Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

19 October 2007

Pemimpin negara tidak sepakat hantar angkasawan

Selamat membaca..........

Pemimpin negara tidak sepakat hantar angkasawan
Intan Abdullah
Thu | Oct 18, 07 | 2:42:32 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Hrkh) - Pemimpin tertinggi negara sebenarnya tidak sepakat dalam projek penghantaran angkasawan negara ke angkasa lepas.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Bahkan terdapat desas-desus yang menyatakan bahawa Dr Sheikh Muszaphar Shukor pergi ke sana hanyalah sebagai pelancong angkasa yang menjalankan beberapa ujikaji dan tidak diiktiraf oleh NASA sebagai salah seorang daripada angkasawan yang menyertai misi ke angkasa lepas.

Ketika ini, ujikaji terhadap dua jenis sel iaitu kanser dan leukimia sudah ditamatkan, manakala dua lagi membabitkan kesan radangan dan kajian tulang masih diteruskan. Sementara kajian pengkristalan protein juga masih berjalan sehingga ke saat akhir Dr Sheikh Muszaphar di ISS pada 21 Oktober nanti.

Tiga kajian sains hayat yang dijalankan di ISS dipilih daripada 50 cadangan. Tiga ujikaji yang dipilih berkenaan adalah berdasarkan keperluan, peralatan dan kepakaran diperlukan.

Dr A Rahman menjalankan kajian sel di angkasa membabitkan sel kanser hati dan sel leukimia; sel osteoblas dan sel endotelia; sementara Felo Kanan UMBI, Prof Dr Ramelah Mohamed menjalankan kajian ke atas mikrob atau bakteria jenis enterobacter cloacae dan acinetobacter baumanii, manakala Prof Dr Raja Noor Zaliha Raja Abd Rahman dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kajian ke atas penghabluran protein.

Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam telah meluluskan pelan tindakan pembangunan angkasa dalam keadaan timbalannya, Dato' Seri Najib Razak mahu mengadakan post mortem terhadap projek penghantaran angkasawan tersebut ketika ditanya sama ada kerajaan akan meneruskannya pada masa akan datang.

"Ini menunjukkan bahawa pemimpin negara tidak mempunyai pemikiran yang jelas dalam membuat sesuatu keputusan untuk memastikan keberkesanan sesuatu projek yang dijalankan dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat," ujar Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar.

Ketika dihubungi Harakahdaily, beliau menyindir sikap pemimpin negara yang 'memang pakar' dalam membazirkan wang negara dalam projek yang tidak memberikan manafaat yang menyeluruh kepada rakyat.

Dalam perkembangan lain, sebuah akhbar Australia bukannya menyifatkan Malaysia sebagai "boleh" tetapi "bodoh" apabila membelanjakan RM95 juta untuk menghantar rakyatnya ke angkasa lepas.

Kolumnis akhbar The Age, Melbourne, Michael Backman dalam tulisannya menyifatkan para pemimpin Malaysia sering berbangga dengan pencapaiannya tetapi apabila ditanya kepada orang luar Malaysia, di manakah Malaysia? mereka tidak akan tahu pun negara kecil itu.

"Thas not Malaysia "boleh", that's Malaysia "bodoh" (stupid)," tulis Backman mengakhiri tulisannya yang disiarkan 15 November 2006 lagi ketika Malaysia sedang mengwar-warkan akan menghantar rakyatnya ke angkasa lepas.

Ia disebarkan secara meluas dalam internet selepas Angkasawan Malaysia, Dr Sheikh Muzaffar Shukur dihantar ke ISS menggunakan kapal angkasa milik Rusia baru-baru ini.

Menurut Backman, pemimpin Malaysia yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) sering menunjuk-nunjuk dengan pencapaian yang diperolehi oleh Malaysia.

Antaranya, Malaysia menggunakan syarikat minyak miliknya, Petronas untuk membina Kuala Lumpur City Centre (KLCC), iaitu bangunan yang tertinggi ketika ia dibina.

Tentang angkasawan, Backman menulis, rakyat Malaysia itu hanya menumpang kapal angkasa milik orang lain dengan membayar kapal itu seumpama teksi sahaja.

"Apa yang Malaysia dapat dengan menggunakan program angkasa lepas milik orang lain sebagai teksi? Sah tiada manafaat teknologi yang diperolehi. Tetapi sudah tentu Malaysia sekali lagi akan berkata 'boleh". Masalahnya mereka tidak, ini bukan program angkasawan mereka," tulis Backman. - mns

Mitos, realiti pekerja asing

Selamat membaca..........

Mitos, realiti pekerja asing

Oleh NORAINI ABDUL RAZAK (WARTAWAN UTUSAN)

TERTARIK meneliti topik Wanita Yakult yang disiarkan di sisipan Mega semalam. Menariknya sebab ia ada kaitan dengan isu yang sedang hangat dibincangkan – kebanjiran tenaga kerja asing di Malaysia.

Sistem Wanita Yakult yang diperkenalkan pada tahun 1963 memberi peluang kepada suri rumah di Jepun meraih pendapatan tambahan sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka. Penglibatan wanita dalam program tersebut bermula dari usia 19 tahun hingga 80 tahun. Dan ia kini diperluaskan di seluruh dunia sekali gus mengangkat nama produk berasaskan probiotik itu.

Kisah Wanita Yakult itu sewajarnya dipanjangkan di negara kita, terutama melalui pembangunan perusahaan industri kecil sederhana (IKS) di kawasan luar bandar. Setiap projek perusahaan kecil yang dibangunkan seharusnya memanfaatkan tenaga kerja tempatan terutama kalangan suri rumah dan bukannya mengguna pakai tenaga kerja asing.

Tentunya tidak sukar untuk mendapatkan kumpulan yang berminat menambah sumber pendapatan apatah lagi mereka tidak perlu keluar jauh untuk berbuat demikian.

Tradisi menghidupkan IKS menggunakan sumber tenaga tempatan sebenarnya telah berjaya dilaksanakan sejak lama dulu. Seorang tauke dodol berketurunan Baba yang mendiami sebuah kampung di Melaka berjaya mengusahakan perniagaannya menggunakan tenaga kerja kampung (rata-ratanya suri rumah berbangsa Melayu) sejak lebih 40 tahun lalu. Produknya kini diperluaskan ke seluruh negara.

Mengapa ia boleh berjaya satu masa dulu tetapi tidak sekarang? Mengapa projek-projek IKS sekarang turut sibuk menggunakan tenaga kerja asing? Adakah kerana warga tempatan tidak berminat atau minat mereka itu diketepikan begitu sahaja

Hakikatnya, kemasukan besar-besaran tenaga kerja asing mendorong para majikan termasuk yang mengusahakan projek IKS mengambil jalan mudah. Mereka sanggup berbelanja besar menggaji pekerja asing bersandarkan pelbagai alasan, sedangkan minat suri rumah serta kumpulan penganggur tidak cuba dicungkil terlebih dahulu.

Mungkin satu kajian perlu dijalankan mengenai;

* Sejauh mana benarnya dakwaan bahawa orang tempatan tidak berminat menyertai sektor IKS.

* Pernahkah suri rumah ditawarkan secara besar-besaran untuk menyertai IKS. Jika pernah, berapa peratus yang menolak dan apa alasan mereka?

* Apa sebenarnya punca warga tempatan tidak berminat bekerja di sektor- sektor yang kini dikuasai oleh pekerja asing.

Dapatan kajian ini bakal memberi jawapan mengenai faktor penggantungan keterlaluan negara terhadap pekerja asing dan adakah kita memerlukan tenaga kerja asing seramai itu.

Timbul juga persoalan mengenai sejauh mana warga tempatan meraih manfaat hasil pertumbuhan kilang-kilang di bandar-bandar besar di negara ini. Tentunya kita tertanya-tanya apa gunanya syarikat-syarikat luar membuka kilang di negara ini tetapi manfaatnya diraih oleh orang luar.

Pendapatan yang diperoleh oleh ratusan ribu pekerja asing di kilang-kilang dihantar ke negara asal mereka, apa sebenarnya yang diraih oleh warga tempatan. Kos membawa masuk pekerja asing, gaji yang perlu dibayar kepada mereka serta penyediaan asrama – kesemuanya itu tidak boleh dipandang ringan.

Ini belum lagi diambil kira kesan sosial akibat kebanjiran pekerja asing sehingga kadangkala menimbulkan suasana tidak selesa berada di negara sendiri.

Sebenarnya dalam banyak hal anak tempatan mesti diberi keutamaan, tenaga kerja kita mesti dioptimumkan sebelum kita mengada-adakan mitos bahawa tanpa pekerja asing negara akan lumpuh

Awasi ejen perisikan

Selamat membaca..........

Awasi ejen perisikan

Oleh SHAIFUL BAHRI SAIDIN

KE manakah semangat rela mempertahankan negara daripada dicerobohi oleh warganegara jiran? Apakah kita rela membiar dan memerhatikan sahaja pegawai penguat kuasa dibelasah di dalam wilayah sendiri oleh samseng negara jiran?.

Apakah sifat kita terlampau hormatkan ‘segala benda dari luar negara’ sehingga kita boleh diperlakukan apa sahaja oleh warga asing di dalam negara kita sendiri?

Iktibar penguat kuasa Kerajaan Pusat dibelasah oleh warga asing di Kompleks Bukit Kayu Hitam pada Disember tahun lalu sesungguhnya memalukan rakyat negara kita. Itu yang nyata berlaku di depan mata tanpa berselindung dan perlakuan samseng negara jiran dilakukan secara terbuka di tempat awam di siang hari.

Sudah menjadi kebiasaan dan kelaziman setiap kali ada peristiwa buruk, bencana dan insiden yang tidak diingini, episod tuding menuding menyalahkan orang lain dan lagu Bangau oh Bangau pun berkumandang semula. Barulah mula mahu memperketatkan sempadan negara.

Agaknya jika tidak berlaku serangan tersebut, sempadan negara kita amat bebas untuk keluar masuk oleh warga asing.

Tidak terfikirkah kita bagaimana pengemis dan pelarian Myanmar boleh bolos sehingga ke Kuala Lumpur tanpa sebarang dokumen yang sah?

Begitu juga pendatang haram dari Bangladesh dan Kemboja. Masakan mereka masuk dari Singapura?

Selain contoh di Bukit Kayu Hitam yang dianggap ‘ringan’ oleh segelintir pihak, kita jangan sangkakan tiada anasir dari luar yang ingin membuat kacau di negara kita.

Mungkin keselesaan kita dan sejarah moden Malaysia yang tidak pernah sengsara selepas Perang Dunia Kedua, membuatkan kita leka dan lalai tentang peranan dan tanggungjawab kita dalam aspek pertahanan dan perisikan negara.

Jika kita seperti rakyat Palestin, Vietnam dan Afghanistan, setiap rakyat asing yang masuk ke negara mereka akan tetap disangsi dan dicurigai. Jangan harap rakyat negara berkenaan dengan mudah boleh berbaik- baik dengan kita sebagai orang asing di negara mereka.

Keadaan sebaliknya berlaku di negara kita. Mungkin sifat kita yang terlebih bersopan santun, berbudi bahasa dan lemah lembut telah mengakibatkan orang asing telah ‘membaca kelemahan’ kita sendiri.

Kita kadang kala terlupa atau sengaja tidak menghiraukan peranan ejen perisikan asing yang menjelma dalam kehidupan seharian kita dengan pelbagai wajah untuk menjalankan peranan risik mereka di sekeliling kita.

Kebanyakan daripada kita yang menikmati kehidupan yang baik dan selesa pada masa sekarang sering terlupa mengenai kemungkinan-kemungkinan yang boleh menghancurkan negara.

Mereka lupa bahawa perisikan mampu memainkan peranan besar dalam menumbangkan seseorang dan sekali gus meruntuhkan sesebuah negara.

Perisikan di Asia Tenggara bukanlah satu perkara yang mengejutkan. Kuasa-kuasa besar akan menjalankan aktiviti perisikan mereka di negara-negara tertentu bagi memastikan dasar-dasar tertentu memenuhi matlamat dan ideologi mereka.

Lebih hebat lagi perisikan juga akhirnya boleh membawa kepada kejatuhan sesebuah negara atau seseorang pemimpin. Sejarah telah memperlihatkan bagaimana ejen-ejen perisikan dapat memenuhi matlamat kuasa-kuasa besar ini walaupun kos yang diperlukan amat tinggi.

Sebelum Perang Dunia Kedua, Jepun telah meletakkan perisiknya di Tanah Melayu yang bekerja dan membuka klinik gigi. Amerika Syarikat telah menggunakan ejen- ejennya untuk melakukan provokasi sehingga tercetusnya perang saudara antara Vietnam Utara dan Vietnam Selatan.

Walaupun Amerika gagal dalam misi di Vietnam, namun kesannya berparut sehingga ke hari ini.

Kejatuhan pemimpin lantang Indonesia, Sukarno dalam tahun 1960-an merupakan satu kejayaan bagi perisikan asing. Ini diakui oleh ahli sejarah British, David Easter dalam jurnal Intelligence and National Security.

Sukarno ketika itu dianggap sebagai duri dalam daging kuasa-kuasa Barat.

Namun kelicikan perisikan dan ditambah peranan media Barat akhirnya berjaya membohongi rakyat Indonesia untuk menerima hakikat Sukarno akan tunduk kepada tekanan komunis.

Mereka yang memainkan peranan utama perisikan British ketika itu sehingga tersungkurnya Sukarno ialah Duta Britain ke Jakarta, Andrew Gilchrist dan pakar propaganda Pejabat Luar Britain, Norman Reddaway. Mereka inilah yang menggoncang kestabilan kerajaan Indonesia.

Malaysia juga sebenarnya tidak terlepas daripada intipan ejen perisikan. Pada awal 1980-an, seorang bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri turut dilatih oleh kuasa luar untuk menjadi ejen perisikan Soviet Union.

Kewujudan Pejabat Kedutaan Israel di Singapura tidak harus dipandang ringan kerana negara di selatan Semenanjung ini adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mempunyai hubungan diplomatik secara langsung dengan negara Yahudi itu. Tidak mustahil ejen-ejen perisikan Israel menjalankan intipan terhadap negara kita.

Menyusup

Perisikan alaf baru kini lebih mirip kepada risikan dan rahsia kerajaan yang melibatkan propaganda dan gerak saraf ideologi. Ejen- ejen perisikan akan menyusup masuk ke sektor ekonomi, pentadbiran, sistem pertahanan negara, malah akan cuba berbaik- baik dengan pemimpin parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mereka akan mengeluarkan bantuan kewangan, peralatan komunikasi yang canggih, alat pengintipan yang serba moden, senjata dan latihan sama ada kepada individu atau kumpulan tertentu.

Bagi mereka, sesiapa sahaja yang dilihat boleh membantu mencapai matlamat risikan, akan menjadi sasaran.

Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) telah memperlihatkan begitu banyak pembinaan bangunan strategik dan berfungsi keselamatan negara akan dibina. Antaranya berpuluh balai polis, ibu pejabat polis daerah, kem tentera, pangkalan polis marin, bangunan pejabat kerajaan dan infrastruktur yang bertahap keselamatan tinggi seperti Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Kenyataan Menteri Sumber Manusia bahawa negara kita akan dibanjiri oleh lima juta pekerja asing menjelang 2010 seharusnya dipandang serius dan dikaji semula. Sektor guna tenaga dan sumber manusia perlu memikirkan sesuatu agar tawaran pekerjaan kepada pekerja asing tidak mencecah sebegitu besar.

Kerajaan perlu berhati-hati dalam memilih kontraktor pembinaan dan perlu juga mencampuri urusan pengambilan buruh asing oleh kontraktor terbabit agar tidak terdapat ejen perisikan asing yang menyamar sebagai buruh binaan.

Mungkin kerajaan boleh mengambil modul dan prosedur saringan dan semakan seperti yang dilakukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa pembinaan Kem Tuanku Sirajuddin di Gemas.

Siasatan latar belakang pekerja dan tahap keselamatan dalaman yang tinggi semasa kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan begitu terperinci dan teliti sekali semata-mata untuk mengelak dan memastikan selok-belok tempat strategik pertahanan negara tidak diceroboh oleh pihak asing.

Malah kerajaan sebelum ini pernah mengarahkan Jabatan Imigresen menyiasat latar belakang pekerja asing yang berkhidmat dengan pemimpin negara dan pegawai tinggi kerajaan bagi memastikan mereka bukan ejen-ejen perisik luar negara.

Walaupun arahan ini telah lama dikeluarkan, kita berharap Jabatan Imigresen dapat meneruskan peranan ini.

Kerajaan juga harus mengambil langkah berhati-hati dalam memberi visa dan permit kerja kepada warga asing dalam bidang-bidang tertentu.

Dalam era teknologi canggih ini, risikan boleh dilakukan dengan berbagai cara dan maklumat boleh disampaikan dengan begitu pantas sekali.

Komunikasi tanpa sempadan dan capaian Internet berkelajuan tinggi akan membolehkan maklumat risikan sampai ke kuasa luar dengan begitu cepat sekali.

Ini belum lagi penggunaan teknologi satelit dan sistem informasi geografi (GIS) yang semakin hari semakin canggih dan terkini teknologinya. Perlu diingat 80 peratus satelit di ruang angkasa bumi adalah satelit yang berfungsi pengintipan yang dimiliki oleh kuasa-kuasa besar.

Melumpuhkan

Sektor ekonomi juga tidak boleh lari daripada menjadi intipan ejen perisikan. Pengambilan tenaga profesional negara asing dalam syarikat-syarikat besar tempatan yang mempunyai kuasa penentu jatuh bangun ekonomi negara perlu juga dipantau. Tidak mustahil mereka berperanan sebagai pemberi maklumat yang berharga kepada musuh dengan tujuan untuk melumpuhkan ekonomi negara.

Kita harus berwaspada dengan peranan ejen perisikan ini kerana mereka bersedia melakukan apa sahaja untuk mengintip dan menyusup rahsia.

Mereka akan menyamar, mengupah ejen tempatan, membuat rakaman dan penyalinan dokumen rahsia sama ada menggunakan telefon, kamera, menceroboh sistem komputer kerajaan dan rakam bual pihak tertentu dengan tujuan untuk mengintip.

Hasil risikan pekerja asing di abad ke-21 ini bukan bermakna ada niat negara asing untuk menakluk negara kita dengan kuasa ketenteraan dan peperangan.

Serangan mereka adalah melalui serangan mentaliti, merubah sikap, gaya hidup dan menipiskan pegangan agama rakyat kita. Itulah bakal serangan alaf baru yang akan menimpa negara jika kita sendiri lalai dan tidak sensitif untuk mempertahankan negara dari diceroboh.

Mungkin kesan jangka pendek tidak kita rasai sekarang. Akan tetapi jika ini berlarutan, apa akan terjadi kepada anak cucu kita nanti?Adakah kita pernah fikirkan berapa lama kemerdekaan kita boleh bertahan? Kita jangan bongkak untuk memperkatakan mana mungkin kita yang sudah merdeka boleh dijajah semula?

Lihatlah negara-negara yang lebih awal merdeka daripada kita seperti Iraq, Afghanistan dan Lebanon, apa sudah jadi dengan negara mereka sekarang?

Hanya semangat cintakan negara mampu menghalang kemaraan ejen-ejen perisikan ini yang berada di sekeliling kita. Sikap kitalah yang akan menentukan sejauh mana kejayaan ejen-ejen perisik asing ini.

Dasar ambil buruh asing wajar diubah

Selamat membaca..........
Berita Harian Online
Meniti Arus: Dasar ambil buruh asing wajar diubah
Bersama Abdul Rahman Sulaiman
rahmansulaiman@yahoo.com

Lambakan pendatang tanpa izin mampu jejas 'lubuk rezeki' rakyat sendiri


DIN (nama penuh tidak diketahui), berusia sekitar 40-an, sudah beristeri dan mempunyai tiga anak. Dia adalah pendatang asing (statusnya juga tidak diketahui) yang berasal dari Kalimantan. Beliau datang ke Malaysia sendirian, meninggalkan anak isteri. Anak sulungnya, gadis berusia 20-an, sudah pun bekerja di sebuah bank di Jakarta.


Menurut Din, beliau mempunyai tauliah sebagai kapten kapal dari Akademi Laut di Jakarta, pernah berkhidmat dengan beberapa syarikat perkapalan asing dan biasa menghadapi saat-saat cemas yang hampir meragut nyawanya apabila kapal beliau karam di tengah lautan.


Beliau datang ke Malaysia untuk bertukar angin beberapa tahun lalu. Mula-mula bekerja sebagai pekerja kontrak dengan beberapa firma pembinaan ternama. Kemudian berhenti dan membuat keputusan bekerja sendiri dengan mengambil upah membuat sebarang kerja menggunakan tulang empat kerat.


Din diperkenalkan kepada penulis oleh seorang jiran bergelar Datin. Menurut Datin yang cukup tertarik dengan peribadi warga asing itu yang warak, berbudi bahasa, kuat bekerja dan pandai menghormati orang, Din boleh diminta khidmatnya untuk sebarang odd jobs.


Secara kebetulan Din bekerja sambilan sebagai pengawal keselamatan tidak rasmi di banglo milik bekas seorang duta yang ditinggalkan kosong berhampiran rumah penulis.


Penulis bertanya kepada Din apa yang beliau boleh buat. Katanya, dia boleh mengubahsuai rumah, membersihkan longkang tersumbat, memperbaiki bumbung bocor, menebang pokok, menebas atau apa saja tugas yang dikehendaki.


Penulis minta beliau membersihkan semak samun sebuah lot banglo kosong di belakang rumah. Lot terbiar yang dulunya lapang dan bersih serta menjadi tempat permainan anak kini menjadi belukar tempat bersarang pelbagai jenis ular, biawak dan bermacam spesies burung serta unggas.


Din bersetuju melaksanakan tugas itu dengan upah RM70 sehari. Mulanya penulis menjangkakan tugas itu boleh dibereskan dalam tempoh lima enam hari saja, tetapi beliau mengambil masa lebih 20 hari untuk membersihkan kawasan dimaksudkan. Itu pun dengan bantuan seorang pekerja lain. Masa yang begitu panjang diambil kerana Din dan rakannya tidak bekerja sepenuh hari, atau sekurang-kurangnya lapan jam sehari. Apabila hujan turun, beliau pulang dan tidak muncul-muncul lagi.


Akhirnya penulis terpaksa mengeluarkan hampir RM2,000 untuk membersihkan kawasan milik orang lain.


Apabila wang upah itu diserahkan, Din tersenyum puas sambil berkata, "Malaysia sebenarnya negara yang cukup bertuah. Banyak rezeki di sini jika kita rajin".


Penulis angguk saja. Terfikir dalam hati, "aku juga yang tersilap kerana bersetuju dengan upah harian dan bukan dengan secara borong."


Apa pun, Din mungkin benar-benar berasakan beliau dan rakannya cukup rajin sedangkan rakyat Malaysia tidak serajin beliau, jika tidak malas.


Walaupun pendapat Din ini mungkin suara hati terpencil seorang rakyat Indonesia, sedikit sebanyak ia membayangkan persepsi warga asing terhadap sikap pekerja tempatan.


Sekurang-kurangnya inilah yang sering digembar-gemburkan oleh majikan tempatan yang nampaknya berlumba-lumba mengaji pekerja asing dengan alasan kononnya pekerja tempatan tidak berminat.


Pendapat ini sedikit sebanyak mempengaruhi kerajaan yang terpaksa membuat penyesuaian dasar berhubung pengambilan pekerja asing untuk memastikan kelangsungan perkembangan ekonomi negara.


Jika pada mula-mula dulu pengambilan pekerja asing dihadkan kepada sektor pembantu rumah, kerajaan terpaksa membukanya kepada sektor lain seperti perladangan, runcit dan perkilangan pada pertengahan era 80-an di atas desakan majikan.


Jika dulunya sumber pembekal pekerja asing cuma terhad kepada beberapa buah negara seperti Indonesia dan Filipina, pinta Malaysia kini terbuka kepada pekerja dari Bangladesh, Myanmar, Thailand, India, Vietnam, Kemboja dan lain-lain.


Kini negara dikatakan menjadi syurga kepada kira-kira 2.5 juta pekerja asing, termasuk yang datang tanpa izin dengan kadar kemasukan 1,600 orang sehari.


Kebanjiran pekerja asing ini pada akhir-akhir menarik perhatian rakyat apabila akhbar melaporkan beberapa kejadian membabitkan mereka.


Di sana sini orang ramai yang mula berasa rimas dan terancam dengan kehadiran terlalu ramai pendatang asing di kawasan tertentu mula menuding jari kepada pihak terbabit. Mereka mahukan langkah sewajarnya diambil untuk mengurangkan masalah ini sebelum terlambat dan menjadi ancaman kepada keselamatan negara.


Seorang guru dari Perak yang menghadiri kursus di sebuah hotel di kawasan Chow Kit, baru-baru ini memberitahu penulis bahawa beliau terpaksa berkurung di bilik hotel di sepanjang kursus kerana takut keluar, walaupun beliau terlalu ingin bersiar-siar di kawasan yang pada satu masa dulu menjadi tumpuan pelancong tempatan.


Guru itu yang sudah lama tidak turun ke Kuala Lumpur sebenarnya tidak mengetahui bahawa kawasan Chow Kit sudah lama menjadi 'kawasan larangan' bagi penduduk tempatan kerana diambil alih pendatang asing.


Dari segi maruah, kebanjiran pekerja asing, terutama daripada satu-satu negara sumber, menjejaskan negara. Sebagai contoh, baru-baru ini apabila hubungan Malaysia-Indonesia menghadapi ketegangan akibat tindakan polis terhadap seorang jurulatih karate dari Indonesia, akhbar dan beberapa orang aktivis anti-Malaysia di negara sahabat itu mempersendakan pencapaian Malaysia yang secara kebetulan ketika itu sedang sibuk merayakan ulang tahun ke-50 kemerdekaan. Kononnya Malaysia tidak akan berada di tahap sekarang tanpa sumbangan pekerja dari Indonesia.


Pesanan ringkas dikirim melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) serta e-mel yang disebarkan pihak tertentu di Indonesia ke seluruh negara itu, yang secara kebetulan dikesan oleh penulis antara lain mengingatkan rakyat mereka supaya jangan terlalu kagum dengan pencapaian Malaysia.


Menurut mesej itu, Malaysia tidak mempunyai apa-apa. Di samping lagu Rasa Sayang yang dicuri dari Indonesia, Malaysia juga mencuri batik dan alat muzik angklong dari negara jiran itu.


Mesej itu juga mengingatkan rakyat Malaysia bahawa ketika mereka enak menikmati juadah ketupat dengan rendang ketika menyambut Aidilfitri, mereka jangan lupa bahawa rendang itu dicuri dari Indonesia.


Ada juga yang tergamak mengakui bahawa Malaysia berjaya menghantar angkasawan pertamanya ke angkasa lepas kerana angkasawan itu berjaya hasil didikan awal ketika zaman kanak-kanannya oleh pembantu rumah Indonesia.


Begitulah hinanya Malaysia pada pandangan sesetengah orang asing. Namun, dari segi yang lebih serius, kebanjiran pekerja asing di Malaysia kini dikatakan bukan saja menjejaskan peluang rakyat tempatan mendapatkan pekerjaan, tetapi juga mencetuskan pelbagai masalah lain kerana ramai antara mereka masuk ke negara ini tanpa mengikut saluran sah.


Ada juga mengaitkan mereka dengan peningkatan kadar jenayah sekarang, terutama jenayah berat.


Apa pun, sebelum tuduh menuduh di antara kesatuan sekerja, majikan atau jabatan kerajaan berlarutan untuk mencari siapa bersalah dan bertanggungjawab terhadap masalah kebanjiran pekerja asing ini, ada baiknya jika semua pihak secara ikhlas dan jujur merenung kembali peranan serta keperluan masing-masing tanpa membelakangkan kepentingan jangka panjang negara.


Satu hakikat yang harus diakui ialah peranan kerajaan berhubung pekerja asing ini terhad kepada pembentukan dasar. Dasar kerajaan dirumus berpandukan kepada keperluan dan permintaan dan ia boleh dipinda dari semasa ke semasa.


Jika dasar yang ada sekarang dikatakan liberal, ia menjadi begitu kerana sikap majikan dan keperluan pasaran yang juga liberal. Perlu diingat bahawa orang asing tidak akan berlumba-lumba datang ke negara ini hanya kerana adanya faktor penolak di negara asal mereka. Mereka datang kerana faktor penarik yang ada di sini.


Jika Malaysia dianggap lombong emas menjadi faktor penarik kepada pendatang asing, sudah sampai masanya emas itu dikongsi bersama oleh rakyat tempatan. Adalah tidak adil membiarkan Din dan rakannya membolot emas itu sendirian.


Datuk Abdul Rahman Sulaiman,

bekas Ketua Pengarang Bernama dan pernah menjadi Ahli Parlimen, adalah Pengarah Komunikasi Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri

Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas. Kembali ke atas

Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024x768.

15 October 2007

Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani

Selamat membaca..........

Bicara Agama
Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani - Guru agama Sultan Kedah

Oleh Haji Wan Mohd. Shaghir Abdullah

PENGENALAN awal gerangan orang yang bernama Tuan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani hanyalah daripada satu sumber sahaja, iaitu Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah karya Muhammad Hassan bin Kerani Muhammad Arshad dalam bentuk tulisan Melayu/Jawi, yang kemudian ditransliterasikan dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1968.

Oleh sebab ulama ini dinyatakan dalam buku yang tersebut adalah ayah atau orang tua kepada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, sedangkan dalam beberapa maklumat yang lain ayah atau orang tua Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani bernama Syeikh Abdullah, dan yang lain pula menyebut bernama Syeikh Abdur Rahman, maka penelitian dan kajian yang lebih kemas perlu dilakukan.

Namun begitu, penulis pernah membuat bahasan terawal mengenai hal ini, dan dapat diperhatikan dalam buku penulis berjudul Syeikh Abdus Shamad Palembang Ulama Shufi Dan Jihad Dunia Melayu (cetakan pertama, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur 1996, hlm: 1-5).

ASAL USUL DAN KEDATANGAN KE NUSANTARA

Nama lengkap beliau ialah Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani. Berasal dari San’a, Yaman. Nama-nama lain untuk personaliti ini ialah Syeikh Abdullah dan Syeikh Abdur Rahman belum dibicarakan di sini, selanjutnya dibahas di bawah judul Syeikh Abdus Shamad Al-Falimbani.

Tersebut kisah seorang Arab penyebar Islam yang berasal dari San’a, Yemen. Nama beliau ialah Tuan Syeikh Abdul Jalil bin Tuan Syeikh Abdul Wahhab bin Tuan Syeikh Ahmad al-Mahdani. Kurang jelas tahun kedatangannya ke Palembang, Indonesia namun dikatakan bahawa setelah enam bulan beliau berada di Palembang, beliau berangkat ke Tanah Jawa bersama muridnya, Tengku Muhammad Jiwa keturunan Sultan Kedah.

Beliau menyebar Islam di Pulau Jawa tidak lama, lalu berangkat pula ke India. Muridnya yang berasal dari Kedah itu juga mengikut beliau ke India. Oleh kerana Tuan Syeikh Abdul Jalil tidak mengetahui bahawa muridnya yang setia itu seorang anak raja, maka seolah-olah Tengku Muhammad Jiwa itu adalah sebagai khadamnya. Namun demikian, muridnya itu sangat pandai menyembunyikan kebangsawanannya. Bahawa dia sentiasa tawaduk kepada Syeikh Abdul Jalil itu.

Syeikh Abdul Jalil dan muridnya itu sentiasa berpindah-pindah tempat di negeri India itu, barangkali sangat banyak kota dan kampung menjadi tempat kegiatan dakwah yang beliau rintis, sehinggakan di negeri India beliau mendapat seorang murid yang setia seperti Tengku Muhammad Jiwa, nama pemuda itu Hapisap.

Setelah sekian lama Tengku Muhammad Jiwa menjadi muridnya, namun Tengku Muhammad Jiwa tetap menyembunyikan dirinya sebagai seorang putera raja Kedah.

Pada satu ketika Tengku Muhammad Jiwa menceritakan kepada gurunya Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dan sahabatnya Hapisap bahawa Kedah satu negeri besar juga, rajanya seorang Islam bernama Sultan Abdullah. Tengku Muhammad Jiwa mengatakan bahawa adalah patut Tuan Syeikh dan Hapisap berlayar ke sebelah sana.

Ajakan Tengku Muhammad Jiwa itu tiada lain, melainkan didorong oleh kerinduan beliau kepada sanak keluarga, rasa cinta kepada tanah air dan utamanya, ingin menyebar agama Islam lebih luas lagi.

Dari segi hubungan sanak-saudara, ia teringatkan hadis-hadis tentang suatu kewajipan menghubungi silaturahim yang telah terputus, antaranya dengan sanak-saudara di Kedah itu. Ditinjau dari segi cinta kepada tanah air, ia tiada lupa bahawa, mencintai tanah air itu adalah sebahagian daripada iman (hadis Nabi Muhammad s.a.w.).

Ampuh dan kukuh

Lebih dari segala itu adalah menyebarkan Islam, bahawa ia berasaskan kewajipan menyebarkan ilmu pengetahuan Islam, kerana ilmu yang dikuasainya sangat banyak dan mendalam yang diterimanya dari Syeikh Abdul Jalil Mahdani itu. Bahawa ia bercita-cita membina Islam di Kedah yang telah kuat berpegang dengan dasar-dasar Islam sejak lama itu lebih ampuh dan kukuh asas Islamnya pada masanya, dan masa-masa mendatang kemudian daripadanya.

Pada tahun itu juga (1122 H bersamaan 1710 M), Syeikh Abdul Jalil Mahdani berkenan memenuhi ajakan muridnya itu, maka berangkatlah mereka bertiga dengan sebuah kapal yang berasal dari sebuah pelabuhan Arab (berbangsa Maskat) yang kebetulan singgah di India untuk menuju ke Tenggara. Dalam pelayaran itu mereka singgah di pelabuhan Murgi/Murgui di negeri Burma.

Kejadian di Negeri Kedah pula pada masa keberangkatan Tengku Muhammad Jiwa, bahawa ayah Tengku Muhammad Jiwa, Sultan Abdullah al-Muazzam Shah mangkat pada 13 Jamadilakhir 1118 H/1706 M. Baginda diganti oleh puteranya, Tengku Ahmad Tajuddin Halim Syah. Baginda mangkat pula. Oleh kerana Tengku Ahmad Tajuddin tidak meninggalkan putera mahupun puteri, maka timbullah masalah tentang pengganti baginda sebagai Sultan Kedah.

Maka, para pembesar Kedah sepakat untuk mencari Tengku Muhammad Jiwa, kerana enam tahun lamanya meninggalkan Kedah tanpa memberi berita sesuatu apa pun juga.

Dato’ Kema Jaya berangkat mencari berita ke arah jurusan Sumatera dan Jawa. Dato’ Indera Mambang menuju ke arah jurusan India dan Burma. Dato’ Seri Indera Mambang berhasil menemui Tengku Muhammad Jiwa, yang kebetulan kapal layar kedua-dua pihak itu berlabuh di pelabuhan negeri Burma.

Pada mulanya Dato’ Seri Indera Mambang tidak mengenali Tengku Muhammad Jiwa kerana pakaian yang telah berubah, mungkin kerana menurut model India tidak mengikut model pakaian Melayu Kedah dan parasnya juga telah berubah. Tetapi Tengku Muhammad Jiwa masih mengenali Dato’ Seri Indera Mambang.

Setelah diketahui oleh Tengku Muhammad Jiwa bahawa ayahandanya telah mangkat, demikian juga saudaranya Tengku Ahmad Tajuddin, lalu ia menangis. Maka barulah diketahui oleh Tuan Syeikh Abdul Jalil bahawa Tengku Muhammad Jiwa itu adalah seorang putera Sultan Kedah sendiri.

Tengku Muhammad Jiwa menjawab pertanyaan gurunya tentang dirinya semuanya menggunakan bahasa Arab, memang tidak sia-sialah dia belajar selama ini, bahawa ia fasih berkata-kata dalam bahasa Islam yang tercinta itu. Akhirnya semua mereka berangkat menuju ke Kedah.

DILANTIK SEBAGAI MUFTI

Tengku Muhammad Jiwa dilantik menjadi Sultan Kedah menggantikan saudaranya Tengku Ahmad Tajuddin. Ketika beliau ditabalkan menjadi Sultan, gurunya Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani telah membaca doa untuk baginda. Pada suatu hari, pada suatu permusyawaratan, Sultan Tengku Muhammad Jiwa berkata: “Hamba persilakan mamak-mamak dan guru hamba kerana hamba hendak bermuafakat hendak memberi pangkat kepada Hapisap iaitu menjadi kadi menggantikan kadi yang telah kembali ke rahmatullah Taala itu”. Maka dijawab sekalian menteri dan Tuan Syeikh, “Benar seperti titah itu”.

Sultan Tengku Muhammad Jiwa berkata pula, “Hamba harap guru hamba menjadi mufti di dalam negeri Kedah ini.”

Tidak berapa lama setelah pengangkatan tersebut, Tengku Muhammad Jiwa berusaha pula menjodohkan tuan gurunya, Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dengan perempuan di lingkungan istana, bernama Wan Zainab binti Dato’ Seri Maharaja Putra Dewa.

KETURUNAN

Setelah beberapa bulan perkahwinan Tuan Syeikh Abdul Jalil Mahdani dengan Wan Zainab, tiba-tiba datang seorang muridnya dari Palembang bernama Raden Siran. Muridnya itu mengajak gurunya ziarah ke Palembang kerana murid-muridnya di Palembang sangat rindu kepada beliau.

Di Palembang, Raden Siran berusaha mencarikan isteri untuk gurunya itu, maka terjadilah perkahwinan antara Syeikh Abdul Jalil Mahdani dengan Raden Ranti/Rantai.

Hasil perkahwinan Raden Ranti dengan Tuan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani itu, mereka memperoleh seorang anak, Abdus Shamad. Dialah yang dikenal sebagai Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani seorang ulama sufi Asia Tenggara yang terkenal dengan karyanya yang terkemuka, Hidayatus Salikin dan Siyarus Salikin yang biografinya akan diperkenalkan kemudian.

Menerusi perkahwinan Syeikh Abdul Jalil dengan Wan Zainab di Kedah pula, beliau mendapat dua orang anak iaitu Wan Abdul Qadir yang menjadi Mufti Kerajaan Kedah dan Wan Abdullah yang memangku gelaran Seri Maharaja Putera Dewa di Kedah.

Ada pun Syeikh Abdus Shamad Palembang itu, maklumat keturunannya hanya diketahui seorang anaknya bernama Fathimah. Mengenai kedua-dua anaknya yang di Kedah, keturunan selanjutnya belum dapat dikesan.

WAFAT

Makamnya terletak di Tanjung Pauh, Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah. Penulis pernah sampai ke makam itu membuat penyelidikan dalam tahun 1992, memperoleh catatan bahawa Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani meninggal dunia tahun 1196 H/1782 M. Kawasan makam sangat luas, sekali-sekali ada orang datang berziarah kerana membayar nazar.

Penulis diberitahu oleh salah seorang penunggu makam bahawa orang-orang India datang ke tempat itu setahun sekali, secara beramai-ramai kerana membuat kenduri dan menyampaikan nazar.

Siapa Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani

- Ayah kepada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani

- Nama lengkapnya ialah Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani.

- Berasal dari San'a, Yemen.

- Nama-nama lainnya ialah; Syeikh Abdullah dan Syeikh Abdur Rahman.

- Berkahwin dengan Wan Zainab (Kedah) dan Raden Ranti/Rantai (Palembang).

- Meninggal dunia pada 1196 H/1782 M.

- Makamnya terletak di Tanjung Pauh, Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah.

* Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah.