Tujuan

Rencana dalam blog ini ada hasil karya penulis penulis dari pelbagai sumber. Dikumpul dengan tujuan untuk memudahkan rujukan. Jika empunya rencana tidak bersetuju rencananya disiarkan dalam blog ini sila beri maklum dan rencananya akan tidak dipamerkan.

18 March 2009

Ketuanan Melayu tiada kaitan perhambaan

Selamat membaca..........

Ketuanan Melayu tiada kaitan perhambaan

Mohd Ayob Abd Razid


DR Thock Ker Pong dalam bukunya Ketuanan Politik Melayu: Pandangan kaum Cina (2005) mengemukakan konsep ketuanan politik Melayu dari perspektif demografi yang dianggap sebagai legitimasi kuasa politik Melayu di negara ini.

Beliau melihat konsep ketuanan politik Melayu adalah berdasarkan majoriti dari segi bilangan penduduk Melayu (Bumiputera) yang berjumlah lebih 60 peratus daripada keseluruhan penduduk negara. Menurutnya, kuasa politik Melayu diteguhkan lagi melalui dominasi Umno dalam Barisan Nasional (BN).

Buku yang asalnya kajian ilmiah beliau untuk ijazah doktor falsafah (Phd) memilih gerakan pertubuhan Cina (huantan) dari 1969-1999 sebagai landasan kajiannya.

Di antara huantan yang dikaji termasuk Dongjiozong, Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (GPCM), Dewan-dewan Perhimpunan Cina (DPC) dan Dewan-dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).

Huantan terbabit adalah pertubuhan Cina yang bersuara lantang dan aktif berdepan dengan ketuanan politik Melayu yang dianggap mereka sebagai cabaran bagi masyarakat Cina.

Dalam kajian itu, beliau mendapati kaum Cina beranggapan bahawa mereka sentiasa dikongkong oleh hegemoni demografi ini.

Namun, beliau kelihatan menyeimbangkan pandangan apabila menjelaskan bahawa kaum Cina juga memiliki ketuanan iaitu ‘ketuanan ekonomi’ yang tidak berasaskan hegemoni demografi tetapi ditentukan oleh saiz pemilikan kekayaan dalam bidang ekonomi dan perdagangan.

Dominasi kekayaan kaum Cina termasuk dalam semua bentuk, sama ada dalam bentuk harta, hartanah, saham dan modal.

Ketuanan ekonomi ini jelas apabila kaum Melayu hanya memiliki kira-kira 18 peratus kekayaan negara, sedangkan sejak pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), kerajaan menetapkan sasaran sebanyak 30 peratus bagi ekuiti Bumiputera. Sebaliknya kaum Cina menguasai lebih 50 peratus kekayaan di negara ini.

Saya melihat ketuanan ekonomi inilah banyak memberi kelebihan kepada kaum Cina. Penguasaan ekonomi menyebabkan majoriti kaum Cina di negara ini menikmati kehidupan lebih bermutu sama ada dari segi pendidikan, kesihatan, kediaman, kuasa menabung dan kuasa beli.

Malah, dalam liku-liku politik tanah air, ‘ketuanan ekonomi’ menjadi satu tenaga dan kekuatan kepada kaum Cina untuk membuat desakan dan tekanan kepada Umno untuk memberi dan membuka ruang lebih kepada tuntutan mereka termasuk dalam usaha mendapatkan lebih banyak kuasa politik.

Sebaliknya, ketuanan politik Melayu hanya melambangkan hak dan warisan kedudukan orang Melayu dan sebagai satu jalan bagi pemimpin politik Melayu mengisi hak-hak orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dr Sarjit S Gill, pensyarah sosiologi pernah menyebut, ‘Ketuanan Melayu jelas untuk keistimewaan Melayu. Mereka memang berhak mendapatnya selaku kaum dominan di negara ini.

Hak keistimewaan ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Hal ini tidak mendatangkan sebarang sensitiviti kepada kaum lain memandangkan ia memang hak orang Melayu’.

Beberapa hak istimewa Melayu seperti tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan adalah hasil rundingan pelbagai kaum yang dipersetujui bersama ketika negara bersiap menerima kemerdekaan.

Saya kira tidak ada kaum asal di mana juga negara di dunia ini yang membuka ruang perbincangan dengan kaum imigran pada saat mencapai kemerdekaan bagi menentukan hak mereka.

Justeru, di mana benarnya tuduhan yang mengatakan Umno mengamalkan dasar ‘aparteid’ seperti didakwa beberapa pemimpin pembangkang. Apa agenda sebenar mereka mengeluarkan kenyataan liar seperti itu jika bukan kerana mahu menimbulkan kebencian dan salah faham di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Saya melihat ada kebenarannya apa yang disuarakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam bukunya The Malay Dilemma (1970).

Beliau ada menyebut bahawa sifat rendah diri kaum Melayu menyebabkan mereka sering ditindas dan dicela. Oleh kerana hari ini politik Melayu (Umno) dilihat lemah, maka ramai di kalangan pemimpin pembangkang yang ‘bermulut celupar’ semata-mata untuk menguji kekuatan dan kesabaran orang Melayu.

Hari ini, politik negara berdepan dengan aliran politik liberal yang mempamerkan haluan perjuangan yang kelihatan bercanggah dengan semangat Perlembagaan, kontrak sosial dan agenda nasional.

Malah, asakan kuat aliran liberal dalam politik pembangkang ini berupaya memerangkap Pas dalam permainan politik mereka sehingga parti itu lupa idealisme perjuangannya yang sebenar untuk memartabatkan Islam dan Melayu di negara ini.

Bayangkan apa akan terjadi sekiranya lima fasal utama dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh tunjang politik Melayu mahu dirungkai dan dihapuskan oleh mereka yang ‘jahil’ sejarah dan politik tanah air. Pasti akan terjadi kacau-bilau seperti yang pernah diungkapkan oleh Allahyarham Profesor Dr Syed Hussein Alatas. Katanya, ‘jika kuasa politik itu dirompak atau dicuri daripada orang Melayu, pasti negara kacau-bilau.’

Lima fasal utama yang berkaitan dengan hak dan kedudukan orang Melayu itu termasuk Perkara 3 yang meletakkan agama Islam ialah agama bagi Persekutuan, Perkara 32 yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong adalah ketua utama negara bagi Persekutuan, Perkara 38 yang menyebut Majlis Raja-Raja memiliki fungsi tertentu seperti terkandung dalam Perkara 38(2), Perkara 152 pula meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Perkara 153 adalah berhubung dengan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera bagi negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.

Kelima-lima fasal berkaitan orang Melayu itu boleh dianggap sebagai ‘ketuanan politik Melayu’ yang diinstitusikan melalui Perlembagaan sejak 1957. Justeru, ia tiada kena mengena dengan amalan memperhambakan kaum lain.

Malah, agenda Melayu dalam pelbagai bidang hanya mula dilaksanakan selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969 melalui pelbagai dasar termasuk Dasar Ekonomi Baru. Pada hakikatnya semua dasar yang dilaksanakan di negara ini adalah dasar nasional untuk semua kaum.

Sebenarnya, hujah mengenai kedudukan orang Melayu berasaskan sejarah, budaya, politik dan demografi sudah disebut sejak 1930-an dan 1940-an oleh beberapa tokoh tersohor seperti Za’aba dan Datuk Onn Jaafar.

Malah, majalah Al-Imam yang diterbitkan oleh pendukung gerakan islah pada 1906 di Singapura sudah pun mendesak orang Melayu supaya menoleh ke Jepun yang ketika itu sudah melaksanakan perubahan (islah) dalam bidang politik, ekonomi dan pertahanan. Jadi, di mana silapnya apabila kedudukan orang Melayu masih dilihat lemah di negara sendiri?



Penulis ialah Ketua Unit Komunikasi Media di Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan