Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

05 September 2008

Pak Samad pembina bangsa

Selamat membaca..........

Pak Samad pembina bangsa, pejuang negara


PEMERGIANNYA ibarat satu kehilangan permata berharga dalam dunia kewartawanan. Tokoh kewartawanan dan pejuang kemerdekaan, Tan Sri Abdul Samad Ismail, 84, atau lebih dikenali sebagai Pak Samad, meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai di ibu negara pada kira-kira jam 5.58 petang semalam kerana jangkitan paru-paru.

Pak Samad, yang memang dikenali dalam dunia persuratkhabaran dan sastera tanah air kerana jasa yang dicurah terlalu berharga sekali, meninggalkan 10 anak termasuk bekas wartawan Nuraina dan Maria, selain 26 cucu serta empat cicit. Isteri pertamanya, Hamidah Hassan meninggal dunia pada 2 Jun 1990.

Pak Samad dilahirkan di Singapura pada 18 April 1924, adalah satu-satunya wartawan Melayu yang kerjayanya merentangi penjajahan British, pemerintahan tentera Jepun dan zaman kemerdekaan.

Beliau yang dipanggil Chomel oleh ayah dan ibunya sejak kecil, kemudian menjadi wartawan pejuang hingga tiga kali ditahan, dua kali dalam masa penjajahan dan sekali lagi kira-kira 20 tahun selepas merdeka.


Pak Samad yang lulus Senior Cambridge pada 1940, sepatutnya melanjutkan pelajaran ke luar negara tetapi ayah dan ibunya tidak sanggup berpisah dengannya lalu beliau membuat keputusan untuk berkhidmat sebagai pelatih dengan akhbar Utusan Melayu pada 1941 ketika berusia 16 tahun.

Tiga bulan beliau berbasikal ke Utusan Melayu tanpa gaji. Tiga kali beliau disumbat ke penjara tanpa dihakimi atau disabitkan, tetapi setiap kali itu juga beliau kembali bingkas mengetuk mesin taipnya.

Beliau bekerja di bawah kepemimpinan Bapa Wartawan Melayu, Abdul Rahim Kajai dan ketika pendudukan Jepun, Pak Samad dilantik sebagai Penolong Pengarang Utusan Melayu. Apabila Utusan Melayu ditukar menjadi Berita Malai, beliau kekal dengan jawatannya. Sekitar 1944-1945, beliau dilantik sebagai Pengarang Berita Malai apabila Ishak Haji Mohamad berhenti menjadi pengarang akhbar itu.

Apabila Jepun menyerah diri pada 1945 dan British kembali memerintah, Pak Samad ditahan di penjara atas tuduhan menghasut rakyat ketika pendudukan Jepun. Beliau disoal siasat oleh pegawai perisikan tentera di Penjara Outram atas tuduhan menulis berita dan rencana anti-British.

Pak Samad menganggap pengalamannya itu begitu pahit sekali kerana isterinya sedang mengandung anak pertama. Akhirnya selepas perbicaraan, Pak Samad dibebaskan dan beliau kembali berkhidmat dengan Utusan Melayu sebagai penolong pengarang pada 1946 di bawah Yusof Ishak (bekas Presiden Republik Singapura).

Pada 1951, Pak Samad ditangkap oleh British di bawah Undang-undang Darurat ekoran daripada Peristiwa Natrah dan dibebaskan dua tahun kemudian. Beliau kemudiannya berkhidmat semula dengan Utusan Melayu sehingga 1958. Selepas itu, beliau berkhidmat dengan akhbar Straits Times Singapura dengan memegang jawatan sebagai Pengarang Berita Harian.

Edisi Berita Harian di Kuala Lumpur yang dilancarkan pada 1 Julai 1957 pada mulanya adalah terjemahan berita dan rencana yang disiarkan dalam Straits Times. Segala-galanya berubah apabila Pak Samad pindah ke Kuala Lumpur.

Pelbagai berita dan rencana, termasuk mengenai sidang Parlimen ditulis oleh pemberita Berita Harian sendiri. Beliau juga melantik ramai pemberita wakil negeri dan daerah.

Kemudiannya pada 1972, Pak Samad dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan di New Straits Times. Pada 1976, beliau ditahan di bawah Undang-Undang Keselamatan Dalam Negeri kerana dituduh bersimpati dengan komunis sehingga dibebaskan pada 1981.

Pada 1982, beliau dipanggil semula oleh New Straits Times untuk menjadi Penasihat Sidang Pengarang sehingga persaraannya pada Jun 1988. Pada 2000, Pak Samad dilantik semula sebagai Penasihat Jabatan pengarang.

Pak Samad dilantik sebagai Karyawan Tamu selama dua tahun di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1991-1993), kemudian mulai Oktober 1993, beliau menjadi Karyawan Tamu di Jabatan Penulisan Universiti Malaya.

Beliau juga dikenali sebagai penulis novel yang terkemuka. Antara hasil karyanya ialah novel Patah Sayap Terbang Jua, Hussein Zed, Kail Panjang Sejengkal, Orang Jauh, Tembok Tidak Tinggi, Detik-Detik Cemas dan Menimba Yang Jernih.

Antara antologi cerpen Pak Samad pula ialah Mastura dan Temasya Tinta. Pak Samad juga menulis buku mengenai kewartawanan dan penulisan, iaitu Kursus Wartawan dan Mengasah Bakat.

Atas jasanya itu, Pak Samad dianugerahkan pingat Panglima Setia Mahkota oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1992 yang membawa gelaran Tan Sri.

Dalam bidang politik, Pak Samad pernah menyandang jawatan Presiden Kesatuan Melayu Muda pada 1945. Pada 1953, beliau pernah bersama-sama bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew menaja menubuhkan Parti Tindakan Rakyat (PAP). Pada 1958, beliau berhenti daripada parti itu untuk menjadi anggota Umno Singapura sebagai Pengerusi Tetap.

Sepanjang kerjayanya, Pak Samad pernah dianugerahkan gelaran Pejuang Bahasa Kesusasteraan pada 1976; Ijazah Doktor Kehormat Persuratan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1987; Tokoh Wartawan Negara pertama pada 1988 oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI); Anugerah Wartawan Cemerlang Kebangsaan oleh Persatuan Wartawan Melayu Malaysia pada 1996 dan Anugerah Ramon Magsaysay pada 1994.

Kehilangannya semalam yang berselang beberapa hari dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-51 begitu menyentuh kerana Pak Samad adalah antara anggota rombongan delegasi negara ke London pada 1956 untuk rundingan kemerdekaan.

Malah, pembabitannya dalam sejarah negara tidak boleh diperkecilkan walaupun peranannya banyak di belakang tadbir, begitu juga dengan kemerdekaan Indonesia dan dalam merapatkan semula hubungan antara Malaysia dan Indonesia semasa konfrontasi.

Jenazah Pak Samad dibawa ke rumahnya di No 2, Lorong 16/7C, Petaling Jaya malam tadi dan akan dikebumikan di Bukit Kiara selepas sembahyang Jumaat hari ini. Amin.

No comments: