.Beliau berkata, Firaun yang ditenggelamkan Allah SWT di tengah Laut Merah adalah azab yang Allah SWT turunkan atas kekufuran pemerintah zalim itu dan untuk menghapuskannya dari dunia ini tetapi bagi umat yang beriman serta sabar dengan ujian, musibah yang didatangkan sebagai kafarah untuk dosa mereka.Hakikat itu boleh difahami daripada firman Allah SWT yang bermaksud: Dan peliharalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan saja akan menimpa orang yang zalim di kalangan kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Ketahulilah bahawa Allah Maha Berat azab-Nya. (Surah Al-Anfal: 25) Katanya, tiga kategori manusia yang akan dibangkitkan di akhirat iaitu mereka yang melakukan maksiat, degil serta ingkar perintah Allah SWT yang mendapat dua kali pembalasan azab iaitu di dunia dan di akhirat.Kedua, orang baik dan membiarkan kejahatan berlaku yang akan dibalas di dunia serta akhirat kerana tidak menjalankan tanggungjawab menyeru kepada kebaikan, melarang perbuatan mungkar.Ketiga ialah orang salih yang melakukan amal ibadat dengan tekun tetapi berdepan musibah di dunia dan mereka ini akan mendapat pelepasan di akhirat kerana kesabaran menerima ujian Allah SWT ketika di dunia.Zahazan berkata, sebaiknya bencana yang berlaku menjadi peringatan serta memberi kesedaran terutama kepada mereka yang belum diuji untuk mengelak daripada melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan kerosakan.Katanya, tidak dinafikan kejadian yang berlaku juga adalah amaran Allah SWT terhadap sikap manusia yang suka melakukan pelbagai kerosakan di darat dan laut tanpa memikirkan kesannya pada kemudian hari nanti.Sekarang kita tidak ada Nabi yang boleh beritahu bila azab Allah SWT akan datang. Macam dulu contohnya, Nabi Lut sudah beritahu kaumnya mengenai amaran Allah dan apa yang berlaku selepas itu adalah benar. Oleh itu, apa yang berlaku kepada saudara kita di Sumatera Barat hendaklah menjadi pengajaran bukan saja kepada masyarakat di sana malah kita juga kita di tempat lain, kerana kita tidak tahu bila Allah SWT akan mendatangkan azab-Nya, katanya.
Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd.
Perlakuan buruk undang berlaku bala
Perlakuan buruk undang berlaku bala, bencana terhadap manusia
Oleh Shamsul Anuar Ahmad
CUKUP menyayat hati apabila melihat satu persatu bala dan ujian Allah SWT turunkan kepada manusia pada hari ini. Daripada bala yang datang secara halus sehingga cara menakut dan mengerikan. Semuanya menyakitkan, menyeksakan kehidupan kita, memedihkan perasaan kita dan memilukan hati nurani kita semua. Adakah semua bala yang melanda kita hari ini sekadar bencana alam dan masalah kebersihan yang tidak dijaga sehingga bertukar menjadi penyakit atau virus? Hanya orang berfikir, menghayati, insaf dan merenung saja yang akan mendapati jawapan terhadap fenomena ini. Semua bala dan ujian yang Allah turunkan kepada manusia adalah sebagai dalil bahawa Allah benar-benar berkuasa ke atas makhluknya. Allah juga menurunkan bala supaya manusia berfikir bahawa di alam ini ada kuasa ghaib yang mentadbir, mengurus dan menyelaras keseluruhan proses kejadian alam. Allah menimpakan pada manusia bala dan ujian untuk manusia menyedari bahawa gunung-ganang, teknologi canggih, perkembangan sains, persenjataan hebat, negara bertamadun, pemimpin yang punya kuasa politik besar dan rakyat yang hidup mewah, semuanya akan musnah apabila berhadapan dengan bala dan ujian Allah SWT. Adakah bala dan ujian Allah datang tanpa dijemput? Pernahkah kita mengangkat kedua-dua tapak tangan ke langit untuk memohon bala dan ujian Allah SWT? Mestilah kita katakan tidak pernah. Hakikatnya, kita menjemput bala Allah tanpa disedari. Kita menyeru bala Allah dengan membanyakkan zina, menyebarkan budaya minum arak, memperkayakan kehidupan dengan mata pencarian haram, meninggalkan arahan Allah, melakukan segala larangan Allah, budaya keseronokan (hiburan) dan pembuangan bayi menyebabkan turunnya bala dan ujian Allah, sedangkan kita tidak menyedarinya. Sebenarnya kita hanya diberi bala dan ujian yang kecil Allah jika dibandingkan bala Allah kepada Kaum Ad, Thamud, kaum Nuh, kaum Hud dan umat terdahulu sehingga mereka tidak meninggalkan generasi sehingga hari ini.Firman Allah yang bermaksud, Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana) maka ia adalah disebabkan oleh apa yang kamu lakukan (perbuatan salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian daripada dosa kamu. (As-Syura: 30) Sabda Rasulullah SAW: Tidak menghalang sesuatu kaum itu daripada mengeluarkan harta melainkan mereka menghalang langit daripada menurunkan hujan, kalaulah tidak kerana binatang (di muka bumi) nescaya langit pasti tidak menurunkan hujan selama-lamanya. Maksud hadis, daripada Ali bin Abi Thalib r.a., Rasullulah s.a.w. bersabda: Apabila umatku membuat 15 perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka, iaitu:
Apabila harta negara hanya beredar kepada orang tertentu.
Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.
Zakat dijadikan hutang.
Suami turut kehendak isteri.
Anak derhaka kepada ibunya.
Anak suka berbaik-baik dengan kawan.
Anak suka menjauhkan diri daripada ayah.
Suara ditinggikan di dalam masjid.
Ketua kaum adalah yang terhina di antara mereka.
Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
Arak diminum di merata tempat.
Kain sutera banyak dipakai oleh lelaki.
Artis jadi pujaan.
Muzik banyak dimainkan.
Generasi akhir umat ini melaknat serta menyalahkan generasi pertama iaitu sahabat Nabi SAW. Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau mereka akan diubah menjadi makhluk yang lain. (Hadis Tarmizi)
Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd.
04 October 2009
Lelaki sukar kencing
Lelaki sukar kencing
Oleh Suzan Ahmadbminggu@bharian.com.my
Mungkin hidap masalah pembesaran kelenjar prostat MENGIKUT jangkaan lebih kurang 45 juta lelaki di seluruh dunia akan mengidap masalah pembesaran kalenjar prostat dikenali Benign Prostatic Hyperplasi atau BPH menjelang 2020 - suatu ramalan yang mengejutkan dan agak menakutkan.Bagaimanapun, perlu diingatkan BPH adalah sejenis penyakit yang tiada kena mengena dengan kanser prostat. Ia adalah suatu keadaan yang hanya membabitkan pembesaran kelenjar prostat dan menyempitkan uretha. Pakar Runding dan Bedah Urologi sebuah pusat perubatan swasta, Dr Chua Chong Beng, berkata kelenjar prostat adalah sebahagian sistem reproduksi lelaki. Saiznya yang sebesar kacang walnut, terletak di bawah pundi kencing dan di hadapan rektum. Jika prostat terlalu besar, ia akan menghimpit, memperlahankan atau menghentikan aliran kencing.BPH merangkumi tanda-tanda termasuk kesukaran membuang air kecil, saluran air kencing yang tersekat, sering berasa tergesa-gesa untuk membuang air kecil, kekerapan membuang air kecil dalam tempoh singkat dan tidak puas ketika membuang air kecil. Lazimnya BPH akan meningkat mengikut usia pesakit.“Lebih 25 peratus lelaki yang berusia lebih 40 tahun menghidap BPH angka ini meningkat kepada lebih 50 peratus di kalangan lelaki berusia 60 tahun dan 90 peratus bagi lelaki berusia lebih dari 85 tahun. “Oleh kerana BPH adalah penyakit yang lazim di kalangan lelaki berumur, penting bagi mereka yang terbabit mengetahui kesan negatifnya terhadap kualiti kehidupan. “Malah, BPH juga dikaitkan dengan masalah mati pucuk atau Erektil Disfungsi (ED) dan kegagalan fungsi ejakulasi (EJD). Kesukaran ini boleh menjejaskan hubungan kelamin selain kemurungan serta hilang rasa keyakinan,” jelasnya.Dr Chua berkata, BPH adalah sejenis penyakit yang progresif dan jika tanpa rawatan yang betul, pesakit boleh terdedah dengan risiko sekatan air kencing yang serius dan akhirnya menyebabkan masalah buah pinggang. Sekurang-kurangnya satu daripada 10 lelaki dalam lingkungan usia 70 tahun ke atas, akan mengalami ini dalam tempoh pemerhatian selama lima tahun manakala risiko bagi mereka berusia 80 ke atas pula meningkat pada nisbah seorang bagi setiap tiga lelaki.Bagi menguruskan tanda-tanda BPH, kaedah penggunaan alpha blockers dilakukan untuk menenangkan komponen otot yang licin dalam kelenjar prostat dan uretha yang membantu menyalurkan air kencing dengan lebih lancar. Walaupun cara begini berkesan, penggunaannya adalah terhad pada sesetengah pesakit saja disebabkan komplikasi tekanan darah rendah dan pening.Namun kini, lelaki yang mengalami penyakit BPH mempunyai alternatif dengan penghasilan Harnal Ocas (tamsulosin hydrochloride), sejenis ubat makan dengan fungsi penyerapan terkawal dalam bentuk pil 400 mg bagi meredakan tanda-tanda BPH.Bahan aktifnya, tamsulosin hydrochloride boleh mengurangkan tanda-tanda BPH dengan lebih cepat dan berkesan. Ini disebabkan tindakan yang selektif pada reseptor prostat yang meminimumkan kesan sampingan seperti pening, sakit kepala, degupan jantung yang deras dan pengsan yang biasa dialami akibat pengambilan ubat alpha blockers yang lain. Harnal Ocas menawarkan rawatan untuk BPH yang membolehkan pelepasan tamsulosin secara berterusan sepanjang tempoh 24 jam yang boleh diberikan tanpa dos tambahan, tanpa kesan kepada tekanan darah dan boleh diambil dengan atau tanpa makanan.Harnal Ocas juga mampu mencapai tahap keberkesanan tanpa kesan sampingan kepada tekanan darah yang membolehkannya digunakan untuk pesakit-pesakit yang mengambil ubat untuk darah tinggi dan pesakit menghidap masalah jantung. Fakta: Benign Prostatic Hyperplasi (BHP)Alasan lelaki hidap BPH yang enggan dirawat:
Akur ia sebahagian proses penuaan
Menyusahkan
Takut/malu dengan ejekan dan cemuhan
Tidak selesa dengan pemeriksaan
Takut disahkan menghidap barahAntara komplikasi BPH:
Pembentukan batu karang
Pengembangan saluran atas
Hydroureter dan hydronephrosis
Pundi kencing melencong
Jangkitan saluran kencingBagaimana BPH dirawat: Perubatan:
Alpha Blockers
5 Alpha Reductase Inhibitor
Kombinasi terapi
Terapi alternatif.Pembedahan
TURP
Laser Prostatectomy (namun majoriti dirawat dengan ubat makan).
Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas. Kembali ke atas
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024x768.
Resolusi anda sekarang adalah 800x600. Sila tukar resolusi anda untuk dapatkan paparan laman web terbaik!
Lafaz diikuti niat dapat tetapkan hati
Persoalan Agama: Lafaz diikuti niat dapat tetapkan hati fokus terhadap ibadat
Soalan:APAKAH sah solat jika seseorang itu hanya berniat 'Aku angkat hadas kecil atau aku ambil wuduk' dan tidak disertakan Lillahitaala? Soalan kedua, adakah seseorang perlu berniat penuh untuk solat Jumaat seperti "Aku solat fardu Jumaat dua rakaat makmum Lillahitaala" atau hanya perlu berniat seperti solat fardu yang lain seperti 'Aku solat Zuhur? Ini kerana saya pernah mendengar kuliah agama yang mengatakan sah solat dengan berniat seperti "Aku solat Zuhur."
Siti Zainab AliPetaling Jaya, Selangor.J
awapan: Membicarakan mengenai permasalahan niat ini, saya suka merujuk kepada perbahasan fuqaha` contohnya al-Nawawi dalam al-Majmuk tentang kepentingan niat dalam ibadat dan kedudukannya.Niat adalah syarat sah ibadat di sisi jumhur fuqaha di kalangan Syafiiiyyah seperti al-Mawardi, al-Ghazali dan lain-lain. Pendapat ini juga adalah pandangan al-Zuhri, Rabiah, Malik, al-Laith bin Saad, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu Ubaied. Ini adalah berdasarkan ayat ke 5 surah al-Bayyainah yang bermaksud: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.Ikhlas adalah amalan hati, dan suruhan dalam ayat adalah suatu perintah yang bersifat wajib (yaqtadhi al-Wujub ). Dalam hadis pula Nabi saw bersabda maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan itu dikira berdasarkan niat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim ).Niat seperti yang diperjelaskan al-Nawawi dalam al-Majmuk, tempatnya adalah di hati, kerana niat itu adalah qasad. Sekiranya dilafazkan maka ia lebih utama (afdal). Lafaz yang dimaksudkan itu adalah apa yang diucapkan dengan makna yang selari dengan suatu yang disematkan di dalam hati itu.Maka di sini timbullah persoalan, apakah ucapan Aku angkat hadas kecil atau aku ambil wuduk itu adalah niat ataupun lafaz. Begitu juga dengan soalan kedua yang berkaitan dengan Aku solat fardu Jumaat dua rakaat makmum Lillahitaala. Lafaz ini dalam bahasa Arabnya diungkapkan sebagai Usalli fardhal jumati...Perkara ini telah menyebabkan timbul polemik dalam masyarakat antara yang menjadikan lafaz itu agar dilakukan serentak dengan niat sebagai syarat sahnya solat. Di pihak yang lain pula ada yang mengatakan memadai untuk mengangkat takbir tanpa perlu dilafazkan.Lafaz usalli untuk solat ataupun nawaitu untuk ibadat yang lain sebenarnya dibincangkan oleh kalangan fuqaha` sebagai Talaffuz binniyat. Talaffuz binniyyat ataupun melafazkan niat ini bukanlah sebahagian dari ibadat itu sebenarnya. Ia tidak mengurangi ataupun melebihi ibadat yang diniatkan itu. Ini disebabkan ia berada di luar ibadat itu sama ada wuduk ataupun solat.Bagaimanapun melafazkan niat ini adalah suatu perkara mustahab atau dengan istilah lain suatu yang sunat. Menurut kitab fiqh mutaakhir Syafiiy, illatnya adalah supaya membantu hati untuk menjadi lebih fokus.Perkara ini selalu berlaku dalam kehidupan contohnya penjual buah-buahan akan menghitung buah-buahannya dengan lafaz untuk membantu hati, malahan kadang-kadang disertai hitungan itu dengan irama nyanyian. Tujuan melafazkan itu adalah agar niat itu lebih mudah tersemat dalam hati. Sebagai tambahan melafazkan niat termasuk dalam salah satu amalan lidah. Setiap amalan yang terbit dari pengucapan seseorang mukallaf itu pula sentiasa ditulis oleh malaikat. Perkataan yang baik ditulis sebagai kebaikan. Demikian pula sebaliknya kata jahat menyebabkan seseorang itu dikira berdosa. Firman Allah SWT dalam surah Qaf, ayat 18, maksudnya: Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).Bertitik tolak dari sini anda dapat melihat kepentingan lafaz agar diselaraskan dengan apa yang tersemat dalam hati kerana peranan lafaz itu adalah untuk mengukuhkan niat yang terdapat telahpun ada dalam hati seseorang itu.
Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas. Kembali ke atas
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024x768.
Resolusi anda sekarang adalah 800x600. Sila tukar resolusi anda untuk dapatkan paparan laman web terbaik!
Adab tidur Rasulullah
Persoalan Agama: Adab tidur Rasulullah amalan menyihatkan
Soalan:SAYA pernah mendengar bahawa tidur di dalam keadaan meniarap adalah amalan syaitan. Selain itu, dari segi saintifik juga, saya juga membaca bahawa tidur di dalam keadaan ini tidak baik untuk kesihatan. Namun, apa yang menjadi persoalan ialah ibu saya berkata yang tidur seperti ini baik untuk seorang bayi. Apa pandangan ustaz?
Insan Cetek Pengetahuan, Klang, Selangor.
Jawapan:Tidur dianggap sebagai ibadat seorang hamba kepada Penciptanya, sekiranya seseorang itu tidur mengikut sunnah Rasulullah SAW.Bagi memperjelaskan soalan anda, eloklah jika kita dapat melihat gambaran sunnah Nabi SAW dan adab-adab tidur seperti yang dikemukakan dalam kitab Syamail Muhammad SAW.Antara hadis yang menerangkan adab tidur Nabi SAW adalah sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim bermaksud: Jika kamu akan tidur maka berwuduklah bagaikan kamu akan sembahyang, kemudian berbaring atas pinggang kanan dan bacalah doa ini (seperti doa yang dijelaskan selepas ini) dan jadikanlah bacaan doa itu yang terakhir daripada bacaanmu (perkataanmu). Dalam sebuah hadis diterangkan: Al-Barra' bin Azib berkata: Adalah Rasulullah SAW jika akan tidur, mengiring ke sebelah kanan kemudian Baginda membaca: Maksudnya: Ya Allah aku serahkan diriku kepada-Mu dan menghadapkan mukaku kepada-Mu dan menyerahkan semua urusanku kepada-Mu dan menyandarkan belakangku kepada-Mu kerana mengharap dan takut kepada-Mu, tiada perlindungan dan tiada tempat selamat daripada seksa-Mu kecuali kembali kepada-Mu. Aku beriman kepada kitab yang Engkau turunkan dan Nabi yang telah Engkau utus. (Hadis riwayat Bukhari).Dalam riwayat yang berasingan yang turut diriwayatkan oleh Al-Bara bin Azib, beliau berkata: Se sungguhnya Nabi SAW apabila berbaring di tempat tidurnya, Baginda akan meletakkan telapak tangannya yang kanan di bawah pipinya yang kanan, lalu berdoa: Rabbi qinii adzaabaka yawma tabatsu ibaadaka (Ya Tu hanku, peliharalah aku dari azab-Mu pada hari Kau bangkitkan seluruh hamba-Mu). (HR. At-Tirmidzi).Hudzaifah pula meriwayatkan: Apabila Rasulullah SAW berbaring di tempat tidurnya, maka Baginda berdoa: Allahumma bismika amuutu wa ahyaa (Ya Allah, dengan Asma-Mu aku mati dan aku hidup). Dan jika bangun dari tidurnya beliau berdoa: Alhamdu lillaahill adzii ahyaanaa bada maa amaatanaa wa ilayhin-nu syuur (Segala puji bagi Allah, yang telah menghidup kan aku kembali setelah mematikan aku, dan kepada- Nya tempat kembali). (HR. At-Tirmidzi).Menurut Ummul Mukminin Aisya, yang berkata: Apabila Rasulullah SAW berbaring di tempat tidurnya, Baginda akan menghimpunkan kedua-dua telapak tangannya, lalu meniup kedua-duanya dan dibaca pada kedua-duanya surat Al-Ikhlash, Al-Falaq, dan An-Naas. Kemudian disapunya seluruh badan yang dapat disapunya dengan kedua-dua tangannya. Baginda memulakan dari kepalanya, mukanya dan bahagian depan badannya. Beliau melakukannya sebanyak tiga kali. (HR. At- Tirmidzi , lihat Kitab Sya mail Muhammad cetakan Telaga Biru, halaman 167-168).Walaupun kita digalakkan mendahulukan posisi tidur di atas sisi sebelah kanan (rusuk kanan) dan berbantal dengan tangan kanan, namun tidaklah menjadi masalah apabila berubah posisinya ke sebelah sisi kiri. Perkara ini berdasarkan sabda Rasulullah: Berbaringlah di atas rusuk sebelah kananmu. (HR. Al-Bukhari dan Muslim). Arahan Nabi dalam hadis ini bukanlah merujuk kepada suatu yang wajib kerana dalam kesempatan yang lain Rasulullah SAW juga pernah mengubah kedudukan tidur Baginda. Dalam hadis yang sahih ini, Rasulullah sudah melakukan tidur secara terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagai mana maksud hadis: Daripada 'Abbad bin Tamim, daripada bapa saudaranya, bahawasanya Rasulullah SAW tidur terlentang di masjid sambil meletakkan satu kaki di atas yang lain. (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim). Berkaitan dengan tidur telungkup pula ada sebuah hadis yang merujuk kepada tegahan Nabi SAW. Hadis ini bermaksud : Tidak dibenarkan telungkup dengan posisi perut sebagai tumpuannya sama ada ketika tidur malam atau pun tidur siang. Sesungguhnya (posisi tidur telungkup) seperti itu adalah posisi tidur yang dimurkai Allah Azza Wa Jalla. (HR. Abu Daud dengan sanad yang sahih).Sebagai tambahan, satu huraian lanjut yang bermanfaat untuk diketahui oleh setiap Muslim, ada beberapa lagi adab yang dituntut amalannya sebelum tidur agar tidur itu menjadi ibadat di sisi Allah SWT. Ini disebabkan tidur adalah aktiviti harian yang tidak khusus kepada anak-anak. Menurut Ab Aziz bin Fathi as-Sayyid Nada dalam Kitab Ensiklopedia Adab Islam, antara adab tidur yang menjadi amalan Nabi SAW dan salafussoleh ialah:
Mengikhlaskan niat supaya tidur itu untuk memberi kekuatan untuk beramal selepas bangkit kelak.
Tidak tidur di tempat terbuka yang mudah dilihat manusia.
Elakkan tidur sewaktu kekenyangan.
Tidur dalam keadaan suci.
Tidur dalam keadaan berwuduk.
Membaca surah dan ayat yang menjadi amalan Nabi SAW sebelum tidur.
Bercelak dengan celak. Ini berdasarkan hadis yang yang bermaksud: Hendaklah kamu tidur dengan bercelak kerana ia dapat mencerahkan pandangan dan melebatkan bulu mata. (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan al- Hakim).
Mengerjakan solat sunat seperti witir sebelum tidur. Ini adalah berpandukan ke pada hadis riwayat Ahmad yang bermaksud: Orang yang tidak tidur sehingga dia mengerjakan solat witir adalah orang yang bertekad kuat.
Mengibas tempat pembaringan dengan hujung kain dan mengucapkan Bismillah seperti riwayat al-Tir mizi.
Bersiwak atau bersugi ketika bangun pada malam hari seperti yang diriwayatkan dari Ibn Adiy.Sebagai kesimpulannya ada beberapa amalan yang wajar dilakukan bagi menjadikan tidur kita sebagai sumber kerehatan dan sebab mendapat reda-Nya. Manakala posisi tidur yang digalakkan berpandukan kepada hadis adalah di atas dada bahagian kanan. Kemudian perubahan yang berlaku dalam posisi selepas itu tidaklah menjadi masalah selagi tidak berkeadaan telungkup. Wallahu alam.
Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas. Kembali ke atas
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024x768.
Resolusi anda sekarang adalah 800x600. Sila tukar resolusi anda untuk dapatkan paparan laman web terbaik!
02 October 2009
Tujuh jenis puasa sunat jadi amalan Rasulullah
Tujuh jenis puasa sunat jadi amalan Rasulullah
Zamanuddin Jusoh
KAMI jemaah masjid yang sering berpuasa sunat. Tambahan pula semangat Ramadan masih lagi membara. Jadi bolehkan ustaz terangkan jenis puasa sunat yang pernah dilakukan Rasulullah SAW serta waktu yang terbaik untuk berbuat demikian. Harap dapat penjelasan. Jemaah Masjid Al-Muqarrabin,
Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur.
