Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

26 August 2008

Kuasa ekonomi orang Melayu

Selamat membaca..........

Mengembalikan keagungan kuasa ekonomi orang Melayu

Oleh Nassrul Hakim Md Jani

"ORANG Melayu masih lemah dari sudut ekonomi. Orang Melayu masih jauh ketinggalan." Ini adalah ungkapan yang sering kita dengar. Barangkali ungkapan ini sudah sampai ke tahap menjemukan.

Apabila banyak dibina rumah mewah, maka projek itu akan dituduh sebagai meminggirkan orang Melayu dan rumah kos rendah pula menjadi sinonim dengan orang Melayu. Masalah berkaitan penguasaan ekonomi di kalangan orang Melayu akan terus berkumandang di sana sini.

Ketika membahaskan usul 'Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Dewan Rakyat baru-baru ini, Datuk Seri Najib Razak, berkata masyarakat Cina terus mencapai peningkatan dari segi hak milik sektor korporat, iaitu kepada 42.4 peratus dan hak milik premis sebanyak 76.1 peratus, manakala Bumiputera mempunyai pemilikan ekuiti dalam sektor korporat 19.4 peratus dan hak milik premis sebanyak 15 peratus.


Kita tidak boleh menafikan bahawa masalah penguasaan ekonomi di kalangan orang Melayu yang lemah adalah kerana mereka lebih cenderung makan gaji daripada berniaga. Tidak ada lain untuk menguasai ekonomi selain membabitkan diri dalam keusahawanan. Walaupun sebahagian besar orang Melayu menguasai Kabinet dalam kerajaan dan jawatan dalam sektor awam, ia bukan dikira penguasaan dalam ekonomi.


Mungkin kerana persekitaran budaya dan sosial orang Melayu, keusahawanan masih dilihat sebagai sesuatu yang asing. Masyarakat Cina sangat memandang tinggi mereka yang berniaga. Orang berniaga dianggap lebih matang daripada yang makan gaji. Kerja makan gaji dianggap sebagai sesuatu yang dilakukan untuk mendapat pengalaman sementara menunggu masa sesuai memulakan perniagaan.

Berlainan dengan situasi masyarakat Melayu menganggap berniaga sebagai sesuatu yang dilakukan untuk menyara hidup sementara mendapat kerja makan gaji. Sudah pastilah matlamat terakhir adalah untuk bekerja dengan kerajaan. Oleh itu, kita biasa melihat jika ada mahasiswa menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan selepas tamat pengajian, orang akan kata 'Tak apa, berniagalah dulu sementara belum dapat kerja.'

Pernahkah kita tertanya bagaimana orang Cina yang sebahagian besarnya datang ke Tanah Melayu sebelum Merdeka boleh berjaya menjadi usahawan kaya raya dan menguasai dunia perniagaan di negara ini sedangkan mereka datang sehelai sepinggang tanpa membawa sebarang harta?

Adakah mereka ada agensi seperti Mara, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Perbadanan Ekonomi Negeri dan lain-lain lagi yang membantu mereka membangunkan perniagaan? Pernahkah kita tertanya mengapa sebahagian besar kita tidak boleh hidup semewah bangsa lain sedangkan kita adalah masyarakat peribumi yang nenek moyang kita lahir di sini beratus-ratus tahun dulu?

Apakah ada keajaiban membuatkan mereka berjaya? Mereka juga ada dua kaki dan dua tangan seperti kita. Pada hal, al-Quran mengajar kita bahawa Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu kecuali mereka mengubah nasib mereka sendiri. Kita tidak boleh menafikan bahawa mereka berjaya kerana mereka bekerja keras dan sanggup mengambil risiko membabitkan diri dalam dunia perniagaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, ketika merasmikan Majlis Forum Keusahawanan dan Kerjaya Siswa di Universiti Utara Malaysia berkata, kerajaan begitu komited dengan memperuntukkan RM5.7 bilion bagi menjayakan program dan projek pembangunan di bawah kementeriannya dalam tempoh RMK-9.

Ia disalurkan menerusi pelbagai agensi seperti Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Mara, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat), UDA Holdings Berhad (UDA) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri seluruh negara.

Sebenarnya perancangan yang dibuat kerajaan sejak selepas Merdeka lagi sepatutnya sudah cukup untuk membolehkan orang Melayu untuk bangun menjadi masyarakat perdagangan dan perindustrian berjaya. Jika orang Melayu tidak mahu menukar cara berfikir dan masih dengan pegangan lama, maka keadaan tidak akan berubah biar pun berpuluh-puluh dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dirangka untuk orang Melayu.

Remaja dan belia hari ini harus dididik supaya minat dengan bidang keusahawanan. Generasi baru orang Melayu perlu mengubah mentaliti dan persepsi mereka terhadap budaya makan gaji. Penulis menasihatkan agar generasi baru orang Melayu, iaitu remaja dan belia supaya jangan lagi mengharapkan kerja makan gaji selepas menamatkan pengajian. Jangan ulangi kesilapan generasi kami yang sudah sebati dengan budaya makan gaji dan tidak nampak peluang dalam keusahawanan sebelum ini.

Apakah 20 tahun lagi kita akan terus membincangkan isu 'orang Melayu masih lemah dalam penguasaan ekonomi?' Sampai bila kita harus lemah dan bila pula kita akan menjadi kuat? Berapa lama lagi masa kita perlu ambil untuk kita menjadi kuat? Tidak jemukah kita bercakap benda sama sekian lama?

Jangan salahkan orang lain jika bangsa kita terus miskin. Jangan lagi merungut mengenai lemahnya bangsa kita dari segi penguasaan ekonomi sekiranya kita sendiri tidak mencari jalan keluar dan berusaha mengubahnya. Persepsi kebanyakan masyarakat Melayu menganggap keusahawanan sebagai sesuatu yang tidak menjamin masa depan harus dikikis.

Jika tidak, kita terus lemah dan bangsa kita akan sinonim sebagai penghuni rumah kos rendah dan setinggan. Jika kita teliti sejarah Melayu suatu masa dulu orang Melayu menjadi pedagang terkemuka berniaga sehingga ke Asia Barat membawa barang dagangan mereka.

Tetapi apakah cukup hanya mengenang dan mengimbas sejarah saja boleh membawa perubahan kepada bangsa Melayu? Carilah wira dalam diri kita. Kembalikan keagungan bangsa kita yang lalu. Sudah pasti ia bukan tugas mudah dan ringan. Ia menuntut satu kerja keras dan komitmen tinggi semua pihak untuk memastikan segala cita-cita menjadi kenyataan.

Penulis ialah pensyarah Pengurusan Perniagaan, Kolej Profesional Mara,
Indera Mahkota, Kuantan, Pahang

23 August 2008

Spekulatif berlebihan 'dalang' kenaikan harga minyak

Selamat membaca..........

Spekulatif berlebihan 'dalang' kenaikan harga minyak

Oleh Thomas I Palley

SEHINGGA beberapa minggu lalu, ketika harga minyak terus melonjak, perdebatan hangat tercetus mengenai peranan fundamental ekonomi dan spekulasi, dalam meningkatkan harga minyak global.

Walaupun harga minyak kini menyusut daripada lonjakan tertingginya sebelum ini debat itu tidak seharusnya dilupakan, kerana ia memberi kesan mendalam terhadap polisi kerajaan yang tidak boleh dibiar untuk diabaikan.

Sudah tentu, jika harga tinggi disebabkan fundamental pasaran minyak juga bergerak seperti yang seharusnya berlaku. Tetapi jika ia disebabkan spekulasi, maka spekulator di kalangan pembuat dasar mesti bertindak untuk membendung kegiatan itu kerana perbuatan terbabit menyebabkan kerugian besar kepada ekonomi global.


Apabila bukti dikenal pasti, ia menjurus kepada perbuatan spekulatif sebagai punca utama kenaikan harga minyak.


Ketika ramai peserta di pasaran minyak menuduh kegiatan spekulatif, kebanyakan pakar ekonomi pula mempertahankan bagaimana prestasi pasaran minyak lebih menjurus kepada soal fundamental dan satu daripada alasan itu ialah kenaikan harga minyak disebabkan kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS).

Memandangkan harga minyak didagang berdasarkan dolar Amerika, maka kelemahan mata wang itu menjadikan harga minyak lebih murah kepada pengguna di negara lain, sekali gus meningkatkan permintaan global.

Alasan kedua ialah kenaikan harga minyak disebabkan kadar faedah rendah dan jangkaan harga jangka panjang yang tinggi. Itu sepatutnya mengurangkan bekalan dengan menggalak pengeluar untuk menyimpan minyak di bawah tanah dan mengepam kemudian.

Alasan ketiga pula ialah jika kegiatan spekulatif dituduh menjadi punca kenaikan harga, sepatutnya ada peningkatan dalam inventori minyak, kerana spekulator tidak menggunakan minyak, sebaliknya menyimpan dan dijual kemudian. Memandangkan tidak ada peningkatan dalam inventori, maka tidak ada kegiatan spekulatif.

Semua tiga alasan itu, lemah. Harga minyak naik, jauh lebih tinggi daripada kejatuhan dolar Amerika. Ini bermakna, harga minyak naik di negara lain yang sepatutnya menurun, bukan meningkat.

Malah, harga minyak yang tinggi sebenarnya melemahkan dolar Amerika, bukan sebaliknya. Harga minyak yang tinggi meningkatkan kadar inflasi di Amerika Syarikat, memburukkan lagi defisit dagangannya dan meningkatkan kemungkinan kemelesetan dengan bertindak sebagai cukai ke atas perbelanjaan pengguna.

Malah tidak ada sebarang laporan mengenai pemotongan pengeluaran yang luar biasa, seperti diperkatakan. Sebenarnya, peningkatan harga minyak memberikan insentif kepada pengeluar bebas untuk meningkatkan lagi pengeluaran.

Kali terakhir harga sebenar minyak mencecah tahap sekarang ialah pada 1980, yang menunjukkan bahawa menyorok minyak di bawah tanah, boleh menjadi satu perniagaan yang buruk. Pertubuhan Negara Pengeluar Minyak (Opec), juga mempunyai kepentingan yang kuat untuk mengekalkan pengeluaran.

Ia mahu mengekalkan harga rendah untuk memelihara penggunaan minyak dalam ekonomi global dan menghalang pilihan teknologi sebagai alternatif kepada sumber tenaga.

Akhirnya, perbincangan mengenai penyimpanan gagal untuk mengiktiraf perbezaan jenis inventori. Dengan itu, harga spekulatif tinggi yang direkodkan, kemungkinan menyebabkan peniaga pukal melepaskan inventori, tetapi yang dilepaskan itu mungkin dibeli spekulator, yang kini aktif memajak kapasiti simpanan komersial.

Implikasinya ialah spekulator boleh mendorong kenaikan harga dan meningkatkan pegangan inventori mereka, walaupun keseluruhan inventori komersial, tidak banyak berubah.

Lazimnya, sukar untuk membuktikan bahawa perbuatan spekulatif bertanggungjawab menyebabkan harga minyak tinggi, kerana ia lebih cenderung berlaku di sebalik fundamental yang kuat. Bagaimanapun, wujud bukti kukuh menunjukkan kegiatan spekulatif berlebihan di pasaran minyak sekarang.

Satu petanda kuat ialah perubahan tercatat dalam ciri perdagangan minyak, dengan spekulator (iaitu institusi kewangan dan dana lindung nilai) kini merangkumi 70 peratus dagangan, meningkat daripada 37 peratus tujuh tahun lalu.

Mengenai fundamental pasaran, tidak ada perubahan dari segi permintaan dan bekalan yang boleh memperjelaskan lonjakan di luar jangkaan harga minyak. Malah, kelaziman pergerakan harga minyak adalah konsisten dengan spekulatif. Pada Jun, harga minyak naik AS$11 dalam satu hari dan pada Julai, ia jatuh AS$15 dalam tempoh tiga hari. Turun naik ini, tidak sejajar dengan pasaran berdasarkan fundamental.

Di sebalik saiz pasaran minyak, spekulasi boleh mempengaruhi harga kerana tidak anjalnya permintaan dan bekalan. Permintaan bagi minyak agak lambat untuk berubah apatah lagi pengubahsuaian pengeluaran mengambil masa. Ciri ini membuatkan pasaran minyak terdedah kepada spekulasi.

Lihatlah bagaimana situasi sekarang ini meningkatkan inflasi global, menurunkan pendapatan orang miskin, melemahkan dolar, memburukkan defisit dagangan Amerika Syarikat, meragut ketidakstabilan kewangan global dan meningkatkan kemungkinan kemelesetan global. Ini semua memerlukan tindakan polisi dengan segera.

Penulis ialah Ketua Ekonomi di Suruhanjaya Kajian Ekonomi dan Keselamatan AS-China (Projek Syndicate, 2008)

Cetak artikel | Hantar pada kawan

20 August 2008

Ilmu-ilmu hadis Sheikh Ahmad Al-Fathani

Selamat membaca..........

Ilmu-ilmu hadis Sheikh Ahmad Al-Fathani

SEBAGAIMANA al-Quran dengan kepelbagaian ilmunya, demikian juga halnya dengan hadis yang sangat banyak ilmu yang tertakluk dengannya. Di antara ilmu-ilmu itu ialah Ilmu Mushtalahul Hadis, Ilmu Dirayah Hadis dan Ilmu Rijal Hadis. Selain penghafal hadis dengan jumlah yang banyak, Sheikh Ahmad al-Fathani juga telah khatam pengajian ilmu-ilmu hadis terutama kitab-kitab dalam lingkungan Ahlus Sunni. Beliau belajar semua disiplin ilmu yang ada dalam persekitaran hadis.

Sheikh Ahmad al-Fathani telah memperoleh sanad musalsal yang dianggap penting dalam ilmu hadis. Dalam umur masih muda, Sheikh Ahmad al-Fathani telah menguasai ilmu-ilmu hadis. Ini terbukti apabila beliau telah diberikan ijazah oleh dua orang gurunya di Madinah pada tahun 1319 H/1901 M.

Ijazah hadis yang pertama diberikan oleh Saiyid Muhammad Ali bin Saiyid Zhahir al-Watri al-Hanafi pada tarikh 26 Rejab 1319 H/1901 M dan ijazah hadis yang kedua diberikan oleh Saiyid Abdul Qadir as-Syibli at-Tharablusi as-Syami al-Hanafi. Kedua-dua ulama itu adalah ulama besar ahli hadis pada zaman itu yang mengajar di Masjid Nabawi, Madinah.

Sheikh Ahmad al-Fathani juga menyusun kitab mengenai hadis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Yang bahasa Arab masih dalam bentuk manuskrip, manakala dalam bahasa Melayu yang pernah diterbitkan di antaranya ialah Bisyarah al-‘Amilin wa Nazarah al-Ghafilin. Dalam karya beliau Hadiqatul Azhar war Rayahin juga banyak terdapat hadis dan terjemahannya.

Selain itu, sekurang-kurangnya ada tiga kitab yang membicarakan hadis dalam bahasa Melayu telah ditashhih oleh Sheikh Ahmad al-Fathani. Pada ketiga-tiga karya tersebut, terdapat puisi beliau yang ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Kitab-kitab yang dimaksudkan ialah Kasyful Ghummah karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Al-Jauharul Mauhub karya Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan, al-Kalantani dan Al-Kaukabud Durriy karya Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani.

Sebelum membicarakan puisi-puisi Sheikh Ahmad al-Fathani pada kitab-kitab yang tersebut, penulis senaraikan sanad lengkap beliau dalam bidang ilmu hadis yang khusus mengenai kitab-kitab hadis shahih. Sanad yang dimaksudkan adalah:

*Sheikh Ahmad al-Fathani, belajar kepada:

*Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, belajar kepada:

*Maulana Sheikh Utsman bin Hasan ad-Dimyathi al Azhari, belajar kepada:

*Ramai ulama, yang paling terkenal dan banyak disebut ada tiga orang, iaitu: Sheikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi, Sheikh Muhammad al-Amir al-Kabir, dan Sheikh Muhammad bin Ali asy-Syanwani. Khusus sanad daripada Allamah Sheikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi, belajar kepada:

*Allamah asy-Syamsu Muhammad Salim al-Hifni, belajar kepada:

*Allamah Abdul Aziz az-Ziyadi, belajar kepada:

*Asy-Syamsu Muhammad bin al-Alauddin al-Babli, belajar kepada:

* Sheikh Salim bin Muhammad as-Sanhuri, belajar kepada:

*An-Najmu Muhammad bin Ahmad al-Ghaithi, belajar kepada:

*Sheikh al-Islam Zakaria bin Muhammad al-Anshari, belajar kepada:

*Al-Hafiz asy-sheikh Ahmad bin Ali bin Hajar al-Asqallani, belajar kepada:

*Abi Ishaq Ibrahim bin Ahmad at-Tanukhi, belajar kepada:

*Abi al-Abbas Ahmad bin Abi Thalib al-Hajjar, belajar kepada:

*Al-Husein bin al-Mubarak az-Zabidi al-Hanbali, belajar kepada:

*Abi al-Waqti Abdul Awwal ibnu Isa as-Sijzi, belajar kepada:

*Abi al-Hasan Abdur Rahman bin Muzhaffar bin Daud ad-Dawudi, belajar kepada:

*Abi Muhammad Abdullah bin Ahmad as-Sarakhsi, belajar kepada:

*Abi Abdullah Muhammad bin Yusuf bin Mathar al-Farabri, belajar kepada:

*Muallif Sahih Bukhari, al-Imam al-Hafizh al-Hujjah Abi Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim al-Bukhari.

Berikut pula disertakan puisi-puisi Sheikh Ahmad al-Fathani dalam ketiga-tiga kitab yang disebutkan.

Adapun puisi-puisi tersebut tidak disertakan bersama syarahnya, seperti mana yang terkandung dalam kitab. Mengenai syarah-syarahnya dapat dirujuk melalui kitab-kitab tersebut atau buku penulis berjudul Sheikh Ahmad al-Fathani: Pemikir Agung Melayu dan Islam, Jilid 2, yang dimulai halaman 231.

Puisi pada kitab Kasyful Ghummah karya Sheikh Daud Abdullah al-Fathani

Puisi Sheikh Ahmad al-Fathani yang menerangkan mengenai kitab Kasyful Ghummah terdapat pada cetakan pertama kitab tersebut oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah pada tahun 1303 H. Transliterasinya adalah sebagai yang berikut:

“Puji bagi Tuhan,

yang menjadikan mawa’izh itu tazkirah lil ummah

Dan dibukakan dengan dia daripada mereka itu

yang menerimanya akan ghummah

Dan shalawat dan salam atas Nabi

al-Hadi ila Rasyad

Dan atas keluarganya dan tolannya

syufa’ana yaumal ma’ad

Wa ba’du,

Maka telah sempurnalah ini kitab yang mustathab

Yang padanya

Hudanl lil muttaqin wa zikra li ulil al-bab

Sungguhnya telah disebutkan padanya

Akhbarut tifaf as-saq bis-saq

Dan ahwal pada hari yang padanya

ila rabbikal masaq

Dan dicetera padanya akan segala

yang menakuti daripada ahwal al-jahim

Dan dinazham pada suluk asrarnya akan segala

lu’lu’ akhbar jannatin na’im

Dan lain daripada ahwal yang barzakhiyah

Dan segala pekerjaan yang ukhrawiyah

Barang yang sayogianya mengambil ibarat

dengan dia oleh ‘aqilun

Dan hendaklah beramal bagi seumpama tsawab

yang tersebut padanya oleh ’amilun

Dan adalah hamba muqabalahkan pada tashhihnya

dengan Mukhtashar asy-Sya’rani

bagi asalnya yang Arabi

Iaitu at-Tazkirat al-Qurthubiyah

Dan hamba tashlihkan setengah daripada

barang yang zhahir padanya tahrif,

maka jadilah ia bersih seolah-olah

Ia-ali manzumah

atawa sabaik zahabiyah

Dan adalah capnya pada al-Mathba’ah al-Miriyah,

yang pada Makkah al-Mahmiyah

Dan selesainya pada pertengahan Syawal,

sanah 1303 Hijrah an-Nabi Shallallahu alaihi

wa sallam,

wa ‘ala alihi wa shahbihi wa syarafi wa karam

Puisi pada kitab Al-Jauharul Mauhub karya Sheikh Wan Ali Kutan al-Kalantani

Pada kitab Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub karya Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman bin Abdul Ghafur Kutan al-Kalantani, terdapat puisi Sheikh Ahmad al-Fathani yang digubah dalam bentuk sastera Arab yang terdiri daripada 27 bait. Tiap-tiap satu bait dua baris, dua baris. Selain itu, terdapat juga puisi beliau yang digubah dalam bahasa Melayu. Puisi yang digubah dalam bahasa Melayu transliterasinya adalah sebagai yang berikut:

“Puji itu bagi Allah,

yang dengan kurnia-Nya

sempurna segala yang dituntuti

Dan rahmat dan sejahtera

atas afdal segala Nabi yang diikuti

Dan atas kelurganya dan taulannya

yang semulia-mulia mereka itu,

yang dengan kepujiannya disebuti

Kemudian daripada itu,

Maka dengan pertolongan

Tuhan al-Malikul Wahhab

Dan dengan kemegahan

Penghulu kita an-nathiqu bish-shawab

Telah sempurnalah ini kitab yang mustathab

Yang ialah bagi segala hati yang lalai itu,

sebesar-besar cerca dan 'itab

Yang menyaksi akan dia

oleh al-Muqarrabun

khitamuhu miskun dan pada

falyatanafasil mutanafisun

Yang dinamakan dia

dengan al-Jauharul Mauhub

Iaitu kitab yang terpenuh

dengan guna-gunaan yang mathlub

Dan indah-indahan yang padanya marghub

Daripada ahadits Nabawiyah

Dan atsar Salafiyah

Dan fawaid yang ’ajibah

Dan faraid yang gharibah

Dan asrar yang lami’ah

Dan akhbar yang jami’ah

Dan nashaih dan mawa’izh yang mufidah

Dan ma’arif dan ‘ulum ‘adidah

Maka ialah,

Langit segala bintang yang ’alaih

Dan laut segala mutiara yang ghaliyah

Dan kebun segala bunga-bungaan yang bahiyah

Dan pokok segala buah-buahan yang syahiyah

Ta’lif guru yang a’zham

bagi segala guru yang masyhur

Maka dialah matahari ilmu

dan mereka itu budur

Al-‘Allamah al-‘Amil

wa al-Fadhil al-Kamil

Tuan Sheikh Wan Ali Kutan al-Kalantan

Ibnu al-Marhum Wan Abdur Rahman

Ibnu Abdul Ghafur afadhallahu Taala alaihi

sawabighul judi wal ihsan”

Puisi pada kitab Al-Kaukab Ad-Durriy karya Sheikh Muhammad Bin Ismail Daud Al-Fathani

Kitab yang akan dibicarakan

ini bukanlah kitab khusus membicarakan hadis seperti dua

kitab yang telah dibicarakan. Namun disebabkan cerita-cerita di dalamnya lebih banyak bersumber daripada hadis, maka dikategorikan

di bawah judul Puisi Sheikh

Ahmad Al-Fathani Pada Kitab-Kitab Hadis.

Kitab ini dengan judul lengkapnya Al-Kaukabud Durriy fin Nuril Muhammadiyi, adalah merupakan karya ulama dunia Melayu yang terkenal, iaitu Sheikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani, atau digelar juga dengan Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani.

Kitab yang bercorak

sastera

Islam Melayu klasik ini telah ditashhih oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, dan padanya terdapat puisi beliau yang ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Puisi yang digubah dalam bahasa Melayu transliterasinya adalah sebagai yang berikut:

Wa ba’du,

Maka telah selesailah thaba’ ini kitab

yang mengandung akan beberapa banyak ajaib

Yang menyatakan daripada

ahwal bahamut,

dan malakut,

dan ‘azhamut,

akan badai’ dan gharaib

Maka seyogialah,

bagi segala mata,

bahawa berkuhul ia,

dengan itsmid muthala’ahkan ibaratnya

Dan bagi segala telinga,

bahawa berlazat-lazat ia,

dengan halawah mendengarkan hikayatnya.

Yang diisnadkan sekaliannya,

kepada tsiqat al-ulama zawit tahqiq

Maka lazimlah atas segala hati,

bahawa ada ia baginya Aba Bakar as-Shiddiq

Dan sesungguhnya,

jikalau dituliskan risalah ini,

atas shafaih al-fiddah dengan ma’ az-zahab

niscaya berpatutanlah demikian itu,

dengan mahasinnya yang indah lagi ‘ajab

Jenayah syariah tak terikat bukti sumpah

Selamat membaca..........

Jenayah syariah tak terikat bukti sumpah

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

SUMPAH yang dibuat pembantu peribadi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bahawa dia diliwat terus menjadi perbualan serta liputan meluas.

Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, bersumpah atas nama Allah sambil memegang al-Quran pada upacara berlangsung di Dewan Solat Utama sambil disaksikan beberapa pegawai masjid serta ahli keluarganya. Saiful bersumpah bagi menghilangkan keraguan orang ramai terhadap beliau selepas mendakwa diliwat pemimpin PKR itu.

Sumpah dibuat Saiful mengundang pelbagai polemik berkaitan status sah sumpah itu sendiri. Ada pendapat mengatakan sumpah itu tidak mengikut syariat Islam, malah ada menyatakan sumpah berkenaan tidak menepati apa dikehendaki hukum Islam dan beranggapan sumpah yang ada dalam Islam ialah hanya li’an membabitkan suami isteri.


Li’an ialah tuduhan seorang suami bahawa isterinya berzina serta menafikan kandungan anak yang dikandung isterinya itu bukanlah daripada benihnya.

Namun, semua pihak bersetuju dan sepakat menyatakan bahawa sumpah dalam Islam memadai dengan melafazkan lafaz sumpah dengan nama Allah, iaitu Wallahi, Wabillahi dan Watallahi serta tidak perlu memegang atau mengangkat al-Quran. Perbuatan itu bertentangan dengan ajaran Islam dan budaya orang Kristian bersumpah memegang Bible.

Hakikatnya, sumpah yang dilafazkan Saiful bukanlah mubahalah kerana sumpah mubahalah memerlukan kehadiran kedua-dua pihak yang bertentangan pada satu majlis. Seorang individu akan melafazkan sumpah dengan nama Allah dan menyatakan beliau akan dilaknat oleh Allah di dunia dan akhirat jika tidak bercakap benar.

Sumpah itu kemudian diikuti oleh pihak satu lagi yang akan bersumpah dengan nama Allah dan jika beliau tidak berkata benar, maka laknat Allah akan turun padanya di dunia dan akhirat. Dengan kata lain, kedua-dua pihak akan saling bersumpah dan mencabar supaya diturunkan laknat kepada sesiapa yang berbohong.

Dalam Islam, sumpah seperti ini dibenarkan bagi tujuan untuk membersihkan diri seseorang itu daripada sesuatu tuduhan (tohmah) dan sumpah berkenaan dipanggil sumpah tohmah. Sumpah itu besar kesannya kerana dibuat atas nama Allah dan laknat Allah akan menimpa pembuat sumpah di dunia dan akhirat.

Bagaimanapun, sumpah seperti itu adalah bertujuan semata-mata bagi membersihkan nama seseorang daripada sebarang tohmah dan bukan satu kaedah untuk menuduh orang lain atau mensabitkan seseorang itu bersalah.

Dalam Islam serta perundangan negara, ada kaedah serta undang-undang yang digariskan bagi mendakwa seseorang itu melakukan sesuatu kesalahan. Mengikut undang-undang jenayah syariah, kaedah ditetapkan bagi menyatakan seseorang yang dituduh itu melakukan sesuatu kesalahan adalah dengan pihak pendakwa atau orang membuat tuduhan mengemukakan bukti ke mahkamah.

Oleh itu, beban untuk membuktikan suatu dakwaan terletak kepada orang mengemukakan dakwaan dan mengkehendaki mahkamah percaya akan kewujudan perkara dalam dakwaan berkenaan.

Ini selaras peruntukan Seksyen 73 (1) Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan: “Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana mahkamah memberikan penghakiman mengenai hak atau tanggungan di sisi undang-undang yang bergantung kepada kewujudan fakta ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan fakta itu wujud.”

Selanjutnya, akta sama menyatakan cara memberi keterangan kes jenayah syariah, keterangan hendaklah diberikan oleh pendakwa dan tertuduh, melainkan jika tertuduh mengaku salah.

Seksyen 87 (3) Akta Keterangan memperuntukkan: “Dalam kes jenayah, keterangan hendaklah diberikan bagi pendakwa dan bagi tertuduh melainkan jika tertuduh mengaku salah.”

Oleh itu, sesuatu dakwaan terhadap sesuatu kes itu hendaklah dibuktikan di mahkamah menerusi proses pendakwaan oleh pihak yang mendakwa. Adalah menjadi beban kepada pihak mendakwa untuk membuktikan segala dakwaan atau tuduhan di mahkamah.

Sesuatu dakwaan atau pertuduhan hendaklah dibuat di mahkamah bukannya tempat awam atau di masjid kerana masjid adalah tempat suci untuk umat Islam beribadat, bukan menjadi tempat atau gelanggang bagi menyatakan sesuatu dakwaan itu adalah benar.

Orang mendakwa perlu mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya sama ada bukti itu berbentuk saksi yang memberikan keterangan atau dokumen sebagai contoh laporan perubatan. Ini penting bagi menyokong dakwaannya dan bukan hanya bersumpah.

Sumpah sebenarnya terletak kepada pihak yang kena dakwa dan bukannya orang yang mendakwa selari dengan prinsip Islam, iaitu ‘keterangan pada pihak yang mendakwa dan sumpah kepada pihak yang mengingkarinya’.

Dalam jenayah Islam, kes membabitkan qisos seperti membunuh, ahli fuqaha masih tidak sepakat dalam menerima sumpah sebagai dalil mensabitkan jenayah. Imam Malik, Syafie dan Ahmad berpendapat, sumpah diterima Islam sebagai dalil atau bukti jenayah ke atas tertuduh jika tiada bukti lain atau bukti tidak cukup.

Sedangkan Imam Abu Hanifah berpendapat, sumpah bukan suatu bukti atau dalil mensabitkan jenayah, tetapi satu cara bagi menafikan tuduhan yang dibuat pendakwa ke atas tertuduh. Jenayah qisos yang dibolehkan bersumpah dalam mensabitkan jenayah hanyalah dalam jenayah membunuh saja.

Kes membabitkan hudud (zina, qazaf (menuduh zina), minum arak, mencuri, samun, memberontak dan murtad), sumpah hanya diterima sebahagian kecil ulama dalam kes tertentu seperti qazaf dan mencuri saja. Sementara dalam kes qazaf (menuduh zina), menurut Mazhab Shafie jika pendakwa tidak mempunyai apa-apa keterangan atau tidak cukup bukti, maka tertuduh boleh diminta bersumpah menafikan dakwaan itu.

Jika tertuduh bersumpah, maka gugurlah dakwaan itu. Bagaimanapun, Imam Malik dan Ahmad tidak menerima langsung sumpah sebagai satu bukti mensabitkan kesalahan qazaf.

Kes membabitkan curi, menurut Mazhab Shafie, jika kesalahan mencuri tidak dapat dibuktikan, maka pihak tertuduh boleh diminta bersumpah. Jika tertuduh enggan, pihak yang kena curi boleh bersumpah al-yamin al-mardudah (sumpah menolak dakwaan). Tetapi pandangan itu tidak diterima mazhab lain. Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad berpendapat sumpah hanya boleh diterima dalam kes mal atau sivil saja.

Dalam kes mal atau sivil yang membabitkan pertikaian suami isteri, rumah tangga atau perebutan harta, sumpah perlu dilakukan dalam mahkamah selepas diperintahkan hakim untuk berbuat demikian.

Seksyen 87 (1) dan (2) Akta Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 memperuntukkan: “Dalam kes mal, keterangan hendaklah diberikan oleh plaintif dan defendan dan jika defendan menafikan tuntutan terhadapnya, dia hendaklah dikehendaki mengangkat sumpah mengikut hukum syarak. Jika defendan mengangkat sumpah di bawah subseksyen (1), tuntutan yang dibuat oleh plaintif hendaklah ditolak. Jika defendan enggan mengangkat sumpah, maka mahkamah bolehlah meminta plaintif mengangkat sumpah dan dengan sumpah itu tuntutannya hendaklah diterima.”

Kesimpulannya, dalam kes membabitkan jenayah syariah seperti liwat, khalwat serta persetubuhan luar nikah, hendaklah dibuktikan oleh pihak pendakwa di mahkamah dan pihak yang dituduh boleh untuk menafikan tuduhan menerusi keterangan dan bersumpah jika diperintah hakim berbuat demikian. Namun, sumpah itu tidak mengikat hakim dalam membuat keputusan sabitan kesnya.



Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

19 August 2008

Allah yang beri rezeki

Selamat membaca..........

Allah yang beri rezeki


ZAHAZAN Mohamed


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan orang yang menjadi orang perantaraan”. (riwayat Ahmad) Islam mengharamkan rasuah kerana menjadi penyebab kezaliman berlaku dalam masyarakat, orang yang tidak bersalah boleh dihukum bersalah, menghapuskan peluang mereka yang sepatutnya layak dan penyebaran harta di kalangan pihak tertentu saja.

Amalan rasuah membabitkan penyalahgunaan kuasa atau mengambil manfaat yang bercanggah dengan undang-undang dan moral manusia.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto NAZUDEEN MAHMUD menemu bual Pensyarah Jabatan al-Quran dan Sunah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Zahazan Mohamed bagi mengupas persoalan ini.

Amaran tentang rasuah ini sudah lama diketahui. Namun gejala ini masih sukar dibendung. Apakah puncanya?
ZAHAZAN: Secara umumnya masyarakat mengetahui bahayanya perbuatan rasuah ini. Dan ia turut berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW yang diceritakan oleh baginda tentang seorang Gabenor menerusi sabda yang diriwayatkan oleh Ahmad.

Sabda Nabi yang antara lainnya bermaksud, “Ada di kalangan manusia yang diutus ke sesuatu tempat lalu mendapat tawaran itu dan ini. Baginda lalu bertanya, adakah kalau dia bukan memegang jawatan tersebut dan duduk di rumah, dia juga akan menerima apa yang didapatinya semasa jadi Gabenor?”

Secara umumnya rasuah itu adalah perolehan yang bertujuan untuk memberi kepentingan untuk yang memberinya bagi permudahkan sesuatu urusan pada masa akan datang. Antara punca gejala rasuah ini adalah kurang penekanan terhadap aspek Islam dalam soal dosa dan pahala.

Seseorang yang mempunyai kekuatan iman tidak akan mudah goyah apabila ditawarkan dengan pelbagai ganjaran sebagai rasuah.

Saya tertarik dengan satu kisah sewaktu para sahabat mahu membuka India. Pasukan tentera Islam ketika itu memang ramai. Apabila mendapat tahu ketumbukan tentera Islam menghampiri sempadan India, maharajanya datang.

Beliau menawarkan beberapa patung yang diperbuat daripada emas sebagai ganjaran untuk tentera Islam tidak menakluk India.

Bagaimanapun, tentera Islam tadi dengan tegas menjawab, untuk keuntungan duniawi tawaran maharaja itu memang berbaloi tetapi ia tetap tidak dapat memenuhi keinginan nafsu. Soalnya, esok aku akan mati dan bila Allah bertanya nanti adakah aku boleh menjawab dengan patung-patung emas ini.

Peristiwa ini membuktikan bahawa mereka adalah golongan yang mempunyai izzah atau kemuliaan diri sehingga mampu menolak rasuah oleh maharaja India itu.

Kedua, kurangnya pembudayaan amal makruf nahyu mungkar. Sebagai manusia, kalau kita selalu diingatkan tentang halal haram, insya-Allah kita akan berwaspada mengenainya. Sebab iman kita ini ada turun naiknya.

Apabila ada budaya menegur begini, seseorang boleh menegur kesilapan orang lain. Ketiadaan sikap begini mungkin kerana kita terlalu sibuk dengan urusan dunia.

Sebab ketiga, ada yang beranggapan rasuah menjadi tradisi. Maknanya, jika tidak buat maka kita tidak akan berjaya.

Keempat, berdasarkan kajian pihak yang terlibat hidupnya cukup daif. Pendapatan yang ada tidak cukup pun untuk keperluan asas. Sebab itu para fuqaha menyebut, kemiskinan itu hampir kepada kekufuran.

Keadaan sedemikian menyebabkan mereka terdedah kepada perlakuan rasuah. Sebab itu, saya meminta kerajaan membuat kajian tentang kos sara hidup kakitangan awam terutama yang berkhidmat di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Desakan hidup boleh mendorong seseorang melakukan rasuah.

Ramai membuat andaian antara sebab rasuah berleluasa adalah gaji yang kecil. Namun, hakikatnya yang berpendapatan tinggi juga turut menerima rasuah. Lalu apa penyelesaian bagi keadaan ini?
ZAHAZAN: Satu cara untuk mengatasi kegawatan ini adalah melaksanakan menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran.

Dalam perniagaan misalnya, rakan kongsi boleh menasihatkan rakan lain supaya carilah perniagaan yang halal walaupun yang haram (rasuah dan sebagainya) itu amat menggiurkan.

Dalam hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Nasai, “Sesungguhnya malaikat Jibril memberitahuku bahawa manusia tidak akan mati sehingga disempurnakan ajalnya dan memperolehi rezeki yang diperuntukkan kepadanya. Maka, bertakwalah kepada Allah dan mintalah kepada-Nya. Janganlah kerana kelewatan datangnya rezeki itu menyebabkan kamu mengusahakan daripada yang haram kerana apa yang ada di sisi Allah itu tidak akan diperolehi melainkan dengan ketaatan kepada-Nya”.

Perlu juga diadakan gerak gempur melibatkan semua usahawan Muslim agar jangan terlibat rasuah. Ingatlah rezeki itu datangnya daripada Allah.

Pada masa yang sama, soal muraqabah (rasa Allah perhatikan kita) perlu diberi lebih perhatian terutama oleh golongan yang berjawatan penting.

Ingatlah amaran Rasulullah SAW, “Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka”. (riwayat Ahmad)

Kadang-kadang kita berasa hairan mengapa anak kita tidak menjadi berbanding anak orang lain yang berjaya dalam pelajaran. Adakah sumber makanan daripada rasuah menjadi salah satu puncanya?
ZAHAZAN: Memang benar. Makanan memainkan peranan penting dalam menentukan mustajab atau tidak doa kita kepada Allah. Sebab itu, dalam satu peristiwa, Rasulullah bersabda, Datang seorang musafir yang pakaiannya berdebu dan bermunajat kepada Allah. Tetapi bagaimana doanya mahu diperkenankan sedangkan pakaiannya bersumberkan haram, makanannya haram, cara dia dibesarkan pun bersumber perkara haram?

Seseorang yang membiasakan makan yang haram- ini bukan sahaja daging khinzir tetapi juga perbuatan yang salah di sisi Islam termasuk rasuah, maka rasa kelazatan beribadat akan dicabut daripadanya. Selain itu, doa dan amalannya juga ditolak.

Dalam mazhab Hanbali, kalau kita pakai baju yang diperolehi dari sumber haram, maka solat kita tidak sah. Bagaimanapun, dalam mazhab Syafie solat itu sah tetapi tidak sempurna dan solat itu tadi tidak mendapat markah yang tinggi.

Istidraj
Pada masa yang sama Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh daripada sumber haram, maka akan dihumbankan dalam api neraka”. (riwayat Baihaqi dan Tirmizi)

Apabila terlibat rasuah, kehidupan kita tidak akan tenteram. Mudah berlaku pergaduhan suami isteri dan perpecahan keluarga. Sebabnya tidak ada keberkatan.

Memang ada juga kes di mana orang yang terlibat maksiat itu hidupnya senang lenang, anak-anaknya bijak dan selamat hidup mereka. Tetapi ini disebut sebagai istidraj. Apabila disebut Allah mengistidrajkan hambanya-Nya, ia bermaksud setiap kami hamba itu membuat atau menambah kesalahan maka setiap kali itu juga Allah menambah atau membaharui nikmat-Nya ke atas hamba tersebut membuatkan hamba itu tadi merasakan dia disayangi dan lupa memohon ampun.

Rasulullah SAW bersabda, “Apabila kamu melihat bahawa Allah memberi nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat (derhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT”. (riwayat At-Tabrani, Ahmad dan Baihaqi)

Bagi yang tidak mahu terlibat rasuah, adakalanya mereka menghadapi dugaan hebat apabila tidak mendapat kontrak, tender dan sebagainya. Dalam keadaan begini, bagaimanakah seharusnya akidah mereka?
ZAHAZAN: Seperti yang disebutkan tadi, rezeki itu milik Allah. Tetapi kita gagal menanam dan menjelaskan hal ini kepada masyarakat.

Kalau mengampu sehebat manapun, jika Allah tidak mengizinkan kita tidak akan mendapat sesuatu projek atau tender. Sebaliknya, jika diizin Allah, biar manusia berhimpun menghalang, kita tetap akan mendapatnya.

Demikian Allah memberi gambaran semut yang hitam pada malam yang gelap sekalipun akan mendapat makanan apatah lagi manusia.

Apa yang perlu sentiasa kita tekankan adalah sebagaimana firman Allah: Wahai orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar hanya kepada-Nya kamu berserah. (al-Baqarah: 172)