Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

25 April 2009

Bahaya murung

Selamat membaca..........

Bahaya murung

Oleh Fairuz Zaidanfairuzaidan@bharian.com.my

Tip lelaki kawal gangguan emosi ANDAI wanita menjadikan tangisan sebagai alternatif mahupun terapi terbaik melepaskan tekanan, lelaki pula ada cara sendiri. Tidak macho andai lelaki menangis, malah air mata bagaikan berat untuk dititiskan. Malah, bagi segelintir lelaki, menangis tidak wujud dalam kamus hidup. Dek tebalnya sifat kelakian, kadang kala kaum Adam berdepan masalah setiap kali mahu meredakan gangguan psikologi seperti tekanan dan kemurungan. Malu dan bimbang diri dilabel lemah, mendorong lelaki yang ditimpa gangguan emosi cenderung berdiam diri.
Disebabkan terlalu memendam rasa, kelakuan dan karektor peribadi lelaki bertukar murung. Kemurungan atau depression boleh diklasifikasikan gangguan dalaman dan perasaan seseorang. Gangguan perasaan ini boleh menjadi buruk andai tiada usaha memulihkannya atau mencari jalan keluar dari kemelut yang dihadapi melalui pengucapan kata-kata semangat atau alternatif lain. Apakah sebenarnya punca berlakunya kemurungan?
Kemurungan boleh berlaku dalam diri sesiapa saja - tidak kira lelaki mahupun wanita. Namun, masalah itu cenderung dialami golongan dewasa yang dibebani masalah harian, peribadi mahupun keluarga. Faktor kemurungan boleh berpunca daripada pelbagai sebab seperti kematian anggota keluarga, putus kasih, perceraian, krisis ekonomi dan bebanan di tempat kerja. Malah, faktor penyakit kronik juga boleh mendedahkan diri kepada gejala kemurungan. Jika gagal mengawal perasaan atau bersikap reda dan realistik, seseorang yang menghidap penyakit kronik boleh bertukar murung hingga menganggap dunia sudah tidak bererti lagi. Keadaan bertambah buruk andai individu lemah ini mendapat pengesahan doktor mengenai penyakit yang mungkin tidak boleh diubati lagi atau ramalan jangka hayat pendek yang menanti mereka.
Gejala kemurungan tidak boleh ditangani sepenuhnya dengan berbekalkan kata-kata semangat semata-mata. Sebaliknya, hati yang cekal dan positif selain inisiatif berubah perlu menjadi taruhan individu yang mahu mengatasi sindrom kemurungan. Tanpa keyakinan diri serta kesungguhan tampil lebih positif, individu yang dilanda kemurungan pasti berada dalam kedudukan bahaya jika tidak dikawal sepenuhnya. Selain itu, berdasarkan perkembangan semasa dan faktor sekeliling, masalah kewangan serta kelembapan ekonomi juga mendorong individu bertukar murung. Biarpun kesan kelembapan ekonomi belum dirasakan sepenuhnya, sudah menjadi lumrah manusia bersikap panik sehingga diri cemas. Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh), Tan Sri Lee Lam Thye pernah menulis mengenai pentingnya pembangunan dan penggalakkan kesihatan mental yang baik dalam mengharungi kegawatan ekonomi sekarang. Saranan itu dilihat serius kerana berlaku peningkatan dalam kes kemurungan dan tekanan yang boleh mendatangkan kesan amat buruk kepada rakyat. “Kesan kegawatan ekonomi memungkinkan semakin ramai pekerja menghadapi kegusaran, tekanan dan kemurungan yang bersangkut paut dengan pekerjaan dan tugas mereka. “Impak masalah kesihatan mental yang berpunca daripada masalah ekonomi boleh menjejaskan pekerja dan keluarga mereka serta seluruh masyarakat amnya. Ini amat serius dan perlu diatasi,” katanya. Sehubungan itu, Lee mencadangkan Kementerian Kesihatan memperkenalkan langkah jangka pendek, pertengahan dan panjang untuk membantu rakyat menghadapi tekanan dan kemurungan. Selain itu, kementerian disaran meningkatkan usaha penggalakan kesihatan mental yang baik di kalangan rakyat Malaysia. Lee berkata, langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelak berlakunya kejadian bunuh diri dan peningkatan kes pesakit mental disebabkan faktor kegawatan ekonomi dan pengangguran. Lebih-lebih lagi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, kemurungan adalah punca yang kelima antara faktor utama yang menyebabkan manusia hilang upaya. Ini dianggarkan meningkat ke tempat kedua menjelang 2020. Sehubungan itu, kempen dan program pendidikan berhubung kesihatan mental yang baik wajar dilaksanakan bagi mengelak lebih ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa kemurungan tanpa disedari. Info
Individu murung dikenal pasti mengalami perubahan dalam sistem otak.
Perubahan ini boleh dicetuskan oleh penyakit fizikal, tekanan, kekecewaan atau kesedihan.
Selain persekitaran, faktor keturunan juga antara penyebab penyakit ini.
Sindrom kemurungan adalah penyakit membabitkan kesihatan badan, perasaan dan fikiran.
Kemurungan juga menjejaskan tabiat makan dan tidur, fungsi seharian dan proses berfikir.
Perkataan kemurungan atau depression adalah diambil daripada perkatan Latin yang membawa maksud to press down.
Sejak abad ke-14, to depress merujuk kepada penaklukan atau menjatuhkan jiwa (spirit).
Sekarang kemurungan atau depression digunakan dalam kajian bidang fisiologi dan ekonomi.
Pada pertengahan abad ke-20, pengkaji mengeluarkan teori bahawa kemurungan disebabkan ketidakstabilan bahan kimia dalam neurotransmitter di otak.
Teori ini berdasarkan pemerhatian yang dibuat pada tahun 1950-an mengenai kesan reserpine dan isoniazid yang memberi impak kepada simpton kemurungan. Simptom kemurungan
Kesedihan atau kekosongan perasaan yang berpanjangan.
Tiada minat atau rasa seronok terhadap hobi dan aktiviti lain yang lazimnya mendatangkan keseronokan.
Mudah berasa letih dan tidak bertenaga.
Perasaan pesimistik dan mudah berputus asa.
Rasa bersalah dan tidak berguna.
Gangguan tidur, bangun terlalu awal atau berlebihan tidur.
Hilang selera makan dan penurunan berat badan.
Keinginan untuk mati dan membunuh diri.
Rasa tidak tenteram dan mudah marah.
Kurang daya tumpuan dan sukar membuat keputusan.
Simptom fizikal seperti sakit kepala, sakit-sakit badan dan gangguan penghadaman. 5 tip elak kemurungan
Belajar lebih bersabar dan berfikiran positif.
Usah terlalu bercita-cita tinggi hingga sukar digapai.
Elak bersendirian. Luangkan masa bersama mereka yang bermakna dalam hidup.
Babitkan iri dalam aktiviti menyihatkan dan bersosial.
Tingkatkan keyakinan diri dengan menyertai kursus motivasi. menyertai kursus motivasi.

15 April 2009

Thailand, bumi pelbagai keunikan

Thailand, bumi pelbagai keunikan
Oleh Mohd Anwar Patho Rohmanbminggu@bharian.com.my
Banyak lagi tempat menarik di negara gajah Putih boleh dikunjungi sesuai dengan jolokan syurga dunia LUPAKAN sementara imej puluhan ribu rakyat berdemonstrasi di jalanan dan buangkan jauh-jauh perasaan ‘adakah Thailand selamat untuk dilawati. Andai kegusaran itu menyelubungi hati dan perasaan, maka kembara ke negara yang memiliki pelbagai keunikan dan penuh debaran ini tidak akan menjadi seperti yang direncanakan.
Pengalaman penulis menyusur negara Gajah Putih termasuk di beberapa lokasi yang dianggap ‘panas’ dan bahaya, baru-baru ini membuktikan masih banyak lagi ruang untuk keamanan, kesejahteraan dan kebebasan hidup subur di bumi yang tidak pernah sunyi daripada krisis politik. Malah, rombongan media dari Malaysia yang dibawa oleh pihak Pejabat Kedutaan Diraja Thailand di Malaysia berpeluang melihat sendiri keadaan kehidupan rakyat Thailand termasuk di wilayah selatan negara itu yang dilaporkan sering bergolak kerana serangan pihak pemisah atau tentera. Negara yang boleh diberi jolokan ‘bumi pelbagai keunikan dan penuh debaran’ ini memang menjanjikan segala kelainan bagi tatapan pengunjung.
Binaan Istana Dusit bercirikan Eropah yang tersergam indah di Bangkok.
Kembara selama enam hari yang dipenuhi dengan jadual ketat dari pagi hingga lewat malam agak memenatkan tetapi berbaloi juga apabila masih berpeluang melawat tempat menarik yang boleh dikategorikan sebagai eksotik dan luar biasa tarafnya. Antara lokasi berkenaan ialah Istana Dusit yang menempatkan Dewan Singgahsana Ananta Samakhom, Grand Palace dan Siam Niramit yang terletak di tengah-tengah kesibukan bandar raya Bangkok, ibu kota Thailand yang sesak lagi menyesakkan. Dewan Singgahsana Ananta Samakhom adalah sebuah bangunan bercirikan zaman kolonial dan direka mengikuti seni bina zaman Renaissance Itali dan Neo Klasik menjadi tempat pameran 13 koleksi kraftangan kebanggaan diraja Thailand yang diperbuat daripada emas. Penulis memberi jaminan, sesiapa yang menyaksikan sendiri koleksi kraftangan yang diperbuat daripada emas ini akan terpegun, kelu seribu bahasa dan tidak mampu berkata-kata meneliti kehalusan hasil seninya yang disempurnakan oleh pengukir yang terdiri daripada petani.
Rombongan media bergambar kenangan di Masjid Kresek, Pattani.
Petani ini digalakkan mengikuti latihan menghasilkan kraftangan termasuk mengukir emas oleh Permaisuri Thailand, Ratu Sirikit yang mahu memperbaiki taraf hidup rakyatnya terutama petani supaya memperoleh pendapatan sampingan. Koleksi kraftangan daripada emas yang dipamerkan di dewan ini adalah singgahsana, tempat bersemayam, tempayan, makhluk khayalan berupa seekor naga tetapi berkaki seperti kuda, replika tongkang, tapak kaki Buddha, meja makan diraja berserta setnya seperti piring, sudu, garpu, pisau, gelas, cawan dan teko termasuk perhiasan seperti burung merak yang semuanya dihasilkan daripada emas. Setiap satu barang pameran itu mempunyai rekaan dan ukiran yang penuh dengan motif tradisional termasuk ciri-ciri pengaruh Hindu dan Buddha seperti watak Raja Rama, Hanuman dan naga. Dikatakan, emas yang digunakan untuk menghasilkan barang pameran ini adalah simpanan emas turun temurun keluarga diraja Siam yang dikumpul sejak berabad-abad yang lalu hasil bayaran ufti bunga emas oleh negeri di bawah naungan negara itu termasuk negeri di utara Tanah Melayu. Siapa sangka, ufti dari negeri-negeri Melayu sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka yang diserah kepada kerajaan Siam berabad lalu dicanai dan dibentuk menjadi hasil kraftangan yang begitu mempesona dan agung. Selain itu, pengunjung juga boleh melawat ke Grand Palace atau Istana Agung yang menjadi tempat bagi penganut Buddha atau Hindu beribadat dan memohon hajat di Biara Diraja yang menempatkan Patung Hijau Buddha. Lawatan ke Thailand pastinya tidak akan lengkap jika tidak ke Chieng Mai yang terletak kira-kira 700 kilometer (km) ke utara Bangkok. Antara lokasi yang boleh dilawati di wilayah utara ini ialah Stesen Pertanian Diraja Ang Khang, Night Safari dan Kem Gajah Maesa. Kunjungan ke Chieng Mai tidak lengkap jika tidak meredah Night Safari yang menawarkan tiga zon untuk dilawati pengunjung iaitu Jejak Jaguar, Savanna Safari dan Predator Prowl. Secara geografi dan sosial, banyak lagi tempat menarik di Thailand yang boleh dikunjungi sesuai dengan jolokan yang diberikan pelancong kepada negara ini - syurga dunia. Tepuk dada tanya selera anda. FAKTA: Thailand Teater
Siam Niramit adalah pentas teater bertaraf dunia
Sediakan tiga segmen persembahan iaitu Kembara Menyusur Sejarah, Kembara Ke Alam Imaginasi dan Kembara Ke Alam Ceria yang mengambil masa lebih 80 minit atau satu jam 20 minit.
Dilakonkan 150 pelakon termasuk dua ekor gajah, kambing dan ayam dengan 500 kostum.
Pentas bersaiz 64x40 meter lebar dan 12 meter tinggi. Stesen Pertanian Diraja Ang Khang
Terletak di daerah Fang yang jaraknya 160 kilometer dari bandar Chieng Mai.
Menempatkan pelbagai projek tanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga eksotik di kawasan tanah tinggi.
Projek dijalankan dengan inisiatif Raja Thailand, Raja Bhumipol Aduyadev pada 1969.
Mempunyai keluasan 26.52 kilometer persegi serta berada pada kedudukan 1,400 meter dari aras laut.
Mendapat jolokan mini New Zealand dan terletak kira-kira 5 km dengan sempadan Myanmar.
Pengunjung boleh ‘meneropong’ kem tentera Myanmar dari Kampung Nor La yang hanya dipisahkan dengan pagar dawai.
Ada kira-kira 600 penduduk dari suku Haw Chinese, Tai, Lahu Na dan and Palong menetap di enam kampung. Kem Gajah Maesa
Terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari pusat bandar Chieng Mai.
Wujud hampir 30 tahun dan menjadi tempat kediaman bagi 70 ekor gajah.
Berperanan sebagai pusat pembiakan, latihan, penjagaan kesihatan dan lokasi menarik pelancong. Night Safari Chieng Mai
‘Lambakan haiwan’ yang dibawa dari kawasan Savanah dan Afrika.
Pelbagai jenis haiwan jinak seperti rusa, kuda belang dan pelanduk dibiarkan bebas berkeliaran di laluan trem.
Persembahan Muzikal Air Pancut terbesar di Asia Tenggara menggunakan 1,509 jet air, 546 lampu dan 63 pam air dengan menjadikan air tasik sebagai latar persembahan. Selamat membaca..........

14 April 2009

Selamat membaca..........

SKTU banjir

07 April 2009

'Inilah jalan sunnah Nabiku'

Selamat membaca..........

Tajdid Iman: 'Inilah jalan sunnah Nabiku'

SESEORANG yang berkeyakinan tinggi suka menggunakan kata-kata 'inilah jalan hidupku' apabila berdepan cabaran yang mahu menggugat idealismenya. Tetapi, adakah dia bersedia menggunakan istilah lebih tepat, 'inilah jalan sunnah Nabiku' atau 'inilah jalan Nabi SAW' untuk mewakili seluruh amal dilakukannya dengan membawa hati penuh cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW. Seseorang mungkin akan mencapai tahap kecintaan utuh kepada Nabi SAW selepas membaca berpuluh-puluh kitab sirahnya daripada pelbagai perspektif kajian dibawa ulama. Ada pula gigih menguatkan keyakinan dengan menyelami hati Baginda SAW melalui ribuan hadis menjanjikan sentuhan kasih sayangnya. Seperti seorang hamba Allah membaca al-Quran dan merasai rahmat Allah menitis ke dalam jiwa, begitu pula ketika ia membuka kitab hadis Nabi SAW seolah-olah dia rasa berhadapan dengan Baginda.
Mendengar sabdanya, berasa apa dirasa Rasulullah SAW. Gembira ketika Baginda SAW membawa khabar gembira, menangis bersama sahabat yang menangis, bersemangat ketika membaca sabda jihad dilaungkan, berwaspada saat Rasulullah berwasiat, meneliti setiap patah perkataan Baginda dengan berhati-hati dan penuh minat. Inilah cinta, hakikatnya bersimpul dalam ikatan ilmu, kajian, muzakarah, amal dan perjuangan menegakkan sunnah Rasulullah SAW. Ironinya, ramai Muslim terjebak dalam memahami maksud sunnah, seolah-olah mereka menganggap sunnah itu adalah perkara yang dikaitkan dengan isu panas, konflik dan pecah belah dalam masyarakat. Perkara itu berbahaya kerana boleh jadi mereka sudah menghina tanpa sedar akan sunnah Rasulullah SAW. Padahal, ancaman bagi sesiapa mencela sunnah Nabi SAW adalah berat seperti firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah: Apakah dengan Allah, ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu selalu mengolok-olok? Tidak usah kamu meminta maaf, kerana kamu kafir sesudah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan kamu (lantaran mereka taubat), nescaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang selalu berbuat dosa." (Surah al-Taubah, ayat 65-66)
Celaan orang jahil mengenai poligami, isu wanita kelas kedua, tohmahan bidaah, wahabi, menuduh sesat, orang awam mencela ulama, semua itu perbuatan yang tidak memahami jalan hidup sunnah yang sebenar. Sehingga orang awam pun tanpa mereka sedari menconteng kesucian sunnah disebabkan keringnya ilmu. Rasulullah SAW adalah sebaik-baik makhluk mewakili setiap keadaan manusia. Beliau adalah suami yang dalam tempoh lama hanya beristeri seorang wanita, iaitu Khadijah, ini adalah sunnahnya. Jadi jangan katakan tidak ikut sunnah bagi sesiapa yang memilih monogami sebagai jalan hidup kerana Rasulullah SAW pun mengamalkannya ketika hidup bersama Khadijah. Baginda pula mengamalkan poligami yang juga sunnahnya bagi sesiapa kuat iman dan takut kepada Allah sehingga dia boleh berlaku adil. Ia diamalkan bagi menyelesaikan masalah wanita pada zamannya, bukannya untuk kepuasan nafsu lelaki. Umat Islam sepatutnya tidak menganggap orang kaya dan terkenal itu tidak ikhlas dan tamakkan dunia. Kononnya mereka menganggap Baginda SAW adalah Nabi bagi orang miskin dan membenci harta tersimpan di rumah.
Padahal ketika Baginda diangkat sebagai Rasul, saat itu Rasulullah SAW sudah memiliki empayar perniagaannya bersama Khadijah dan dengan harta itu dakwah Islam berkembang. Bahkan, orang kafir Quraisy tetap mempercayai Baginda sebagai pemegang amanah harta mereka sehingga Baginda berhijrah. Sirah Nabi SAW menceritakan bahawa menjadi kaya dan berkuasa adalah sunnah Rasul jika dipergunakan untuk kemajuan agama, tetapi hati dan perbuatan mesti berasa sentiasa miskin, tawaduk lagi warak kepada Allah supaya dunia tidak mudah menipu. Sesungguhnya Muhammad SAW adalah Nabi bagi orang kaya dan miskin, teladan untuk lelaki monogami dan poligami, contoh bagi sesiapa memperjuangkan Islam dengan ilmu, harta, politik dan ekonomi. Sunnahnya umpama penunjuk arah berfungsi meluruskan jalan hidup dipilih setiap insan. Isu bidaah dan wahabi pula dilontarkan bagai peluru mahu mematikan amalan sunnah Rasulullah SAW. Orang yang suka memberi nama 'wahabi' kepada individu tertentu biasanya masuk dalam salah satu kategori, iaitu orang jahil tidak mengerti hukum hakam dan dalil syarak yang pelbagai atau orang alim yang dengki sesama ulama kerana inginkan pengaruh dunia. Konflik wahabi dan bidaah boleh diubati dengan cara mendekati orang jahil dengan ilmu dan dalil kerana selama ini mereka mengenal Islam melalui pendekatan tengok dan ikut-ikutan saja tanpa didedahkan fakta serta dalil sahih mengikut al-Quran dan al-Hadis. Antara ulama berbeza pandangan pula mestilah dijalin semangat kejujuran, hormat menghormati, kasih sayang dan takut kepada Allah. Menurut Ibnu al-Qayyim dalam kitabnya Shaydul Khatir, "Tabiat mendengki adalah sifat semula jadi manusia yang perlu diluruskan, apabila ia boleh membangkitkan sikap berlumba-lumba ke arah kebaikan maka ia menjadi dengki yang baik tetapi yang tercela apabila sifat ini melahirkan keinginan mahu mencelakakan orang lain sama ada dengan kata-kata ataupun perbuatan." Diharapkan tohmahan bidaah dan wahabi tidak sekali-kali menyurutkan langkah mereka yang mahu memperjuangkan sunnah Rasulullah SAW. Sesungguhnya dalam diri Rasulullah SAW ada teladan baik dalam usaha menghadapi orang awam yang jahil. Sahabat ramai yang alim, tetapi mereka tidak menafikan wujudnya perbezaan pendapat sebagai bentuk kekayaan ilmu, keluasan pemikiran, pandangan dan fahaman dalam Islam. Sunnah Rasul bukan terletak pada dalil hukum-hakam dan cara ibadat saja bahkan akhlak dan hubungan kemanusiaan dipamerkan Baginda sememangnya mesti diikut, disanjung dan diamalkan sebagai suatu sunnah yang turut dituntut. Teladan dalam mencintai Rasulullah SAW bolehlah dilihat melalui kehidupan sahabat dan salafus salih. Mereka adalah generasi paling tahu mengenai Rasulullah SAW dan melalui merekalah kita tahu sunnah Baginda SAW. Suatu ketika, Rasulullah SAW duduk bersama Umar dan sahabatnya. Lalu Umar berkata: "Wahai Rasulullah, dirimu sangat kukasihi melebihi segala-galanya melainkan diriku sendiri. Kemudian Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidak akan beriman seseorang sehingga ia mencintai diriku melebihi cintanya kepada dirinya sendiri. Mendengar sabda Rasulullah ini Umar lantas berkata: Demi Allah, sekarang aku lebih mencintaimu daripada diriku sendiri. Rasulullah bersabda: Sekarang saatnya wahai Umar (iman kamu sudah sempurna)." (Hadis riwayat al-Bukhari) Imam Malik sudah mengumpulkan hadis Rasulullah SAW dalam al-Muwatta'. Beliau pernah merasai gigitan kala 30 kali dalam suatu majlis ilmu tetapi masih membacakan hadis Rasulullah SAW seraya berkata: "Aku malu menghentikan bacaan hadis Rasulullah SAW semata-mata untuk kepentingan diriku." Sa'id bin Musayyab pernah ditanya suatu hadis, ketika itu dia dalam keadaan sakit tenat. Beliau menyuruh keluarganya mendudukkannya dan berkata: "Bagaimana mungkin aku membaca hadis Rasulullah SAW sedangkan aku dalam keadaan berbaring?" Kasih sayang, cinta dan perjuangan ulama terhadap Sunnah Rasulullah SAW sudah berhasil menghidupkan kembali ajaran Baginda SAW di tengah-tengah umat. Sekali gus menghapus segala bentuk penyelewengan bertentangan sunnahnya. Rasulullah SAW pernah mengingatkan supaya umat berhati-hati terhadap penyelewengan halus yang menyusup masuk dalam akidah mereka. Baginda bersabda yang bermaksud: "Janganlah terlalu berlebih-lebihan dalam memujiku seperti yang dilakukan kaum Nasrani terhadap Isa Ibnu Maryam, sesungguhnya aku hanyalah hamba biasa dan katakanlah aku sebagai hamba Allah dan Rasul-Nya." (Hadis riwayat Al-Bukhari) Umat Islam mesti meletakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW sesuai dengan tuntutan al-Quran dan al-Hadis, bukannya mengikut hawa nafsu. Jika mereka melebihkan daripada sepatutnya, sesungguhnya jerat iblis sangat halus hatta di belahan dada orang alim, inikan mereka yang jahil.
Cetak artikel Hantar pada kawan