BERTANYA seorang sahabat kepada Anas r.a mengenai puasa Nabi SAW. Jawab Anas: “Aku suka melihat Rasulullah SAW khususnya ketika beliau berbuka atau berpuasa. Hatta pada malam yang beliau habiskan sehingga fajar. Keadaan tidur Rasulullah SAW dan aku tidak pernah merasai kelembutan sutera yang hebat lebih daripada kelembutan tapak tangan Rasulullah SAW. Aku mencium bau hebat dari wangian kasturi, tetapi bau badan Rasulullah SAW lebih wangi dari itu. (Hadis Bukhari). Berkata Syeikh Ibnu Hajar: “Bahawa keadaan Rasul SAW dalam menunaikan perkara sunat seperti puasa dan Qiamullail adalah berbeza. Kadang-kadang beliau berpuasa pada awal, pertengahan atau akhir bulan. Puasa sunat tidak tertakluk kepada waktu kecuali waktu yang ditegah. Baginda tidak berpuasa sepanjang tahun. Tidak pula berqiamullail sepanjang malam kerana bimbang akan menjadi kesulitan kepada umat akan datang. Jadi beliau berpuasa dan berbuka, tidur dan berqiamullail. (Fath 4/217). Firman Allah: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu adalah contoh ikutan yang baik bagi mereka yang mengharapkan keredaan Allah dan Rasulnya (al-Mumtahanah: 6). Marilah kita melihat sepintas lalu mengenai hari dan munasabah tertentu ibadat puasa Nabi SAW.
l Puasa enam hari pada Syawal - Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan kemudian meneruskannya dengan enam hari pada bulan Syawal, akan mendapat ganjaran seolah-olah dia berpuasa setahun. (Riwayat Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Ibn Majah). Ibnu Qudamah menyebut dalam kitabnya, Mughni riwayat Said dari Sauban r.a, berkata sabda Rasul SAW: “Sesiapa berpuasa Ramadan sebulan bersamaan sepuluh bulan dan puasa enam hari pada Syawal, maka sempurnalah setahun”. Ini bermakna satu kebajikan digandakan sepuluh dan enam hari dengan ganjaran enam puluh hari, Demikianlah dua belas bulan, iaitu setahun. (Mughni 3/173). Imam Nawawi ketika mengulas hadis di atas berkata, “Ini adalah bukti jelas bagi Imam Syafie, Imam Ahmad dan Daud menjadi alasan menggalakkan kita berpuasa enam hari dalam bulan Syawal”. (Syarah Muslim 8/56). Ulama berbeza pendapat mengenai puasa berturut-turut atau sebaliknya. Pengarang kitab Al Hidayah dan lain-lain menyarankan supaya dilakukan berturut-turut. Namun, Imam Abu Hanifah dan sebahagian daripada ulama mazhab Syafie antaranya Abu Yusuf dan lain-lain mengatakan bahawa dipisahkan adalah lebih baik dan disunatkan kerana dapat membezakan dengan puasa penganut Kristian dan juga dapat meraikan kaum keluarga. (Maarif Sunan Syarah Tarmizi 6/121).
l Puasa Muharam - Dari Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: “Sebaik-baik puasa selepas Ramadan ialah puasa bulan Muharam dan sebaik-baik solat selepas solat lima waktu ialah solat malam. (Muslim 1/474). Waktu yang terbaik ialah pada 9 dan 10 hari bulan. Ia berlaku sepanjang Muharam dan 10 Muharam mempunyai hak khusus tersendiri.
l Puasa Hari-Hari Putih - Iaitu pada 13,14 dan 15 setiap bulan Islam. Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW pernah berpesan dengan tiga perkara: Puasa tiga hari setiap bulan, dua rakaat solat Duha dan solat witir sebelum tidur (Hadis Bukhari). Syekh Ruyani berpendapat bahawa berpuasa tiga hari setiap bulan adalah sunat dan lebih afdal jika bertepatan dengan hari-hari putih (13,14 dan 15 setiap bulan Islam). Ia dinamakan hari-hari putih kerana keceriaan malamnya dengan pancaran bulan penuh. (AlMughni 3/177) Dari Abdullah Bin Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah pada setiap bulan, tiga hari kerana satu kebajikan digandakan sepuluh kali ganda. Yang demikian itu seumpama kita berpuasa setahun. (Hadis Bukhari, Muslim). Dalam riwayat lain sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Sesiapa berpuasa Ramadan bersama tiga hari setiap bulan akan mendapat pertolongan pada hari yang sangat dahaga ia hari Mahsyar.
