Selamat membaca..........
Makkah sentiasa hidup sepanjang malam RamadanRamadan Di Perantauan
Oleh Mohd Shahrir Ali
Pengalaman warga Malaysia bertugas di hotel dekat Masjidilharam pada bulan puasaRAMADAN cukup dinantikan penduduk Islam seluruh dunia. Selain menunaikan ibadat puasa, ada yang turut melakukan umrah dan ziarah di Makkah dan Madinah. Malah, penduduk Islam dari Malaysia juga selalunya memilih untuk ke Tanah Suci bagi mengerjakan umrah dan ziarah sambil berpuasa. Ramai di antara mereka menghabiskan masa dua minggu untuk berpuasa sama ada pada awal puasa atau pertengahan puasa untuk mendapatkan malam lailatulqadar di Masjidilharam atau Masjid Nabawi di Madinah.
Berkhidmat dalam bidang perhotelan di Makkah cukup bererti buat saya, tambah lagi hotel tempat saya bekerja di dalam lingkungan Masjidilharam, membuatkan hati saya cukup gembira selepas lebih 20 tahun berkhidmat di hotel di seluruh dunia termasuk Tokyo, Osaka, Nagoya, Singapura, Bangkok, Phuket, Paris, Geneva, Bern, Basel, Zurich, Milan, Firenza. Perhentian sementara di Makkah untuk mencari rezeki, cukup memberi kesedaran kepada saya.
Kalau sebelum ini hidup terasa sunyi dan kosong tanpa bekalan namun kini saya merasai perbezaannya. Tenang memandang Kaabah dan tenang melaksanakan ibadat yang diabaikan selama ini demi mengejar matlamat dunia. Kedatangan Ramadan menjadikan Tanah Suci ini sangat meriah semacam pesta. Kedai di sekitar Haram semua dibuka sampai ke Subuh. Selepas Asar, berduyun-duyun jemaah umrah melakukan tawaf di Kaabah dan sai, sehingga sebelum berbuka puasa.
Suasana ketika berbuka puasa juga cukup menarik, roti, laban (dadih), kurma turut disediakan dan disedekahkan dermawan. Saya tidak berpeluang meninjau banyak kawasan pada Ramadan kerana sibuk bekerja dan berbuka puasa di hotel bersama-sama kakitangan. Juadahnya mudah tapi mengenyangkan.Ada makanan Bangladesh, Maghribi, Saudi dan pelbagai negara lagi.
Selalunya saya akan makan `Shingara`, makanan kemestian masyarakat Bangladesh. Shingara ialah campuran ubi, daging kambing racik, bawang dan cili yang digaul dan dikepal sebelum dimasukkan ke mulut. Begitu juga dengan `piazu`, makanan yang dibuat daripada tepung digaul dengan kacang dal dan dicampurkan dengan sedikit rempah dan bawang. Rasanya seperti `masalodeh` yang dimakan dengan cili hijau.
Sudah menjadi kebiasaan di Makkah, kebanyakannya akan berbuka di Masjidilharam. Jadi beberapa jam sebelum masuk waktu Maghrib, tetamu hotel akan berduyun-duyun turun dan pergi ke Haram. Hotel Al Safwah Royale Orchid ini adalah yang terdekat dengan Masjidharam dan bertentangan pintu masuk King Abdul Aziz .Saya menyediakan sedikit juadah seperti laban, kopi Arab, jus Kamarrdin dan kurma untuk tetamu melapik perut di lobi khas sebelum berangkat ke masjid.
Selepas solat Maghrib, barulah tetamu datang berduyun-duyun. Setakat minggu pertama, tetamu dalam lingkungan 700 orang. Masih belum ramai kalau nak dibandingkan dengan tahun lalu.Selepas makan, mereka akan bergegas semula ke masjid untuk melakukan solat Isyak dan Tarawih sebelum pulang sekejap untuk berehat dan kembali lagi ke masjid untuk melakukan solat sunat lain sehingga dinihari. Masyarakat dan jemaah menggunakan seluruh malam Ramadan untuk melakukan ibadat.
Pada waktu malam keadaan di sekitar Ajiyad Street, berhampiran Istana dan juga kawasan membeli-belah Abraj Al Bait sangatlah menarik dengan hiasan lampu tradisi Arab, Maghribi dan Mesir memenuhi setiap ruang dan pintu masuk kedai.Makkah tidak pernah sunyi, ada saja aktiviti dijalankan. Peniaga kaki lima kebanyakannya adalah dari negara miskin seperti Chad dan Nigeria menjual pisang dan barangan buatan China selain mengemis.
Ketika di perantauan, saya turut terkenang kampung halaman di Malaysia, terutama keluarga dan juadah pada Ramadan. Tahun lalu, saya sempat melepas kerinduan dengan memakan kuih lompat tikam, jala emas, nasi berlauk dan nasi dagang lauk ayam yang disediakan kakitangan saya yang berketurunan Patani, iaitu Mohamed Fatani dan Abdullah Fatani.
Masyarakat Patani di Makkah sangat rapat di antara satu sama lain maklumlah mereka berada di perantauan. Mereka ada jawatan kuasa kampung dan masjid sendiri dan perkahwinan juga sesama komuniti sendiri. Kebanyakannya sudah tinggal di sini berpuluh tahun lamanya. Gaya hidup dan makanan banyak dipengaruhi masakan dan makanan Arab. Percakapan dan tutur kata, lebih Arab daripada Patani atau Kelantan.
Penulis ialah Pengarah Makanan dan Minuman, Hotel Al Safwah Royale Orchid, Makkah, Arab Saudi
No comments:
Post a Comment