Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

15 April 2009

Thailand, bumi pelbagai keunikan

Thailand, bumi pelbagai keunikan
Oleh Mohd Anwar Patho Rohmanbminggu@bharian.com.my
Banyak lagi tempat menarik di negara gajah Putih boleh dikunjungi sesuai dengan jolokan syurga dunia LUPAKAN sementara imej puluhan ribu rakyat berdemonstrasi di jalanan dan buangkan jauh-jauh perasaan ‘adakah Thailand selamat untuk dilawati. Andai kegusaran itu menyelubungi hati dan perasaan, maka kembara ke negara yang memiliki pelbagai keunikan dan penuh debaran ini tidak akan menjadi seperti yang direncanakan.
Pengalaman penulis menyusur negara Gajah Putih termasuk di beberapa lokasi yang dianggap ‘panas’ dan bahaya, baru-baru ini membuktikan masih banyak lagi ruang untuk keamanan, kesejahteraan dan kebebasan hidup subur di bumi yang tidak pernah sunyi daripada krisis politik. Malah, rombongan media dari Malaysia yang dibawa oleh pihak Pejabat Kedutaan Diraja Thailand di Malaysia berpeluang melihat sendiri keadaan kehidupan rakyat Thailand termasuk di wilayah selatan negara itu yang dilaporkan sering bergolak kerana serangan pihak pemisah atau tentera. Negara yang boleh diberi jolokan ‘bumi pelbagai keunikan dan penuh debaran’ ini memang menjanjikan segala kelainan bagi tatapan pengunjung.
Binaan Istana Dusit bercirikan Eropah yang tersergam indah di Bangkok.
Kembara selama enam hari yang dipenuhi dengan jadual ketat dari pagi hingga lewat malam agak memenatkan tetapi berbaloi juga apabila masih berpeluang melawat tempat menarik yang boleh dikategorikan sebagai eksotik dan luar biasa tarafnya. Antara lokasi berkenaan ialah Istana Dusit yang menempatkan Dewan Singgahsana Ananta Samakhom, Grand Palace dan Siam Niramit yang terletak di tengah-tengah kesibukan bandar raya Bangkok, ibu kota Thailand yang sesak lagi menyesakkan. Dewan Singgahsana Ananta Samakhom adalah sebuah bangunan bercirikan zaman kolonial dan direka mengikuti seni bina zaman Renaissance Itali dan Neo Klasik menjadi tempat pameran 13 koleksi kraftangan kebanggaan diraja Thailand yang diperbuat daripada emas. Penulis memberi jaminan, sesiapa yang menyaksikan sendiri koleksi kraftangan yang diperbuat daripada emas ini akan terpegun, kelu seribu bahasa dan tidak mampu berkata-kata meneliti kehalusan hasil seninya yang disempurnakan oleh pengukir yang terdiri daripada petani.
Rombongan media bergambar kenangan di Masjid Kresek, Pattani.
Petani ini digalakkan mengikuti latihan menghasilkan kraftangan termasuk mengukir emas oleh Permaisuri Thailand, Ratu Sirikit yang mahu memperbaiki taraf hidup rakyatnya terutama petani supaya memperoleh pendapatan sampingan. Koleksi kraftangan daripada emas yang dipamerkan di dewan ini adalah singgahsana, tempat bersemayam, tempayan, makhluk khayalan berupa seekor naga tetapi berkaki seperti kuda, replika tongkang, tapak kaki Buddha, meja makan diraja berserta setnya seperti piring, sudu, garpu, pisau, gelas, cawan dan teko termasuk perhiasan seperti burung merak yang semuanya dihasilkan daripada emas. Setiap satu barang pameran itu mempunyai rekaan dan ukiran yang penuh dengan motif tradisional termasuk ciri-ciri pengaruh Hindu dan Buddha seperti watak Raja Rama, Hanuman dan naga. Dikatakan, emas yang digunakan untuk menghasilkan barang pameran ini adalah simpanan emas turun temurun keluarga diraja Siam yang dikumpul sejak berabad-abad yang lalu hasil bayaran ufti bunga emas oleh negeri di bawah naungan negara itu termasuk negeri di utara Tanah Melayu. Siapa sangka, ufti dari negeri-negeri Melayu sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka yang diserah kepada kerajaan Siam berabad lalu dicanai dan dibentuk menjadi hasil kraftangan yang begitu mempesona dan agung. Selain itu, pengunjung juga boleh melawat ke Grand Palace atau Istana Agung yang menjadi tempat bagi penganut Buddha atau Hindu beribadat dan memohon hajat di Biara Diraja yang menempatkan Patung Hijau Buddha. Lawatan ke Thailand pastinya tidak akan lengkap jika tidak ke Chieng Mai yang terletak kira-kira 700 kilometer (km) ke utara Bangkok. Antara lokasi yang boleh dilawati di wilayah utara ini ialah Stesen Pertanian Diraja Ang Khang, Night Safari dan Kem Gajah Maesa. Kunjungan ke Chieng Mai tidak lengkap jika tidak meredah Night Safari yang menawarkan tiga zon untuk dilawati pengunjung iaitu Jejak Jaguar, Savanna Safari dan Predator Prowl. Secara geografi dan sosial, banyak lagi tempat menarik di Thailand yang boleh dikunjungi sesuai dengan jolokan yang diberikan pelancong kepada negara ini - syurga dunia. Tepuk dada tanya selera anda. FAKTA: Thailand Teater
Siam Niramit adalah pentas teater bertaraf dunia
Sediakan tiga segmen persembahan iaitu Kembara Menyusur Sejarah, Kembara Ke Alam Imaginasi dan Kembara Ke Alam Ceria yang mengambil masa lebih 80 minit atau satu jam 20 minit.
Dilakonkan 150 pelakon termasuk dua ekor gajah, kambing dan ayam dengan 500 kostum.
Pentas bersaiz 64x40 meter lebar dan 12 meter tinggi. Stesen Pertanian Diraja Ang Khang
Terletak di daerah Fang yang jaraknya 160 kilometer dari bandar Chieng Mai.
Menempatkan pelbagai projek tanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga eksotik di kawasan tanah tinggi.
Projek dijalankan dengan inisiatif Raja Thailand, Raja Bhumipol Aduyadev pada 1969.
Mempunyai keluasan 26.52 kilometer persegi serta berada pada kedudukan 1,400 meter dari aras laut.
Mendapat jolokan mini New Zealand dan terletak kira-kira 5 km dengan sempadan Myanmar.
Pengunjung boleh ‘meneropong’ kem tentera Myanmar dari Kampung Nor La yang hanya dipisahkan dengan pagar dawai.
Ada kira-kira 600 penduduk dari suku Haw Chinese, Tai, Lahu Na dan and Palong menetap di enam kampung. Kem Gajah Maesa
Terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari pusat bandar Chieng Mai.
Wujud hampir 30 tahun dan menjadi tempat kediaman bagi 70 ekor gajah.
Berperanan sebagai pusat pembiakan, latihan, penjagaan kesihatan dan lokasi menarik pelancong. Night Safari Chieng Mai
‘Lambakan haiwan’ yang dibawa dari kawasan Savanah dan Afrika.
Pelbagai jenis haiwan jinak seperti rusa, kuda belang dan pelanduk dibiarkan bebas berkeliaran di laluan trem.
Persembahan Muzikal Air Pancut terbesar di Asia Tenggara menggunakan 1,509 jet air, 546 lampu dan 63 pam air dengan menjadikan air tasik sebagai latar persembahan. Selamat membaca..........

No comments: