Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

14 April 2009

Selamat membaca..........

SKTU banjir

07 April 2009

'Inilah jalan sunnah Nabiku'

Selamat membaca..........

Tajdid Iman: 'Inilah jalan sunnah Nabiku'

SESEORANG yang berkeyakinan tinggi suka menggunakan kata-kata 'inilah jalan hidupku' apabila berdepan cabaran yang mahu menggugat idealismenya. Tetapi, adakah dia bersedia menggunakan istilah lebih tepat, 'inilah jalan sunnah Nabiku' atau 'inilah jalan Nabi SAW' untuk mewakili seluruh amal dilakukannya dengan membawa hati penuh cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW. Seseorang mungkin akan mencapai tahap kecintaan utuh kepada Nabi SAW selepas membaca berpuluh-puluh kitab sirahnya daripada pelbagai perspektif kajian dibawa ulama. Ada pula gigih menguatkan keyakinan dengan menyelami hati Baginda SAW melalui ribuan hadis menjanjikan sentuhan kasih sayangnya. Seperti seorang hamba Allah membaca al-Quran dan merasai rahmat Allah menitis ke dalam jiwa, begitu pula ketika ia membuka kitab hadis Nabi SAW seolah-olah dia rasa berhadapan dengan Baginda.
Mendengar sabdanya, berasa apa dirasa Rasulullah SAW. Gembira ketika Baginda SAW membawa khabar gembira, menangis bersama sahabat yang menangis, bersemangat ketika membaca sabda jihad dilaungkan, berwaspada saat Rasulullah berwasiat, meneliti setiap patah perkataan Baginda dengan berhati-hati dan penuh minat. Inilah cinta, hakikatnya bersimpul dalam ikatan ilmu, kajian, muzakarah, amal dan perjuangan menegakkan sunnah Rasulullah SAW. Ironinya, ramai Muslim terjebak dalam memahami maksud sunnah, seolah-olah mereka menganggap sunnah itu adalah perkara yang dikaitkan dengan isu panas, konflik dan pecah belah dalam masyarakat. Perkara itu berbahaya kerana boleh jadi mereka sudah menghina tanpa sedar akan sunnah Rasulullah SAW. Padahal, ancaman bagi sesiapa mencela sunnah Nabi SAW adalah berat seperti firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah: Apakah dengan Allah, ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu selalu mengolok-olok? Tidak usah kamu meminta maaf, kerana kamu kafir sesudah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan kamu (lantaran mereka taubat), nescaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang selalu berbuat dosa." (Surah al-Taubah, ayat 65-66)
Celaan orang jahil mengenai poligami, isu wanita kelas kedua, tohmahan bidaah, wahabi, menuduh sesat, orang awam mencela ulama, semua itu perbuatan yang tidak memahami jalan hidup sunnah yang sebenar. Sehingga orang awam pun tanpa mereka sedari menconteng kesucian sunnah disebabkan keringnya ilmu. Rasulullah SAW adalah sebaik-baik makhluk mewakili setiap keadaan manusia. Beliau adalah suami yang dalam tempoh lama hanya beristeri seorang wanita, iaitu Khadijah, ini adalah sunnahnya. Jadi jangan katakan tidak ikut sunnah bagi sesiapa yang memilih monogami sebagai jalan hidup kerana Rasulullah SAW pun mengamalkannya ketika hidup bersama Khadijah. Baginda pula mengamalkan poligami yang juga sunnahnya bagi sesiapa kuat iman dan takut kepada Allah sehingga dia boleh berlaku adil. Ia diamalkan bagi menyelesaikan masalah wanita pada zamannya, bukannya untuk kepuasan nafsu lelaki. Umat Islam sepatutnya tidak menganggap orang kaya dan terkenal itu tidak ikhlas dan tamakkan dunia. Kononnya mereka menganggap Baginda SAW adalah Nabi bagi orang miskin dan membenci harta tersimpan di rumah.
Padahal ketika Baginda diangkat sebagai Rasul, saat itu Rasulullah SAW sudah memiliki empayar perniagaannya bersama Khadijah dan dengan harta itu dakwah Islam berkembang. Bahkan, orang kafir Quraisy tetap mempercayai Baginda sebagai pemegang amanah harta mereka sehingga Baginda berhijrah. Sirah Nabi SAW menceritakan bahawa menjadi kaya dan berkuasa adalah sunnah Rasul jika dipergunakan untuk kemajuan agama, tetapi hati dan perbuatan mesti berasa sentiasa miskin, tawaduk lagi warak kepada Allah supaya dunia tidak mudah menipu. Sesungguhnya Muhammad SAW adalah Nabi bagi orang kaya dan miskin, teladan untuk lelaki monogami dan poligami, contoh bagi sesiapa memperjuangkan Islam dengan ilmu, harta, politik dan ekonomi. Sunnahnya umpama penunjuk arah berfungsi meluruskan jalan hidup dipilih setiap insan. Isu bidaah dan wahabi pula dilontarkan bagai peluru mahu mematikan amalan sunnah Rasulullah SAW. Orang yang suka memberi nama 'wahabi' kepada individu tertentu biasanya masuk dalam salah satu kategori, iaitu orang jahil tidak mengerti hukum hakam dan dalil syarak yang pelbagai atau orang alim yang dengki sesama ulama kerana inginkan pengaruh dunia. Konflik wahabi dan bidaah boleh diubati dengan cara mendekati orang jahil dengan ilmu dan dalil kerana selama ini mereka mengenal Islam melalui pendekatan tengok dan ikut-ikutan saja tanpa didedahkan fakta serta dalil sahih mengikut al-Quran dan al-Hadis. Antara ulama berbeza pandangan pula mestilah dijalin semangat kejujuran, hormat menghormati, kasih sayang dan takut kepada Allah. Menurut Ibnu al-Qayyim dalam kitabnya Shaydul Khatir, "Tabiat mendengki adalah sifat semula jadi manusia yang perlu diluruskan, apabila ia boleh membangkitkan sikap berlumba-lumba ke arah kebaikan maka ia menjadi dengki yang baik tetapi yang tercela apabila sifat ini melahirkan keinginan mahu mencelakakan orang lain sama ada dengan kata-kata ataupun perbuatan." Diharapkan tohmahan bidaah dan wahabi tidak sekali-kali menyurutkan langkah mereka yang mahu memperjuangkan sunnah Rasulullah SAW. Sesungguhnya dalam diri Rasulullah SAW ada teladan baik dalam usaha menghadapi orang awam yang jahil. Sahabat ramai yang alim, tetapi mereka tidak menafikan wujudnya perbezaan pendapat sebagai bentuk kekayaan ilmu, keluasan pemikiran, pandangan dan fahaman dalam Islam. Sunnah Rasul bukan terletak pada dalil hukum-hakam dan cara ibadat saja bahkan akhlak dan hubungan kemanusiaan dipamerkan Baginda sememangnya mesti diikut, disanjung dan diamalkan sebagai suatu sunnah yang turut dituntut. Teladan dalam mencintai Rasulullah SAW bolehlah dilihat melalui kehidupan sahabat dan salafus salih. Mereka adalah generasi paling tahu mengenai Rasulullah SAW dan melalui merekalah kita tahu sunnah Baginda SAW. Suatu ketika, Rasulullah SAW duduk bersama Umar dan sahabatnya. Lalu Umar berkata: "Wahai Rasulullah, dirimu sangat kukasihi melebihi segala-galanya melainkan diriku sendiri. Kemudian Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidak akan beriman seseorang sehingga ia mencintai diriku melebihi cintanya kepada dirinya sendiri. Mendengar sabda Rasulullah ini Umar lantas berkata: Demi Allah, sekarang aku lebih mencintaimu daripada diriku sendiri. Rasulullah bersabda: Sekarang saatnya wahai Umar (iman kamu sudah sempurna)." (Hadis riwayat al-Bukhari) Imam Malik sudah mengumpulkan hadis Rasulullah SAW dalam al-Muwatta'. Beliau pernah merasai gigitan kala 30 kali dalam suatu majlis ilmu tetapi masih membacakan hadis Rasulullah SAW seraya berkata: "Aku malu menghentikan bacaan hadis Rasulullah SAW semata-mata untuk kepentingan diriku." Sa'id bin Musayyab pernah ditanya suatu hadis, ketika itu dia dalam keadaan sakit tenat. Beliau menyuruh keluarganya mendudukkannya dan berkata: "Bagaimana mungkin aku membaca hadis Rasulullah SAW sedangkan aku dalam keadaan berbaring?" Kasih sayang, cinta dan perjuangan ulama terhadap Sunnah Rasulullah SAW sudah berhasil menghidupkan kembali ajaran Baginda SAW di tengah-tengah umat. Sekali gus menghapus segala bentuk penyelewengan bertentangan sunnahnya. Rasulullah SAW pernah mengingatkan supaya umat berhati-hati terhadap penyelewengan halus yang menyusup masuk dalam akidah mereka. Baginda bersabda yang bermaksud: "Janganlah terlalu berlebih-lebihan dalam memujiku seperti yang dilakukan kaum Nasrani terhadap Isa Ibnu Maryam, sesungguhnya aku hanyalah hamba biasa dan katakanlah aku sebagai hamba Allah dan Rasul-Nya." (Hadis riwayat Al-Bukhari) Umat Islam mesti meletakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW sesuai dengan tuntutan al-Quran dan al-Hadis, bukannya mengikut hawa nafsu. Jika mereka melebihkan daripada sepatutnya, sesungguhnya jerat iblis sangat halus hatta di belahan dada orang alim, inikan mereka yang jahil.
Cetak artikel Hantar pada kawan

18 March 2009

Ketuanan Melayu tiada kaitan perhambaan

Selamat membaca..........

Ketuanan Melayu tiada kaitan perhambaan

Mohd Ayob Abd Razid


DR Thock Ker Pong dalam bukunya Ketuanan Politik Melayu: Pandangan kaum Cina (2005) mengemukakan konsep ketuanan politik Melayu dari perspektif demografi yang dianggap sebagai legitimasi kuasa politik Melayu di negara ini.

Beliau melihat konsep ketuanan politik Melayu adalah berdasarkan majoriti dari segi bilangan penduduk Melayu (Bumiputera) yang berjumlah lebih 60 peratus daripada keseluruhan penduduk negara. Menurutnya, kuasa politik Melayu diteguhkan lagi melalui dominasi Umno dalam Barisan Nasional (BN).

Buku yang asalnya kajian ilmiah beliau untuk ijazah doktor falsafah (Phd) memilih gerakan pertubuhan Cina (huantan) dari 1969-1999 sebagai landasan kajiannya.

Di antara huantan yang dikaji termasuk Dongjiozong, Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (GPCM), Dewan-dewan Perhimpunan Cina (DPC) dan Dewan-dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).

Huantan terbabit adalah pertubuhan Cina yang bersuara lantang dan aktif berdepan dengan ketuanan politik Melayu yang dianggap mereka sebagai cabaran bagi masyarakat Cina.

Dalam kajian itu, beliau mendapati kaum Cina beranggapan bahawa mereka sentiasa dikongkong oleh hegemoni demografi ini.

Namun, beliau kelihatan menyeimbangkan pandangan apabila menjelaskan bahawa kaum Cina juga memiliki ketuanan iaitu ‘ketuanan ekonomi’ yang tidak berasaskan hegemoni demografi tetapi ditentukan oleh saiz pemilikan kekayaan dalam bidang ekonomi dan perdagangan.

Dominasi kekayaan kaum Cina termasuk dalam semua bentuk, sama ada dalam bentuk harta, hartanah, saham dan modal.

Ketuanan ekonomi ini jelas apabila kaum Melayu hanya memiliki kira-kira 18 peratus kekayaan negara, sedangkan sejak pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), kerajaan menetapkan sasaran sebanyak 30 peratus bagi ekuiti Bumiputera. Sebaliknya kaum Cina menguasai lebih 50 peratus kekayaan di negara ini.

Saya melihat ketuanan ekonomi inilah banyak memberi kelebihan kepada kaum Cina. Penguasaan ekonomi menyebabkan majoriti kaum Cina di negara ini menikmati kehidupan lebih bermutu sama ada dari segi pendidikan, kesihatan, kediaman, kuasa menabung dan kuasa beli.

Malah, dalam liku-liku politik tanah air, ‘ketuanan ekonomi’ menjadi satu tenaga dan kekuatan kepada kaum Cina untuk membuat desakan dan tekanan kepada Umno untuk memberi dan membuka ruang lebih kepada tuntutan mereka termasuk dalam usaha mendapatkan lebih banyak kuasa politik.

Sebaliknya, ketuanan politik Melayu hanya melambangkan hak dan warisan kedudukan orang Melayu dan sebagai satu jalan bagi pemimpin politik Melayu mengisi hak-hak orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dr Sarjit S Gill, pensyarah sosiologi pernah menyebut, ‘Ketuanan Melayu jelas untuk keistimewaan Melayu. Mereka memang berhak mendapatnya selaku kaum dominan di negara ini.

Hak keistimewaan ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Hal ini tidak mendatangkan sebarang sensitiviti kepada kaum lain memandangkan ia memang hak orang Melayu’.

Beberapa hak istimewa Melayu seperti tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan adalah hasil rundingan pelbagai kaum yang dipersetujui bersama ketika negara bersiap menerima kemerdekaan.

Saya kira tidak ada kaum asal di mana juga negara di dunia ini yang membuka ruang perbincangan dengan kaum imigran pada saat mencapai kemerdekaan bagi menentukan hak mereka.

Justeru, di mana benarnya tuduhan yang mengatakan Umno mengamalkan dasar ‘aparteid’ seperti didakwa beberapa pemimpin pembangkang. Apa agenda sebenar mereka mengeluarkan kenyataan liar seperti itu jika bukan kerana mahu menimbulkan kebencian dan salah faham di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Saya melihat ada kebenarannya apa yang disuarakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam bukunya The Malay Dilemma (1970).

Beliau ada menyebut bahawa sifat rendah diri kaum Melayu menyebabkan mereka sering ditindas dan dicela. Oleh kerana hari ini politik Melayu (Umno) dilihat lemah, maka ramai di kalangan pemimpin pembangkang yang ‘bermulut celupar’ semata-mata untuk menguji kekuatan dan kesabaran orang Melayu.

Hari ini, politik negara berdepan dengan aliran politik liberal yang mempamerkan haluan perjuangan yang kelihatan bercanggah dengan semangat Perlembagaan, kontrak sosial dan agenda nasional.

Malah, asakan kuat aliran liberal dalam politik pembangkang ini berupaya memerangkap Pas dalam permainan politik mereka sehingga parti itu lupa idealisme perjuangannya yang sebenar untuk memartabatkan Islam dan Melayu di negara ini.

Bayangkan apa akan terjadi sekiranya lima fasal utama dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh tunjang politik Melayu mahu dirungkai dan dihapuskan oleh mereka yang ‘jahil’ sejarah dan politik tanah air. Pasti akan terjadi kacau-bilau seperti yang pernah diungkapkan oleh Allahyarham Profesor Dr Syed Hussein Alatas. Katanya, ‘jika kuasa politik itu dirompak atau dicuri daripada orang Melayu, pasti negara kacau-bilau.’

Lima fasal utama yang berkaitan dengan hak dan kedudukan orang Melayu itu termasuk Perkara 3 yang meletakkan agama Islam ialah agama bagi Persekutuan, Perkara 32 yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong adalah ketua utama negara bagi Persekutuan, Perkara 38 yang menyebut Majlis Raja-Raja memiliki fungsi tertentu seperti terkandung dalam Perkara 38(2), Perkara 152 pula meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Perkara 153 adalah berhubung dengan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera bagi negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.

Kelima-lima fasal berkaitan orang Melayu itu boleh dianggap sebagai ‘ketuanan politik Melayu’ yang diinstitusikan melalui Perlembagaan sejak 1957. Justeru, ia tiada kena mengena dengan amalan memperhambakan kaum lain.

Malah, agenda Melayu dalam pelbagai bidang hanya mula dilaksanakan selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969 melalui pelbagai dasar termasuk Dasar Ekonomi Baru. Pada hakikatnya semua dasar yang dilaksanakan di negara ini adalah dasar nasional untuk semua kaum.

Sebenarnya, hujah mengenai kedudukan orang Melayu berasaskan sejarah, budaya, politik dan demografi sudah disebut sejak 1930-an dan 1940-an oleh beberapa tokoh tersohor seperti Za’aba dan Datuk Onn Jaafar.

Malah, majalah Al-Imam yang diterbitkan oleh pendukung gerakan islah pada 1906 di Singapura sudah pun mendesak orang Melayu supaya menoleh ke Jepun yang ketika itu sudah melaksanakan perubahan (islah) dalam bidang politik, ekonomi dan pertahanan. Jadi, di mana silapnya apabila kedudukan orang Melayu masih dilihat lemah di negara sendiri?



Penulis ialah Ketua Unit Komunikasi Media di Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan

14 February 2009

Solat jemaah

Selamat membaca..........


Rugi tak rebut ganjaran berlipat ganda bersolat jemaah
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Pahala diukur ketika mula berwuduk hingga selesai menunaikan sembahyang di masjidPEMBINAAN masjid yang besar demi memenuhi keperluan beribadat umat Islam sayangnya tidak menzahirkan gambaran diharapkan apabila jumlah mereka yang bersolat secara berjemaah tidak sepadan dengan keluasan masjid itu.Ada masjid yang boleh menampung ribuan jemaah tetapi apabila tiba waktu solat fardu, bilangan jemaah hanya sekadar dua atau tiga saf saja sedangkan solat secara berjemaah memiliki pelbagai keutamaan besar dan menyeluruh. Pahala bagi orang bersolat berjemaah bermula ketika dia berjalan keluar rumah menuju masjid hinggalah selesai menunaikan solat secara berjemaah. Bukan setakat itu saja, bahkan ia berlanjutan sehingga dia tiba di rumahnya dari masjid. Banyak keutamaan solat berjemaah antaranya keutamaan ketika perjalanan ke masjid.Bekas perjalanan bagi mereka yang menuju ke masjid untuk bersolat berjemaah akan dihitung dan dibalas dengan ganjaran pahala. Daripada Jabir bin ‘Abdullah, dia berkata: “Bani Salimah ingin berpindah supaya lebih hampir dengan masjid, lantas menyatakan bahawa tempat itu banyak kosong. Maka sampailah berita itu kepada Nabi SAW lalu, Baginda bersabda: Hai Bani Salimah! Tetaplah di rumah kalian, sesungguhnya akan dicatat bekas perjalanan kalian (ke masjid). Mereka berkata: Tidaklah menyenangkan bagi kami, kalau kami berpindah.” (Hadis riwayat Muslim) Tambahan lagi langkah perjalanan menuju ke masjid untuk bersolat berjemaah itu dapat menghapuskan dosa dan meninggikan darjat seseorang manusia di sisi Allah. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mahukah kalian aku tunjukkan atas sesuatu yang mana Allah akan menghapuskan dosa dengannya dan terangkat beberapa darjat? Mereka menjawab: Ya wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Sempurnakanlah wuduk pada saat cuaca sangat dingin, perbanyakkanlah melangkah menuju masjid, dan menunggu selepas solat. Demikianlah itu bagi kalian pertalian.” (Hadis riwayat Muslim)Orang yang keluar menuju masjid dalam keadaan berwuduk untuk mengerjakan solat berjemaah akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakan haji dan juga dianggap melakukan solat daripada permulaan perjalanannya hingga dia kembali ke rumahnya. Ini sebagaimana sabda Rasulullah daripada Abu Umamah yang bermaksud: “Barang siapa keluar dari rumahnya dalam keadaan suci (berwuduk) menuju solat wajib (dengan berjemaah) maka pahalanya seperti pahala orang yang mengerjakan haji dengan memakai ihram.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud) Allah juga menyediakan syurga bagi orang yang pergi dan pulang dari masjid. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa pergi ke masjid dan kembali, Allah akan menyediakan tempat baginya di syurga setiap kali dia pergi ke masjid dan kembali dari masjid.” (Hadis riwayat al-Bukhari) Kedua ialah keutamaan ketika berada dalam masjid dan mengerjakan solat secara berjemaah. Adalah menjadi lumrah bagi kebanyakan insan untuk berasa bangga jika menjadi tetamu kepada orang kenamaan seperti Sultan atau Perdana Menteri. Namun, begitu ramai kurang memahami dengan menghadirkan diri ke masjid untuk bersolat secara berjemaah kita sebenarnya sedang menjadi tetamu Allah. Masjid adalah rumah Allah dan tentu sekali sebagai tuan rumah, Allah memuliakan tetamu-Nya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang berwuduk dalam rumahnya dan menyempurnakan wuduknya kemudian pergi ke masjid maka dia adalah tetamu Allah dan kewajipan bagi yang dikunjungi untuk memuliakan yang mengunjungi.”Apabila seseorang itu berada dalam masjid untuk menunggu masuknya waktu solat sesungguhnya dia mendapat pahala seperti berada dalam keadaan bersolat di sisi Allah dan malaikat pula sentiasa mendoakan keampunan serta rahmat baginya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang daripada kalian yang menunggu waktu solat, (dia berada) dalam solat selama tidak batal, maka malaikat mendoakan baginya: Ya Allah, ampunkan dia, ya Allah rahmatilah dia.” (Hadis riwayat Muslim)Mengerjakan solat berjemaah memiliki keutamaan berlipat ganda jika dibandingkan solat sendirian. Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Solat berjemaah lebih utama jika dibandingkan dengan solat sendirian dengan 27 darjat.” (Hadis riwayat Bukhari)Di samping itu, keutamaan solat berjemaah juga bertambah dengan jumlah orang bersolat. Semakin ramai makmum maka semakin tinggi nilai pahala diperoleh oleh semua makmum.Daripada Ubai bin Ka’ab, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya solat seseorang bersama seseorang lebih utama daripada solatnya sendirian, dan solatnya bersama dua orang, lebih utama daripada solatnya dengan seorang dan jumlah yang lebih banyak, maka itulah yang lebih disukai oleh Allah.” (Hadis riwayat Abu Dawud)Allah juga memberi perlindungan daripada syaitan kepada mereka yang mengerjakan solat berjemaah. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu bagaikan serigala bagi manusia seperti serigala bagi kambing, yang menjadikan kambing yang di dalam keadaan sendirian dan lalai sebagai mangsa, maka waspadalah kalian daripada bersendirian dan wajib bagi kalian untuk berjemaah dan pergi ke masjid.” (Hadis riwayat Ahmad) Sesiapa yang mendapatkan takbir yang pertama bersama imam selama 40 hari berturut-turut maka Allah membebaskannya daripada api neraka dan kemunafikan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang solat kerana Allah selama 40 hari di dalam jemaah dengan mengikuti takbir yang pertama, ditulis baginya dua kebebasan, iaitu bebas daripada api neraka dan kemunafikan.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi)Keutamaan solat berjemaah ada yang berlanjutan sehingga tiba di rumah seperti pahala banyak dan disediakan tempat baginya di syurga. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang di antara kalian berwuduk di rumahnya kemudian datang ke masjid adalah dia berada dalam solat sampai dia pulang.”Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Barang siapa pergi ke masjid dan kembali, Allah akan menyediakan tempat baginya di syurga setiap kali dia pergi ke masjid dan kembali dari masjid.” (Hadis riwayat al-Bukhari)Kelebihan dan keutamaan solat jemaah yang menjanjikan banyak kebaikan sewajarnya menjadi aspirasi bagi kita semua untuk mengerjakan solat secara berjemaah.
Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas. Kembali ke atas
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024x768.

30 October 2008

Hangzhou

Selamat membaca..........

Wanita, sutera hiasi warisan sejarah

KECANTIKAN gadis dan kesempurnaan sutera di Hangzhou, ibu negeri wilayah Zhejiang dikisahkan pernah menjadi kegemaran maharaja pada zaman lampau dan hingga kini, kisah itu menjadi kebanggaan penduduk tempatan.

Malah dikatakan kerana dua faktor ini menyebabkan maharaja mengarahkan pembinaan Terusan Utama Beijing-Hangzhou, yang kini diiktiraf sebagai terusan buatan manusia terpanjang di dunia.


Berkulit putih halus dengan tubuh kecil molek dan gebu serta mempunyai anak mata hitam pekat adalah antara ciri gadis tempatan di bandaraya yang mempunyai sejarah lebih 7,000 tahun.

Dikatakan maharaja bukan saja terpesona dengan kecantikan mereka, tetapi tingkah laku lemah-lembut, mewakili gaya hidup bahagian timur negara itu yang tidak terdapat di tempat lain.

Dari segi penghasilan sutera, Hangzou dikatakan mengeluarkan sutera paling berkualiti di China kerana kelebihan cuaca serta bentuk muka bumi yang sesuai untuk industri itu.

SAMPAN tradisional membawa pengunjung mengelilingi tasik di West Lake.

Hangzhou turut menjadi tarikan disebabkan keindahan panorama hijau yang diterjemahkan dalam landskap taman tasik tradisional hingga dinamakan antara 10 lokasi paling cantik di China.

Kesempatan melawat bandaraya yang mendapat jolokan `Bandar Syurga China' bersama kru Majalah Tiga dan wakil media lain yang dibawa khas syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh, Air Asia X, baru-baru ini mengizinkan penulis menyaksikan sendiri kebenaran kisah silam ini.

Benar seperti digambarkan, kebanyakan wanita Hangzhou memang cantik dan menarik, manakala kualiti sutera adalah antara yang terbaik di dunia.

Bagaimanapun bukan wanita dan sutera yang menarik hati. Penulis lebih terpikat kepada keindahan landskap taman serta pelbagai warisan sejarah yang terpelihara rapi di bandaraya yang diiktiraf sebagai Bandar Pelancongan Terbaik China 2007.

AKTIVITI harian penduduk di Wuzhen Dongzha Scenic Zone.

Bercerita mengenai taman, pastinya West Lake yang mempunyai keluasan kira-kira enam kilometer persegi dan menjadi lokasi wajib dilawati di Hangzhou menjadi tumpuan utama.

West Lake dikelilingi bukit-bukau dalam tiga arah dan bersambung dengan bandar kecil di sebalik bukit berkenaan yang dilalui Sungai Qiantang, yang secara tidak langsung membentuk landskap unik - tasik, bukit-bukau, bandar dan sungai yang saling melengkapi antara satu sama lain.

Tasik yang terkenal dengan keindahan memukau ini turut menempatkan beberapa tapak sejarah dan kebudayaan penting China. Antara lokasi yang sering dipenuhi pelancong ialah Enam Pagoda Harmoni, Solitary Hill, Kuil Ling Yin serta Makam Jeneral Yui Fei, iaitu panglima tentera terkenal Dinasti Song Timur.

Selain itu, bangunan warisan silam serta batu berukir yang mempunyai nilai artistik dan sejarah tersendiri yang menjadi warisan berharga negara itu terdapat di West Lake.

Difahamkan terdapat puluhan tasik di China, malah di seluruh dunia dikenali dengan nama West Lake, tetapi selalunya nama itu dikatakan merujuk kepada West Lake di Hangzhou.

Perkampungan Teh Mei Jiawu yang mempunyai sejarah lebih 600 tahun yang terletak di bahagian barat West Lake juga mempunyai tarikan tersendiri. Kedudukan di lembah dengan pokok teh di atas bukit yang mengelilinginya menghasilkan pemandangan sangat memukau.

Keistimewaan perkampungan ini ialah ia menghasilkan teh hijau terbaik di dunia dikenali dengan nama West Lake Dragon Well. Petani di sini mengekalkan kaedah pemprosesan teh tradisional diwarisi nenek moyang mereka sejak ratusan tahun lalu.

Puas menghirup teh hijau, destinasi menarik lain ialah perkampungan air dikenali sebagai Wuzhen Dongzha Scenic Zone. Terdapat kira-kira 300 rumah tradisional dibina di tepi Sungai DongShi yang bersambung dengan Terusan Utama Beijing-Hangzhou.

Menariknya perkampungan ini ialah ia kelihatan terapung dengan sebahagian tiang asasnya berada dalam sungai. Pengunjung boleh menikmati pemandangan unik perkampungan ini menaiki sampan tradisional China.

Kunjungan ke Hangzhou sememangnya berbaloi kerana selain tempatnya yang menarik, kedudukannya yang berhampiran bandaraya Shanghai, membolehkan pelancong menjadikannya transit sebelum ke bandaraya itu yang hanya mengambil masa satu jam perjalanan kereta api peluru atau tiga jam dengan bas.

Tidak seperti ribuan tahun lalu, kini mereka yang ingin ke Hangzhou tidak perlu bersusah payah melalui terusan, sebaliknya hanya perlu menaiki penerbangan domestik terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Xiaoshan, Hangzhou atau Air Asia X jika dari Malaysia.

INFO

Keistimewaan Hangzhou


  • Marco Polo yang datang ke Hangzhou pada abad ke-13 menyifatkan bandaraya itu sebagai bandar raya paling cantik di dunia serta mendapat jolokan 'Bandar Syurga China'.

  • Ibu negeri wilayah Zhejiang terletak di selatan Sungai Yangtze di pantai timur China.

  • Mempunyai keistimewaan dari segi landskap dan seni bina tradisional yang dipelihara dengan baik.

  • West Lake mempunyai keindahan yang boleh disaksikan dari 10 sudut menarik yang dinamakan mengikut puisi Cina.

    Bagaimana ke sana?

  • Air Asia X membuat lima penerbangan seminggu dari terminal tambang murah (LCCT) Sepang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Xiaoshan, Hangzhou.

  • Pengunjung boleh menjadikan Hangzhou sebagai transit untuk ke Shanghai jika inginkan penerbangan dengan kos lebih murah menggunakan Air Asia X.

  • Terdapat dua cara ke Shanghai dari Hangzhou, iaitu menggunakan bas yang mengambil masa tiga jam atau kereta api peluru yang mengambil masa satu jam.

  • Pengunjung boleh membuat tempahan perjalanan menggunakan agensi pelancongan melalui pakej Air Asia X dengan melayari laman web Air Asia, www.airasia.com