Tujuan
29 August 2009
Imam Ghazali:Mutiara Kata
Mutiara Kata: Perkara, perbuatan paling berat dipikul ummah di dunia
IMAM Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya: “ Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?” Masing-masing muridnya, menjawab: guru; teman, kaum kerabat, isteri atau suami. Imam Ghazali, berkata: ‘Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah mati. Sebab itu janji Allah, bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati (Surah Ali-Imran :185).Imam Ghazali bertanya lagi: “Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini? Masing-masing menjawab, bulan, bintang dan matahari. Imam Ghazali membenar semua jawapan itu lalu berkata: yang paling tepat ialah masa lalu. Dengan apapun kemudahan kita, manusia tidak boleh kembali kepada masa lalu. Sebab itu kita perlu menjaga dengan teliti hari ini, esok dan akan datang dengan perbuatan yang dituntut agama Islam.”Menyoal lagi Imam Ghazali : “Apa yang paling besar di dunia ini?” Pelbagai jawapan yang munasabah diterima daripada anak muridnya dan ia membenarkannya, namun berkata, jawapan paling tepat ialah hawa nafsu (Surah Al A’raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.”Imam Ghazali bertanya lagi: “Apa yang paling berat di dunia ini?” Anak muridnya menjawab dan Imam Ghazali mengiyakan, namun berkata: “Perkara yang paling berat di dunia ialah memegang amanah (Surah Al-Azab : 72). Tumbuh-tumbuhan, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.Imam Ghazali bertanya: “Apakah perkara yang paling ringan di dunia ini?” Beliau menerima jawapan dan berkata: “Semua jawapan kamu itu benar, tetapi yang paling ringan sekali di dunia ini adalah meninggalkan solat. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat.”Imam Ghazali bertanya, “Apa yang paling tajam sekali di dunia ini?” Murid-Murid dengan serentak menjawab: “Pedang”. Imam Ghazali membenarkan jawapan itu, namun berkata: “Paling tajam ialah lidah manusia kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukakan perasaan orang lain.”
21 August 2009
Puasa sunat selepas 15 Syaaban
BENARKAH mengerjakan puasa sunat selepas 15 Syaaban adalah diharamkan?
Rasulullah SAW bersabda dari hadis Abu Hurairah bermaksud,: “Apabila sudah berlalu separuh dari bulan Syaaban, maka janganlah kamu berpuasa”. (Riwayat Abu Daud)
Berdasarkan hadis berkenaan, majoriti ulama berpendapat umat Islam tidak digalakkan melakukan puasa sunat selepas 15 Syaaban kecuali tiga perkara berikut iaitu: berpuasa kerana bernazar; puasa Kaf-farah (denda) dan berpuasa Qada (ganti). Ketiga-tiga sebab yang dimaksudkan itu mempunyai hujah kukuh untuk melakukan ibadat puasa bagi menyempurnakan puasa yang mereka tinggal, niatkan atau akibat kelalaian yang dilakukan.
Namun bagi, mereka yang sudah biasa melakukan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis, disunatkan meneruskannya sehingga penghujung bulan Syaaban. Kesimpulannya, larangan Nabi SAW itu ditujukan kepada mereka yang hanya melakukan ibadat puasa sunat ini semata-mata untuk menyambut ketibaan Ramadan.
Adakah boleh bagi seseorang yang sakit tidak berpuasa Ramadan kerana pada tempoh berkenaan menjalani sesi rawatan dan perubatan?
Bagi mereka yang menjalani rawatan pada Ramadan, diharuskan berbuka puasa dan menggantikannya pada hari lain atau selepas sembuh. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Barang siapa yang sakit atau bermusafir, maka bolehlah dia menggantikan pada hari yang lain (qada). Sesungguhnya Allah menginginkan kemudahan bagi kamu dengan tidak membebankan bagi kamu atas sesuatu perkara”. (Al-Baqarah: 185).
Sesungguhnya, Allah tidak pernah membebankan hambanya khususnya dalam melakukan ibadat. Ini dijelaskan Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 286, bermaksud : “Allah tidak memberatkan hambanya melainkan sekadar kemampuan yang ada pada mereka.”
Perlu diingatkan, walaupun tidak berpuasa kerana sakit dan menerima rawatan, pesakit perlu menghormati Ramadan termasuk tidak memakan di khalayak ramai kerana ia menyalahi adab pada bulan mulia.
Apakah hukum bagi orang yang bermusafir ke sesuatu negara pada awal Ramadan dan mendapati penduduknya masih belum berpuasa kerana anak bulan masih tidak kelihatan di tempat mereka, sedangkan di negara kita, puasa sudah bermula?
Hendaklah dia mengikut peraturan di negeri yang dikunjunginya itu iaitu berbuka puasa dan tidak wajib menggantikannya. Firman Allah SWT bermaksud: ”Barang siapa yang melihat anak bulan, hendaklah ia berpuasa”. (Al-Baqarah: 185). Dalam pada itu sabda Nabi SAW yang bermaksud : “Berpuasalah kamu selepas melihat anak bulan dan berhari rayalah kamu selepas melihat anak bulan (Syawal)”.
Begitu juga jika berlaku pada hari raya bagi negara itu sedangkan dia berpuasa (sebelum kunjungan). Maka hendaklah dia berhari raya bersama mereka dan namun wajib menggantikan puasanya. Jika berlaku sebaliknya di mana mereka berpuasa sedangkan baginya sudah cukup puasa di negaranya sendiri (sebelum kunjungan) maka wajiblah dia berpuasa bersama-sama penduduknya kerana menghormati mereka selain untuk menjauhi fitnah.
Penulis ialah Pegawai Unit Agama, NSTP