l Puasa hari Arafah pada 9 Zulhijjah - Dari Abu Qatadah bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai puasa hari Arafah. Jawab Baginda: “Pengampunan dosa bagi tahun lalu dan tahun akan datang. (Hadis Muslim 1/473). Bagi berwukuf di Arafah pula kebanyakan ulama sepakat mengatakan bahawa mereka sunat berbuka puasa. Imam Hanafi dan Maliki berpendapat adalah makruh bagi jemaah haji yang berpuasa pada hari wukuf dan hari tarwiyah (8 Zulhijjah). Imam Hambali pula berpendapat bahawa sunat berpuasa bagi jemaah haji jika mereka berwukuf pada waktu malam dan makruh bagi mereka yang wukuf siang hari. Bagi Mazhab Syafie pula bagi penduduk Makkah yang berwukuf pada siang hari, berpuasa adalah tidak digalakkan dan harus bagi yang berwukuf di sebelah malam. (Fiqh 4 Mazhab 1/505). Adapun puasa Arafah sudah diketahui umum bagi semua yang mengerjakan haji atau sebaliknya. (Fath 4/237).
l Puasa hari Asyura (10 Muharam) - Dari Abdullah Bin Abbas ra bahawa ketika Rasulullah SAW sampai ke Madinah, beliau mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Nabi bertanya, “Apakah gerangan hari ini sehingga kamu berpuasa?“. Maka mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang besar di mana Musa diselamatkan dari kaumnya, tenggelamnya Firaun dan kaumnya. Musa berpuasa kerana mensyukuri dan kami berpuasa”. Selepas mendengar itu Nabi SAW pun bersabda, “Kami lebih utama berpuasa dari kamu dan Nabi SAW berpuasa dan menganjurkan kita berpuasa”. Dalam riwayat Abu Qatadah ra bahawa apabila Nabi SAW ditanya mengenai puasa Asyura beliau menjawab, “Mendapat keampunan setahun yang lampau”. (Hadis Muslim 1/459). Dalam riwayat lain sabda Nabi SAW, “Puasalah hari kesembilan dan kesepuluh, janganlah kamu samakan dengan kaum Yahudi. Ada yang berkata, berpuasa 9 Zulhijah sudah memadai kerana dosa dua tahun sudah terhapus. Sheikh Abd Hamid berpendapat bahawa dosa adalah seperti ‘air sungai yang mengalir’. Oleh itu, puasa dan taubat adalah ubat mujarab untuk dosa berkenaan. Ada dosa yang tidak diampun kecuali dengan puasa Asyura. Begitulah sebaliknya dan tiada yang mengetahuinya melainkan Allah SWT.
l Puasa Isnin dan Khamis - Dari Abu Qatadah r.a bahawa Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa Isnin dan Khamis. Baginda menjawab: “Padanya aku dilahirkan dan padanya mula-mula diturunkan wahyu padaku. (HR Muslim 1/474). Dalam riwayat Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda: “Diangkat amalan seseorang pada Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa”. (Hadis Tarmizi). Dalam riwayat lain daripada sebahagian isteri Baginda ada mengatakan bahawa Rasulullah SAW berpuasa 9 dan 10 Zulhijjah, tiga hari setiap bulan Islam serta Isnin dan Khamis pada setiap minggu. (Hadis Abu Daud)
l Puasa Nabi Daud AS - Rasulullah SAW bersabda: “ Tidak ada puasa yang lebih baik selain puasa Nabi Daud AS. Beliau berpuasa sehari dan berbuka sehari. (Hadis Bukhari). Dalam hadis lain, Rasul SAW bersabda: “Puasa yang paling disukai Allah ialah puasa Nabi Daud AS. Beliau berpuasa sehari dan berbuka sehari. Dia juga tidur dan menggunakan satu pertiga malamnya saja untuk berqiamullail. (Hadis Nasai, Abu Daud). Untuk makluman, semua puasa sunat berkenaan dilarang bagi yang bergelar isteri kecuali mendapat keizinan suami masing-masing kerana menunaikan hajat suami adalah wajib. Maka hukum syarak mengatakan hendaklah didahului yang wajib.
Penulis ialah Pegawai di Unit Agama NSTP, e-mel zaman@nstp.com.my