Tujuan
17 November 2009
Perbezaan pendapat
Perbezaan pendapat hasil kajian, penyelidikan boleh pertingkat ilmu pengetahuan ummah
TINDAKAN mengehadkan sumber hukum hanya akan menyempitkan pandangan terhadap syiar Islam dan membantutkan penyuburan ilmu, sedangkan Islam menggalakkan umatnya meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya, berkata sikap membataskan pandangan terhadap sumber hukum juga akan merugikan umat Islam. Katanya, perbezaan pandangan hasil daripada kajian serta penyelidikan kepada sumber hukum yang pelbagai membolehkan umat Islam mempelajari lebih banyak perkara serta menghasilkan ketetapan memberi manfaat untuk kemajuan ummah.
"Islam sendiri membenarkan perbezaan pandangan atas perkara tertentu dan ia hendaklah dilakukan mengikut caranya. Jangan pula apabila berbeza itu kita mendabik dada mengatakan kita lebih baik dan mencemuh orang lain. "Dalam bab hukum ini, jika hendak faham belajarlah usul fiqh," katanya pada seminar dakwah Memperkukuhkan Ahlus Sunnah Wal Jamaah: Isu dan Cabaran Semasa anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Kolej Dar al Hikmah, Sungai Ramal, Kajang, baru-baru ini. Beliau berkata, jika semua boleh berlapang dada dan menerima perbezaan pandangan dalam hal membabitkan amalan agama dengan hati terbuka, maka tidak timbul sikap perselisihan hingga boleh memecahbelahkan umat Islam seperti berlaku hari ini.
Hashim berkata, dalam masalah cabang yang menjadi amalan umat Islam ada yang tidak mempunyai dalil khusus tetapi hujah berpandukan kepada dalil umum yang dikembangkan dan disusun dengan sempurna oleh ulama nusantara. Antaranya, amalan berwirid selepas solat yang dikatakan tidak dibolehkan kerana Rasulullah SAW tidak melakukannya sedangkan Baginda menyuruhnya kerana amalan baik memang digalakkan. Mengenai susunan zikir pula, Hashim berkata, ia adalah ijtihad ulama yang menyusunnya dengan tujuan memudahkan masyarakat umum yang mungkin tidak tahu apa hendak dibaca untuk meningkatkan amalan serta mendekatkan diri kepada Allah. Begitu juga katanya, dengan amalan lain yang dikatakan tidak dilakukan Rasulullah SAW tetapi ulama melihat akan kebaikannya untuk mengembalikan dan mendekatkan umat Islam kepada ajaran Islam.
"Tidak ada dalil khusus tetapi ada dalil umum, jadi jangan terkeliru kerana ini akan merugikan umat Islam. Perlu faham kenapa ada galakan membaca Yasin yang menjadi amalan sejak dulu, kerana ketika Islam mula datang tidak ramai boleh membaca al-Quran. "Jadi ulama kata, mari kita berkumpul dan baca ayat al-Quran iaitu surah Yasin. Jika dihalang, apa yang hendak dibaca jika yang dia tahu hanya surah Yasin. Sekurang-kurangnya ada ayat al-Quran yang dia boleh baca dan janganlah kata amalan itu bidaah," katanya. Beliau berkata, perbezaan pandangan berkaitan perkara cabang dalam amalan agama jika dijadikan bahan untuk diperbahaskan hingga kiamat tidak akan selesai dan sebaiknya tenaga itu sepatutnya ditumpukan ke arah membanteras kemungkaran yang lebih jelas. Sementara itu, Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Abdul Halim El-Muhammady, berkata gerakan aliran tidak bermazhab sudah bertapak di negara ini hampir satu abad tetapi tidak nampak sumbangan mereka dari sudut keilmuan dan pembangunan masyarakat. Katanya, disebabkan tiada hasil karya ilmu berwibawa dan muktabar daripada golongan aliran tidak bermazhab menyebabkan ia tidak dapat diterima dalam arus perdana sama ada pada peringkat pemerintah atau masyarakat. "Aliran tidak bermazhab ini sebenarnya tidak mempunyai asas kuasa yang kuat dari sudut keilmuan atau tidak cukup wibawa ulamanya jika dibanding dengan ulama beraliran mazhab serta karya mereka. "Malah, aliran ini juga tidak berlaku dalam pengalaman negara Islam selepas penerimaan mazhab tertentu dalam masyarakat. Arab Saudi masih bermazhab Hambali, Turki dan Pakistan bermazhab Hanafi sementara Libya dan Tunisia bermazhab Maliki," katanya. Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk 'Pengaruh Fiqh Mazhab Syafie Dalam Pemikiran Masyarakat Melayu di Malaysia dan Cabaran Masa Kini' menjelaskan cabaran berlaku terhadap mazhab Syafie melalui tiga gelombang. Gelombang pertama berlaku pada 20-an dan 30-an apabila golongan muda cuba mengemukakan idea baru yang berbeza dengan pegangan sedia ada oleh pelajar yang melanjutkan pengajian di Arab Saudi, Mesir dan India kerana terpengaruh pemikiran gerakan Islam di sana. Usaha itu kemudian disambung gelombang kedua yang berlaku antara 1940-an dan 1960-an yang banyak menumpukan persoalan khilafiyyah lebih khusus hingga menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat awam tetapi ulama akhirnya sepakat bersetuju dengan pendirian ulama aliran mazhab Syafie. Gelombang ketiga berlaku dari 70-an hingga kini dipelopori golongan muda menyambung pemikiran dan pendekatan golongan muda sebelumnya yang mempertikai beberapa amalan dalam masyarakat diambil daripada ulama aliran mazhab Syafie. "Golongan ini tidak mengikat diri mereka dengan mana-mana mazhab muktabar yang diiktiraf dunia Islam dan mazhab Syafie di negara ini. Mereka anggap mereka layak berijtihad mutlak seperti imam muktabar kerana mereka adalah manusia dan tiada bezanya. "Bagi orang yang mengkaji ilmu mengetahui ulama muktabar yang berijtihad lengkap dari segi ilmu asas syariah. Berijtihad tanpa ilmu yang lengkap dari sudut syariah, bahasa Arab dan kaedah usul fiqh boleh membawa kepada penyelewengan. "Hal ini dapat dilihat bibitnya kebelakangan ini dengan kemunculan kelompok liberal yang tidak mahu terikat dengan kaedah epistemologi Islam dan kaedah usulnya memahami al-Quran dan sunnah hingga akhirnya membawa kecelaruan tafsiran sumber ajaran Islam," katanya. Abdul Halim berkata, golongan berkenaan hakikatnya sudah melanggar adab berdakwah kerana tidak menghargai sumbangan ulama aliran mazhab Syafie, malah memperkecil serta memperlekehkan sumbangan mereka dari sudut ilmu dan pembangunan masyarakat. Katanya, golongan itu juga menganggap ulama aliran mazhab Syafie membawa ilmu yang menjadikan umat Islam tidak tepat memahami Islam dan tidak ada usaha ijtihad dalam ilmu mereka tetapi hanya mengikut mazhab membabi buta atau disebut bertaqlid buta.
INFO:
Perbezaan pandangan hasil daripada kajian serta penyelidikan kepada sumber hukum yang pelbagai membolehkan umat Islam mempelajari lebih banyak perkara serta menghasilkan ketetapan memberi manfaat untuk kemajuan ummah.
Amalan berwirid selepas solat yang dikatakan tidak dibolehkan kerana Rasulullah SAW tidak melakukannya sedangkan Baginda menyuruhnya kerana amalan baik memang digalakkan.
Jika semua boleh berlapang dada dan menerima perbezaan pandangan dalam hal membabitkan amalan agama dengan hati terbuka, maka tidak timbul sikap perselisihan hingga boleh memecahbelahkan umat Islam seperti berlaku hari ini.
Gelombang ketiga berlaku dari 1970-an hingga kini dipelopori golongan muda menyambung pemikiran dan pendekatan golongan muda sebelumnya yang mempertikai beberapa amalan dalam masyarakat diambil daripada ulama aliran mazhab Syafie.
15 November 2009
Diabetes ibu segala penyakit
Diabetes ibu segala penyakit
Oleh Hafizah Iszahanidhafiza@bharian.com.my
Dihidapi dua orang setiap 10 saat di seluruh dunia sebabkan komplikasi termasuk jantung, buta, strokDI sebalik kempen meraikan Hari Diabetes Sedunia yang disambut semalam, ada fakta lain yang harus dititikberatkan ramai apabila membicarakan kewajaran pelbagai program dan usaha kesedaran bahaya kencing manis ini.Faktanya - setiap 10 saat, dua orang disahkan menghidap diabetes di seluruh dunia manakala empat juta lain maut akibatnya setiap tahun. Tidak cukup dengan itu, diabetes juga berada di tangga keempat penyakit membawa maut.Menggerunkan bukan? Hakikatnya, di Malaysia sendiri, kira-kira 1.2 juta rakyatnya disahkan penghidap diabetes atau kencing manis. Malangnya, apa yang menyedihkan, separuh daripada jumlah itu tidak menyedari mereka menghidap diabetes sehinggalah dirawat kerana berdepan salah satu komplikasi diabetes.Setiausaha Am Persatuan Diabetes Malaysia, Datuk Rahimah Ahmad berkata, faktor Malaysia yang diketahui kaya pelbagai jenis hidangan yang lazat, sedikit sebanyak menjadikan ramai leka dengan kandungan gula dan kalori makanan yang diambil.“Faktor ini digabung pula dengan gaya kehidupan moden kurang aktif yang menyumbang kepada peningkatan kes diabetes yang ketara di negara ini,” katanya ketika merasmikan acara kempen kesedaran diabetes kepada orang awam anjuran persatuan itu, baru-baru ini.Selain penyakit maut, diabetes juga kerap dirujuk sebagai ibu segala penyakit kerana memungkinkan pesakitnya berdepan pelbagai komplikasi kesihatan seperti masalah jantung termasuk kegagalan fungsi jantung. Malah, risiko serangan angin ahmar sememangnya lebih tinggi di kalangan pesakit diabetes berbanding bukan penghidap penyakit itu. Bukan itu saja, pesakit diabetes juga berisiko hingga empat kali ganda terhadap penyakit jantung atau yang berkaitan kardiovaskular.Pensyarah Perubatan dan Pakar Runding Kanan Endokrinologi, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed, pula menegaskan, diabetes adalah penyakit seumur hidup yang setakat ini tidak boleh disembuhkan.Namun, usaha mengawal pemakanan, melakukan senaman dan mengambil ubat-ubatan mengikut keperluan adalah kaedah pengurusan diabetes yang baik.“Diabetes yang tidak dikawal dengan baik boleh memendekkan hayat seseorang sehingga 10 tahun,” katanya.Biarpun diabetes dikenali sebagai penyakit orang dewasa, namun kebelakangan ini diabetes Jenis Dua terbukti semakin meningkat di kalangan kanak-kanak dan remaja. Ia dikaitkan dengan masalah terlalu gemuk atau obesiti, kurang bersenam dan diet tidak sihat.“Gaya hidup dan pemakanan menjadi punca kegemukan yang membawa kepada diabetes. Malah hari ini, tidak menghairankan jika anda mengenali seorang pesakit diabetes yang hanya berusia 12 atau 10 tahun,” katanya.Jelas Dr Mafauzy, berdasarkan Kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan pada 2006, menyenaraikan Negeri Sembilan dan Melaka sebagai negeri yang mencatatkan kadar peratusan pesakit diabetes tertinggi di Malaysia manakala kadar diabetes terendah adalah di Sabah.“Faktor genetik sememangnya penyumbang besar masalah diabetes. Di Malaysia, majoriti pesakit diabetes berketurunan India diikuti Melayu dan Cina. “Namun perlu diingat, jika seseorang itu lahir dalam keluarga yang ada sejarah penyakit itu maka risiko untuknya menghidap diabetes sangat tinggi. Oleh itu, langkah pencegahan yang boleh diamalkan adalah pemakanan sihat dan lakukan senaman,” katanya.Dr Mafauzy berkata, tidak ramai yang tahu, tetapi hakikatnya hampir 90 peratus pesakit diabetes di seluruh dunia adalah daripada Jenis Dua. Selain faktor genetik, diabetes jenis ini turut dikaitkan dengan obesiti dan tidak aktif secara fizikal.Diabetes Jenis Dua ini juga satu masalah kronik yang menjejaskan kaedah tubuh menangani glukos. Ini disebabkan diabetes jenis ini menyebabkan tubuh menolak kesan insulin atau tubuh tidak menghasilkan kadar insulin mencukupi bagi mengekalkan tahap glukos normal.Diabetes Jenis Dua juga tidak memerlukan insulin sepanjang hayat tetapi anda boleh mengawal glukos dalam darah dengan diet, bersenam atau kombinasi pengambilan ubat-ubatan atau di kalangan sesetengah pesakit mungkin perlu mengambil sedikit insulin.“Ada kala pesakit menunggu simptom datang sebelum mendapat rawatan. Namun, ada kala mereka langsung tidak sedar simptom yang ditunjukkan tubuh mereka. Ia menyebabkan mereka hanya tahu diserang diabetes secara tidak sengaja selepas terjadinya komplikasi kesihatan,” katanya.Kadang kala, jika ada simptom pun, ia sangat minimum. Secara umum simptom diabetes adalah kerap membuang air kecil (polyuria), kerap dahaga (polydipsia), kerap lapar (polyphagia) dan hilang berat badan tanpa sebab yang khusus, rasa kebas yang ekstrim, rasa sakit pada kaki (disesthesias) dan penglihatan kabur.Bagi jangka masa yang lama, diabetes menyebakan komplikasi pada jantung, salur darah, mata, ginjal juga saraf. Retinopati misalnya adalah sebab utama buta dan ia terjadi kerana jangka masa panjang. Retinopati menyebabkan kerosakan pada salur darah kecil di retina.Secara umum tanpa pengurusan diabetes yang baik, selepas 15 tahun menghidap diabetes, dua peratus pesakit menjadi buta manakala 10 peratus berhadapan dengan masalah penglihatan.Secara lebih teknikal pula, komplikasi diabetes terbahagi kepada komplikasi mikrovaskular (membabitkan salur darah kecil) seperti buah pinggang (nephropathy), saraf rosak (neuropathy), penglihatan terjejas (retinopati, katarak atau glaukoma).Manakala komplikasi makrovaskular (membabitkan salur darah besar) menyebabkan masalah seperti jantung, angin ahmar, gangrene dan akhirnya kaki dipotong (amputasi) selain masalah metabolik, mati pucuk dan masalah waktu hamil.INFO: Faktor Risiko Diabetes Jenis Dua
Usia dan bangsa - semakin anda berusia semakin tinggi risiko diserang diabetes. Apatah lagi jika anda dari keturunan kulit hitam, Asia Selatan dan kaukasian. Dalam satu kajian di United Kingdom didapati mereka yang berketurunan kulit hitam dan Asia Selatan (India, Pakistan, Bangladesh) adalah lima kali lebih berisiko diserang diabetes berbanding mereka yang berkulit putih.
Genetik - jika ada lahir dalam keluarga yang memiliki sejarah diabetis. Risiko anda lebih tinggi jika ahli keluarga itu adalah emak atau ayah malah bapa saudara sama ada sebelah ibu atau ayah.
Obesiti - kebanyakan mereka yang menghidap diabetes Jenis Dua adalah obes. Lebih gemuk seseorang itu lebih tinggi risikonya. Apatah lagi jika tidak aktif bersenam.
Diabetes waktu hamil - wanita yang diserang diabetes waktu hamil berisiko untuk menghidap diabetes.
Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas. Kembali ke atas
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024x768.
Resolusi anda sekarang adalah 800x600. Sila tukar resolusi anda untuk dapatkan paparan laman web terbaik!
Vitamin terbaik untuk anak
Vitamin terbaik untuk anak
Oleh Hafizah Iszahanidhafiza@bharian.com.my
Pastikan si kecil nikmati diet seimbang, elak makanan ringan ADAKAH anak anda memerlukan vitamin tambahan dalam diet sehariannya? Apakah beliau cukup khasiat untuk membesar sebagai anak yang sihat dan cerdas? Inilah persoalan yang sering melingkari minda ramai ibu bapa yang ragu-ragu mengenai keupayaan sendiri dalam memantau pembesaran anak-anak.
Justeru, tidak hairan apabila anak-anak zaman ini disogokkan dengan pelbagai pil bagi menambah kecergasan dan kecerdasan. Tetapi, adakah ini perlu? Tidakkah terlalu awal mendedahkan anak-anak dengan pelbagai vitamin tambahan? Pakar Runding Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Pantai Bangsar, Dr Azam Mohd Noor, berkata cara terbaik untuk memastikan anak-anak mendapat vitamin dan mineral adalah dengan memberinya peluang menikmati pelbagai jenis makanan. Selain susu, buah-buahan dan sayur-sayuran, masukkan juga kekacang, ikan dan produk tenusu dalam dietnya.
“Memang mudah menyebut diet yang sihat, tetapi kanak-kanak tidak makan seperti mana kita mahu mereka makan. Anak-anak yang cerewet dalam soal pemakanan tidak akan memperoleh vitamin, mineral dan nutrisi penting yang lain,” jelasnya. Malah ada juga kanak-kanak langsung tidak makan makanan berkhasiat atau sihat. Ada yang lebih cenderung memilih makanan yang diproses dan makanan ringan kurang sihat dan kurang khasiatnya berbanding gula dan kalori. Dr Azam berkata, anak-anak yang memilih makanan juga tidak mendapat khasiat secukupnya bagi membantu pembesaran mereka. Vitamin dan mineral yang amat penting bagi pembesaran kanak-kanak, secara umumnya boleh diperoleh dalam diet pemakanan seimbang. Tetapi ini sudah pasti menimbulkan masalah kepada kanak-kanak yang suka memilih makanan. “Kanak-kanak yang tidak mengambil mengambil vitamin dan mineral secukupnya mungkin berhadapan dengan kadar IQ yang rendah berbanding kanak-kanak yang mendapat mineral dan vitamin mencukupi,” katanya.
Jelas Dr Azam, fakta penting yang perlu diketahui ramai adalah usaha meningkatkan tahap IQ kanak-kanak bukan bergantung pada jenis atau vitamin tertentu tetapi gabungan pelbagai vitamin seperti zink, vitamin A dan C. Bagaimanapun pengambilan makanan tambahan juga harus sesuai dengan keperluan anak-anak kerana pengambilan makanan tambahan yang terlalu banyak sebaliknya boleh menjadi toksik kepada tubuh kanak-kanak. “Apa yang perlu diketahui, vitamin dan mineral tidak merawat penyakit kecuali jika kanak-kanak mengalami masalah kekurangan vitamin atau mineral,” katanya. Jika dilihat, makanan tambahan bukan lagi dalam bentuk pil atau kapsul. Ia juga tidak lagi terhad kepada vitamin dan mineral, sebaliknya asid lemak, Omega 3 dan minyak ikan. Ada juga sebahagian makanan tambahan ini dimasukkan dalam susu tepung. Misalnya, susu formula mengandungi rumusan DHA (asid docasaHexanenoic, sejenis omega 3) yang membantu perkembangan otak kanak-kanak. Bagaimanapun jelas Dr Azam, vitamin dan mineral dalam susu formula tidak setanding dengan kandungan DHA dalam susu ibu. Tetapi, perlu diingat, jika ibu menyusukan anak tidak mengambil diet yang betul, ini pasti menjejaskan kualiti susu. “Ramai ibu yang mahu segera kurus selepas pantang dan tidak makan dengan betul. Mungkin mereka akan cepat mendapat bentuk badan asal selepas bersalin tetapi tindakan itu menjejaskan khasiat susu ibu,” Dr Azam berkata satu lagi makanan tambahan yang mungkin membantu dalam proses pembesaran kanak-kanak adalah probiotik. Anak-anak yang lahir melalui pembedahan kurang terdedah pada bakteria usus yang baik berbanding anak-anak yang dilahirkan nomal. Pendedahan kepada bakteria usus yang baik membantu dalam proses pencernaan dan melindungi usus sekali gus mengurangkan simptom cirit birit.
INFO: Diet sihat si kecil
Selain susu, buah-buahan dan sayur-sayuran, masukkan juga kekacang, ikan dan produk tenusu dalam makanan anak
Makanan tambahan bukan setakat vitamin dan mineral, tetapi asid lemak, Omega 3 dan minyak ikan
Kanak-kanak kurang vitamin dan mineral secukupnya mungkin berdepan kadar IQ yang rendah
Usaha tingkat tahap IQ bergantung kepada gabungan pelbagai vitamin seperti zink, vitamin A dan C
Awasi pengambilan makanan tambahan. Jika berlebihan boleh menjadi toksik kepada tubuhnya.
13 November 2009
Memahami konsep taqlid, Ijtihad, talfiq
Memahami konsep taqlid, Ijtihad, talfiq
Oleh Hasliza Hassanhasliza@bharian.com.my
WUJUD paradoks atau pertentangan pendapat dengan pendapat diterima umum dalam pengamalan Islam di Malaysia. Dari satu aspek, syariah perlu ada keseragaman dan dari sudut lain, undang-undang Islam harus bersifat dinamik serta progresif.
Apakah masyarakat Islam dituntut mengikut ajaran mazhab tanpa soal sedangkan perkembangan semasa memperlihatkan perlu adanya pembaharuan. Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, berkata matlamat penciptaan syariah (maqasid al-syariah) dan hukum hakam dalamnya untuk menghasilkan kebaikan dan menolak keburukan bagi faedah umat manusia. Katanya, penciptaan syariah itu juga satu pendekatan melakukan penyelidikan ilmiah kerana teorinya sama iaitu berasaskan kepada prinsip menghasilkan kebaikan dan menjauhkan keburukan tetapi dengan syarat perlu tahu secara mendalam maksud kebaikan serta keburukan itu.
“Caranya ialah merujuk keseluruhan hukum syarak berpandukan al-Quran, sunnah dan kemudian merumuskan prinsipnya dalam bentuk menyeluruh supaya apabila timbul persoalan, mudah dikelaskan sebagai kebaikan atau keburukan,” katanya pada Seminar Taqlid, Ijtihad dan Talfiq: Skop, Amalan dan Batasan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur, semalam. Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk Ijtihad, Taqlid dan Talfiq dari Perspektif Maqasid al-Syariah membahagikan kebaikan kepada tiga kategori iaitu pertama, menyentuh soal hidup mati ummah, keduanya berkaitan keselesaan dan akhirnya mengenai nilai tambah. Mahmood Zuhdi berkata, berasaskan pemikiran itu ulama semasa seperti Yusuf al-Qaradhawi memperkatakan bahawa memahami keutamaan menjadi asas penting dalam membuat sebarang keputusan. Katanya, keutamaan tidak boleh ditentukan kecuali sesudah nas syarak difahami dengan baik, realiti hidup juga difahami secara mendalam dan memerlukan kemahiran melakukan pertimbangan secara tepat.
“Seseorang mujtahid atau penyelidik perlu tahu membezakan antara yang bersifat substantif dan prosedur semata-mata. Ia penting bagi menentukan fokus sebenar ijtihad supaya tidak berlaku perbuatan mementingkan yang remeh dan meremehkan yang penting. “Apa pun juga, penciptaan syariah mampu membentuk mentaliti objektif berasaskan ini berbanding mentaliti formal yang melihat sesuatu berasaskan bentuk. Ini penting dalam dunia sekarang supaya penilaian melihat kepada sifat sebenar bukan bentuk luarannya saja,” katanya. Seminar anjuran Ikim itu dirasmikan Pengerusi Ikim, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Hadir sama Ketua Pengarah Ikim, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dan Timbalan Ketua Pengarah Ikim, Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin. Seminar dua hari itu bertujuan memberi kefahaman mengenai konsep taqlid, ijtihad dan talfiq serta kedudukan dalam Islam selain mengkaji ruang lingkup talfiq dan faktor yang mendorong kemunculannya. Pada pembentangan itu, Mahmood Zuhdi turut menerangkan peranan ijtihad yang menjadi sebahagian metodologi penyelidikan hukum Islam dan empat langkah perlu diambil dalam usaha melakukan penyelidikan (ijtihad) mengikut pendapat al-Raisuni. Langkah pertama, mengambil kira objektif dalam menentukan hukum iaitu melihat nas bukan pada pengertiannya saja tetapi melihat kepada matlamat ketetapan itu. Langkah seterusnya ialah melakukan kompromi antara prinsip umum dan dalil khusus; menarik kebaikan dan menolak keburukan, akhirnya mengambil kira kesudahan akibat daripada kesimpulan penyelidikan terhadap masyarakat. Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Lukmanul Hakim Hanafi, berkata semua ilmu dalam Islam menerima pembaharuan dan yang dicita-citakan dalam ilmu fiqh ialah menghidupkan semula ijtihad. Beliau berkata, usaha itu perlu selepas wujudnya dakwaan pintu ijtihad sudah ditutup tersebar luas sedangkan ijtihad adalah kaedah penyelidikan dan kajian ilmiah dalam merumuskan hukum bertujuan mengetahui hukum diturunkan Allah dengan lebih jelas. Katanya, semua pihak perlu membersihkan diri daripada sentimen taksub atau fanatik mazhab secara buta tuli kerana mazhab bukan faktor memecah belah sebaliknya ia aliran penafsiran dan pemahaman syariah. “Kita tidak harus berasa sempit dada dengan sebab wujud perbezaan mazhab kerana ia lumrah dan tabii bagi akal manusia memahami hukum. Kita boleh berbangga dengan perbezaan ilmu fiqh yang ditinggalkan sebagai satu perbendaharaan fiqh yang berharga. “Ia juga bukti betapa berkembang subur dan hidupnya fiqh, betapa luasnya pemikiran fuqaha dalam melaksanakan kewajipan memberi khidmat kepada syariat Islam,” katanya yang membentangkan kertas kerja bertajuk Taqlid, Ijtihad dan Talfiq: Penjelasan Epistemologi Sunni. Katanya, pihak tertentu juga tidak boleh memaksa orang menerima pandangan mereka dalam masalah khilafiyyah dan pada masa sama tidak boleh menentang amalan yang tidak sesuai dengan mazhab dianuti. Lukmanul Hakim berkata, masyarakat juga jangan terpengaruh dengan pendekatan sebahagian anak muda yang berlagak alim menghentam ulama silam yang tidak sealiran dengan mereka sambil menyeru menentang amalan sedangkan ia perkara khilaf ulama semata-mata. Begitu juga pendakwah, guru atau imam, perlu bijak menangani masalah khilafiyyah kerana tidak bijak mereka membangkitkan isu remeh dalam ceramah atau pengajaran yang hanya menimbulkan perpecahan dalam masyarakat. “Kita mesti beradab dengan pihak yang berbeza pandangan kerana masing-masing mempunyai hujah serta alasan yang perlu kita hormati. Matlamat kita sepatutnya membangunkan ummah bukan meruntuhkan,” katanya.
08 November 2009
Mukjizat al-Quran boleh dirasai semua
Ulul Albab: Mukjizat al-Quran boleh dirasai semua
Oleh Abdurrahman Haqqi
KANDUNGAN kitab suci al-Quran terpelihara daripada sebarang perubahan. |
Banyak kajian serta cubaan mengelirukan kebenaran kitab suci tetapi temui kegagalan
JIKA kita ingin mengetahui dan rasai kehebatan satu-satu mukjizat seperti yang pernah berlaku ke atas umat sebelum kita, kemudian kita mengisytiharkan keimanan serta-merta dan memeliharanya, sila perhatikan al-Quran al-Karim.
Al-Quran ialah mukjizat kekal sebagai bukti kebenaran bahawa Muhammad adalah Rasulullah SAW. Pengekalan mukjizat al-Quran akan tetap dirasai oleh seluruh manusia hingga ke akhir zaman. Ini berbeza dengan mukjizat seketika yang hanya dirasai oleh umat sebelum kita, bahkan mukjizat yang dirasai oleh sahabat nabi, selain al-Quran.
Sebagai contoh, Nabi Nuh AS dengan mukjizat taufan dan air bah yang hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja. Nabi Saleh AS dengan mukjizat unta hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja. Nabi Musa AS dengan mukjizat membelah air laut dan hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja. Nabi Isa AS dengan mukjizat boleh menghidupkan yang mati atas izin Allah dan hanya berlaku untuk dirasai umatnya saja.
Tetapi Nabi Muhammad SAW dengan mukjizat al-Quran berlaku untuk dan dirasai seluruh umat manusia ketika dan sesudah Baginda tidak kira masa dan tempat sampai hari kiamat dan ia akan kekal dipelihara seperti ditetapkan al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya" (Surah al-Hijr: 9), Dengan jaminan Allah ini, terpeliharalah kitab suci al-Quran daripada sebarang perubahan, dan bersinarlah cahayanya ke seluruh dunia.
Al-Quran itu sendiri boleh menjadi sebab kepada seseorang untuk memeluk agama Islam sama ada menerusi isi, bahasa, bacaan, lagu, suara, hiasan, nilai ekonomi bahkan tulisan atau kaligrafinya. Begitu pula ia menakutkan dan menggerunkan musuhnya menerusi isi, bahasa, bacaan, lagu, suara, hiasan, nilai ekonomi bahkan tulisan atau kaligrafinya. Ramai orang memeluk al-Quran dengan karakter al-Quran dan tidak sedikit pula yang memusuhinya bahkan menyeru untuk berperang melawannya seperti disebutkan al-Quran sendiri dengan ayatnya yang bermaksud: "Dan orang yang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar al-Quran ini dan tentanglah ia (dengan nyanyian dan jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)" (Surah Fussilat: 26)
Antara orang yang pernah menentang al-Quran ialah seorang profesor Matematik dan logik di Universiti Toronto, Kanada bernama Gary Miller. Pada 1977, beliau membuat keputusan untuk mengkaji al-Quran dengan tujuan mencari kesilapan dan kesalahan ilmiah dan sejarah yang ada di dalamnya.
Dia berharap dengan kajian itu boleh membantu rakannya, pendakwah Kristian untuk mengelirukan umat Islam dan mengajak mereka keluar daripada agama Islam dan memeluk Kristian. Pihak gereja dan yang berkepentingan menyokong tujuan 'mulia' ini dan memberikan apa jua keperluan kewangan dan moral bagi menjayakannya.
Apa yang diinginkan manusia lain dengan apa yang diinginkan oleh Allah dan yang pasti akan berlaku ialah apa yang diinginkan Allah, maka takdir yang baik menyebelahi Prof Miller dan kemudian membawanya untuk memeluk Islam setahun kemudian iaitu pada 1978 selepas menamatkan kajiannya. Kajiannya ini kemudian dibukukan dan diterjemahkan ke dalam bahasa Arab dengan tajuk al-Quran al-Muzhil (al-Quran Yang Mempesona) atau tajuk asalnya The Amazing al-Quran. Beliau menukar namanya menjadi Abdul Ahad Omar kemudian bekerja sebagai pensyarah di University of Petroleum and Mines, Dhahran, Saudi Arabia hingga ke hari ini masih menjadi pendakwah antarabangsa dan banyak menulis mengenai Islam.
Perkara pertama yang menarik perhatian Prof Miller ialah cabaran al-Quran yang mendakwa bahawa di dalamnya tidak ada kesalahan atau kesilapan apa pun juga. Beliau berkata: "Tidak ada seorang penulis pun di dunia ini yang memiliki keberanian kemudian dia menulis buku dan mendakwa bahawa bukunya itu tidak ada sebarang kesalahan mahupun kesilapan kecuali al-Quran, bahkan ia mencabar seandainya anda mencari-cari kesalahan itu anda pasti tidak akan menemukannya."
Beliau juga mengungkapkan kepesonaannya terhadap al-Quran dengan mengambil contoh bahawa dalam al-Quran ada satu surah yang diberi nama Surah Mariam yang mana di dalamnya ada diberitakan mengenai kemuliaan beliau yang tidak dijumpai di mana-mana kitab suci lainnya. Kita tidak menemukan surah yang dijoloki nama orang kesayangan Nabi SAW seperti Aisyah dan Fatimah. Malah nama baginda pun tidak banyak disebut al-Quran iaitu hanya lima kali jika dibandingkan dengan nama Nabi Isa as yang disebut sebanyak 25 kali.
Penentang kebenaran al-Quran mendakwa bahawa syaitanlah yang mengajarkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW tetapi bagaimana di dalam al-Quran ada ayat yang maksudnya: "Oleh itu, apabila engkau membaca al-Quran, maka hendaklah engkau (terlebih dulu) memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang kena rejam." (Surah al-Nahl: 98)
Dr Miller berkata: "Seandainya aku berada dalam keadaan Rasulullah bersama Abu Bakar di gua di mana seandainya seorang daripada pengepungnya melihat ke bawah pasti mereka akan ternampak, maka jawapan ketakutan Abu Bakar akan dijawab secara semula jadi dengan ucapan 'mari kita cari jalan belakang' atau 'diam, jangan berkata-kata'. Akan tetapi Rasulullah SAW menjawab dengan tenang: "Janganlah engkau risau sesungguhnya Allah bersama kita." Adakah jawapan ini boleh dikeluarkan oleh seorang penipu atau jawapan seorang nabi yang percaya seratus peratus kepada pertolongan Allah?
Surah al-Masad (Tali Yang Dipintal) iaitu surah nombor urut 111 dalam al-Quran diturunkan 10 tahun sebelum matinya Abu Lahab. Ini bermakna bahawa di hadapan Abu Lahab ada sebanyak 365 x 10 = 3,650 peluang untuk membuktikan bahawa al-Quran adalah satu khayalan dan pembohongan. Selama itulah ada cabaran tetapi Abu Lahab tetap dalam kekufuran dan kekafirannya dan tidak tergerak hatinya untuk masuk Islam walaupun secara pura-pura. Surah ini sampai hari ini masih dibaca, bagaimana Rasulullah SAW yakin atas kebenaran yang dibawanya selama 10 tahun dan Abu Lahab sememangnya tidak akan memeluk Islam. Keyakinan ini membuktikan bahawa al-Quran memang wahyu Allah yang mengetahui segala sesuatu dan ia diturunkan kepada nabi terakhir yang diutus untuk umat manusia, Muhammad SAW.
Prof Abdul Ahad juga merujuk kepada New Catholic Encyclopaedia dalam topik 'al-Quran' dikatakan bahawa walaupun banyak kajian dan percubaan untuk mengelirukan kebenaran al-Quran tetapi pada akhirnya: "Selama berabad-abad muncul banyak teori mengenai sumber al-Quran tetapi tidak satu pun daripada teori itu boleh diguna pakai oleh seorang yang berakal." Beliau menambah ada gereja yang pada mulanya teruja untuk mengadaptasi teori berkenaan tetapi pada akhirnya mereka semua menolaknya dan malangnya mereka tidak berani untuk mengakui kebenaran teori umat Islam. Apa pendapat anda? Adakah anda masih meragui kebenaran al-Quran yang mempesonakan? Terima kasih Profesor Abdul Ahad.